Persediaan Sebelum Anak Meragam Ketika Membeli-belah

Kelmarin di pusat membeli-belah,

“Mama, nak yang ni!”
Anak kecil berusia lingkungan 4 tahun menunjukkan t-shirt bercetak kartun kegemaran kepada ibunya.

“Kita tak nak beli baju ni adik. Kita nak beli baju Raya,” balas si ibu yang kelihatan keletihan

“Adik tak nak baju Raya, adik nak yang ini. Adik tak nak baju Raya!”

Dan bermulalah drama antara dua-beranak itu.

Di celah-celah gantungan baju dan seluar, anak-anak kecil berlari-lari sambal bersembunyi. Ada juga anak yang menari-nari sambal bernyanyi-nyanyi. Tergambar wajah-wajah kegembiraan anak dan tergambar juga wajah-wajah kegusaran ayah dan ibu yang cuba membahagikan pandangan antara anak dan pakaian yang perlu dipilih.

Dari satu sudut yang lain kedengaran tangisan kanak-kanak yang kuat. Si ayah dengan wajah tanpa perasaan dan tanpa berkata apa-apa laju menyorong keluar anak yang menjerit-jerit itu keluar dari pasaraya.

Beginilah suasana di pusat membeli-belah yang meriah dengan kanak-kanak terutamanya menjelang Hari Raya dan apa saja musim perayaan.

Ada yang membawa anak kecil untuk meluangkan masa kualiti dengan anak.
Ada yang membawa anak kecil supaya saiz pakaian yang dipilih bersesuaian dengan anak.

Ada yang membawa anak kecil kerana tiada siapa yang boleh tengok-tengokkan anak jika ditinggalkan di rumah.

Walau apa pun sebab anda membawa anak-anak untuk membeli-belah,

2 PERKARA YANG PERLU DIINGAT:

1) Tumpuan dan keceriaan anak-anak ada hadnya.
2) Kesabaran dan kudrat ibubapa ada hadnya.

 

shopping

*Gambar dengan izin.

Jangan biarkan kedua-dua perkara ini sampai ke tahap maksima sehingga merosakkan ‘mood’ kedua-dua pihak dan mencetuskan konfrantasi.
Inilah masa terbaik untuk belajar menghormati had masing-masing.

“Nampaknya adik dah letih. Ayah pun dah letih. Jom kita balik.”

Sebelum anak meragam dan mengamuk, sebelum ayah atau ibu turut lesu dengan kerenah anak, eloklah ditamatkan aktiviti membeli-belah atau tunda ke lain kali saja.

Janganlah membeli-belah pada waktu yang tidak sesuai dengan rutin biasa anak. Kita mungkin suka dan selesa memborong pada lewat malam di gudang yang buka selama 24 jam di musim perayaan ini tetapi adakah waktu tersebut adalah waktu terbaik untuk anak?

Salah anakkah jika dia meragam?

APA YANG MENYEBABKAN ANAK MERAGAM KETIKA MEMBELI-BELAH?

1) TIADA PERSEDIAAN

Sebelum tiba ke destinasi, beritahu anak tingkah laku yang bagaimana yang anda harapkan daripada anak. Anak kecil tidak suka diberi kejutan. Dia juga perlu persediaan emosi dan mental sebelum sampai ke tempat yang penuh sesak dengan manusia di musim perayaan ini.

Jangan lupa berikan taklimat santai tentang keselamatan. Dalam kelam kabut bersesak-sesak itu keselamatan anak paling utama.
Pesan kepada anak perlunya anak sentiasa memegang tangan ayah, ibu atau abang kakak yang lebih dewasa.

Pernahkah anak anda ‘hilang’ di pusat membeli-belah?

Positifkan ‘mood’ anak sebelum sampai. Minta anak tolong anda mencari barang-barang yang hendak dibeli. Kanak-kanak suka menolong dan kanak-kanak suka tugasan dan cabaran. Mereka akan sedia membantu.

Apabila anak tahu apa yang kita harapkan daripada mereka, anak akan lebih mudah bekerjasama dengan kita kerana mereka tahu apa had dan batasan mereka terlebih dahulu.

2) LETIH DAN LAPAR

Cuba ukur panjang kaki kita dan panjang kaki anak. Ingatlah satu langkah kita bersamaan dengan 2 atau 3 langkah anak kecil, oleh itu anak berkemungkinan besar untuk lebih letih berbanding dengan orang dewasa.

“Eh! tapi kenapa bila main banyak saja tenaga dia? Sampai tak nak mandi Sampai tak nak tidur?”

Bukankah bermain itu kerja budak-budak. Mereka ada banyak objektif dan motivasi untuk bermain tetapi mereka tidak nampak apa objektif mereka membeli-belah. Selalunya apabila dapat saja apa yang mereka mahu mereka akan terus ajak kita balik dan mula meragam. Ketika membeli-belah, kudrat kita masih banyak kerana kita ada matlamat yang hendak dicapai tetapi anak kecil sudah mula letih, dan mengantuk jika mengambil masa terlalu lama. Kenal pasti isyarat dan bunyi tangisan yang menggambarkan anak yang mengantuk, lapar, letih, bosan, marah, dan sebagainya.

Janganlah di’puasa’kan anak kecil juga bersama-sama kita yang berpuasa. Kenyangkan anak sebelum memulakan perjalanan. Bawalah makanan dan minuman sebagai bekal jika kita merasa segan hendak memasuki mana-mana premis makanan di pusat membeli-belah. Anak-anak yang aktif pada mulanya akan mula kehilangan tenaga dan mula terasa lapar.

Ini adalah salah satu punca anak meragam.

3) TIDAK SELESA

Adakah ‘stroller’ anak anda selesa?
Adakah anak perlu juga diberi peluang berjalan sendiri supaya kaki kecil anak boleh bebas seketika?
Adakah anak terlampau letih berjalan?
Adakah anak kecil lebih selamat dan selesa dengan ‘baby carrier’ berbanding ‘stroller’?
Adakah anak panas ataupun sejuk?

Keselesaan anak perlu diambil kira. Janganlah dilabel anak mengada-ngada apabila mereka meragam kerana tidak selesa. Semua ini adalah keperluan asas yang seharusnya difikirkan terlebih dahulu jika anda inginkan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan bersama-sama anak.
Jika anak sudah mula menunjukkan rasa tidak selesa, pendekkan eksplorasi anda di pusat membeli-belah tersebut.

4) SIFAT INGIN TAHU

Ingatlah anak kecil sangat ‘curious’ sifatnya.

Ada anak yang belajar dan meneroka dengan lebih efektif melalui sentuhan. Semua benda hendak disentuh, dipegang, ditarik dan dirasa. Bila berada di tempat barangan kaca atau pinggan mangkuk perlulah diingatkan anak. Bukan salah anak jika mereka menarik apa yang dilihat didepan mata. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk pesan dan pantau anak-anak di tempat awam.

Dulu anak kecil saya menjadi tidak keruan apabila melihat sebarang suis atau soket. Dia tidak dapat mengawal dirinya dari menekan suis-suis yang dilihat. Saya dan suami perlu lebihkan pantauan dari sudut itu kerana bimbang dia akan menimbulkan huru-hara di tempat awam. Tambahan lagi ia membahayakan anak dan orang ramai.

Jika anak anda kuat kecenderungannya terhadap sesuatu objek seperti anak saya, maka persediaan dan kawalan perlu dilakukan. Kadang-kadang halangan secara mendadak akan menjadi punca anak meragam.
`

5) STIMULASI BERLEBIHAN

Ada anak yang tidak suka berada di tempat yang penuh sesak dengan manusia. Ada anak yang cemas berada di tempat yang terlampau luas, hingar-bingar, terang benderang dan bingit dengan muzik yang kuat. Keadaan sebegitu menakutkan bagi mereka. Jangan membuat andaian mereka ok hanya kerana anda ok.

Jika anak dari awal lagi sudah mula meragam, itu tandanya mereka cemas berada di kalangan ramai manusia. Ada yang risau kiranya mereka terpisah daripada anda atau kiranya anda tidak memberi tumpuan kepada mereka. Anda perlu kenal temperament atau sifat semulajadi anak anda dan cari keseimbangan supaya masing-masing merasa selesa berada dalam situasi yang sebegitu.

Elakkan ruang-ruang yang akan memberi stimulasi berlebihan kepada anak contohnya ruang permainan kanak-kanak yang terlalu luas kerana anak mudah meragam jika diajak pergi. Semakin kurang godaan kepada anak semakin mudah untuk anak bertingkahlaku sebaiknya.

Emosi dan mood ibubapa juga akan terkesan apabila terpaksa bersesak dan beratur panjang di kaunter pembayaran. Ingatlah mood anda juga akan mempengaruhi mood anak-anak.

6) BOSAN

Jika sepanjang masa anda sekeluarga hanya berada di ruangan pakaian dan keperluan rumah, tentulah bosan anak dibuatnya. Janganlah disuruh anak yang sudah lama bersabar untuk terus bersabar. Keceriaan anak ada hadnya. Bawalah juga anak ke kedai atau ruangan yang disukai anak dan boleh menggembirakannya untuk menghilangkan kebosanan.

Tambahkan humor dan ‘fun’ ketika membeli-belah untuk mengambil hati anak yang kebosanan.

Mempunyai ‘shopping list’ yang dikongsi dengan anak-anak juga boleh mengelakkan anak-anak dari merasa bosan. Beri peranan aktif kepada anak untuk turut sama membantu mencari barang keperluan tersebut. Anak-anak akan lebih tenang jika mereka mempunyai matlamat.

‘Shopping list’ ini juga dapat melatih anak dan diri anda juga untuk berbelanja mengikut keperluan. Jika anak inginkan sesuatu yang tidak ada dalam shopping list beritahu anak barangan tersebut boleh dimasukkan ke dalam senarai membeli belah yang seterusnya. Jadikan ini peluang untuk mengajar anak tentang nilai wang.

Ini adalah latihan yang baik untuk mengajar anak tentang ‘delayed gratification’ atau bersabar untuk menerima ganjaran, yang didapati semakin menipis di kalangan anak-anak zaman sekarang yang penuh dengan kemewahan.

GANJARAN

Jika anak berkelakuan sebaiknya sepanjang berada di pusat membeli-belah, pujilah anak atau berilah ganjaran yang setimpal kepada anak. Ganjaran yang mengejutkan anak akan meninggalkan kesan positif yang berpanjangan terhadap tingkah laku anak.

Ingatlah apabila membeli-belah di musim perayaan atau bila-bila saja dengan anak, kita perlu lebih peka dengan keperluan anak. Adakah anak letih, lapar, tidak selesa dengan bunyi yang kuat, keliru, perlukan udara segar, perlu lebih bergerak atau perlu lebih pelukan dan pujian.

Dan ingatlah kesabaran dan kudrat kita juga ada hadnya.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Pesanan Untuk Pengantin Baru (Tentang ‘Parenting’)

Ketahuilah anak akan merubah segala-galanya dalam hidup anda. Walau bagaimana ideal sekalipun kehidupan yang kita bayangkan sebelum berkahwin dan ketika awal perkahwinan bersiap sedialah dengan perubahan-perubahan ini bersama-sama.

pengantin

1) Pada peringkat awal perkahwinan, amalkan sikap terbuka dan sentiasalah membawa berbincang tentang apa saja kesulitan yang dihadapi. Jika dari awal kita mengambil sikap memendam rasa kerana bimbang sebelah pihak akan terguris, lama-kelamaan kita hanya menjadi lilin membakar diri yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan pada rumahtangga, keluarga dan diri sendiri. Tidak bersetuju pendapat adalah normal tetapi haruslah cuba untuk mencapai kata putus yang memuaskan hati kedua-dua pihak.

2) Tahun pertama menjadi ibubapa adalah tahun yang sangat mencabar kerana masing-masing bukan hanya perlu menyesuaikan diri dengan ‘orang baru’ yang cerewet, menangis, meraung, buang air tidak kira masa dan tempat, ‘fragile’, jadikan anda ‘zombie’, perlu melekap sentiasa untuk menyusu, tidak tahu serba-serbi dan sentiasa bergantung kepada anda, malah sebagai suami isteri sendiri kita masih dalam fasa suai kenal dengan teman sebilik kita. Jika tahun pertama ini tidak ditangani dengan baik, kita akan mudah terjebak dengan perselisihan faham dan berkecil hati. Sesetengah konflik boleh membawa kepada masalah komunikasi yang berpanjangan dalam kehidupan berumahtangga.

3) Bersedialah untuk melakukan perubahan pada rutin dan aktiviti yang biasa diamalkan ketika bujang. Libatkan juga pasangan anda dalam aktiviti anda. Jika dia tidak berminat, sekali-sekala berceritalah tentang minat masing-masing. Ini akan mengeratkan lagi hubungan antara suami isteri dan tidak mewujudkan syak wasangka di kemudian hari. Apabila ahli keluarga bertambah, wujudkan family culture yang akan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Lakukan aktiviti bersama-sama sebagai satu keluarga. Semua ini harus dirancangkan dan bertekad dari awal.

4) Bina ‘trust’ yang kukuh antara satu sama lain. Kedua-kedua pihak perlu didengari, diberi suara, bertolak ansur dan bersetuju dengan isu-isu yang mungkin timbul satu hari nanti baik tentang ‘parenting’ ataupun perkahwinan.

5) Jadikan perkahwinan dan rumahtangga sebagai satu prioriti. Tanamkan tekad untuk sentiasa luangkan masa bersama dan ‘berdating’ walau apabila ada anak nanti. Dating tidak semestinya di luar dengan meninggalkan anak-anak di rumah. Dating di rumah pun boleh. Bersembanglah tentang hal-hal kerja, minat masing-masing dan juga berbincang tentang keluarga. Tanamkan niat untuk tetapkan jadual untuk berjumpa sekali sekala waktu ‘lunch’ ketika hari kerja dan kekalkan ia supaya menjadi amalan yang berterusan. Jika diamalkan dari awal, lama-kelamaan ia akan menjadi habit yang dapat mengukuhkan hubungan antara suami isteri insya Allah.

Apabila mempunyai anak, berterusanlah menjadikan keluarga satu prioriti. Tidak ada sesiapa yang akan peduli tentang pasangan dan anak-anak anda melainkan diri anda sendiri.

6) Masing-masing perlu bersedia untuk ‘evolve’ atau lakukan perubahan. Keadaan dan persekitaran mungkin akan bertukar, Oleh itu apa yang diperbincangkan dan dipersetujui hari ini juga perlu bertukar bersesuaian dengan keadaan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari jadi perlulah kita bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan bersama-sama. Janganlah ‘lautan api sanggup ku renangi’ hanyalah menjadi madah cinta ketika segalanya mewangi dan harum ketika berdua.

7) Sebaiknya sebelum bayi lahir lagi berbincanglah tentang penjagaan bayi, siapa yang akan menjaganya terutamanya jika kedua-dua suami isteri bekerja, bagaimana jadual seharian suami isteri, penyusuannya, waktu tidurnya, susun atur rumah, rutin penjagaan kesihatan dan sebagainya, Tidak salah jika melakukan perancangan jangka masa panjang juga di awal perkahwinan contohnya tentang pendidikan anak, perancangan kewangan dan sebagainya supaya kita bersiap sedia. Bersedialah untuk dapatkan bantuan jika perlu dan jangan malu untuk belajar dan bertanya dengan orang yang lebih berpengalaman dan kita percayai.

8) Harus diingat dalam ‘parenting’ tiada kaedah yang betul dan kaedah yang salah. Kita harus terima bahawa kita dibesarkan oleh ibubapa kita dengan cara yang berbeza-beza. Tidak salah jika kita juga merancang untuk membesarkan anak-anak dengan cara yang berbeza tetapi haruslah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Dengar dan baca SEMUA nasihat ‘parenting’ tetapi pilih yang sesuai dengan dinamik keluarga kita. Apa yang baik untuk keluarga kawan kita tidak semestinya baik untuk keluarga kita. Walau bagaimanapun sentiasalah menuntut ilmu ‘parenting’ dan tidak salah untuk ubah mengikut kesesuaian. Ada kalanya kita perlu mengikut ‘instinct’ kita kerana ‘instinct’ tentang anak-anak selalunya adalah benar.

Sentiasalah mengkaji dan upgrade diri sendiri dengan ilmu. Ambil tahu tentang apa yang penting dan releven dalam dunia di mana anak-anak kita dibesarkan. Usah disamakan zaman kecil kita dengan zaman anak-anak kita.

9) Apabila mempunyai anak, perbelanjaan semestinya akan bertambah. Rancanglah kewangan dari awal. Menyimpanlah dari awal walaupun sedikit. Sediakan akaun tabungan untuk anak yang tidak akan diusik. Ketahuilah biasiswa dan pinjaman pelajaran sudah tidak banyak sekarang. Saingan juga sengit. Kita tidak tahu bagaimana pula satu hari nanti apabila anak kita meningkat dewasa. Beringatlah dari awal untuk menyimpan untuk pendidikan anak-anak. 17 tahun hanyalah masa yang singkat. Sedar tidak sedar anak sudah masuk ke peringkat universiti yang banyak memerlukan belanja.

Berbincanglah tentang kewangan keluarga dari awal. Pastikan kedua-dua pihak bersetuju dengan rela hati. Bersiap sedia juga untuk hari-hari sakit anak dan juga diri kita sendiri yang akan memerlukan belanja.

10) Apabila kehidupan yang ‘lovey dovey’ berdua menjadi bertiga, berempat, berlima dan seterusnya, kehidupan akan semestinya berubah. Tidur anda tidak lagi senyenyak dulu, makan asalkan tidak lapar sahaja, mandi pun tidak boleh berlama-lama, lawatan ke tandas sering terkocoh-kocoh, rumah umpama tongkang pecah, diri kurang terurus dan sering menjadi emotional, stres, keliru, takut, gementar akan segala kemungkinan dan kesilapan yang mungkin anda lakukan, INGATLAH semua ini adalah normal. Semua orang melalui situasi ini.

11) Usah dijadikan media sosial sebagai kayu ukur kebahagiaan kerana yang kita lihat di media sosial hanyalah yang indah dan wangi.

Jika kita sentiasa mengamalkan komunikasi yang terbuka dengan pasangan, sentiasa mendengar dan memberi suara, insya Allah kita akan berjumpa jalan penyelesaian bagi segala kesulitan yang dihadapi dalam rumahtangga dan keluarga.

Buatlah apa yang terbaik untuk rumahtangga anda, keluarga anda dan anak-anak anda. Jadikan Al Quran dan Sunnah sebagai panduan kehidupan anda sekeluarga sentiasa.

Semoga Allah redha dan semoga rumahtangga yang baru dibina ini sentiasa dilimpahi rahmah dan baraqah dari Nya.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Adakah Anda Makan Malam Bersama-sama Anak-anak?

Dalam kesibukan kita sehari-harian, jangan abaikan makan malam bersama-sama dengan keluarga kerana manfaatnya amat besar terhadap perkembangan anak-anak.

makanmalam

Kajian mendapati amalan makan bersama-sama ini dapat:

  1. membantu perkembangan bahasa anak kecil. Anak kecil memperoleh banyak ‘vocabulary’ yang baru ketika makan bersama-sama keluarga
  2. membina tabiat pemakanan yang sihat dalam keluarga melalui pilihan menu yang berkhasiat
  3. membantu perkembangan intelektual dan prestasi anak-anak yang bersekolah.
  4. menghindari remaja dari pengaruh yang tidak sihat seperti merokok, penyalahgunaan dadah, keganasan, seks bebas dan lain-lain masalah sosial.
  5. membina ‘mood’ dan persepsi tentang masa hadapan yang positif dalam diri remaja.

Walau bagaimanapun kuasa sebenar untuk memperolehi semua manfaat yang disebut di atas terletak pada corak interaksi dan perhubungan ketika makan malam.

Jika makan malam hanya dipenuhi dengan amalan negatif seperti kritikan, cemuhan, amarah, tangisan dan jeritan, makan malam hanyalah menjadi medan yang merenggangkan perhubungan antara ahli keluarga.

Menu yang enak tiada ertinya jika tiada interaksi positif ketika makan.

Makan malam sambil menonton tv (dan juga gajet) tidak membantu perkembangan anak-anak dan keharmonian keluarga.

Jadikanlah satu-satunya masa yang ada untuk berkumpul bersama sekeluarga itu sebagai masa yang berkualiti untuk ‘connect’ dengan anak-anak.

VIDEO MENARIK UNTUK DITONTON:
“If you could have dinner with anyone in the world, who would you choose?”

https://www.youtube.com/watch?v=2wfbY3i4FY0

ARTIKEL PENUH:

https://www.washingtonpost.com/…/the-most-important-thing…/…

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Mendidik Anak Remaja

Jika anak anda berusia dalam lingkungan 11 tahun, mungkin anda sudah dapat mengesan perubahan dari segi cara anak berfikir dan bertindak. Anak sudah mula cuba untuk lari dari identiti kanak-kanak dan juga inginkan ‘control’ dan ‘authority’.

Proses untuk membesarkan dan mendidik seorang remaja yang ‘connected’ dan ‘cooperative’ bermula sebelum seorang anak melangkah ke usia remaja. Jika ‘connection’ itu tidak dibina dari awal, sukar untuk ibubapa dan anak untuk saling faham memahami antara satu sama lain.

Ayah dan ibu kepada anak-anak kecil, jom bersedia.

10 Parenting Habits to Develop Before Your Child Becomes a Teen

Noor Afidah Abu Bakar
(Ibu kepada anak remaja berusia 13, 16 dan 19 tahun)

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Positifkan ‘JANGAN’

jangan

Kredit Imej: Google

Dua sebab utama ibubapa tidak mahu mendisiplinkan anak adalah:

1) Perkataan disiplin dikaitkan dengan hukuman.
Ini adalah salah faham yang mungkin berpunca dari pengalaman ibubapa sendiri ataupun dari pandangan silap yang ibubapa pernah terima.

Disiplin maksudnya membimbing, bukannya menghukum.
Oleh itu betulkan persepsi anda tentang makna disiplin.

2) Tidak sampai hati hendak membelenggu anak dengan peraturan kerana anak sudah banyak peraturan di sekolah. Ibubapa takut anak tertekan dengan banyaknya peraturan dan kaedah disiplin yang keras di sekolah. Ibubapa mahu anak lebih relax di rumah tanpa peraturan.

Ini juga adalah salah faham yang menyebabkan ibubapa menjadi terlalu permisif. ibubapa biarkan saja anak tanpa peraturan lalu menyebabkan anak keliru dan rasa tidak selamat.

Peraturan tidak menjadi sesuatu yang negatif jika kita mempositifkannya.

Contoh peraturan:

1) JANGAN keluar dari ‘gate’!
Positifkan kepada:
Main dalam kawasan rumah. Jalan depan sibuk, banyak kereta, bahaya.

2) JANGAN cucuk-cucuk baby tu!
Positifkan kepada:
Kakak kena berlembut dengan baby. Baby masih kecil, belum boleh lasak-lasak.

3) JANGAN tinggalkan mainan bersepah-sepah!
Positifkan kepada:
Kemaskan mainan dulu, kemudian baru kita boleh keluar.

4) JANGAN berebut-rebut dengan kawan!
Positifkan kepada:
Main elok-elok, biar semua ada ‘turn’. Barulah adil.

Positifkan peraturan dan berikan penjelasan ringkas di sebalik peraturan tersebut. Ini mendidik anak bekerjasama, menghormati ‘authority’ dan orang lain, dan juga ‘reasoning’.

Banyak sangat JANGAN pun membuatkan kita sendiri ‘stress’.

Noor Afidah Abu Bakar

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Teknik Penyelesaian Masalah Dengan Anak Kecil

penyelesaian masalah

SITUASI:
Anak anda yang berusia 6 tahun dengan sengaja merosakkan alat mainan adiknya yang berusia 4 tahun kerana marah. Adik menangis.

RESPON ANDA:

1) Jika mainan perlu diganti:

“Adik sedih sebab abang rosakkan mainan adik. Abang perlu ganti semula mainan yang rosak. Macam mana caranya abang nak beli dan ganti?”.

Dengar apa idea si abang.

‘Brainstorm’.
‘Problem solving’.

Jangan dipandang rendah keupayaan anak berusia 6 tahun untuk memberi idea. Mereka sangat ‘brilliant’.

2) Jika dirasakan tiada keperluan untuk menggantikan mainan:

“Apa yang perlu abang lakukan pada adik?”
(Minta maaf).

Pastikan ibubapa tenang dan pastikan si abang juga tenang ketika proses penyelesaian masalah ini.

3) Proses mengurus emosi.

Tanyakan pada abang apa yang patut dibuat lain kali apabila dia marah ?
Bincangkan.

SKIL PENYELESAIAN MASALAH MENDIDIK ANAK UNTUK :

1) Bertanggungjawab ke atas perbuatannya.
2) Mengurus emosi marah, sedih, kecewa dan sebagainya dengan tingkah laku yang positif dan tidak memudaratkan diri sendiri, orang lain dan harta benda.

Walaupun nampak remeh, ini adalah skil yang sangat penting yang akan dibawa dan diamalkan sehingga dewasa.

Bayangkan mempunyai keluarga dan masyarakat yang bertanggungjawab dan harmoni.

Mulakanlah dari kecil lagi ketika otak mereka masih berkembang dan menyerap seumpama ‘sponge’.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy