Read Aloud dan Bimbingan Emosi

Semalam saya menulis tentang Read Aloud ataupun bacakan buku untuk anak-anak.

Read Aloud bukan sahaja memupuk minat anak untuk membaca dan berdiskusi, ‘read aloud’ juga adalah kaedah yang sangat berkesan untuk membentuk empati dalam diri anak-anak. Kaedah penceritaan dapat membantu anak untuk memahami perasaan dan permasalahan yang dialami oleh orang lain.

Peringkat pertama untuk menjadi seorang individu yang mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi adalah self awareness, iaitu faham emosi yang dialami oleh diri sendiri. Marah, sedih, gembira, kecewa, takut, terkejut dan sebagainya.

Apabila anak faham emosinya, anak juga akan terbuka untuk memahami emosi orang lain.

Emosi adalah untuk dikenalpasti dan bukannya ditidakkan.
Individu yang emosinya sering ditidakkan akan menjadi manusia yang tidak peduli dengan permasalahan orang lain, tidak ada perasaan apabila melihat dan melakukan kekejaman.

Itulah yang banyak kita lihat sekarang.

“Takkan itu pun nak sedih?”
“Alaa, releks la jangan frust sangat”
“Orang Rohingya tu lagi susah tau. Susah kau sikit saja”
“Lelaki mana boleh menangis. Lembik la kau”

Ini semua kaedah yang salah kerana menidakkan emosi.

Jika anda selalu ikuti penulisan saya di Parent Connect ini, saya sering menggalakkan agar pendidikan emosi itu diajar dari peringkat pra sekolah lagi.
Lakukannya melalui Read Aloud kerana ia akan lebih menarik perhatian anak-anak.

Insya Allah

Teacher Reading a Story to Her Students

 

50 Must-have Picture Books To Teach Social Emotional Skills

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Mendidik Anak – Jangan Berputus Asa

nevergiveup

Semua ibubapa ‘struggle’ mencari keseimbangan dalam mendidik. Jika Pelan A tidak berjaya cuba Pelan B. Jika Pelan B tidak berhasil cuba Pelan C.

Satu persamaan yang ada antara semua pelan adalah, Allah ada untuk memohon petunjuk dan pertolongan.

Jangan berputus asa.

Never give up.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Read Aloud

readaloud

THE classic book on Read Aloud by Jim Trelease.

(Ketika dibeli pada tahun 2003 dari second hand shop di Melbourne, buku ini sudah pun berusia 20 tahun (published in 1982). Saya sangat teruja menjumpainya kerana banyak perbincangan tentang read aloud ketika itu di Yahoogroup parenting. Setelah 12 tahun, helaian mukasurat sudah pun berwarna kuning. Walau bagaimanapun isi kandungannya tentang kepentingan membaca kepada anak-anak merentasi masa.)

 

 

 

READ ALOUD.

Anda pernah dengar?

Terlalu banyak kajian sejak 30 tahun yang lalu membuktikan bahawa satu-satunya aktiviti yang membantu anak untuk menjadi seorang individu yang suka membaca dan bukan hanya cepat dan pandai membaca adalah READING ALOUD ataupun bacakan buku kepada anak.

Ada sesetengah individu mempunyai persepsi bahawa anak-anak yang cepat membaca adalah anak yang dipaksa belajar membaca.

Oh itu tidak benar sama sekali. Jangan terlalu cepat berprasangka jika anda tidak kenal Read Aloud.

Tidak semua anak cepat membaca kerana dipaksa ‘belajar’ membaca oleh ibubapa.

Ramai anak kecil yang cepat membaca dan suka membaca kerana dari bayi lagi ayah dan ibu sering bacakan buku cerita untuk anak.

Sebagaimana kita dedahkan anak kepada muzik dan anak sukakan muzik, kita dedahkan anak kepada bola sepak dan anak sukakan bolasepak, kita dedahkan anak kepada aktiviti kemasyarakatan dan anak suka membantu, kita dedahkan anak kepada gajet dan anak suka gajet, read aloud juga begitu.

Amalan read-aloud ini mewujudkan minat untuk membaca tanpa dipaksa.
Apabila minat anak dipupuk, anak akan mempunyai motivasi intrinsik untuk cuba membaca dengan sendirinya tanpa dipaksa.

Amalan ini juga mengeratkan hubungan dan menggalakkan diskusi antara ibubapa dan anak, membantu skil mendengar dan bertutur dan juga membantu memperkayakan kosa kata anak.

Apabila ayah dan ibu ada matlamat, anak-anak juga menjadi orang yang bermatlamat. Insya Allah.

Pada era di mana gajet menjadi satu ketagihan bagi anak kecil, read aloud menyediakan aktiviti alternatif kepada anak. Adalah mustahil untuk kita menjauhkan anak dari gajet jika itu sajalah aktiviti yang disorongkan kepada anak pada waktu lapang. Bukan salah anak.

Bagi saya, jika ayah dan ibu tidak suka membaca, memaksa anak untuk membaca adalah satu bentuk penderaan.

Buku ini masih diterbitkan sehingga sekarang dan saya lihat ada dijual di Kinokuniya.

Saya juga diberitahu buku ini akan (atau sudah?) diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Jika anda menjumpainya, belilah. Saya tidak menjual.

Atau boleh cari di Google tentang teknik Read Aloud untuk panduan ringkas.

Jika anda ada pengalaman read aloud bersama anak, boleh berkongsi di sini. Terima kasih.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Bacalah!

 

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

One Size Does Not Fit All

Seorang anak murid saya yang berusia 5 tahun, sering kelihatan tidak bersemangat di sekolah, asyik lentokkan kepala di meja seakan mengantuk, bermain pun tidak fokus, dan pergerakan tidak ‘sharp’. Satu hari saya perasan dia ‘squint’ atau kecilkan mata apabila mencari kawan di taman permainan ketika waktu rehat. Maka terjawablah persoalan kenapa tingkahlaku dan pergerakannya sebegitu. Saya beritahu ibunya.

Setelah dia datang ke sekolah berkaca mata, dapat dilihat perubahan pada semangat, fokus dan ketajaman pergerakannya.

Saya selalu tulis, setiap tingkah laku ataupun salah laku anak ada sebabnya. Cari sebab tersebut untuk mencari solusi. One size does not fit all.
Keadaan fizikal boleh menjadi salah satu puncanya.

opth

Informasi dan panduan yang berguna di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Apakah Skil Keibubapaan Yang Penting

Menurut Dr. Cynthia Keator, pakar neurologi di The John and Jane Justin Neurosciences Center, 60% tenaga pada bulan pertama seorang bayi digunakan untuk menjana aktiviti neural otak.

brain

Kredit Imej: Google

Menurut beliau lagi, jika fizikal bayi tumbuh pada KADAR yang sama dengan pertumbuhan otak bayi, maka berat bayi akan mencecah 77 kg ketika bayi berusia satu bulan.

Begitulah betapa pesatnya pertumbuhan otak bayi.

Jika tiba-tiba anda rasa “cepatnya baby Abah dan Mama membesar”, ketahuilah pesat lagi pertumbuhan otaknya.

Apakah skil keibubapaan yang penting untuk membantu perkembangan otak bayi yang pesat ketika ini?

  1. bercakap dengan bayi
  2. bacakan buku untuk/bersama bayi (bukan ajar bayi baca)
  3. menyanyi
  4. membelai, respon

Tidak perlu alat mainan khas, video, youtube, tv ataupun gajet bagi tujuan ini terutamanya bagi yang bawah usia 2 tahun.

Rujuk juga:
Kaedah Mudah Menghubungkan Sel-sel Otak

(Sumber: Center for Brain Health, The University of Texas, 2015)

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak-anak Bersama Dengan Kita Cuma Selama 900 Minggu Sebelum Dia Mula Meninggalkan Rumah

leaving

Kredit Gambar: DailyExpress

Anak-anak bersama dengan kita cuma selama 900 minggu sebelum dia mula meninggalkan rumah.

Masa bersama itu semakin singkat jika anak ke sekolah berasrama.

Pastikan kita hadir 100% dalam hidup anak apabila anak bersama dengan kita selama 900 minggu itu dan bukannya ‘present but absent’ seperti yang saya tulis sebelum ini.

Hitunglah minggu-minggu yang tinggal.

Bagaimana hubungan dengan anak minggu ini?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

 

Ayah Mana Ayah?

Amerika Syarikat sudah lama melihat kebinasaan yang berpunca dari masalah ini.

Dalam ‘Fatherless America-Confronting Our Most Urgent Social Problem’ yang ditulis pada tahun 1996, David Blankenhorn menegaskan bahawa ‘trend’ yang paling membinasakan generasi muda Amerika Syarikat pada masa itu adalah ketiadaan seorang figura ayah dalam hidup mereka – ‘fatherless’. 
Ayah bercerai dengan ibu, ayah tinggal berasingan, ayah tidak ambil tahu, ayah tidak peduli, ayah tidak bertanggungjawab, ayah dalam penjara, atau ayah khayal dengan dadah, semua ini menyebabkan ‘father absence’ atau ‘father deficit’ yang merosakkan anak dan meruntuhkan masyarakat.

Martin Glynn, pakar kriminologi di UK yang melakukan kajian dan laporan ‘Dad and Me’ pada tahun 2012 membuktikan ‘trend’ yang sama berlaku di UK. Anak-anak yang ‘fatherless’ ini menunjukkan tingkahlaku anti-sosial, terlibat dengan penyalahgunaan dadah, dan kegiatan jenayah. Begitu juga lahirnya anak luar nikah atau tidak sah taraf yang mewujudkan ‘vicious cycle’ dalam masyarakat kiranya tidak diambil peduli.

Faktor ketiadaan ayah ini dilihat sebagai isu yang paling kritikal yang menyumbang kepada kerosakan akhlak anak muda berbanding faktor kemiskinan dan kelas sosial anak tersebut.

“Tetapi ada juga anak yang ibubapa bercerai, ayah tidak peduli tetapi jadi ‘orang’ juga.”

Selalunya anak begini mempunyai figura lelaki lain yang memainkan peranan sebagai seorang ayah yang meluangkan masa, membimbing, mendisiplin dan memberi sokongan moral dan emosi kepada anak-anak yang ‘fatherless’ seperti datuk, ayah saudara ataupun guru.
Ini jugalah faktor yang menyebabkan anak yatim juga ramai yang berjaya dan tidak bermasalah.

Oleh itu bila kita melihat remaja yang bermasalah, tidak semestinya kerana mereka tidak dimarahi, tidak dirotan atau tidak dihukum dengan berat oleh ayah atau ibu mereka seperti yang masyarakat umum harapkan. Kemungkinan besar, figura ayah sebagai pelindung, pembimbing dan pendisiplin itu sememangnya tidak ada dalam hidup mereka dan tidak peduli.

Sekarang ini muncul pula ‘trend’ ayah yang ‘present but absent’ iaitu ayah yang ada secara fizikal di samping anak tetapi terlampau sibuk dengan kerja, sibuk dengan hobi, sibuk dengan kawan-kawan, sibuk dengan gajet ataupun yang selalu ‘stress’ sehingga mengabaikan keperluan emosi anak-anak.

Jika ayah tidak ada, apa sangatlah yang kita harapkan daripada anak-anak yang akalnya belum cukup?

fatherless

Imej: Petikan dari buku ‘Fatherless America’

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Memberi Salam Kepada Anak-anak: Amalan Kecil Yang Mempunyai Impak Yang Besar Dalam Masyarakat

Hadith dan huraian di bawah saya ‘copy dan paste’ dari laman web JAKIM.

“Daripada Anas RA, satu ketika dia berjalan melalui kumpulan kanak-kanak lalu dia memberi salam kepada mereka dan dia berkata : “Bahawa Rasulullah SAW sentiasa lakukan seperti yang aku lakukan ini (iaitu memberi salam kepada kanak-kanak).”

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:
Sunat memberi salam kepada kanak-kanak untuk mengajar mereka kelebihan salam, mendidik mereka dan membaikkan hati mereka.
Kanak-kanak merupakan sebahagian anggota masyarakat yang perlu kepada didikan yang secukupnya untuk membantu mereka menjadi orang yang berguna kepada ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.

Sumber : “Kitab Riyadhus Salihin”


Memberi Salam: Amalan kecil yang mempunyai impak yang besar dalam masyarakat.

salam

Berapa ramai daripada kita yang memberi salam kepada anak-anak yang kita kenali dan tidak kita kenali apabila bertembung dengan mereka?
Atau adakah kita mengharapkan mereka yang memberi salam kepada kita kerana kita tua dan makan garam terlebih dahulu?

Kadang-kadang kita terlampau memerah otak memikirkan kaedah yang canggih untuk mendekati kanak-kanak dan remaja sehinggakan kita terlepas pandang kaedah mudah yang sedia ada untuk menyantuni mereka.

Kanak-kanak adalah sebahagian dari anggota masyarakat.
Bagaimana kita melayan dan menyantuni mereka menunjukkan setinggi atau serendah mana kita meletakkan nilai mereka dalam masyarakat.

Jika benar kita ingin mengubah masyarakat dan melahirkan golongan muda yang berkualiti, kita mulakan dengan amalan ini.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

‘MIND YOUR LANGUAGE’ – Anak Guna Perkataan Kesat

Di kalangan masyarakat Barat – terutamanya di Amerika Syarikat dan United Kingdom – hukuman yang ‘popular’ terhadap anak-anak yang menggunakan perkataan yang kesat atau tidak elok adalah dengan mencuci mulut mereka dengan sabun atau ‘washing out mouth with soap’.

mindlang

Kredit Imej: Google

Washing out mouth with soap’ bukannya idiom atau peribahasa Inggeris. Ia benar-benar dilakukan secara literal oleh sesetengah ibubapa di sana untuk mewujudkan pengalaman yang tidak menyenangkan bagi si anak dengan tujuan untuk mendisiplinkan anak.
Antara cara yang dilakukan adalah dengan meletakkan sabun mandi di atas lidah anak dan gerak-gerakkan sabun tersebut buat beberapa seketika untuk anak ‘merasa’ sabun tersebut.

Ada yang menggunakan pencuci pinggan sebagai ganti ubat gigi dan memberus gigi anak sebagai hukuman yang sama.

Ada juga yang menghukum anak dengan menyuruh anak berkumur dengan air sabun.

Amalan turun temurun ini yang boleh dikesan bermula dari abad ke 19, dilakukan kerana mereka menganggap mulut kanak-kanak yang menggunakan Bahasa kasar dan kesat adalah seumpama mulut tandas (potty mouth) maka seharusnya mulut-mulut ini dicuci.

Antara amalan lain adalah memaksa anak minum cuka (vinegar) kerana mengharapkan anak insaf apabila terkena rasa cuka yang masam itu. Walau bagaimanapun hukuman ini didapati tidak berkesan kerana bagi sesetengah anak lama-kelamaan terbit rasa suka terhadap rasa masam cuka dan tidak lagi berkesan sebagai hukuman.

Ada juga yang menghukum anak dengan memaksa anak minum beberapa sudu Tabasco Sauce, sejenis sos yang sangat pedas bagi masyarakat Barat dengan harapan rasa pedas dan pijar cili itu menginsafkan anak.

Dalam masyarakat Melayu pula, amalan cilikan mulut anak juga bertujuan untuk menginsafkan anak yang sering menggunakan perkataan yang tidak elok ataupun yang berbohong. Mungkin kerana cili adalah sayuran yang mudah didapati dan ditanam di laman rumah maka cili sesuai dijadikan ‘tool’ atau perkakasan untuk mendisiplinkan anak yang cepat, mudah dan murah.

Ada juga anak yang tidak terkesan atau ‘tidak hairan’ dengan pedas dan pijar cili kerana sudah lali. Ada juga anak yang sukakan rasa pedas seperti apa yang berlaku kepada kanak-kanak di Barat yang sukakan rasa masam cuka.

Mungkin masyarakat Cina, India, Iban, Kadazan dan bangsa atau etnik lain di Malaysia juga mempunyai amalan yang berbeza untuk mendisiplinkan anak yang suka menggunakan perkataan yang tidak elok.

Saya tidak akan mengulas tentang betul atau tidak amalan dan hukuman sebegini atau berkesan atau tidak untuk mengubah tingkah laku anak dan mendidik mereka untuk menggunakan perkataan yang elok-elok saja.
Seperti yang saya selalu tekankan dalam penulisan saya, setiap tingkah laku anak ada sebabnya.
Hanya apabila kita tahu sebabnya, kita boleh mencari kaedah yang berkesan untuk mendidik dan memperbetulkan tingkah laku anak.

KENAPA ANAK MENGGUNAKAN PERKATAAN YANG KESAT DAN KASAR?

Tentulah mengejutkan, mengecewakan dan mungkin menimbulkan kemarahan sekiranya anak kecil tiba-tiba menggunakan perkataan yang tidak pernah pun keluar dari mulut kita dan tidak menjadi amalan dalam rumah kita.

1. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN BAHASA

Menurut Paul Bloom, pakar psikologi dari University of Yale, adalah tidak mengejutkan sekiranya anak kecil menggunakan perkataan tidak elok kerana mereka dalam fasa ‘mimic’ atau meniru perkataan yang sering didengari di sekitar mereka terutamanya yang digunakan oleh orang terdekat seperti ayah, ibu, guru dan rakan-rakan. Meniru perkataan adalah sebahagian dari perkembangan bahasa dan komunikasi dan ia berlaku amat pesat terutamanya ketika usia awal kanak-kanak .
Apabila anak kecil belajar dengan meniru, mereka sebenarnya tidak faham pun apa yang ditiru. Mereka tidak faham apa maksud perkataan yang didengari dan ditiru itu. Mereka hanya mimik tanpa memahami. Oleh sebab itulah memarahi, cubit, rotan, cili anak atau ‘wash out mouth with soap’ ketika usia ini BELUM TENTU menjadi kaedah yang berkesan untuk memperbaiki tingkah laku anak.

2. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN EMOSI

Apa yang menarik perhatian kanak-kanak adalah ton atau nada apabila sesuatu perkataan kesat itu disebut. Bahasa kesat selalunya digunakan dengan ton yang menggambarkan perasaan marah, kecewa, dan mungkin juga gembira, lucu atau sindiran.

Contohnya perkataan ‘bodoh’ sering diucapkan orang dewasa ketika memarahi pemandu di jalan raya ketika sedang marah. Perkataan ‘bodoh’ juga boleh diucapkan sambil ketawa kerana merasa lucu dengan perbuatan seseorang.
Anak kecil mengaitkan perkataan dengan nada dan emosi ketika perkataan tersebut disebut kerana ketika usia ini emosi anak sedang berkembang.

Perkataan kesat sering diucapkan oleh anak-anak dan juga orang dewasa untuk memberi penekanan kepada emosi yang sedang dialami. Jika anak-anak tidak tahu perkataan alternatif, atau tidak diajar perkataan alternatif untuk diucapkan, mereka akan berterusan menggunakan perkataan kesat yang dipelajari tersebut sama ada dari orang sekeliling ataupun dari rancangan televisyen, video atau youtube yang ditonton.

Perkayakan kosa kata anak dengan mengajar anak perkataan yang elok dan sesuai digunakan ketika marah, ketika kecewa, ketika sedih dan juga ketika gembira

3. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN MEMBUAT KEPUTUSAN.

Disebabkan bahagian pre frontal cortex dalam otak yang membantu anak untuk berfikir secara rasional dan membuat keputusan masih terlalu ‘mentah’, mereka juga tidak tahu sama ada sesuatu perkataan itu elok ataupun tidak untuk diucapkan. Anak hanya mimic. Mereka belum berupaya untuk berfikir.

Inilah sebabnya sebagai ibubapa yang sudah dewasa, tentunya, kita perlu ‘meminjamkan’ kebijaksanaan kita dengan membimbing anak dengan nilai dan perkataan yang elok untuk ditiru oleh anak. Jikalau kita tidak bijak dengan perkataan walaupun otak sudah tua usianya, apa yang boleh kita harapkan daripada anak?

4. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN SOSIAL.

Anak-anak terutamanya yang sudah bersekolah dan remaja sangat mudah dipengaruhi oleh rakan–rakan. Ada di antara mereka menggunakan perkataan kesat supaya diterima sebagai sebahagian dari satu perkumpulan sosial sama ada di sekolah, di kawasan perumahan atau juga di grup ‘chat’ seperti whatsapp, wechat, telegram, dan seumpamanya.

Ada juga yang cuba menarik perhatian seseorang atau sesuatu kumpulan dengan menggunakan perkataan kesat yang dirasakan lucu untuk menambah perisa dalam perbualan.

Pantaulah dengan siapa anak berkawan dan dengan siapa anak cuba hendak berkawan kerana ia akan mempengaruhi perkataan-perkataan yang diucapkan oleh anak-anak.

Pantau juga siapa yang menjadi role model atau ikutan anak-anak. Ada anak yang mengagumi dan menjadikan selebriti tv atau youtube sebagai idola. Adakah perkataan yang digunakan oleh selebriti-selebriti tersebut menepati nilai yang cuba anda pupuk dalam keluarga anda?

Sebagai ibubapa kita perlu juga ambil tahu apakah ‘trend’ atau ‘pop culture’ pada zaman anak-anak kita membesar kerana ia akan mempengaruhi anak-anak kita.

Jangan hanya marah anak apabila dia menggunakan perkataan negatif, jangan hanya mencari yang negatif sahaja untuk dihukum.

Carilah juga momen-momen apabila dia menggunakan perkataan yang elok atau momen di mana dia cuba untuk mengubah tingkah lakunya walaupun tidak selalu.
Sebut momen tersebut dan puji usahanya supaya dia tahu yang dia juga berupaya untuk menjadi baik dan supaya dia tahu yang usahanya dilihat dan dihargai.

Ini akan menjimatkan stok cili dan sabun anda.

Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)