Bezakah Amukan Anak Dan Amukan Kita?

Pernah atau tidak, anda mempunyai masalah, stres, terlampau marah dan kecewa sehinggakan terasa hendak meraung dan menjerit?

amukan

Kredit Imej: Google

Pernah atau tidak, anda terlampau marah tidak dapat dibendung dan jika diikut hati mahu saja anda menghentak atau menumbuk apa yang ada di hadapan anda?

Pernah atau tidak, anda terlampau tertekan, anda cuba bertenang, mengambil wuduk, solat dan berdoa supaya diberikan ketenangan dan kewarasan dalam menguruskan tekanan itu?

Ataupun anda terlampau kecewa, perlu bersendirian dan mengasingkan diri, lelapkan mata seketika. Hanya setelah tenang anda berupaya untuk fikir dengan rasional?

Kita ada emosi, perasaan dan keperluan.

Kadangkala apabila terpalit dengan masalah, emosi kita akan tercuit dan kita menunjukkan reaksi.

Bagaimana pula dengan anak? Adakah mereka berbeza dari orang dewasa?

Pernah atau tidak, anak kecil anda mengalami ‘tantrum’ mengamuk, menjerit dan anda turut sama menjerit, atau cubit atau pukul dia dengan harapan dia berhenti mengamuk?

Ataupun anda jauhkan dia daripada anda dengan harapan dia diam dan insaf?

Sedangkan anak yang mengamuk adalah anak yang mempunyai masalah, seperti juga orang dewasa.

Anak hendak menceritakan dan meluahkan masalah yang dihadapi kepada kita, cumanya dia tidak tahu bagaimana. Dia belum tahu cara untuk bertenang seperti kita. Mengamuk adalah satu-satunya cara yang dia tahu apabila diselubungi dengan BIG EMOTIONS. Kita marah bila dia ada masalah, kita tidak cuba fahami apakah yang dihadapinya.

Dia mungkin diam kerana sakit dipukul dan sakit dicubit ataupun mungkin diam kerana letih meraung. Masalah dan punca yang menyebabkan dia mengamuk tetap tidak selesai. Dia tetap kanak-kanak yang belum pandai mengurus emosi kerana tidak dibimbing.

Dan dia akan mengamuk lagi.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Leave a comment