Pembelajaran di Usia Awal Terlalu Penting

Sedarkah anda, tidak ada lebih banyak pembelajaran (learning) yang berlaku dalam hidup seorang manusia berbanding pembelajaran ketika usia awal?

childdev

Kredit Imej: amazon

Ketika usia ini kita (dan juga anak-anak kita) belajar untuk
* guling
* meniarap 
* merangkak
* berdiri
* meniti
* bertatih
* berjalan
* makan
* buang air
* berlari
* baling
* sambut
* jengket
* lompat
* panjat
* berpakaian
* berkawan

dan pelbagai lagi tumbesaran atau ‘milestone’ yang dipelajari dan dicapai oleh anak-anak pada peringkat usia ini. Jika dirujuk pada carta atau senarai ‘milestone’ seorang manusia, peringkat usia inilah senarainya berderet-deret panjangnya.

Bagaimana anak usia awal ini belajar untuk mencapai ‘milestone’ tersebut?

Anak-anak usia ini mempunyai kecenderungan semulajadi untuk belajar tanpa paksaan dan tanpa perbandingan. Ingatkah lagi riak wajah anak ketika dia berupaya untuk mengorak langkah walau setapak? Ingatkah lagi kegembiraan dan senyuman di wajahnya apabila kita bersorak kerana dia berjaya? Ingatkah lagi keazamannya dan betapa dia tidak berputus asa untuk bangun kembali untuk berjalan walau terjatuh, waima terhantuk sekalipun?

Ingatkah lagi betapa nekadnya anak menyelesaikan sesuatu yang diminatinya walaupun tidak sempurna?

Kenapa begitu?

Ini kerana mereka tidak gentar dengan cabaran. Mereka menjadi semakin berani dan yakin apabila adanya sokongan, sorakan, pelukan dan ciuman yang kita berikan apabila mereka berjaya walaupun mengorak satu langkah kecil.

Mereka bersemangat jitu untuk belajar bagi mencapai matlamat.
Mereka tidak takut berbuat silap.
Mereka tidak gentar akan kegagalan.
Mereka tidak tercuit dengan sebarang perbandingan.
Mereka egosentrik – ‘saya adalah saya.’
Mereka tidak merasa kurang cerdik atau kurang pandai berbanding kanak-kanak lain.
Mereka mendepani proses pembelajaran dengan semangat dan tanpa merasa goyah dengan keupayaan diri sendiri untuk mengharungi cabaran.

Sebelum mereka memasuki alam persekolahan, mereka dimotivasikan dengan cabaran yang bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka dan bukannya dengan perbandingan, habuan ataupun gred.

Jangan dimatikan semangat untuk belajar ini dengan kaedah yang tidak bersesuaian.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Mudahkan Untuk Anak-anak Menulis

Mesej yang saya terima dan mendapat keizinan pengirim untuk dikongsikan supaya menjadi panduan buat ibubapa lain juga.

menulis

Banyak pendapat yang mengatakan skil menulis kanak-kanak sekarang agak terbantut dan tidak berkembang dengan sepatutnya disebabkan oleh penggunaan gajet oleh kanak-kanak. Gajet tidak menggalakkan perkembangan skil motor halus yang sepatutnya ada untuk kanak-kanak berupaya untuk memegang pensil dan menulis. Itu adalah fakta yang tidak dapat dinafikan.

Walaupun demikian, perkembangan yang membimbangkan ini tidak sepatutnya menjadi lesen kepada ibubapa untuk memaksa anak di luar kemampuan dan perkembangannya untuk menulis. Menulis bagi kanak-kanak bukanlah skil yang mudah dan berlaku secara semulajadi. Ia adalah rangkuman beberapa skil yang lain yang perlu dipupuk dan dibina terlebih dahulu sebelum seorang kanak-kanak itu berupaya untuk menulis. Mudah bagi kita tetapi kompleks bagi kebanyakan kanak-kanak yang belum mencapai tahap perkembangan yang sepatutnya.

Mengharapkan kesempurnaan pada tugasan menulis yang diberikan kepada kanak-kanak yang berusia 3 tahun adalah seumpama memaksa orang dewasa mendaki Gunung Kinabalu tanpa apa-apa latihan dan persediaan. Boleh didaki tetapi kecundang di tengah jalan.

Soalan pertama yang saya ajukan kepada ibu tersebut adalah,

“Adakah sesiapa memberi tekanan kepada suami Puan sehinggakan dia memaksa anak?”.

Menurut pengirim, suami merasa tertekan apabila melihat anak-anak saudara yang seusia anak sudah berupaya untuk menulis dengan baik.
Ini sebenarnya sudah saya jangka. Ramai ibubapa memberi tekanan kepada anak apabila mereka sendiri rasa tertekan walaupun mereka tidak menyedarinya.

Walaupun mungkin si ayah inginkan yang terbaik buat anaknya dan mahu supaya anak dapat bersaing dan tidak ketinggalan, ayah perlu memahami perkembangan, dan pembawaan anak itu sebagai seorang individu. Setiap anak dilahirkan berbeza-beza, tidak ada dua yang sama dan serupa. Membuat perbandingan dan mengharapkan persamaan hanya akan mengecewakan ayah dan anak dan mematikan semangat anak. Keperluan kanak-kanak tidak boleh diambil ringan kerana keperluan yang tidak ditunaikan hanya akan menimbulkan konflik dan memudaratkan keadaan. Menghukum anak berusia 3 tahun kerana tidak sempurna penulisannya dengan menyeksa masa tidur yang merupakan satu keperluan adalah kaedah yang sungguh tidak efektif untuk membentuk skil dan tingkah laku.

Itu bukanlah hukuman yang mendidik.

Anak kecil memerlukan tidur yang cukup. Jika tidur mereka tidak cukup perkembangan mereka tidak terpupuk dengan baik, termasuklah perkembangan menulis. Situasi sebegini menjadi kitaran yang negatif.

Menurut ibu, anaknya gemar membaca dan sentiasa menunjukkan usaha untuk menulis tetapi tidaklah sesempurna yang diharapkan ayah. Jika tekanan berterusan diberikan, anak akan mengaitkan proses menulis dengan emosi yang negatif. Ini sudah tentu akan mematikan motivasi anak yang sedang berada dalam fasa meneroka keupayaan dan kemampuan diri sendiri.

Usia 3 tahun mengikut perkembangan psychosocial adalah usia berlakunya konflik antara inisiatif dan rasa bersalah (initiative vs guilt). Respon ibubapa dan guru ke atas usaha yang ditunjukkan oleh anak akan menentukan sama ada anak akan menjadi seorang yang akan terus berusaha ataupun menjadi seorang yang rasa bersalah atas apa saja usaha yang dilakukannya maka akan berputus asa.
Berhati-hatilah dengan pendekatan yang kita gunakan kerana ia akan meninggalkan impak yang besar dalam diri kanak-kanak.

Melihat dari video yang dikirimkan oleh ibu, ternyata genggaman pensil anak juga masih lagi di tahap pertengahan, bersesuaian dengan usia anak tersebut. Kanak-kanak hanya akan mencapai tahap genggaman pensil yang sempurna apabila berumur dalam lingkungan 5-6 tahun jika skil itu dipupuk dengan betul melalui aktiviti yang menggalakkannya.

Kanak-kanak belajar melalui meniru. Gajet bukan hanya mempengaruhi kehidupan kanak-kanak. Penggunaan gajet oleh ibubapa juga mempengaruhi perkembangan menulis kanak-kanak.
Jika anak melihat ibubapa menulis, anak akan meniru dan ia akan menjadi aktiviti yang menyeronokkan bagi kanak-kanak kerana mereka inginkan pengiktirafan daripada kita yang menulis.
Jika aktiviti menulis, melukis, menconteng dan bermain dengan garisan, dan bentuk dengan melakarkannya di atas kertas, papan putih atau papan hijau, dilakukan bersama-sama dengan anak dengan penuh keceriaan, ia akan lebih menggalakkan skil menulis pada anak.
Walau bagaimanapun jika ibubapa sendiri tidak pernah dilihat pegang pen, pensil dan kertas, hanya menggunakan gajet, siapakah yang hendak ditiru oleh anak?

Anak saya yang berusia 6 tahun beberapa tahun lalu pernah bertanya kenapa kita perlu belajar menulis dengan cara tradisional jikalau semua penulisan boleh dilakukan dengan menaip di komputer sekarang ini?

Ada kebenarannya apa yang bermain di fikirannya ketika itu.

Anak perlu faham tujuan sesuatu perkara itu dilakukan supaya tugasan itu menjadi bermakna bagi anak tersebut. Begitu juga dengan kurikulum lain yang dirancangkan untuk pelajar, pelajar perlu tahu dari peringkat awal apakah tujuan dan perkaitan apa yang dipelajari dengan diri dan kehidupan mereka supaya pembelajaran itu menjadi lebih ‘meaningful’ atau bermakna.

Seperti yang saya tulis di atas, skil menulis adalah rangkuman beberapa skil yang dipupuk dan dibina dari awal lagi sebelum proses menulis itu sendiri. Di antaranya adalah:

Skil persepsi visual
Skil motor halus
Skil manipulasi tangan.
Skil motor kasar
Skil mengikut turutan (sequence)
Skil mengawal kertas supaya berupaya menulis lurus dan terbentuk.
Skil mengawal pergerakan tangan, pensil dan kertas.
Memahami progresi kiri ke kanan.
Memahami progresi atas ke bawah.
Skil merentasi garisan pertengahan.
Skil koordinasi bilateral.
Begitu juga keupayaan sensori seperti proprioception, tactile, vestibular, dan auditory.

Bayangkan betapa kompleksnya proses untuk menulis bagi kanak-kanak yang usianya masih setahun jagung dan masih cuba untuk memahami dan meneroka keupayaan dirinya. Ia tidaklah semudah yang kita sangkakan.
Oleh itu berilah dorongan kepada anak dengan mengikut langkah yang bersesuaian dengan usia anak.
Jangan membanding-bandingkan keupayaan anak dengan keupayaan anak-anak yang lain.
Latihlah anak dengan kaedah yang lebih menceriakan dan memotivasikan anak untuk mencuba dan berusaha.
Pujilah setiap usaha anak untuk mencapai matlamat yang lebih besar kerana usaha kecil itu amat bermakna bagi mereka.

***Tahukah anda terdapat 65 langkah dan skil yang diperlukan bagi membolehkan seorang kanak-kanak menggosok giginya dari mula memasuki bilik air sehinggalah keluar bilik air?
Ia bukanlah sesuatu yang mudah bagi anak kecil.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Nottingham, UK – 31 Mei 2015: Apabila Anak Menguji Kesabaran Anda

Apabila Anak Menguji Kesabaran Anda

Tamat bengkel keibubapaan hari ini

Intipatinya:

  • Kenapa kita rasa kecewa dengan tingkah laku anak?
  • Apakah faktor yang mempengaruhi tindak balas kita?
  • Kenapa kita tidak patut melabel anak sebagai ‘nakal’ dan ‘degil’?
  • Apakah sebab dan punca tingkah laku anak?
  • Bagaimana menangani tingkah laku yang kurang menyenangkan kita?
  • Bagaimana memahami dan membimbing emosi anak?
  • Apakah ‘tools’ yang perlu dipraktikkan?

Apabila anak mempamerkan tingkah laku yang kurang menyenangkan kita, kita perlu faham bahawa anak kita bukannya satu masalah tetapi anak kita mempunyai masalah yang perlukan perhatian, bimbingan dan sokongan kita.

 

pcEventNotts 31 May

Anak anda buat hal?

Anda rasa anak anda ‘nakal’?

Tapi kesian nak marah?

Emosi keliru apabila berhadapan situasi sebegini?

Tapi rasa bertanggungjawab untuk didik anak dan selesaikan situasi tersebut?

Jom sertai bengkel anjuran bersama Nottingham Malaysia Community (NMC) dan Platform Siswa Islam Malaysia (PRISM) Nottingham bertajuk “Apabila Anak Menguji Kesabaran Anda”.

Sebuah bengkel pendidikan keibubapaan menyentuh tentang kelakuan anak-anak anda dan bagaimana anda sebagai ibubapa mengurus emosi kepada anak-anak anda.

Like us on facebook @ https://www.facebook.com/MyParentConnect