Coretan saya…
Jika anda perasan, saya selalu menggunakan kata ganti diri ‘KITA’ dan bukan ‘ANDA’ dalam penulisan saya. Ini kerana saya lebih suka mengambil pendekatan ‘berkongsi’ berbanding ‘menyuruh’ atau ‘menuduh’ dalam penulisan saya.
Contohnya dalam hantaran sebelum ini saya menulis “adakah kita sebagai ibubapa bersedia untuk tidak menggunakan telefon apabila kita meluangkan masa bersama-sama anak?”
Saya juga seorang ibu, apa yang saya tulis adalah dari pengalaman saya selama 21 tahun sebagai seorang ibu, dari pengalaman saya sebagai seorang guru, dari pembelajaran formal saya dalam bidang pendidikan, psikologi dan juga keibubapaan dan juga dari pembacaan beratus-ratus buku yang ada dalam simpanan saya. Saya juga menyampaikan pengalaman suami saya sebagai seorang ayah.
Apabila bercakap tentang 21 tahun pengalaman, saya juga banyak melakukan kesilapan dalam mendidik anak-anak saya. Ada di antara perkongsian saya adalah pembetulan dari kesilapan yang pernah saya lakukan. Ada dari penulisan saya adalah saranan kepada apa yang tidak saya lakukan kerana saya tidak/belum tahu dahulunya. Jadi apabila saya menggunakan kata ganti diri KITA, ia juga satu rujukan untuk diri saya sendiri.
Saya sudah melepasi peringkat membesarkan anak usia awal, dan usia sekolah rendah. Namun saya masih belajar menjadi ibu kepada anak remaja dan anak dewasa. Keibubapaan adalah satu perjalanan yang panjang. Saya sendiri tidak berani mendabik dada mengatakan teknik keibubapaan saya adalah yang terbaik dan teknik orang lain adalah salah. Saya lebih suka berkongsi kajian-kajian yang dibuat oleh pakar-pakar untuk dimanfaatkan oleh semua yang mengikuti penulisan saya. Bagi saya itu lebih baik.
Saya banyak mendengar sendiri dan membaca mesej yang dihantar kepada saya tentang cabaran dan masalah yang dihadapi oleh ramai ibubapa baik dari segi keibubapaan ataupun isu rumahtangga. Saya banyak belajar dari pengalaman anda juga. Setiap seorang daripada kita mempunyai cabaran kita yang tersendiri. Kita sama-sama ‘struggle’ dan berusaha menjadi yang terbaik sebagai individu, anak, suami, isteri, ayah, ibu, datuk dan nenek.
Terima kasih kerana berkongsi dengan saya walaupun banyak lagi yang belum sempat saya balas.
Kepada yang baru mengikuti Parent Connect, salam perkenalan daripada saya.
Kepada rakan Parent Connect yang telah bersama saya selama ini, terima kasih atas sokongan anda dan ketekunan anda membaca penulisan-penulisan saya.
Terima kasih juga kepada yang menghadiri program saya – dan berkali-kali menghadiri – dan yang menjemput saya ke program anjuran anda.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect