Setiap Keluarga Melalui Cabaran Yang Berbeza-beza

Usai sesi keibubapaan beberapa hari lalu, seorang Ibu bertanya saya, “Puan kenapa saya tidak melalui cabaran dengan anak-anak sepertimana yang disebut dan dilalui oleh orang lain? Adakah sesuatu yang tidak kena dengan keluarga saya?”

Setiap keluarga melalui cabaran yang berbeza-beza. Ada di antara cabaran yang diceritakan kepada saya oleh ayah dan ibu tidak saya lalui, ataupun apa yang saya lalui tidaklah seberat cabaran mereka. Saya juga yakin banyak cabaran yang saya lalui tidak dilalui oleh ibubapa yang lain.

Ini kerana:

  1. Latar belakang kita berbeza.
  2. Pemikiran kita berbeza.
  3. Gaya hidup kita berbeza.
  4. Sosioekonomi kita berbeza.
  5. Dinamik keluarga kita berbeza.
  6. Gaya keibubapaan kita berbeza.
  7. Prioriti kita berbeza.
  8. Anak-anak kita berbeza-beza.

Semua faktor ini menentukan jenis cabaran dan seberat mana cabaran yang akan kita lalui dengan anak-anak.

Apa yang penting, sebagai suami isteri dan sebagai ayah dan ibu, tetapkan matlamat keluarga dari awal.

Apakah karakter atau sifat yang ingin kita lihat ada dalam diri anak-anak? 
Apakah yang patut kita lakukan untuk mencapai matlamat ini? 
Apakah yang patut kita lakukan BERSAMA-SAMA dalam menghadapi cabaran dengan anak-anak?

Tanggungjawab mendidik anak tidak terletak di bahu seorang saja.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”.( Al-Baqarah: 286).

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Cabaran Keibubapaan

Proses keibubapaan (parenting) bukan hanya tentang mendidik anak-anak. ‘Parenting’ adalah proses dua hala yang melibatkan kedua-dua ibubapa dan anak-anak. Dalam mendidik anak-anak kita juga mendidik diri kita sendiri supaya menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Setiap ibubapa tidak dapat lari dari melalui ‘low parenting moments’ atau masa-masa duka masing-masing. Ini adalah momen-momen di mana kita rasa gagal dalam memikul tanggungjawab sebagai ibubapa dengan sebaiknya. Ini adalah momen-momen di mana kita rasa kecewa dengan diri kita sendiri kerana kesilapan-kesilapan yang kita rasakan telah kita lakukan dalam mendidik anak-anak.
Sebagaimana nasihat kita kepada anak-anak, jadikan setiap kesilapan kita itu sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri dan bukannya untuk menghukum diri.

Don’t be too hard on yourself because there is no perfect parents.

Ini adalah senarai cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh ibubapa dalam proses keibubapaan. Melihat pada senarai ini, saya yakin setiap daripada kita telah melaluinya dan mungkin sedang melaluinya. Setiap peringkat usia anak mempunyai cabarannya yang tersendiri. Anda tidaklah bersendirian dalam ‘low parenting moments’ anda.

 

Sumber dari kajian oleh Emma Kenny, Pakar Psikologi kanak-kanak (Daily Mail, UK)

Dari senarai ini, yang manakah cabaran terbesar bagi anda dalam membesarkan dan mendidik anak anda ketika ini?
Atau mungkin ada cabaran lain yang ingin dikongsi?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Anak-anak Memberikan Cabaran Yang Berbeza Pada Setiap Peringkat Usia

cabaranberbeza

Kredit Gambar: BeardoComic

Anak-anak memberikan cabaran yang berbeza pada setiap peringkat usia mereka.

Ketika bayi, kita diuji dengan kepenatan fizikal menguruskan anak yang bergantung sepenuhnya kepada kita. Tidur sering terganggu dan tidak cukup. Kitaran menyusukan anak, membersihkan anak dan menenteramkan anak sangat meletihkan. Memastikan bayi dijaga oleh pengasuh yang baik juga adalah cabaran yang besar ketika usia ini.

Semasa usia ‘toddler’, kita perlu berhadapan pula dengan anak yang sering meragam kerana inginkan otonomi. Anak mula mempunyai pendirian untuk melakukan sesuatu mengikut caranya sendiri walaupun kurang pengalaman. Membantah atau tidak menurut apa yang anak inginkan sering menimbulkan konflik dalam bentuk ‘tantrum’.

Ketika usia persekolahan kita perlu pula berhadapan dengan cabaran akademik yang terpaksa dilalui oleh anak. Adakalanya risau kita melebihi kerisauan anak. Pada usia ini juga anak melalui cabaran sosial kerana mula berkawan. Anak mungkin mula meniru tingkah laku yang tidak elok dan membawa pulang ke rumah. Kita pula perlu menyokong dan membimbing anak dan pada masa yang sama menetapkan batasan dan peraturan supaya anak berpegang kepada nilai keluarga kita. Peraturan ini adakalanya tidak menggembirakan anak tetapi bukanlah tugas kita untuk memastikan anak gembira sentiasa tanpa peraturan.

Dengan anak remaja, cabaran akademik dan sosial semakin memuncak. Pada peringkat usia inilah kita perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah anak yang banyak bermain dengan emosi. Pada usia ini jugalah rakan-rakan adalah segalanya bagi mereka. Mereka ingin bebas dari label kanak-kanak dan mahu berdikari. Pada masa yang sama mereka juga masih perlukan bimbingan. Mengimbangi antara memberikan mereka kebebasan dan menggalakkan mereka bertanggungjawab ke atas diri sendiri seumpama menarik rambut dalam tepung.

Proses keibubapaan ada pasang dan ada surutnya. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Fasa baru usia anak adalah pelajaran baru juga bagi kita. Rasa risau itu normal, rasa sedih itu normal, rasa kecewa itu normal, rasa bersalah itu normal, rasa marah itu normal.

Hargailah seribu satu kegembiraan dan kebahagiaan yang kita lalui sebagai ibubapa.
Carilah dan hargailah kebaikan anak-anak yang sudah pastinya ada, kerana itulah yang akan memberikan semangat buat kita di waktu kita rasa ‘gagal’ sebagai ibubapa.

Do’a.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)