Isu Jenayah Seksual Kanak-Kanak bukanlah isu urban ataupun liberal. Ini adalah kebejatan dan kerosakan yang berlaku di seluruh dunia termasuklah dalam masyarakat kita tidak kira apa agama dan bangsa sekalipun. Nafsu yang lebih hina dari binatang tidak kira itu semua dan tiada batasnya. Oleh itu ia adalah sesuatu yang harus diambil serius oleh semua pihak. Anda mungkin rasa ia tidak berlaku kepada anda dan keluarga anda. Tetapi betulkah anda pasti? Atau anda sendiri tidak tahu yang ia berlaku kerana anda tidak pernah ambil tahu ataupun anda sendiri terpaksa berdiam diri kerana malu?
Ketika saya kecil tahun 70/80an dulu saya sudahpun mendengar cerita tentang hal hal yang sebegini. Terdengar dan pasang telinga percakapan orang tua dan juga yang di sok sek oleh kawan-kawan. Kanak-kanak faham dan perseptif. Apabila bercerita dengan emak tentang isu ini sekarang, emak juga membuka cerita-cerita yang berlaku pada zaman dulu – sekitar tahun 60-70an di kampung. Jadi isu jenayah seksual kanak-kanak ini bukanlah isu zaman moden. Bukan isu urban. Bukan isu golongan liberal. Ia menjadi semakin tenat dalam era digital sekarang ini.
Jangan men’taboo’kan perkataan pendidikan seks dan mengecilkan skopnya hanya setakat ‘safe sex’ ataupun seks selamat supaya tidak mengandung dan tidak dapat penyakit. Pendidikan Seks sangat sangat penting terutamanya zaman sekarang di mana semuanya boleh dicari oleh anak-anak dengan bertanya Mr. Google sahaja.
Anda mungkin berkata “Tak pe anak saya tak ada gajet jadi dia tak boleh google. Selamat saya.” – Jawapan saya, kawan anak ada gajet, anak pergi sekolah, anak dengar, anak belajar daripada kawan yang belajar dari Mr Google.
Anda mungkin berkata “Tak pe, rumah saya tak ada tv, tak tengok cerita-cerita pelik lucah ni”. Kata saya, sejauh mana dan selama mana kita boleh pastikan yang anak tidak ada tv dan kawal mereka daripada benda-benda lucah yang makin galak di sekeliling kita termasuk papan-papan iklan, media elektronik dan media cetak
Perkataan ‘seks’ dan perlakuan tidak elok dan lucah ada di sekeliling anak kita sekarang. Ia semakin di’halal’kan. Pendidikan seks adalah juga satu bentuk pendidikan yang mendidik anak tentang Keselamatan Diri (Personal safety) supaya anak tidak menjadi mangsa kerakusan nafsu orang dewasa dan tua (lelaki dan perempuan).
Supaya anak-anak kecil yang sering menjadi sasaran dan mangsa tahu apa sentuhan kasih sayang dan apa sentuhan iblis bertopeng manusia.
Supaya kanak-kanak tahu apa yang harus dibuat jika mereka hampir atau telah menjadi mangsa. Semua ini perlu dididik dan diberi perhatian. Ia bukanlah common sense jika tidak diajar.
Sheikh Abdullah Nasih Ulwan dalam buku ‘Pendidikan Anak-anak Dalam Islam (Jilid 2)’ ada mengupas tentang Pendidikan Seks ini. Jadi ia bukanlah sesuatu yang taboo atau haram untuk disentuh. Adab meminta izin sebelum masuk bilik yang digariskan dalam Surah An Nur (ayat 58-59) adalah asas pendidikan seks.
Hadith mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan apabila mencapai usia 10 tahun adalah juga asas pendidikan seks. Beliau sendiri menyarankan agar pendidikan seks ini dimulakan dari awal lagi dan harus diberi perhatian oleh ibubapa dan pendidik. Seeloknya ia dimulakan dari peringkat 1-6 tahun lagi. Statistik di Malaysia menunjukkan ramai di peringkat usia ini – lelaki dan perempuan – menjadi mangsa kerana pendidikan keselamatan diri tidak atau tidak sempat diberikan.
Ini bukanlah isu golongan urban atau golongan liberal. Ia adalah isu berat yang tidak harus diambil ringan hanya kerana kita SANGKA ia tidak berlaku kepada kita dan ahli keluarga kita.
Jenayah Seksual Kanak-kanak boleh berlaku secara sentuhan dan tiada sentuhan.
Just so you know.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect