Apabila Anak Tidak Mengikut Peraturan…

rules

Apabila anak tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, itu bukanlah bermakna peraturan itu tidak berjaya. Itu bermakna anak sedang menguji sama ada peraturan itu boleh diubah ataupun dihapuskan.

Anak sedang menguji sama ada kita sebagai ibubapa tetap dengan pendirian ataupun kita mudah goyah dengan prinsip kita sendiri.

Jika ini berlaku, ia bukanlah masalah anak, ia sebenarnya adalah masalah dengan diri kita.

Set the boundary and be consistent.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

4 Cara Anak-anak Terpengaruh Dengan Kita Tanpa Kita Sedar

influence

Sebagai ibubapa, kita mempengaruhi pemikiran dan tingkahlaku anak-anak kita melalui 4 cara tanpa kita sedar:

1) TELADAN YANG KITA TUNJUKKAN.

  • Apakah amalan seharian kita?
  • Bagaimanakah ibadah kita?
  • Apakah pekerjaan kita? 
  • Bagaimana karakter kita?
  • Bagaimana kita menangani konflik?
  • Bagimana layanan kita terhadap orang sekeliling?

2) LAYANAN KITA TERHADAP ANAK-ANAK.

  • Adakah kita terlampau bengis?
  • Adakah kita terlampau permisif?
  • Adakah kita tetapkan batasan dan peraturan?
  • Bolehkah kita bergurau dengan anak-anak?
  • Adakah kita melayan minat anak?
  • Adakah kita luangkan masa bersama anak?
  • Adakah kita menjadi rujukan anak bila perlu?

3) STRUKTUR YANG KITA TETAPKAN.

  • Apakah nilai yang kita pegang?
  • Apakah pendirian kita tentang sesuatu isu?
  • Adakah kita seorang yang berpegang pada prinsip?
  • Sejauh mana kita boleh menerima perbezaan?
  • Bagaimanakah tahap toleransi kita?

4) PENDIDIKAN YANG KITA BERIKAN.

  • Apakah ilmu yang kita kongsikan dengan anak?
  • Apakah amalan yang digalakkan dalam keluarga?
  • Apakah arahan yang kita berikan kepada anak?
  • Adakah kita bertukar-tukar pendapat dengan anak?
  • Adakah kita menyelesaikan masalah bersama anak?

Walaupun sampai bila-bila ibubapa bertanggungjawab terhadap anak-anak, akan sampai satu tahap di mana kita tidak punya sepenuh kuasa untuk mempengaruhi anak-anak lagi terutamanya apabila mereka mula meningkat usia.

Anak akan mula dipengaruhi oleh rakan, guru, jiran, media cetak, media elektronik, media sosial, bahan bacaan, youtube, lagu, drama, filem dan pelbagai lagi pengaruh di persekitaran. Apabila tiba tahap ini, pastikan pengaruh kita masih releven dalam kehidupan anak walaupun tidak lagi 100% supaya mereka masih boleh dipandu dan dibimbing apabila melakukan kesilapan.

Sebagai manusia, mereka akan berbuat silap walaupun kita sudah memberikan sebaik mungkin sebagai asas.

Nobody is perfect

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Coretan Saya

Coretan saya…pclogo

Jika anda perasan, saya selalu menggunakan kata ganti diri ‘KITA’ dan bukan ‘ANDA’ dalam penulisan saya. Ini kerana saya lebih suka mengambil pendekatan ‘berkongsi’ berbanding ‘menyuruh’ atau ‘menuduh’ dalam penulisan saya.

Contohnya dalam hantaran sebelum ini saya menulis “adakah kita sebagai ibubapa bersedia untuk tidak menggunakan telefon apabila kita meluangkan masa bersama-sama anak?”

Saya juga seorang ibu, apa yang saya tulis adalah dari pengalaman saya selama 21 tahun sebagai seorang ibu, dari pengalaman saya sebagai seorang guru, dari pembelajaran formal saya dalam bidang pendidikan, psikologi dan juga keibubapaan dan juga dari pembacaan beratus-ratus buku yang ada dalam simpanan saya. Saya juga menyampaikan pengalaman suami saya sebagai seorang ayah.

Apabila bercakap tentang 21 tahun pengalaman, saya juga banyak melakukan kesilapan dalam mendidik anak-anak saya. Ada di antara perkongsian saya adalah pembetulan dari kesilapan yang pernah saya lakukan. Ada dari penulisan saya adalah saranan kepada apa yang tidak saya lakukan kerana saya tidak/belum tahu dahulunya. Jadi apabila saya menggunakan kata ganti diri KITA, ia juga satu rujukan untuk diri saya sendiri.

Saya sudah melepasi peringkat membesarkan anak usia awal, dan usia sekolah rendah. Namun saya masih belajar menjadi ibu kepada anak remaja dan anak dewasa. Keibubapaan adalah satu perjalanan yang panjang. Saya sendiri tidak berani mendabik dada mengatakan teknik keibubapaan saya adalah yang terbaik dan teknik orang lain adalah salah. Saya lebih suka berkongsi kajian-kajian yang dibuat oleh pakar-pakar untuk dimanfaatkan oleh semua yang mengikuti penulisan saya. Bagi saya itu lebih baik.

Saya banyak mendengar sendiri dan membaca mesej yang dihantar kepada saya tentang cabaran dan masalah yang dihadapi oleh ramai ibubapa baik dari segi keibubapaan ataupun isu rumahtangga. Saya banyak belajar dari pengalaman anda juga. Setiap seorang daripada kita mempunyai cabaran kita yang tersendiri. Kita sama-sama ‘struggle’ dan berusaha menjadi yang terbaik sebagai individu, anak, suami, isteri, ayah, ibu, datuk dan nenek.

Terima kasih kerana berkongsi dengan saya walaupun banyak lagi yang belum sempat saya balas.

Kepada yang baru mengikuti Parent Connect, salam perkenalan daripada saya.
Kepada rakan Parent Connect yang telah bersama saya selama ini, terima kasih atas sokongan anda dan ketekunan anda membaca penulisan-penulisan saya.

Terima kasih juga kepada yang menghadiri program saya – dan berkali-kali menghadiri – dan yang menjemput saya ke program anjuran anda.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ketagihan Gajet Bukan Hanya Oleh Anak-anak

gagetstar

Kredit Imej: The Star

Ibubapa sekarang banyak meluangkan masa bersama anak-anak, ini patut dipuji.
Walau bagaimanapun menurut kajian, kita mengamalkan model keibubapaan yang paling buruk dalam sejarah peradaban manusia, iaitu ‘Distracted Parenting’ atau Keibubapaan Yang Terganggu.

Kenapa?

Kerana masa yang kita luangkan bersama-sama anak terlalu banyak diganggu oleh ‘Cinta Tiga Segi’ antara kita dan anak iaitu telefon pintar.

Kita hanya hadir secara fizikal tetapi kita tidak ‘connect’ secara emosi dengan anak.

Asas perkembangan dan pembelajaran anak adalah melalui proses yang dikenali sebagai ‘serve and return’. Saya pernah menulis, rujuk di pautan ini :
Kaedah Mudah Menghubungkan Sel-sel Otak

Proses ini melibatkan komunikasi yang responsif antara ibubapa dan anak. Kehadiran ‘smartphone’ telah mengurangkan proses ‘serve and return’ ini walaupun kita meluangkan masa dengan anak. Kita menjadi tidak responsif dan kaku. Mereka yang pernah menghadiri sesi saya tentu ingat “Still-Face.”

Kita mengharapkan sistem pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak kita. Kita mengharapkan agar anak tidak terbeban dengan subjek yang susah, anak tidak terbeban dengan buku teks yang terlampau berat, anak tidak terbeban dengan peperiksaan dan anak tidak terbeban dengan jadual persekolahan yang padat.

Tetapi adakah kita sebagai ibubapa bersedia untuk tidak menggunakan telefon apabila kita meluangkan masa bersama-sama anak?

Adakah kita tidak kisah membebankan emosi anak?Ataupun kita masih ingin berterusan dengan model

‘Distracted Parenting’ ataupun ‘Present but absent parenting’?

Artikel penuh ‘The Star’.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

‘Parenting’ Tidak Memerlukan Belanja Besar

‘Parenting’ tidak memerlukan belanja yang besar.

Tidak memerlukan holiday luar negara.
Tidak memerlukan makan di restoren mahal.
Tidak memerlukan pakaian berjenama. 
Tidak memerlukan kenderaan mewah.
Tidak memerlukan sekolah yuran mahal.
Tidak memerlukan peralatan elektronik canggih.
Tidak memerlukan alat permainan terkini.

‘Parenting’ hanya memerlukan ilmu, masa, kemahuan, kesabaran dan doa.

Sesiapa sahaja boleh berusaha menjadi ibubapa yang baik.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Ketagih Gajet Tetap Dapat Nombor 1

smart-child

Kredit Gambar: Google

Ketika berbincang tentang kesan gajet kepada kanak-kanak baru-baru ini, seorang ayah bertanya saya tentang seorang anak berusia 4 tahun. Anak tersebut sering dibiarkan menggunakan gajet tetapi dia tetap mendapat no. 1 dalam kelas. Jika begitulah pencapaiannya, bukankah gajet itu tidak membawa keburukan kepada anak tersebut?

Begini,

Sebagai ibubapa, matlamat yang hendak kita capai dengan anak berusia 4 tahun bukanlah hanya untuk melihat anak mendapat nombor 1 dalam kelas. Mendapat nombor 1 atau nombor berapa sekali pun dalam kelas usia 4 tahun bukanlah penanda aras bahawa anak tersebut sudah cukup berkembang dan terdidik.

Sepatutnya tadika berusia 4 tahun tidak ada sistem pernomboran sebagai penilaian keupayaan seorang murid. Sistem sebegini adalah salah sama sekali. Pernomboran ketika usia ini tidak mencerminkan keupayaan sepenuhnya seorang anak malah mewujudkan ‘fixed mindset’ pada ibubapa itu sendiri yakni “Anak saya sudah cukup pandai dan bijak. Anak saya tidak memerlukan apa-apa didikan lagi.”

Dalam menilai dan menganalisa kesan penggunaan gajet kepada anak-anak, ibubapa dan guru harus melihat dari pelbagai sudut perkembangan kanak-kanak bukan hanya dari sudut pandai dalam peperiksaan.

Antara aspek yang perlu diberi penekanan adalah:

1) KEUPAYAAN KOMUNIKASI DAN BAHASA.

  • Bagaimanakah penguasaan komunikasi verbal anak?
  • Berapakah kosa kata yang dimiliki anak?
  • Adakah anak banyak bersoal jawab?
  • Bagaimanakah komunikasi sosial anak?
  • Bagaimanakah tingkah laku ‘non verbal’ anak?

2) KEUPAYAAN KOGNITIF

  • Bagaimanakah corak pemikiran anak?
  • Adakah dia mula memahami konsep kesan dan akibat?
  • Bagaimanakah keupayaan menaakul anak?
  • Bagaimanakah skil penyelesaian masalah anak?
  • Adakah anak kreatif?
  • Bagaimanakah keupayaan imaginasi anak?

3) KEUPAYAAN FIZIKAL

  • Bagaimanakah skil motor halus anak?
  • Adakah anak boleh menggunakan gunting, sudu, garfu, memegang pensil, peralatan lukisan dengan betul?
  • Bagaimanakah skil motor kasar anak?
  • Bolehkah anak menggunakan fizikal untuk berlari, melompat, merangkak, menyusur, memanjat tanpa pergerakan yang kekok?

4) KEUPAYAAN SOSIAL

  • Adakah anak mahu dan berupaya membina persahabatan?
  • Bagaimanakah skil kepimpinan anak?
  • Adakah anak boleh mengikut giliran?
  • Adakah anak memiliki skil pengurusan konflik apabila berkelahi dengan kawan, contohnya?
  • Adakah anak berupaya untuk bekerja dalam kumpulan?
  • Adakah anak memahami peraturan dan batasan yang ada?
  • Adakah anak boleh mengikut arahan yang diberikan?

5) KEUPAYAAN EMOSI

  • Adakah anak boleh melabelkan emosi?
  • Adakah anak faham emosi yang dirasainya?
  • Adakah anak boleh menyatakan apakah yang sedang dirasa?
  • Adakah anak berupaya memahami emosi orang lain?
  • Adakah anak mempunyai empati?
  • Adakah anak mahu dan suka membantu orang lain?
  • Adakah anak melihat sesuatu dengan pandangan yang positif?
  • Adakah anak berupaya menjadi dirinya sendiri?

Semua di atas adalah di antara skil yang perlu dipupuk pada kanak-kanak berusia 4 tahun oleh ibubapa dan juga guru di tadika. Panjang lagi senarainya jika hendak ditulis. Oleh kerana semua skil itu masih berkembang, maka tidak ada nombor yang dapat digunakan untuk menilainya kerana ia begitu subjektif.

