Anak-anak dilahirkan baik, ingin menjadi baik dan ingin berbuat kebaikan. Kalau ada tingkahlaku anak yang tidak menyenangkan kita, dia tentu belajar dari mana-mana.
1) Kita sendiri.
Adakah kemungkinan anak meniru gaya kita, bahasa kita, amalan kita dan ‘angin’ kita? Bagaimana respon kita bila marahkan pengguna jalan raya lain yang tidak ikut peraturan? Adakah kita sendiri mengikut peraturan? Bagaimana tindakan kita bila terjumpa barang berharga di tepi jalan? Simpan atau pulangkan? Bagaimana tindak tanduk kita apabila tidak puas hati dengan sekolah/guru? Bagaimana bahasa kita bila melayari media sosial? Bagaimana akhlak kita terhadap orang yang ‘kurang’ dari kita?
Semuanya diperhatikan dan ditiru. Selagi orang yang dilihat dalam cermin tidak mengubah gaya, bahasa, amalan dan angin itu, selagi itulah anak juga tidak berubah. Anak-anak adalah guru terbaik kita.
2) Penjaga dan guru.
Jika anak menghabiskan sehingga separuh dari masa jaganya dengan seorang penjaga utama, maka kemungkinan untuk anak meniru penjaga (dan ahli keluarganya) dan guru sangat tinggi. Berbuat baiklah dan berbincanglah dengan penjaga/guru tentang nilai dan akhlak yang kita ingin lihat pada anak. Cerewetlah dalam memilih penjaga kerana amalan dan tingkahlakunya boleh menjadi ikutan anak.
3) Kawan-kawan.
Anak perlu berkawan. Kita hidup bermasyarakat dan bukannya keseorangan dalam gua. Kenalilah kawan-kawan anak dan juga ibubapa mereka. Ibubapa perlu ambil tahu realiti yang berlaku dalam masyarakat dan dunia anak-anak. Bersembanglah dengan anak tentang nilai dan akhlak SEBELUM anak meniru tingkah laku negatif. Nasihati anak dan ingatkan anak selalu. Anak kecil faham intonasi dan gerak tubuh kita walau dia belum faham percakapan kita sepenuhnya. Adakan peraturan dalam rumah. Ingat, fungsi peraturan bukanlah untuk menghukum semata-mata tetapi supaya anak bebas dalam batasan yang memelihara fizikal, spiritual, akhlak, emosi dan perhubungan sosial anak.
4) Internet dan televisyen.
Pantaulah!
Usahlah biar youtube dan rancangan tv ‘babysit’ anak sehingga tiada pantauan. Tidak semua kartun itu ‘innocent’ dan sesuai untuk anak. Tidak semua cerita Melayu membawa nilai yang positif. Pantaulah penggunaan smartphone mereka. Kenakan syarat apabila smartphone diberikan kepada anak jika smartphone adalah keperluan. Banyak kepincangan bermula dari smartphone. Klik sana klik sini terjumpalah bahan yang merosakkan akal, jiwa dan akhlak di internet.
5) Bahan bacaan.
Membaca itu amalan yang sangat baik tetapi sebagaimana internet dan tv, bahan bacaan juga boleh mempengaruhi tingkah laku anak. Semasa anak kecil, bacalah bersama-sama anak, kongsi pendapat dengan anak tentang cerita yang dibaca. Bina ‘connection’ melalui bahan bacaan dari kecil supaya apabila mereka besar, mereka tetap mahu berkongsi apa yang dibaca dengan kita. Dari situ tidak perlulah kita menjadi ‘mata-mata gelap’ memeriksa bahan bacaan mereka. Secara tidak langsung anak telah dididik dari kecil tentang bahan bacaan yang berkualiti.
Ingatlah ‘behaviour is learned’.
Yang baik ditiru, yang negatif juga diikut. Pantaulah. Bimbinglah. Jangan berputus asa dengan anak-anak kerana , insyaAllah ada jalannnya.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect