Amerika Syarikat sudah lama melihat kebinasaan yang berpunca dari masalah ini.
Dalam ‘Fatherless America-Confronting Our Most Urgent Social Problem’ yang ditulis pada tahun 1996, David Blankenhorn menegaskan bahawa ‘trend’ yang paling membinasakan generasi muda Amerika Syarikat pada masa itu adalah ketiadaan seorang figura ayah dalam hidup mereka – ‘fatherless’.
Ayah bercerai dengan ibu, ayah tinggal berasingan, ayah tidak ambil tahu, ayah tidak peduli, ayah tidak bertanggungjawab, ayah dalam penjara, atau ayah khayal dengan dadah, semua ini menyebabkan ‘father absence’ atau ‘father deficit’ yang merosakkan anak dan meruntuhkan masyarakat.
Martin Glynn, pakar kriminologi di UK yang melakukan kajian dan laporan ‘Dad and Me’ pada tahun 2012 membuktikan ‘trend’ yang sama berlaku di UK. Anak-anak yang ‘fatherless’ ini menunjukkan tingkahlaku anti-sosial, terlibat dengan penyalahgunaan dadah, dan kegiatan jenayah. Begitu juga lahirnya anak luar nikah atau tidak sah taraf yang mewujudkan ‘vicious cycle’ dalam masyarakat kiranya tidak diambil peduli.
Faktor ketiadaan ayah ini dilihat sebagai isu yang paling kritikal yang menyumbang kepada kerosakan akhlak anak muda berbanding faktor kemiskinan dan kelas sosial anak tersebut.
“Tetapi ada juga anak yang ibubapa bercerai, ayah tidak peduli tetapi jadi ‘orang’ juga.”
Selalunya anak begini mempunyai figura lelaki lain yang memainkan peranan sebagai seorang ayah yang meluangkan masa, membimbing, mendisiplin dan memberi sokongan moral dan emosi kepada anak-anak yang ‘fatherless’ seperti datuk, ayah saudara ataupun guru.
Ini jugalah faktor yang menyebabkan anak yatim juga ramai yang berjaya dan tidak bermasalah.
Oleh itu bila kita melihat remaja yang bermasalah, tidak semestinya kerana mereka tidak dimarahi, tidak dirotan atau tidak dihukum dengan berat oleh ayah atau ibu mereka seperti yang masyarakat umum harapkan. Kemungkinan besar, figura ayah sebagai pelindung, pembimbing dan pendisiplin itu sememangnya tidak ada dalam hidup mereka dan tidak peduli.
Sekarang ini muncul pula ‘trend’ ayah yang ‘present but absent’ iaitu ayah yang ada secara fizikal di samping anak tetapi terlampau sibuk dengan kerja, sibuk dengan hobi, sibuk dengan kawan-kawan, sibuk dengan gajet ataupun yang selalu ‘stress’ sehingga mengabaikan keperluan emosi anak-anak.
Jika ayah tidak ada, apa sangatlah yang kita harapkan daripada anak-anak yang akalnya belum cukup?
Imej: Petikan dari buku ‘Fatherless America’
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)