Ciumlah dan Peluklah Anak-anak Sentiasa

liveworld

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Rasulullah (ﷺ) mencium cucu Baginda Hasan dan Husin di hadapan Al-Aqra’ bin H`Abis at-Tamim. Al-Aqra berkata,”Aku mempunyai sepuluh orang anak tetapi tidak seorang pun pernah ku cium.” 
Rasulullah (ﷺ) memandangnya seraya berkata, “Sesiapa yang tidak memiliki rasa rahmat di dalam hatinya tidak akan dirahmati oleh Allah SWT”.
(Sahih al-Bukhari 5997, buku 78, Hadith 28)

Ciumlah dan peluklah anak-anak sentiasa.

Titipkanlah kasih sayang melalui ciuman dan pelukan kita ke dalam hatinya dan jiwanya supaya kata-kata dan perbuatannya penuh kasih sayang, peduli dan empati terhadap orang lain di sekitarnya.

Inilah formula asas dan mudah untuk membentuk generasi yang merdeka dari sifat-sifat yang membinasakan keluarga, masyarakat, negara dan ummah.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-59.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Harapan Ibubapa

Di Malaysia, kanak-kanak menghabiskan hanya 27% * masa dalam setahun di sekolah dan selebihnya (73%) di rumah atau dalam komuniti.

Oleh itu rumah (ibubapa, keluarga/ penjaga) dan masyarakat mempuyai impak yang sangat besar terhadap perkembangan seorang kanak-kanak.

harapan

Banyak kajian ** mendapati bahawa anak-anak yang berjaya dan memiliki tingkahlaku yang positif adalah anak-anak yang mempunyai:

  1. ibubapa yang menaruh harapan yang tinggi untuk anak berjaya dan berkelakuan baik.
  2. ibubapa yang menyampaikan harapan tersebut kepada anak melalui komunikasi yang positif.
  3. ibubapa yang mempunyai hubungan yang rapat dengan anak dari segi fizikal dan emosi.

Contoh harapan –
“kamu mesti berjaya dalam pelajaran, ye nak.” atau
“kamu mesti berkelakuan baik, ye nak”.

  1. Harapan (expectation) yang positif hendaklah disusuli dengan galakan, panduan, pelukan, ciuman, pujian, dan ganjaran yang sewajarnya. (Marah sekali sekala biasalah)
  2. Harapan yang disusuli dengan ugutan, tekanan, melabel, hukuman, perbandingan, dan memperkecil-kecilkan tidak akan membuahkan hasil yang diinginkan.
  3. Harapan yang tiada susulan juga bukanlah harapan yang positif.
  4. Harapan mestilah mengambil kira perkembangan individu seseorang anak dan bukannya membuat generalisasi.

 

IBUBAPA ADALAH PENDIDIK NO.1 ANAK-ANAK.

*Statistik dari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)

** RUJUKAN
1. Redd, Z., Guzman, L., Lippman, L., Scott, L., and Matthews, G. (2004). Parental expectations for children’s educational attainment: A review of the literature. Prepared by Child Trends for the National Center for Education Statistics.

2. Fan, X. (2001). Parental involvement and students’ academic achievement: A growth modeling analysis. The Journal of Experimental Education, 70(1): 27-60.

3. Jeynes, W.H. (2005). A meta-analysis of the relation of parental involvement to urban elementary school student academic achievement. Urban Education, 40(3): 237-269.

4. Jeynes, W.H. (2007). The relationship between parental involvement and urban secondary school student academic achievement: a meta-analysis. Urban Education, 42(1): 82-110.

Noor Afidah Abu Bakar

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Eh! Anak Ini Gelap Sikit Kan?

Anak Ini Gelap.

Kredit Imej: Google

Amat membimbangkan bila saya menyedari ada anak-anak kecil usia sekolah rendah mengaitkan kecantikan dengan kulit cerah. Ada yang merasakan diri sendiri tidak cantik dan terasing kerana berkulit gelap.

Kanak-kanak secara nalurinya tidak nampak perbezaan warna kulit, baik dari segi kecantikan mahupun dari segi bangsa melainkan jika orang dewasa di sekeliling kerap ‘highlight‘ tentang itu.

The Children’s Body Image Development Study, iaitu kajian longitudinal oleh La Trobe University Australia mendapati bahawa kanak-kanak mula ‘conscious’ dengan imej diri dari usia 4 tahun lagi. Persekitaran banyak mempengaruhi persepsi kanak-kanak.

Lambakan produk pemutihan kulit yang diiklankan dengan agresif bersama tagline yang bertujuan untuk menarik perhatian di media elektronik dan cetak menyampaikan mesej yang tidak sihat kepada kanak-kanak. Tujuan iklan adalah untuk membuatkan kita merasa diri kekurangan supaya kita membeli produk walaupun tiada keperluan.

Orang dewasa juga ada yang tidak sensitif membanding-bandingkan kulit cerah gelap antara anak-anak sendiri atau anak-anak saudara atau anak-anak rakan atau anak-anak jiran atau anak-anak selebriti di hadapan kanak-kanak. Ini menyebabkan runtuhnya keyakinan diri anak-anak kecil yang berkulit gelap (mengikut piawaian kita yang membanding).

“Putih gebu sungguh baby ni…comelnya.”

“Yang si adik gelap dari si kakak kan?.”

“Macam terbakar saja kulit baby ini…hehe”

“Kenapa abang hitam? Adik putih.”

“Anak artis tu comel sungguh, putih merah kulitnya macam mat saleh.”

“Dah tengok anak si fulan? Ya Allah putihnya. Comel!”

“Gelap sikit kan kulit anak kau yang ini.”

“Your daughter so fair one…so pretty.”

“This one the skin is a bit dark right?”

Dengan perkembangan teknologi sekarang ini, muncul pula trend menapis atau ‘filter’ gambar anak yang dimuatnaik ke media sosial agar kelihatan lebih putih, cerah dan gebu. Semoga kita lebih bersyukur dengan kurniaan Allah kepada kita kerana ia semestinya sebaik-baik kejadian.

Terdapat produk yang mensasarkan ibu mengandung yang inginkan anak yang berkulit putih. Ada juga produk untuk dimakan oleh bayi supaya bayi menjadi lebih cerah dan putih. Produk ini juga menggunakan selebriti terkenal bagi tujuan promosi. Alangkah jengkelnya pemikiran.

Berhati-hatilah dengan trend dan budaya yang cuba kita bina dalam masyarakat. Tekanan sudah terlalu banyak terhadap kanak-kanak terutamanya dari segi akademik. Usahlah ditambah lagi dengan tekanan fizikal dan rupa paras yang mengganggu emosi dan meruntuhkan keyakinan diri mereka dari kecil lagi. Jangan biarkan ‘pressure’ di kalangan orang dewasa menjadi gelanggang perbandingan antara kanak-kanak pula.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Kecil Belajar Fizik?

Tidak mustahil. Tetapi bukanlah dengan menggunakan flashcards semata-mata.

Sejak berkurun lamanya anak kecil (early learners) belajar dengan memerhati, meniru dan ‘bermain’ dengan peralatan yang digunakan. Inilah kaedah yang paling berkesan untuk early learners.

Apabila kita memaksa anak kecil duduk diam mendengar guru mengajar, memberi arahan dan kemudiannya memaksa pula anak memberi pendapat dan jawapan yang ‘betul’ mengikut skima jawapan, proses berfikir menjadi terbantut dan kreativiti terhalang.

Sayang sungguh kerana otak si kecil tidak mendapat stimulasi yang sepatutnya.

fizik

Kita hanya menghasilkan generasi ‘copy paste’ dan tidak berupaya untuk berfikir dengan sendiri apatah lagi berinovasi.

Banyakkan lagi ‘experiential learning’ melalui pengalaman dan refleksi.
Banyakkan lagi projek.
Banyakkan lagi lawatan sambil belajar.
Banyakkan lagi galakan untuk memberi pendapat tanpa skima jawapan.
Inilah kaedah belajar yang efektif untuk si kecil.

Bagi ibubapa pula, apabila pra sekolah anak anda banyak ‘bermain’ dan banyak lawatan sana sini, anda sepatutnya gembira kerana anak kecil anda sedang belajar dengan kaedah yang ‘developmentally appropriate’ iaitu mengikut perkembangan yang sepatutnya.

Tidak mustahil jika anak faham konsep Fizik dari kecil tanpa flashcards dan tanpa buku kerja.

Artikel penuh http://www.nytimes.com/…/what-babies-know-about-physics-and…

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Anak Ini Boleh! Awal Tidak Semestinya Lebih Baik.

Mungkin selalu kita dengar orang berkata bahawa semakin awal kita mulakan sesuatu pembelajaran dengan anak maka semakin efektif pembelajaran itu dan semakin baik untuk anak-anak.

TIDAK SEMESTINYA.

boleh

Setiap anak berkembang pada kadar yang berbeza. Setiap anak mempunyai masa optimal yang tersendiri yang memungkinkan pembelajaran berlaku dengan berkesan. Walaupun lahir pada tahun yang sama, masa optimal ini berbeza dan jangkasama perbezaan adalah berbulan-bulan.

Jika kita memaksa dan mengasak anak dengan sesuatu yang dia tidak bersedia, hanya kerana “anak dia boleh” atau “di FB si fulan dan fulan berbuat begitu dengan anaknya”, maka kita merisikokan masa optimal anak tersebut.

Jika kita terlalu ‘relax’, langsung tiada stimulasi yang sepatutnya ketika masa optimal anak, kita juga memudaratkan perkembangan anak. Anak merasa terlalu rendah diri dan tiada keyakinan diri kerana tidak memiliki skil yang sepatutnya.

Kenali setiap seorang dari anak anda.
Kenali learning style anak.
Kenali temperament anak.
Kenali intelligence anak.
Usah dibandingkan dengan apa yang kita lihat di FB.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Checklist Preschool

Checklist sebagai panduan.

preschchecklist

Preschool yang baik untuk anak-anak adalah preschool yang mengolah pembelajaran mengikut perkembangan semulajadi kanak-kanak.

Penting juga untuk ibubapa memahami bagaimana kanak-kanak berkembang supaya kita tidak terlalu menekan anak dengan ‘expectation’ yang bukan-bukan dan tidak realistik.

Bagi yang ingin menghantar anak ke Islamic preschool supaya anak menghafal Al Quran, mahir berbahasa Arab dan sebagainya, checklist ini juga penting. Apa yang perlu kita lahirkan bukan hanyal anak-anak hafiz dan hafizah semata-mata tetapi juga menjadi hufaz Ulul Albab yang boleh berfikir dengan kritis dan kreatif, yang penuh empathy dan juga memiliki skil penting dalam kehidupan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kaedah Mudah Menghubungkan Sel-sel Otak

KAEDAH MUDAH MENGHUBUNGKAN SEL-SEL OTAK.
(Tanpa berbelanja wang dan ringgit)

serveand return

Kredit gambar: Center on The Developing Child, Harvard University.

Beginilah rupanya apabila ‘sel-sel otak berhubung’ atau terbentuknya jalinan neural dari lahir sehingga usia 2 tahun. 80% otak kanak-kanak terbentuk ketika usia 0-3 tahun.
Interaksi ‘serve and return’ (bayangkan seperti dalam permainan tenis) didapati menjadi kaedah yang paling berkesan membentuk jalinan neural dalam otak.

BAGAIMANA CARANYA?

Apabila bayi menangis (serve), orang dewasa membelai/memujuk (return).
Apabila anak kecil memerhati (serve), orang dewasa mengagah (return).
Apabila anak bertanya ‘Why?’ ‘Kenapa?’, orang dewasa melayan pertanyaannya (return).

Interaksi dua hala antara anak dan orang dewasa yang responsif sebegini bukan hanya membina otak kanak-kanak, ia juga menjadi asas kepada pembelajaran efektif seorang individu.

Jika anak-anak kecil hanya diminta diam dan mendengar sahaja dalam kelas, ini tidak membantu perkembangan jalinan neural. Perlu ada interaksi ‘serve and return’ antara anak dan guru.

Apabila anak melukis sesuatu, usahlah hanya berkata “Cantiknya” atau “Pandainya lukis” kepada anak tersebut.
Sebaliknya tanyalah anak “Apa yang berlaku dalam lukisan tersebut” dan “Kenapa melukis objek/situasi tersebut?”.
Inilah kaedah ‘serve and return’ yang dapat memupuk kreativiti dan pemikiran kritis anak-anak melalui jalinan neural.

Apabila bacakan buku untuk anak (murid), bersoal jawablah dengan anak “Bagaimana agaknya ‘ending’ cerita ini?”. Ini juga kaedah ‘serve and return’.

Apabila bayi yang belum boleh bercakap tunjuk ke arah kereta (contohnya), sebutlah “Kereta” atau “Car” kepada bayi. Ini juga kaedah ‘serve and return’ yang akan membantu perkembangan komunikasi, bahasa dan literasi awal seorang anak.

Anak-anak yang tidak melalui pengalaman interaksi ‘serve and return’ semasa kecil baik di rumah atau di sekolah, didapati tidak pandai menjalin perhubungan yang positif dengan orang lain, sering menunjukkan tanda-tanda ‘distress’, dan akhirnya menyukarkan proses pembelajaran. Kesannya boleh terbawa sehingga ke dewasa.

Mulai hari ini bila terasa “Tak rajinnya nak melayan anak…”, maka ingatlah ‘Serve and Return’.
🙂

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Gajet dan Anak-anak

Jika kita rasakan gajet dapat menenangkan anak-anak (kecil dan remaja), dapat mendiamkan anak, dan dapat menghilangkan tantrum anak, maka kita silap. Mereka semakin sukar ditenangkan apabila gajet menjadi babysitter mereka.

‘Technological skills’ adalah keperluan untuk anak-anak era digital ini tetapi kebergantungan yang terlampau kepada gajet untuk ‘menghiburkan’ anak akan mempengaruhi perkembangan fizikal, emosi, kognitif, sensori dan mental mereka.

Artikel yang menarik untuk kita faham kenapa.
Berpada-padalah.

Screentime Is Making Kids Moody, Crazy and Lazy

Noor Afidah Abu Bakar

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ibu Berkerjaya vs Ibu Di Rumah

wmvssahm

Kredit Imej: Google

Penulisan saya genap dua tahun yang lalu (2014). Ketika itu banyak isu sosial yang berlegar di media sosial, cetak, dan elektronik. Pada masa yang sama ada penulisan ‘panas’ di media sosial yang menjadi provokasi untuk pertelingkahan. Pertelingkahan yang sebegini sering membuatkan kita hilang fokus dari memikirkan apakah perubahan dan sumbangan yang kita boleh lakukan bersama-sama tidak kiralah walau apa saja status kita.


sahm

Kredit Imej: Google

Pergeseran “Working Mothers vs Stay At Home Mothers” masuk lagi ke ‘newsfeed’ saya. Beribu-ribu komen dilontar kerana masing-masing cuba mempertahankan diri dan pilihan masing-masing. 17 tahun menjadi ibu , saya sudah menyaksikan pergeseran yang sama sesama GEN X dulu di yahoogroup (ya masa itu berforum di yahoogroup). Kini giliran ibu-ibu GEN Y pula bersilat di FB. Aduh!

Ketika kita tidak berhenti-benti bergeser tentang isu ini untuk mempertahankan DIRI SENDIRI, dalam masyarakat kita:

  1. Beribu-ribu pelajar tingkatan 3 tidak tahu mengucap syahadah (kajian JAKIM di Selangor)
  2. Anak berumur 8 tahun ketagih online pornografi di Kuala Lumpur
  3. Kanak-kanak berumur 6 tahun merogol kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun di Kedah
  4. Kanak-kanak didera/meninggal di TASKA di seluruh negara
  5. Murid Tahun 3 mengugut akan merogol guru di Melaka
  6. Kanak-kanak berumur 2 tahun dirogol dan dibunuh di beberapa kejadian di seluruh negara.
  7. Anak mati ditinggalkan dalam kereta di seluruh negara
  8. Anak remaja memaki hamun ibu di twitter kerana disuruh solat.
  9. Bayi didera pembantu rumah di seluruh negara.
  10. Remaja (Islam) bunuh diri makin menjadi-jadi.
  11. Anak ditumbuk guru.
  12. Anak mengandungkan anak ayah sendiri (beberapa kes).

Panjang lagi senarainya (sumber dari beberapa akhbar tempatan)

Dari kita bergeser untuk mempertahankan pilihan masing-masing, lebih baik kiranya:

‘WORKING MOTHERS’ fikirkan:

  1. Bagaimanakah masa yang terhad bersama anak-anak dapat dimanfaatkan untuk mendidik anak-anak dengan nilai?
  2. Adakah orang yang kita amanahkan menjaga anak-anak dapat menerapkan nilai yang sepatutnya?
  3. Bagaimana pendapatan yang lebih itu dapat digunakan untuk melindungi anak-anak dari kepincangan masyarakat sekeliling?
  4. Adakah persekitaran yang kita sediakan untuk anak-anak ketika ketiadaan kita kondusif untuk keselamatan dan perkembangan positif mereka?
  5. Adakah kita tahu di mana dan dengan siapa anak-anak kita berada?
  6. Bagaimana kita boleh gunakan kemahiran dan kepakaran kita untuk memperbaiki persekitaran anak-anak kita?

 

‘STAY-AT-HOME MOTHERS’ fikirkan:

  1. Bagaimanakah masa yang lebih bersama anak-anak dapat dimanfaatkan untuk “bonding” seperti sepatutnya?
  2. Adakah kita menjadi sumber nilai yang utama anak-anak ketika mereka berada di rumah bersama kita?
  3. Adakah kita sediakan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang membantu perkembangan positif mereka dari segala aspek?
  4. Adakah kita manfaatkan masa kita untuk mewujudkan komunikasi yang positif dengan anak-anak?
  5. Adakah kita yang ‘babysit’ anak-anak ketika di rumah ataupun TV/tablet/komputer?
  6. Adakah kita tahu di mana dan dengan siapa anak kita berada?
  7. Bagaimanakah kita boleh manfaatkan kelebihan dan kemahiran kita untuk memperbaiki persekitaran anak-anak?

Berdiskusilah tentang isu yang lebih konstruktif dan produktif untuk masyarakat, dari bergeser tentang isu yang terlalu bersifat individualistik.

“Tangan yang menghayun buaian juga boleh menggoncang dunia.”

Walaubagaimanapun, PARA BAPA TETAP KETUA KELUARGA dan tanggungjawab yang disenaraikan di atas lebih perlu dan wajib difikirkan oleh para bapa. (YA SILA TAG SUAMI ANDA )

Wallahua’lam. PEACE!

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Benarkah Kita Menghukum Anak Kerana Mendidik. 7 Faktor

Apabila anak menunjukkan tingkah laku yang tidak menyenangkan kita dan menimbulkan kemarahan kita, perasaan geram itu akan membuatkan kita ingin menghukum. Hukuman itu dirasakan perlu bagi tujuan mendidik. Sebelum
menghukum, adakah jelas dalam hati dan pemikiran kita akan tujuan kita menghukum?
hukum
Kredit Gambar: Google

Hukuman yang mendidik adalah hukuman yang:
  1. menyedarkan IBUBAPA tentang tanggungjawab yang perlu atau belum ditunaikan kepada anak. (Bukan tentang tingkah laku anak semata-mata)
  2. menghentikan tingkah laku negatif anak. (Tidak semestinya serta-merta dan semalaman)
  3. memberi pengajaran tentang cabaran kehidupan kepada anak.
  4. membimbing anak untuk membuat keputusan dan pilihan tindakan yang lebih baik pada masa akan datang.

 

SEBELUM MENGHUKUM PERLULAH:

1) MENGAMBIL KIRA TAHAP PERKEMBANGAN ANAK

Kebanyakan tingkah laku anak kecil yang menyebabkan kita sering melabel mereka sebagai nakal dan degil, berlaku kerana perkembangan fizikal, emosi, kognitif (pemikiran), dan sosial mereka belum berkembang. Kiranya dihukum dengan tidak wajar, anak-anak ini tidak faham di mana silapnya mereka. Hukuman itu mungkin hanya menyakitkan fizikal mereka, menakutkan mereka dan mengganggu emosi mereka tetapi tidak mendidik mereka untuk berfikir dan belajar dari kesilapan.

Contohnya anak yang sering tumpahkan air atau pecahkan pinggan, berkemungkinan belum matang perkembangan motor halus dan motor kasarnya ataupun kemungkinan belum mencapai koordinasi tangan dan mata yang sempurna. Faktor perkembangan perlulah diambil kira sebelum menghukum.

Anak kecil yang menggigit rakannya atau tidak mahu berkongsi permainan, berada dalam fasa perkembangan sosial dan emosi yang belum lagi terbentuk sepenuhnya. Anak ini harus dibantu dan dibimbing terlebih dahulu. Menghukum dengan menampar tangannya atau pipinya tidak membantu perkembangan sosial dan emosi anak tersebut. Hukuman itu sudah tentulah tidak mendidik. Tunjukkan apa yang perlu dilakukan jika marah, kecewa, sedih dan sebagainya.

2) MENYEDIAKAN KEPERLUAN ASAS

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk menyediakan keperluan asas anak supaya mereka dapat berkembang dengan sihat dan cerdas. Tertunai atau tidak keperluan asas ini juga menentukan tingkah laku anak-anak. Keperluan asas bukanlah hanya makanan, pakaian, rehat, tidur dan tempat tinggal.

Keperluan asas seorang anak juga termasuk perhatian, ‘connection’, keselamatan, rasa kekitaan (belonging), peluang untuk bermain dan peluang eksplorasi. Apabila keperluan asas ini tertunai, anak-anak merasa selamat, sihat, disayangi dan dihargai.

Apabila keperluan asas ini tidak tertunai, anak akan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan meluahkan emosi. Anak akan berkomunikasi melalui perbuatan seperti berkelakuan tidak tentu arah, menjadi kaget, tidak mengikut arahan dan peraturan, menguji batasan, lasak tidak bertempat, sering mengomel dan sebagainya.

Menghukum anak disebabkan keperluan asas anak yang tidak mencukupi, akan menghasilkan tentangan dan pemberontakan. Hukuman tersebut tidak akan berjaya mendidik anak supaya berkelakuan baik kerana ada keperluan asas yang kurang dalam hidup anak tersebut. Sebelum menghukum anak, fikirkanlah dahulu tentang kesempurnaan tanggungjawab kita sebagai ibubapa.

3) TIDAK MEMBANDINGKAN-BANDINGKAN ANAK

Hukuman yang dikenakan kerana tingkah laku anak tidak sama seperti kakaknya, atau tidak sama seperti adiknya atau tidak sama seperti anak si fulan dan si fulan atau tidak sama seperti kita masa kecil dahulu, dengan jelas bukanlah hukuman yang mendidik.

Hukuman yang sedemikian tidak memberi fokus kepada tingkah laku anak yang memerlukan bimbingan, fokus sebaliknya diberikan kepada individu. Yang mengecewakan kita adalah tingkah lakunya bukannya orangnya. Apabila perbandingan dibuat, hukuman itu sudah lari dari matlamat mendidik.

Setiap anak adalah berbeza, tidak perlu dibanding-bandingkan. Ibubapa perlu meluangkan masa untuk mengenali kelebihan dan kekurangan anak. Hanya dengan cara itu kita dapat berlaku adil kepada anak. Tanpa mengenali anak, dan tanpa memahami kenapa anak tersebut berkelakuan tidak sama seperti orang lain, hukuman itu hanyalah satu kekejaman dan penderaan terhadap anak.

4) TIDAK MELABEL

Dari masa ke semasa, seorang anak membentuk imej dan kepercayaan tentang diri sendiri. Cara yang paling berkesan untuk anak mengenali dirinya adalah melalui kata-kata dan gambaran-gambaran yang diberikan oleh individu-individu di sekeliling anak terutamanya ibubapa, guru, saudara-mara dan rakan-rakan rapat.

Gunakanlah perkataan-perkataan yang menyakinkan anak bahawa mereka sememangnya baik dan boleh menjadi baik dan lebih baik. Ingatkanlah anak tentang kebaikan yang pernah mereka lakukan dan tingkah laku positif yang pernah mereka tunjukkan. Tunjukkanlah bahawa kita menghargai dan mengharapkan kebaikan daripada anak.

Memaki hamun, memperkecil-kecilkan dan melabel dengan panggilan yang tidak elok akan mematikan semangat anak. Ia juga akan menjadi suara-suara dalam diri anak yang akan menghalang mereka untuk membuat kebaikan. Suara-suara dalaman itu akan membentuk diri dan keperibadian mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Kata-kata adalah suatu doa’.

5) DAHULUI DENGAN BIMBINGAN, SUSULI DENGAN BIMBINGAN

i) Adakah ibubapa menjadi model tingkah laku yang baik? Contohnya: Jika kita ingin menghukum anak kerana berbohong, cuba fikirkan kembali, pernahkah kita berbohong kepada anak dengan istilah ‘bohong sunat’ yang sering kita gunakan?

ii) Adakah di rumah sudah ada peraturan untuk membentuk disiplin anak? Peraturan membuatkan anak merasa selamat. Peraturan juga memberi isyarat bahawa ibubapa memberi perhatian dan peduli tentang keselamatan dan perkembangan anak. Tanpa rasa selamat itu, anak akan membentuk sempadan dan batasan sendiri untuk mereka meneroka keupayaan diri sendiri.

iii) Adakah kita meluangkan masa dan membimbing anak melalui kisah-kisah teladan yang boleh menyentuh naluri mereka? Kisah-kisah inilah yang akan mengajar mereka tentang erti kehidupan. Tanpa kisah-kisah untuk diteladani ini, dunia anak terpisah dari realiti. Anak yang terpisah dari realiti mempunyai sifat individualistik yang tinggi. Sifat ini menyebabkan anak tidak dapat berkelakuan dan berinteraksi dengan baik dengan individu lain di sekitar anak, termasuklah ibubapa sendiri.

iv) Adakah ibubapa memberi arahan dan peringatan dengan cara yang berkesan supaya anak mahu mendengar kata? Atau adakah arahan itu diberi sambil lewa dan tidak konsisten ibarat melepaskan batuk di tangga?

v) Adakah hukuman itu juga disusuli dengan bimbingan (follow through) yang konsisten? Atau adakah hukuman itu hanya mewujudkan rasa puas hati dalam diri ibubapa kerana telah berjaya ‘mendisiplinkan’ anak?

6) TIDAK MENGGUNAKAN ALLAH S.W.T DAN NERAKA UNTUK MENGUGUT ANAK

Ibubapa sepatutnya memainkan peranan untuk mendekatkan diri anak kepada Allah swt supaya anak ingin patuh kepada perintah Allah SWT dan berbuat kebaikan kerana Allah SWT.

Anak-anak kecil cepat merasa takut. Ketakutan tidak membantu anak untuk berkelakuan lebih baik malah anak akan menjauhkan diri dari faktor yang menakutkan anak. Berikanlah anak khabar gembira tentang betapa penyayang, pengasih dan pengampunnya Allah SWT. Apabila mereka berbuat walau sekecil-kecil kebaikan, yakinkanlah bahawa Allah SWT sayangkan mereka dan kasihkan mereka yang berbuat kebaikan. Ucapkanlah bahawa Allah SWT menjanjikan syurga buat mereka yang berbuat kebaikan. Janganlah ditunggu sehingga anak melakukan kesilapan untuk mengugut bahawa ‘Allah marah, nanti masuk neraka’ kepada anak. Kaedah ini bukan sahaja tidak mendidik tingkahlaku malah tidak mendidik anak untuk mengenal Allah SWT. Lebih parah lagi menjauhkan anak dari Allah SWT.

7) ‘CONNECTION’

Akhir sekali, hukuman yang mendidik adalah hukuman yang lebih merapatkan ibubapa dan anak dari segala aspek. Jika hukuman tersebut hanya menimbulkan kebencian dan mempengaruhi ‘connection’ dan komunikasi antara ibubapa dan anak, hukuman itu tidaklah mendidik. Hukuman itu memudaratkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)