REMAJA: Kenapa Mereka Sukar Difahami?
PETRONAS CHEMICALS METHANOL, LABUAN
Sebagai seorang ibu kepada anak-anak remaja dan dewasa, saya yakin kebanyakan (kalau tidak semua) ibubapa remaja menghadapi cabaran dengan anak-anak remaja masing-masing dalam bentuk yang berbeza-beza. Soalan-soalan yang diajukan pada sesi forum seminar ini adalah berbeza sama sekali dengan soalan-soalan yang biasa diajukan kepada saya berkaitan anak-anak berusia 9 tahun ke bawah. Cabaran setiap peringkat usia anak adalah berlainan sama sekali.
Kebanyakan Konflik berlaku kerana kecenderungan semulajadi remaja itu sendiri yang mahu melarikan diri dari label kanak-kanak yang harus diurus ibubapa kepada identiti orang dewasa yang mahu bebas, berdikari dan membuat semua keputusan sendiri. Perubahan fisiologi juga mempengaruhi remaja. Terdapat sekurang-kurangnya 4 punca di sebalik tingkah laku anak remaja yang menguji kesabaran kita yang telah saya kongsikan pada seminar ini. Oleh kerana punca tingkah laku itu pelbagai, kaedah menanganinya juga perlu bersesuaian dengan puncanya.
“One size does not fit all.”
Menyarankan agar semua salah laku perlu ditangani dengan hukuman yang keras adalah ‘counter productive’. Pada seminar ini, seorang pendidik berkongsi bagaimana hukuman tidak mengubah tingkah laku sesetengah remaja kerana ada remaja yang merasakan diri “cool” dan hebat apabila dihukum. Remaja ini akan mengulangi perbuatannya. Ada juga anak remaja yang terbukti berubah kerana kelembutan dan bukannya kekerasan.
Tidak semua tingkah laku remaja yang kita lihat terutamanya yang suka ditularkan di media sosial adalah disebabkan oleh remaja itu 100%. Orang dewasa di sekeliling remaja juga bertanggungjawab atas tingkah laku mereka yang kita lihat.
Seorang ibu berkongsi bagaimana sukarnya dia menguruskan anak remaja tanpa bantuan daripada figura seorang ayah yang sangat penting pada fasa ini. Dalam sebuah keluarga, ayah adalah pendidik utama, tanpa tanggungjawab seorang ayah, keluarga akan kehilangan arah.
Dalam sesi ini saya juga berkongsi 10 perkakasan (tools) yang boleh membantu ibubapa dan pendidik untuk memahami, membimbing, dan membantu remaja yang memerlukan bantuan untuk memperbaiki diri.
Langkah pertama untuk memahami anak remaja adalah dengan merenung kembali masa remaja kita dulu. Sikap ‘holier-than-thou’ orang dewasa tidak dapat membantu keadaan.
Terima kasih kepada semua peserta yang berkongsi kisah zaman remaja sehingga menitiskan air mata dan juga memori yang menggamatkan suasana dewan dengan gelak ketawa. Perkongsian pengalaman ini diharapkan boleh dijadikan panduan buat diri sendiri dan ibubapa lain dalam mendidik anak remaja masing-masing. Apa yang berlaku pada masa lalu tidak boleh diubah tetapi ia adalah pengajaran yang berharga untuk melangkah ke hadapan.
“Experience is always the best teacher.”
Saya terharu kerana pada penghujung seminar selama 2 hari ini, seorang ibu menghampiri saya dan mengatakan seminar ini adalah seperti “a gift” untuknya di kala dia buntu cuba memahami apa yang berlaku pada anak remajanya. Si ibu kini faham di manakah peranan dan perubahan yang perlu dilakukan. Alhamdulillah.
Sebagai manusia, tidak ada ibubapa yang sempurna dalam mendidik anak. Kita akan melakukan kesilapan dan kadang-kadang kita alpa di sepanjang perjalanan keibubapaan kita. Keibubapaan adalah juga satu proses untuk ibubapa terus belajar untuk memperbaiki diri. Semoga Allah SWT menerangi perjalanan kita mendidik anak-anak dengan cahaya bimbinganNya.
Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur, BAKIP dan PETRONITA PC METHANOL LABUAN yang menjemput saya buat kali kedua ini. Ia adalah pengalaman yang berharga buat saya juga. Terkesima saya mendengar kemerduan suara Tuan moderator mengalunkan lagu “Keluarga Bahagia” di awal sesi forum, begitu juga keindahan madah yang disusun Puan Pengerusi.
Terima kasih kepada semua peserta yang hadir ke seminar 2 hari ini.
Terima kasih juga diucapkan kepada peserta yang hadir pada hari pertama sahaja dan tidak dapat bergambar bersama-sama dalam ‘group photo’.
Layanan baik anda semua menyentuh hati saya.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)