Apabila Kita Memilih Untuk Berkahwin

kahwin

Kredit Imej: BHarian

Apabila kita memilih untuk berkahwin, kita perlu tetapkan minda dari awal yang kita akan mempunyai anak atau anak-anak.

Insya Allah.

Mungkin rezeki kita akan mempunyai anak kurang dari setahun selepas bernikah. ‘Honeymoon’ berdua pun mungkin tidak sempat, sudah muncul ‘orang ketiga’ iaitu anak.
Oleh itu persediaan untuk menjadi suami dan isteri seharusnya juga disertai dengan persediaan untuk belajar menjadi ayah dan ibu yang bertanggungjawab ke atas anak-anak kelak.

Menjadi ibubapa tidak perlu belajar.
Menjadi ibubapa yang bertanggungjawab perlukan keazaman dan pendidikan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Mendidik Anak – Jangan Berputus Asa

nevergiveup

Semua ibubapa ‘struggle’ mencari keseimbangan dalam mendidik. Jika Pelan A tidak berjaya cuba Pelan B. Jika Pelan B tidak berhasil cuba Pelan C.

Satu persamaan yang ada antara semua pelan adalah, Allah ada untuk memohon petunjuk dan pertolongan.

Jangan berputus asa.

Never give up.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Tolong (Please). Terima Kasih (Thank You). Minta Maaf (Sorry).

tolongterimakasih

Mesej ini adalah kiriman seorang anak muda kepada saya. Beliau mengizinkan untuk saya kongsi di sini.

Kadang-kadang kita terlalu memikirkan benda-benda besar ataupun belanja besar untuk membina ‘connection’ dalam keluarga. Adakalanya kita terlupa akan benda kecil yang kita rasa tidak penting tetapi sebenarnya memberi impak yang besar.

Budaya mengucapkan ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ dan ‘minta maaf’ ini bukanlah hanya silibus yang diajar kepada anak-anak kecil semasa tadika atau sekolah rendah. Ibubapa, guru-guru dan orang dewasa juga perlu sentiasa mengamalkannya.
Ucapkanlah ‘please’, ‘thank you’ dan ‘sorry’ kepada anak-anak juga kerana mereka juga manusia yang layak menerima ucapan tersebut.

Hormat adalah proses dua hala.

Tak susah pun. Tak perlu belanja yang besar cuma hati perlu besar. Insya Allah.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Trainers Menakutkan Murid Sekolah Rendah Dengan Ular Untuk Mantapkan Jati Diri?

 

Jati diri menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka adalah

“sifat atau ciri yg unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya, identiti: pembinaan negara Malaysia lebih berteraskan kekuatan ~ bangsa dan se­mangat patriotik yang utuh; pengisian program kebudayaan ini penting bagi mem­bentuk sahsiah dan ~ belia masa ini.”

(http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=jati+diri)

Aktiviti untuk memantapkan jati diri tidak seharusnya disalah ertikan dengan aktiviti untuk memantapkan ketahanan fizikal.

Malang sekali kiranya memantapkan jati diri sering dikaitkan dengan aktiviti lasak dan menakutkan ala ‘military boot camp’.

Benarkah semakin ‘ganas’ dan ‘keras’ kaedah yang digunakan oleh trainer, semakin mantap jati diri anak-anak ini?

Atau adakah kaedah ‘ganas’ dan ‘keras’ hanya memberi isyarat kepada anak-anak yang masih mentah ini bahawa ganas dan keras (atau buli) sepatutnya menjadi lambang keperibadian dan identiti kita?

Pemantapan jati diri adalah berkaitan dengan

1) emosi individu yang stabil dan terbimbing
2) ‘strength’ (kelebihan dan kekuatan) individu yang dikenal pasti.

Sebarang aktiviti, termasuklah aktiviti fizikal, hendaklah mengambil kira kedua-dua elemen penting tersebut.

Trauma yang dihasilkan oleh emosi yang tertekan tidak memantapkan jati diri.
Trauma hanya melemahkan dalaman diri dan mengaktifkan ‘flight, fight or freeze’ iaitu tindakbalas asas yang tidak merangsang pemikiran.

Adakah kita mahu menjadikan ‘tidak berfikir’ sebagai identiti kita?

CHILDREN ARE NOT MINIATURE ADULTS

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Eh! Anak Ini Gelap Sikit Kan?

Anak Ini Gelap.

Kredit Imej: Google

Amat membimbangkan bila saya menyedari ada anak-anak kecil usia sekolah rendah mengaitkan kecantikan dengan kulit cerah. Ada yang merasakan diri sendiri tidak cantik dan terasing kerana berkulit gelap.

Kanak-kanak secara nalurinya tidak nampak perbezaan warna kulit, baik dari segi kecantikan mahupun dari segi bangsa melainkan jika orang dewasa di sekeliling kerap ‘highlight‘ tentang itu.

The Children’s Body Image Development Study, iaitu kajian longitudinal oleh La Trobe University Australia mendapati bahawa kanak-kanak mula ‘conscious’ dengan imej diri dari usia 4 tahun lagi. Persekitaran banyak mempengaruhi persepsi kanak-kanak.

Lambakan produk pemutihan kulit yang diiklankan dengan agresif bersama tagline yang bertujuan untuk menarik perhatian di media elektronik dan cetak menyampaikan mesej yang tidak sihat kepada kanak-kanak. Tujuan iklan adalah untuk membuatkan kita merasa diri kekurangan supaya kita membeli produk walaupun tiada keperluan.

Orang dewasa juga ada yang tidak sensitif membanding-bandingkan kulit cerah gelap antara anak-anak sendiri atau anak-anak saudara atau anak-anak rakan atau anak-anak jiran atau anak-anak selebriti di hadapan kanak-kanak. Ini menyebabkan runtuhnya keyakinan diri anak-anak kecil yang berkulit gelap (mengikut piawaian kita yang membanding).

“Putih gebu sungguh baby ni…comelnya.”

“Yang si adik gelap dari si kakak kan?.”

“Macam terbakar saja kulit baby ini…hehe”

“Kenapa abang hitam? Adik putih.”

“Anak artis tu comel sungguh, putih merah kulitnya macam mat saleh.”

“Dah tengok anak si fulan? Ya Allah putihnya. Comel!”

“Gelap sikit kan kulit anak kau yang ini.”

“Your daughter so fair one…so pretty.”

“This one the skin is a bit dark right?”

Dengan perkembangan teknologi sekarang ini, muncul pula trend menapis atau ‘filter’ gambar anak yang dimuatnaik ke media sosial agar kelihatan lebih putih, cerah dan gebu. Semoga kita lebih bersyukur dengan kurniaan Allah kepada kita kerana ia semestinya sebaik-baik kejadian.

Terdapat produk yang mensasarkan ibu mengandung yang inginkan anak yang berkulit putih. Ada juga produk untuk dimakan oleh bayi supaya bayi menjadi lebih cerah dan putih. Produk ini juga menggunakan selebriti terkenal bagi tujuan promosi. Alangkah jengkelnya pemikiran.

Berhati-hatilah dengan trend dan budaya yang cuba kita bina dalam masyarakat. Tekanan sudah terlalu banyak terhadap kanak-kanak terutamanya dari segi akademik. Usahlah ditambah lagi dengan tekanan fizikal dan rupa paras yang mengganggu emosi dan meruntuhkan keyakinan diri mereka dari kecil lagi. Jangan biarkan ‘pressure’ di kalangan orang dewasa menjadi gelanggang perbandingan antara kanak-kanak pula.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Bezakah Amukan Anak Dan Amukan Kita?

Pernah atau tidak, anda mempunyai masalah, stres, terlampau marah dan kecewa sehinggakan terasa hendak meraung dan menjerit?

amukan

Kredit Imej: Google

Pernah atau tidak, anda terlampau marah tidak dapat dibendung dan jika diikut hati mahu saja anda menghentak atau menumbuk apa yang ada di hadapan anda?

Pernah atau tidak, anda terlampau tertekan, anda cuba bertenang, mengambil wuduk, solat dan berdoa supaya diberikan ketenangan dan kewarasan dalam menguruskan tekanan itu?

Ataupun anda terlampau kecewa, perlu bersendirian dan mengasingkan diri, lelapkan mata seketika. Hanya setelah tenang anda berupaya untuk fikir dengan rasional?

Kita ada emosi, perasaan dan keperluan.

Kadangkala apabila terpalit dengan masalah, emosi kita akan tercuit dan kita menunjukkan reaksi.

Bagaimana pula dengan anak? Adakah mereka berbeza dari orang dewasa?

Pernah atau tidak, anak kecil anda mengalami ‘tantrum’ mengamuk, menjerit dan anda turut sama menjerit, atau cubit atau pukul dia dengan harapan dia berhenti mengamuk?

Ataupun anda jauhkan dia daripada anda dengan harapan dia diam dan insaf?

Sedangkan anak yang mengamuk adalah anak yang mempunyai masalah, seperti juga orang dewasa.

Anak hendak menceritakan dan meluahkan masalah yang dihadapi kepada kita, cumanya dia tidak tahu bagaimana. Dia belum tahu cara untuk bertenang seperti kita. Mengamuk adalah satu-satunya cara yang dia tahu apabila diselubungi dengan BIG EMOTIONS. Kita marah bila dia ada masalah, kita tidak cuba fahami apakah yang dihadapinya.

Dia mungkin diam kerana sakit dipukul dan sakit dicubit ataupun mungkin diam kerana letih meraung. Masalah dan punca yang menyebabkan dia mengamuk tetap tidak selesai. Dia tetap kanak-kanak yang belum pandai mengurus emosi kerana tidak dibimbing.

Dan dia akan mengamuk lagi.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

ADAKAH ANAK-ANAK PEDULI? 5 Cara Memupuk Sifat Peduli Dan Empati

pclogo

Gempa bumi berskala Richter 7.8 melanda Nepal semalam. Setakat artikel ini ditulis 5000 nyawa dikhuatiri terkorban, 50000 lagi cedera dan lebih 1 juta kanak-kanak memerlukan bantuan (sumber: UNICEF). Keadaan di Syria juga semakin genting, berjuta-juta rakyat Syria menjadi pelarian. Rakyat Palestin pula terus ‘terpenjara’ dan dibunuh di negara sendiri dan berjuta-juta menjadi pelarian. Bangsa Rohingya terus dinafikan kerakyatan di negara sendiri dan ditekan dan dibunuh tanpa belas kasihan. Masih ramai rakyat Kelantan yang tinggal di dalam khemah kerana kehilangan tempat tinggal akibat bencana banjir beberapa bulan yang lalu. Mereka masih memerlukan bantuan.

Sejauh manakah kita dan anak-anak kita, biar yang kecil ataupun yang remaja, PEDULI tentang mereka yang tidak bernasib baik?

Kajian yang dilakukan oleh University of Missouri pada tahun 2011 mendapati bahawa remaja yang terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan lebih mudah terhindar dari gejala-gejala negatif. Walau bagaimanapun, menurut kajian yang diterbitkan oleh Journal of Personality and Social Psychology pula, generasi milenial (yang lahir pada tahun 80an ke atas) kurang berminat untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti amal dan kemasyarakatan kerana fokus hidup mereka sekarang lebih tertumpu kepada pencarian material dan populariti.

Anak-anak yang PEDULI sangat berbeza dan mereka biasanya mempunyai kualiti berikut:

  1. menghormati orang lain tanpa membezakan harta kekayaan, pangkat, bangsa dan agama
  2. sentiasa ingin membantu sesiapa jua yang di dalam kesusahan
  3. sentiasa berfikiran positif dan mensyukuri nikmat yang ada
  4. sensitif terhadap perasaan orang lain
  5. berfikiran terbuka dan cuba memahami perspektif orang lain
  6. daya kepimpinan yang terpupuk sejak kecil
  7. kreatif dan inovatif kerana sentiasa memikirkan bagaimana untuk membantu mereka yang kesusahan.

Bagaimanakah caranya melahirkan sifat PEDULI dan EMPATI dalam diri anak-anak dari kecil?

1) PEDULI Melalui Gaya Hidup Sekeluarga

Mulakan dengan peduli tentang alam sekitar seperti menjaga kebersihan, tidak merosakkan kemudahan awam, kitar semula, jimat elektrik dan air. Galakkan mesra haiwan dan tidak menganiaya sebarang hidupan (selagi tidak membahayakan kita). Galakkan mesra tumbuh-tumbuhan, contohnya tidak mencabut pokok, kelopak-kelopak bunga atau daun-daunan tanpa sebab.

Jadikan sifat PEDULI sebagai salah satu kayu ukur (milestone) perkembangan sosial anak-anak yang penting. Sebagaimana berkongsi atau ‘sharing’ dijadikan kayu ukur sosial, begitu juga peduli dan empati.

2. PEDULI Melalui Pembacaan Dan Penceritaan

Bahan bacaan adalah sumber yang paling berkesan dalam membentuk perkembangan karakter. Penggunaan buku cerita yang sesuai dapat merangsang emosi dan mewujudkan sifat peduli dalam diri kanak-kanak. Lebih baik sekiranya ibubapa bercerita kepada anak-anak (yang kecil terutamanya) kerana impaknya lebih besar berbanding anak-anak membaca sendiri buku tersebut. Tingkah laku positif watak-watak tertentu di dalam cerita, terutamanya yang menjadi hero/heroin anak-anak, boleh dijadikan idola mereka. Pilihlah cerita yang bertemakan kasih sayang, kemanusiaan dan kemasyarakatan yang jelas dan mudah difahami oleh anak-anak. Plot yang menarik juga perlu diambil kira supaya anak-anak boleh ‘relate’. Bincang dan tanyakan pendapat anak-anak tentang tema kemasyarakatan tersebut dan galakkan anak-anak berkongsi pendapat dan perasaan mereka.

Tonton dokumentari televisyen yang memaparkan kesusahan dan pahit getir yang dilalui oleh orang lain supaya lebih terkesan.

(Tidak perlulah menunjukkan kepada anak-anak gambar kanak-kanak yang berlumuran darah akibat kekejaman atau peperangan seperti yang selalu terpampang di media sosial. Ini hanya akan mewujudkan sindrom ‘Schadenfreude’ iaitu ketagihan melihat gambar-gambar sedemikian tanpa mewujudkan sebarang rasa peduli dan simpati).

Jika anak kecil merasa sedih dan menangis kerana membaca atau menonton cerita tentang kesusahan orang lain, janganlah diejek atau diketawakan. Cakaplah “Sedihkan?” “Kesiankan?”. Tanyalah “Bagaimana kita boleh membantu mereka yang dalam situasi demikian?”.

3. PEDULI Melalui Teladan Ibubapa.

Ibu bapa adalah teladan terbaik untuk anak-anak. Kita adalah guru pertama dan utama mereka. Mulakan sifat peduli dalam diri kita untuk dicontohi oleh anak-anak. Apa saja yang menjadi prioriti hidup kita akan menjadi acuan bagi anak-anak. Bila kita menunjukkan sifat peduli contohnya terhadap mereka yang ditimpa bencana, ditindas, fakir miskin dan anak yatim lebih-lebih lagi tanpa mengira bangsa dan agama, itu akan mewujudkan peduli dan empati dalam diri anak-anak.

Bila kita menunjukkan sifat peduli, anak-anak juga akan turut sama peduli tentang mereka dan ingin membantu.

4. PEDULI Melalui Nilai Material.

Didiklah anak-anak akan nilai wang walaupun kewangan bukanlah masalah dalam keluarga kita. Ajari anak-anak tentang perbezaan barang-barang keperluan (needs) dan kemahuan (wants) supaya mereka tahu prioriti material. Galakkan anak-anak untuk menabung kiranya ada barang kemahuan (wants) yang ingin mereka miliki. Contohnya dengan menggunakan duit poket atau duit Raya walaupun kita mampu menyediakan barang tersebut untuk mereka. Ajari anak-anak menabung dan berjimat-cermat supaya mereka faham bagaimana rasanya menahan diri dari berbelanja dan boros. Ajari anak-anak supaya tidak membazir makanan supaya mereka faham keadaan mereka yang kebuluran. Galakkan anak-anak menabung, bersedekah dan menyumbang kepada aktiviti kebajikan.

5. PEDULI Melalui Pengalaman.

Kajian menunjukkan bahawa sifat peduli itu lahir secara berperingkat. Ia terbentuk melalui pengalaman yang dilalui seorang individu bersama individu lain yang berada di dalam kesusahan. Pengalaman adalah guru yang terbaik untuk sesiapa sahaja, terutamanya kanak-kanak. Pembacaan, penceritaan dan pendedahan akan lebih bermakna jika mereka berpeluang turun padang menyaksikan sendiri kesusahan orang lain.

Sekali sekala bawalah anak-anak keluar dari kelompok kita dan merasai realiti di luar kelompok. Bawa anak-anak bersama meredah kampung dan pedalaman bagi tujuan memberi bantuan dan sumbangan, walaupun anak itu masih kecil. Jadikan ia aktiviti keluarga. Sentiasa galakkan anak-anak terlibat dengan aktiviti kebajikan melalui sekolah, pertubuhan, persatuan ataupun inisiatif sendiri bersama kawan-kawan.
Untuk kanak-kanak menjadi individu yang PEDULI, mereka memerlukan perhatian, galakan dan penglibatan orang-orang dewasa yang penting dalam hidup mereka terutamanya ibu bapa dan juga guru. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakat perlu bermula dari peringkat pra sekolah lagi. Sifat PEDULI tidak wujud dengan sendirinya. Apabila anak-anak menunjukkan sifat peduli dan empati, nyatakan (point out), pujilah dan hargailah supaya mereka tahu mereka sebenarnya berupaya untuk PEDULI.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/