Dalam menilai kesan gajet kepada kanak-kanak berusia 4 tahun, ibubapa harus melihat gambaran keseluruhan yang merangkumi semua perkembangan kanak-kanak, bukan setakat pandai dapat nombor 1.

Perjalanan anak berusia 4 tahun masih jauh lagi. Berilah anak peluang dan stimulasi yang sepatutnya dalam membina perkembangan holistik anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Kisah Seorang ‘Hero’

Sepuluh tahun lalu dialah ‘hero’ di kampung. Cakap orang langsung tidak diendahnya. Walaupun baru berusia 6 tahun ketika itu, habis serata pelusuk kampung di jelajahnya dengan basikal. Kata ayah dan ibunya anak itu sukar untuk dikawal. Jatuh, luka, kemalangan adalah perkara biasa. Kata orang kampung dia tidak rasa sakit seperti orang lain. Deria kurang sensitif. Oleh sebab itulah kemalangan langsung tidak menghairankan bagi dia. Bagaimana dia hendak berhenti jika rasa sakit yang menghalang kanak-kanak lain tidak dirasakan olehnya. Apabila menginjak ke usia 10 tahun dia mula bercampur dengan remaja yang liar. Dia mula merokok dan merayau sehingga ke pagi. Dia tetap ‘hero kampung’ yang sukar dihalang dan dikawal.

herokampung

Kredit Gambar: Youtube

Lama kami tidak bertemu dengan dia.

Pada Hari Raya ke 3 baru-baru ini suami saya disapa oleh seorang anak muda yang wajahnya seakan kanak-kanak hero kampung itu dulu.
Benarlah itu dia.
Tetapi pertemuan kali ini berbeza, kerana suami bertemu dengan dia usai solat subuh berjemaah di masjid. Bukan calang-calang anak muda yang akan bersolat berjemaah di Masjid. Orang tua juga ‘liat’, apatah lagi anak muda yang hidupnya masih ingin berseronok dibuai mimpi.
Apatah lagi anak muda yang latar belakang masa kecilnya ‘liar’ sebegitu. Setelah berbual, rupanya anak muda ini akan ke Indonesia kerana akan melanjutkan pelajaran dalam bidang agama. Kata suami, dia kelihatan sungguh tenang dan berbeza dari dulu.

Dulu ramai yang gusar dan bercakap-cakap tentang dia. Bimbang kiranya tingkah lakunya yang sukar dikawal itu hanya akan membawanya ke kehidupan dalam penjara.
Tidaklah diketahui bila dan bagaimana ‘turning point’ hidupnya sehingga dia berubah.

Manusia boleh berubah. Anak-anak kita juga boleh berubah.
Siapa dan bagaimana anak semasa kecil tidak semestinya berterusan sehingga dewasa.

Berusaha dan berdoalah semoga anak kecil yang baik akan berterusan menjadi baik dan anak kecil yang sukar dikawal akan berubah menjadi lebih baik.
Itulah tanggungjawab kita.
Anak-anak adalah ujian buat kita dan perjalanan kita sebagai ibubapa tidaklah mudah sentiasa.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

‘Takut Bini’?

Suami yang bergegas pulang tepat masa dikatakan ‘takut bini’, sedangkan dia bergegas pulang kerana hendak luangkan masa bersama isteri dan anak-anak.

Suami yang memasak di dapur dan jemur kain di ampaian dikatakan kena ‘queen control’, sedangkan dia dengan rela hati berkongsi tanggungjawab rumahtangga dengan isteri.

Suami yang mendengar cakap isteri dikatakan ‘kena cucuk hidung’ sedangkan kedua-dua suami isteri sering mendengar dan bertolak ansur demi keharmonian rumahtangga dan keluarga.

lelakimasak

Kredit Gambar: Billy Info

Zaman sudah berubah, mentaliti kita juga harus berubah. Cabaran keluarga dan anak-anak juga berbeza dari dulu. Suami dan isteri saling memerlukan dan mempunyai peranan masing-masing dalam keluarga dan rumahtangga.
Mereka yang berfikiran sebegitu sepatutnya lebih rasa malu dengan diri sendiri kerana masih terperangkap dalam gua.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect