Alangkah Seronoknya Menjadi Kanak-kanak

happykids

Sebagai seorang dewasa kita sering berkata,
“Alangkah seronoknya jika menjadi kanak-kanak. Tiada masalah. Tidak stress.”

Pengalaman gembira tanpa tekanan ketika zaman kanak-kanak membentuk persepsi kita kini.

Berikanlah pengalaman yang sama kepada anak-anak kecil kita supaya ia menjadi imbasan yang menggembirakan buat mereka apabila mereka dewasa nanti.

Kanak-kanak tidak perlu tertekan. Biarlah ia hanya menjadi lumrah bagi orang dewasa yang lebih berupaya dan bersedia menghadapi tekanan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Harapan Dan Tekanan Ibubapa

Baru-baru ini saya terbaca artikel yang tular tentang “Ciri-ciri anak genius”. Saya pernah terbaca artikel yang sama dalam Bahasa Inggeris yang ditulis oleh penulis dari Amerika Syarikat. Artikel Bahasa Melayu tersebut mungkin terjemahan dari artikel asal. Dari komen-komen yang ditulis pada artikel itu, ramai ibubapa yang teruja kerana anak masing-masing mempunyai ciri-ciri ‘genius’ yang disebutkan dalam artikel tersebut. Saya rasa semua ibubapa hanya melihat yang terbaik pada anak masing-masing. Semua ibubapa harapkan dan inginkan yang terbaik untuk anak-anak dan sanggup lakukan apa saja demi anak-anak.

Ini adalah fitrah manusia.

 

harapantekanan

Kredit gambar kepada Puan Zaharah Awang (Ibu Zarah).
Saya mengupas tentang “Harapan dan Tekanan Ibubapa” pada slot tersebut.

Adakalanya mengharapkan anak menjadi ‘genius’ akan menimbulkan tekanan dalam diri ibubapa kerana ibubapa risau tidak cukup berusaha dan tidak cukup menyediakan peluang untuk anak-anak menjadi yang terbaik. Tekanan dan harapan yang menggunung tinggi ini jika tidak dikawal akan meletakkan anak-anak di posisi yang sangat tertekan kerana perlu memenuhi impian ibubapa.

Tekanan ini datangnya dari suara-suara dalaman ibubapa sendiri,

Saya dapat membuktikan bahawa saya ibubapa yang baik jika anak saya ‘genius’.

Saya tidak mahu anak saya ketinggalan atau berada di kelas belakang.

Anak saya adalah tanggungjawab saya maka jika anak saya genius, saya menjalankan tanggungjawab saya dengan baik.

Persaingan semakin sengit sekarang ini dalam peperiksaan dan peluang untuk belajar, maka saya harus pastikan anak saya berada di hadapan.

Saya ingin membuktikan walaupun saya ibu tidak bekerja, anak saya genius.

Saya ingin membuktikan walaupun saya ibu bekerja dan tidak punya banyak masa untuk diluangkan dengan anak, anak saya tetap genius.

Saya dididik hingga menjadi seorang ‘genius’, oleh itu anak saya juga perlu menjadi seorang ‘genius’ dengan cara yang sama saya dididik dulu.

Anak saya perlu capai apa yang saya tidak capai dulu. Dia perlu menjadi lebih baik dari saya.

Tidak ada salahnya mempunyai suara-suara dalaman begini untuk memandu anda mendidik anak-anak anda. Walau bagaimanapun ia haruslah dikawal supaya tidak menjadi tekanan kepada anak-anak yang perlu memenuhi impian dan harapan anda.

Kenali anak anda.
Kenali tahap perkembangan setiap seorang daripada anak-anak anda.
Kenali pembawaan anak anda.
Kenali kelebihan dan kekurangan anak anda.
Kerana dengan mengenali anak-anak, kita boleh meletakkan harapan dan impian yang realistik untuk anak kita tanpa terikut-ikut orang lain.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

Ibubapa Berlumba-lumba…

Dari lahirnya seorang anak, ibubapa sudah mula berlumba-lumba sesama sendiri tanpa kita sedar. Kita mengheret sama bayi dan anak kecil yang tidak tahu apa-apa dalam perlumbaan yang kita cipta. Media sosial merancakkan lagi pertandingan antara ibubapa dan menyebabkan tekanan yang melampau ke atas anak-anak walaupun kita tidak mengakuinya.

Siapa menyusu badan, siapa menyusu botol?
Siapa rajin menyediakan makanan ‘home-cooked’ untuk bayi?
Bayi siapa yang tidur nyenyak sepanjang malam?
Bayi siapa yang paling cepat merangkak?
Bayi siapa yang paling cepat berjalan?
Siapa yang paling banyak menyediakan aktiviti untuk anak-anak kecilnya?
Anak siapa yang paling awal membaca?
Anak siapa yang paling mahir matematik?
Anak siapa yang paling cepat bercakap?
Anak siapa yang sering mendapat no. 1 semasa tadika?
Anak siapa yang paling berakhlak?
Anak siapa menghafal Al Quran dari bayi?
Keputusan peperiksaan anak siapa sentiasa cemerlang?
Anak siapa yang berjaya memasuki sekolah berasrama?
Anak siapa yang paling berbakat?
Anak siapa mempunyai skil yang hebat?
Anak siapa dapat memasuki universiti awam dan terkemuka?

Persaingan tidak putus-putus.

Setelah hampir 30 tahun mengkaji tentang kesan persaingan di kalangan pelajar, Alfie Kohn, seorang Pakar Pendidikan yang terkenal, merumuskan dalam buku “No Contest – The Case Against Competition” bahawa persaingan tidak semestinya menjadikan pelajar lebih cemerlang.

Apabila peperiksaan dijadikan kaedah penilaian dari peringkat tadika lagi, kanak-kanak yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang akan kehilangan motivasi untuk belajar dari awal lagi. Kanak-kanak yang cemerlang pula akan sentiasa merasa tertekan untuk mengekalkan kecemerlangan dalam persaingan secara berterusan.
Kanak-kanak kecil ini tidak mempunyai peluang untuk meneroka kelebihan dan keupayaan diri kerana mereka dihakimi terlalu awal dalam persaingan dan pertandingan yang tidak mereka pinta.

Dalam kajian-kajian yang dijalankan selama 60 tahun,

  1. 65 kajian mendapati bahawa kanak-kanak belajar dengan lebih bermakna dan efektif apabila mereka belajar melalui kolaborasi dan bukannya persaingan sesama sendiri.
  2. 8 kajian mendapati bahawa persaingan menjadikan pembelajaran lebih efektif.
  3. 36 kajian mendapati bahawa tiada perbezaan kepada keberkesanan pembelajaran antara persaingan dan kolaborasi.

Kajian juga mendapati bahawa bahagian otak yang mengawal ketakutan (fear) menjadi lebih aktif apabila kanak-kanak mengetahui bahawa tugasan yang diberikan kepada mereka adalah satu pertandingan sesama mereka. Kanak-kanak tidak merasa selamat dan selesa dalam proses pembelajaran yang berteraskan persaingan sedangkan perasaan selamat dan selesa adalah elemen penting supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna dan efektif.

Kurangkan persaingan dan perbanyakkan kolaborasi sesama pelajar supaya mereka lebih berminat untuk menuntut ilmu.

Noor Afidah Abu Bakar
MA Early Childhood Education
Parent Connect Consultancy

 

BH hentikan
NILAI: Kementerian Pendidikan mengarahkan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid, dan sekolah kawalan dihentikan.
BHARIAN.COM.MY