Peluklah Anak

Ada di kalangan kita yang berpendapat bahawa anak-anak tidak harus dipeluk dan tidak harus dicium kerana dengan melakukan sebegitu kita akan memberi muka kepada anak. Malah ada juga yang mengatakan bahawa ibubapa sepatutnya menjadi singa, sepatutnya menjadi keras dengan anak jika kita ingin mendisplinkan mereka. Kata mereka, berlembut tidak akan mendisiplinkan anak.
Tidak semestinya. Bergantung juga kepada keadaan.

Ada juga yang mengatakan, “Berlembut, bermain dan bergurau senda dengan anak adalah kaedah Barat. Kita tidak boleh ikut kaedah Barat. Lihatlah bagaimana remaja Barat.”

Hmm…orang yang berkata demikian tidak pernah pun tinggal di negara Barat. Dia tidak tahu pun apa sebenarnya yang menjadi masalah di Barat sehinggakan remaja mereka begitu. Mungkin juga orang itu kurang membaca. Terlalu simplistik kesimpulan yang dibuat.

Berikut adalah petikan dari buku Prophetic Parenting oleh Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh tentang makna ciuman, kelembutan dan kasih sayang kepada anak-anak.

“Ciuman memiliki pengaruh yang cukup besar dalam menggerakkan perasaan dan emosi anak, selain juga memberi kesan untuk meredakan kemarahan dan kemurkaannya. Selain itu, juga menimbulkan perasaan ikatan yang kuat dalam hubungan cinta antara orang dewasa dengan si anak. Ciuman adalah bukti kasih sayang dalam hati kepada si anak yang sedang membesar. Ciuman adalah cahaya gemerlapan yang menerangi hati anak, melapangkan jiwanya dan menambah semangat untuk melakukan aktiviti bersama orang-orang di sekitarnya. Kemudian, yang pertama dan terakhir, ciuman adalah sunnah Rasulullah SAW bersama anak-anak.”

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah R.A

Beberapa orang dari dusun datang mnghadap Rasullullah SAW. Mereka bertanya, “Apakah kalian mencium anak kalian?” Beliau menjawab, “Ya”. Mereka berkata, “Demi Allah, kami tidak mencium.” Rasullullah SAW bersabda, “Tidak ada yang biasa aku lakukan apabila Allah mencabut kasih sayang dari hati kalian.”

Ya benar, kita perlu tegas tetapi janganlah sampai kita menidakkan keperluan untuk mencium dan memeluk anak-anak. Itu bukan kaedah Barat. Banyak kajian dibuat oleh Barat dan Timur. Bacalah. Jangan sampai Allah mencabut kasih sayang dari hati kita sebagai ibubapa kerana ingin mengikut nasihat yang tidak ada asasnya.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Advertisements

Peluklah Anak

KADANG-KADANG apabila kita menjadi buntu kerana anak meragam, anak menguji kesabaran, dan anak tidak mendengar kata, penyelesaian terbaik ketika itu bukanlah memarahi dia, cubit dia, pukul dia atau hukum dia, sebaliknya penyelesaian terbaik pada ketika itu adalah memeluk dia.

Peluk bukan kerana anak memerlukan pelukan, tetapi peluk kerana KITA yang lebih memerlukan pelukan di saat menghadapi kekecewaan dan kebuntuan dalam menguruskan anak itu.

Tidak ada manusia yang lebih baik untuk dipeluk ketika itu melainkan anak yang menjadi ujian buat kita.

Peluk kerana kita sayangkan dia bukannya kita benci dia. Yang mengecewakan kita adalah tingkah laku dia. Yang kita marah adalah tingkah laku dia yang menguji kesabaran kita.

Peluklah kerana mungkin tingkah laku itu disebabkan kerenggangan hubungan kita dengan dia selama ini.

Tautkanlah kembali dengan pelukan itu.

Peluklah dan berdoalah semoga Allah melembutkan hati dia dan juga menenangkan hati kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/