Apakah Perkara Penting Anak-anak Kecil Pelajari?

belajar

Kredit Gambar: Google

Bagi ayah dan ibu yang bertanya apakah perkara penting yang perlu dipelajari di peringkat usia awal anak-anak, berikut adalah aspek pembelajaran penting bagi anak-anak usia tersebut. Pastikan pra sekolah anak-anak anda memberi penekanan kepada aspek-aspek ini.

Ayah dan ibu adalah pendidik utama, oleh itu kita juga bertanggungjawab ke atas pembelajaran anak-anak.

  1.  Belajar tentang perasaan orang lain dan membina empati terhadap orang lain.
  2. Belajar tentang perhubungan dengan orang lain dan mencari perkaitan antara hidup sendiri dan hidup orang lain.
  3. Membina keyakinan untuk berkomunikasi dengan orang lain.
  4. Bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah.
  5. Belajar untuk mendengar dan menghormati apa yang diperkatakan oleh guru dan ibubapa.
  6. Belajar untuk mendengar dan menghormati apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak lain.
  7. Belajar untuk memberikan dan menerima pendapat dan buah fikiran dalam kumpulan.
  8. Belajar tentang persamaan dan perbezaan antara manusia.
  9. Belajar tentang manusia dan penempatan yang berbeza-beza dan masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh mereka.
  10. Belajar tentang perbezaan antara manusia melalui kisah-kisah yang diceritakan kepada mereka.
  11. Belajar tentang kelebihan dan keterbatasan teknologi (bukan hanya komputer/gajet/telefon pintar) dan bagaimana ia boleh memberi manfaat dan mudarat kepada manusia.

 

Pendidikan awal bukan hanya belajar untuk pandai membaca, menulis dan mengira sahaja. Inilah usia yang terbaik untuk membina manusia.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Melentur Buluh Dari Rebungnya

brain

SITUASI 1
Pernahkah bayi anda menendang-nendang kakinya dan mengepak-ngepakkan tangannya dengan reaksi gembira apabila anda pakaikan bib untuknya?

Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa reaksi itu terhasil kerana bayi anda sedang berfikir?

Apabila kita pakaikan bib, bayi meramalkan (predict) bahawa sekejap lagi dia akan disuapkan makanan.

Ramalan ini dibuat berdasarkan pengalaman yang sudah dilaluinya sebelum ini. Bayi mengumpulkan maklumat yang ada dan meramal.
Meramal adalah salah satu elemen berfikir.

SITUASI 2
Pernahkah anak kecil anda mencampakkan sudu dari ‘high chair’ di meja makan dan merengek supaya anda mengutipnya? Apabila dikutip dia jatuhkan sudu semula dan merengek untuk dikutip? Dan mungkin proses ini berterusan sehingga anda biarkan saja tanpa mengutipnya dan dia pun berhenti merengek?

Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa anak kecil anda bukannya sengaja menguji kesabaran anda? Dia juga sedang berfikir.

Anak kecil ini cuba memahami proses kesan dan akibat (cause and effect).
“Apakah yang berlaku jika saya lakukan sebegini?”
“Adakah kesannya sama setiap kali?”

Memahami ’cause and effect’ adalah satu elemen berfikir yang ada dalam diri anak secara semulajadi dan perlu sentiasa dipupuk. Bukankah elemen ini perlu sehingga ke tua?

SITUASI 3
Pernahkah anak kecil anda menangis kerana kecewa dia gagal menyambungkan blok-blok binaannya? Apabila anda menunjukkan kepadanya cara melakukannya dia akhirnya tahu bagaimana caranya dengan meniru langkah-langkah yang ditunjukkan?

Meniru (imitation) juga adalah satu elemen berfikir. Dalam konteks ini ia menggabungkan skil pemerhatian, skil motor halus, koordinasi, dan perancangan untuk menghasilkan sesuatu yang sama seperti dilihatnya.

SITUASI 4
Adakah anak anda bertanya banyak soalan kepada anda?
Adakah dia bertanya soalan-soalan pelik yang anda sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya seperti “Kenapa air basah?” dan sebagainya?

Pernahkah anda terfikir bahawa apabila dia menyoal tidak mengira masa dan tempat, tidak mengira anda letih atau tidak, itu tandanya otaknya sedang ligat berfikir.

Menyoal (questioning) adalah juga satu elemen berfikir. Anak sedang cuba untuk mengumpulkan maklumat-maklumat untuk membentuk pemahaman tentang persekitarannya.

Pada siapakah lagi dia akan bertanya jika bukan pada adiwira dalam hidupnya?

Ini adalah antara contoh-contoh dalam kehidupan seharian anak yang menunjukkan bahawa anak berfikir sejak bayi lagi. Proses berfikir ini sering dipamerkan melalui tindak tanduknya yang mungkin kira rasakan biasa-biasa saja atau mungkin kita naik angin kerana menguji kesabaran kita. Sebenarnya tidak ada satu pun perbuatan semulajadi anak kecil yang sia-sia jika anda belajar untuk memahaminya.

Menggalakkan anak kecil berfikir bukanlah dengan cara memberikannya latihan yang sukar diluar kemampuannya untuk membuktikan ‘kegeniusan’ sahaja. Proses berfikir ini banyak berlaku apabila anak kecil bermain. Bermain bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Peluklah Anak Lelaki

hug

Kredit Gambar: Google

Ketika anak lelaki masih bayi, kita selalu memeluk mereka.
Bayi lelaki atau bayi perempuan sama saja bagi kita.

 

Ayah dan ibu, teruskanlah memeluk anak lelaki apabila mereka meningkat remaja kerana kajian oleh School of Sociology, Social Policy and Social Work, Queens University, Belfast mendapati anak lelaki perlu dipeluk dua hingga tiga kali lebih kerap berbanding anak perempuan untuk menghasilkan paras hormon oxytoxin yang sama.

Hormon inilah yang akan mengeratkan lagi perhubungan antara ibubapa dan anak.

Jika mereka merasa segan untuk dipeluk di khalayak ramai, peluklah mereka sebelum meninggalkan rumah. Tetapi jika mereka biasa dengan pelukan yang tidak putus dari kecil, mereka tidak akan terkesan dengan senyuman sinis rakan.

“Boys need two things that we tend to forget about when we focus only on their physical abilities and their higher activity levels: They need more touch and more conversation.”
Michael Thompson PhD., ‘Raising Cain’.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Math Anxiety

maths

Kredit Gambar: Google

Math anxiety iaitu perasaan takut pada Matematik memang benar wujud. Memaksa anak-anak yang mengalami ‘anxiety’ ini membuat banyak latihan dan membuat latihan yang terlalu susah yang tidak sesuai dengan perkembangan tidak membantu mereka mengatasi ketakutan ini.

Apa yang penting adalah mewujudkan keyakinan diri mereka terlebih dahulu terhadap subjek Matematik. Gunakan kelebihan yang mereka ada untuk membantu mereka memahami konsep matematik.

Mereka yang mahir Matematik perlu faham bahawa tidak semua manusia ada kelebihan seperti mereka tetapi mereka boleh dibantu dengan teknik yang betul.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Diri Saya Hak Saya

Bagi yang mengikuti Parent Connect ini sejak dua tahun yang lalu, bagi yang pernah menghadiri sesi-sesi saya dan bagi yang mengenali saya secara peribadi, tentu anda tahu bahawa salah satu aspek yang sering saya tekankan dalam ‘parenting’ sejak dulu adalah tentang Keselamatan Diri (Personal Safety) ataupun Pendidikan Seksual Anak-anak.

 

dirisayahaksaya

Ramai orang dewasa yang sudah berkahwin dan belum berkahwin tampil bercerita kepada saya tentang kisah-kisah hitam masa lalu mereka didera secara seksual ketika kecil dulu yang sering menghantui mereka sehingga kini. Mereka didera oleh orang yang dekat dengan mereka.

Apabila saya bertanya apakah nasihat yang ingin mereka berikan kepada ibubapa sekarang, jawapan mereka sama saja,

“Ajari anak tentang Keselamatan Diri (Pendidikan Seksual) supaya anak tahu apa yang harus dilakukan.”

Saya menyokong segala usaha oleh sesiapa saja untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran tentang isu ini.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Di bawah adalah coretan NGO Mothers against Pornography.

________________________________________________

Harapkan pegar, pegar makan padi.

Mutakhir ini, begitu banyak sekali kes-kes pencabulan yang berlaku ke atas anak-anak, tidak kira kecil atau remaja. Yang tambah memeritkan apabila yang melalukan perbuatan durjana ini adalah dari kalangan mereka yang sepatutnya melindungi anak-anak tersebut.

Adakah kita hanya sekadar baca dan biarkan kisah-kisah tragis itu berlalu pergi kerana kita merasakan yang ianya tidak terjadi kepada anak-anak kita?

Jangan sampai kita menangis tidak berlagu kerana menyesal tidak mengambil berat dan mengambil tahu.
Ayuh, kita sama-sama ambil peduli. Kita perkasakan anak-anak kita. Mari bersama-sama kami, kita berpegang tangan berganding bahu dalam menyebarluaskan kesedaran tentang keselamatan diri dan maruah anak-anak kita.

“DIRI SAYA HAK SAYA” adalah manifestasi kekuatan kita dan anak-anak.
Layari www.lovemyself.ikram.org.my/ untuk mengikuti kursus atas talian (online course) PERCUMA berkaitan cara-cara menjaga keselamatan diri dan maruah anak anda.

Jom sertai pertandingan video berkisar tentang topik ini – terbuka untuk anak-anak berumur 5-12 tahun
Kami juga ingin mengajak anda untuk sama-sama sertai larian LoveMyself Run 2017 apda 22 Oktober 2017 bertempat di Padang Merbuk, KL sebagai tanda solidariti kita bersama-sama bencikan dan menolak virus pornografi dari terus merebak dan bernanah dalam masyarakat kita.

#BahagiaTanpaPornografi
#LoveMyselfCampaign
#lovemyselfrun2017
#22October2017PadangMerbokKL

Matematik Keibubapaan

Mungkin kita biasa menyebut atau mendengar orang menyebut:

“Sebab kena marah dengan ayah dan emak dululah saya jadi orang.”

Sebenarnya proses menjadi manusia adalah proses yang kompleks dan bukan hanya dengan dimarahi kita boleh jadi manusia.

Sejak berdekad yang lalu, Dr. John Gottman, seorang Profesor Emeritus dalam bidang Psikologi dan juga seorang pakar perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan dari The Gottman Institute telah membuat pelbagai kajian tentang amalan-amalan positif dan negatif dalam perkahwinan dan institusi kekeluargaan.

Beliau merumuskan bahawa untuk sesebuah perkahwinan itu lebih harmoni dan berkekalan, sepasang suami isteri memerlukan 5 interaksi positif kepada setiap 1 interaksi negatif.

magicratio

NISBAH 5:1 (MAGIC RATIO 5:1)

Contohnya jika suami atau isteri menyindir pasangan, interaksi negatif itu harus diikuti dengan 5 interaksi positif seperti memuji, berterima kasih, memeluk, belanja ‘lunch’, bergurau senda, membantu, berlembut, memujuk dan sebagainya untuk memulihkan keadaan dan emosi. Jika nisbah interaksi ini kurang dari 5:1 dan ia berlanjutan, keharmonian sukar wujud dalam perhubungan suami isteri.

Nisbah yang sama juga perlu diapplikasikan antara ibubapa dan anak-anak.

1 interaksi negatif seperti marah, kritik, cemuh, sindir, sarkastik, ungkit, bebel dan sebagainya haruslah diikuti dengan 5 interaksi positif seperti peluk, cium, belai, nasihat, bergurau, puji, sembang, masa kualiti, main, dan sebagainya.
Hanya dengan cara ini kita boleh mewujudkan harmoni dan kerjasama antara ibubapa dan anak.

Kesimpulannya bukanlah marah yang menyebabkan kita jadi manusia, tetapi belaian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibubapalah yang menyebabkan kita jadi manusia.

Marah adalah perlu jika diperlukan dan interaksi positif yang lebih dari negatif adalah juga penting.

Bagaimana nisbah keluarga kita hari ini?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Stay-At-Home-Mum

sahm

Kredit Imej: Google

Apabila seorang ibu memilih untuk menjadi seorang Stay-At-Home Mum, ia bukanlah bermakna ayah boleh lepas tangan dan merasa lega kerana tidak perlu bayar kos pengasuh, lega kerana anak akan terjaga dengan baik oleh ibunya sendiri. Ayah sebaliknya memainkan peranan yang sangat besar memberi sokongan emosi kepada ibu kerana memilih pekerjaan yang paling sukar di dunia dan paling mencabar mental dan emosi.

Stay-At-Home Dads tentu faham. 😊

Noor Afidah Abu Bakar 
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kenapa Anak Saya Tidak Seperti Anak Dia?

Hari-hari anda ‘follow’ perkembangan anak comel itu di Instagram.

“Oh comelnya. Nak anak macam ni jugak nanti” – komen anda di Instagram tersebut.
Anda ‘tag’ pasangan anda.

 

tidakseperti

Satu lagi komen di Instagram anak comel itu, “Nanti kita buat macam ini jugak dengan anak kita Ayang.”

Komen lagi “Semoga anak saya jadi macam ini. Amin.”

Komen lagi “Baiknya dia. Untungla ada anak macam ini.”

Saya kira banyak juga ‘komen’ yang tidak ditulis di Instagram itu. Komen yang hanya disimpan di dalam hati.

Boleh dikatakan semua ibubapa berdoa dan menaruh harapan untuk mempunyai anak yang ‘perfect’ seperti yang dilihat di media sosial.

Apa yang kita tidak nampak dan tidak diberitahu adalah cabaran ayah dan ibu anak tersebut dalam membesarkan anak itu, sepertimana ayah dan ibu yang lain membesarkan anak mereka.

Sepertimana kita juga.

Bolehkah anak kita menjadi seperti anak orang lain?

Insya Allah boleh. Kita doakan. Tetapi bukanlah 100%.

Anak-anak dilahirkan dengan pembawaan yang unik. Jika anda mempunyai anak lebih dari seorang anda akan faham pembawaan ini. Anak comel dan baik yang anda lihat di Instagram itu juga mempunyai pembawaannya yang tersendiri yang mungkin berbeza dari anak anda.

APAKAH PEMBAWAAN (TEMPERAMENT)?

Pembawaan adalah kecenderungan semulajadi anak-anak.
Ia merupakan cara anak bertindakbalas terhadap apa yang berlaku di persekitaran anak. Jika anda melihat anak di Instagram itu tenang dan ‘cool’ saja apabila tidak diberikan apa yang dia mahu, anak anda yang mudah mengamuk itu berkemungkinan besar mempunyai pembawaan yang berbeza.

Jika pembawaan berbeza, kaedah yang perlu kita gunakan untuk mendidik dan membentuk anak kita juga berbeza dari anak comel ataupun remaja yang hebat di Instagram itu.

Terdapat 3 pembawaan asas:

1) Pembawaan mudah (Easy temperament)

Anak dalam kategori ini tidak banyak kerenah. Merengek pun sekejap saja dan mudah dipujuk. Anak sentiasa kelihatan tenang dan gembira. Anak ini tidak mudah terganggu dengan bunyi bising, mudah menyesuaikan diri dengan tempat baru dan cepat berkawan.

2) Pembawaan lambat hingga sederhana (Slow to warm up)

Anak dalam kategori ini mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan tempat baru dan orang baru. Mereka selalu dilabel sebagai ‘pemalu’. Apabila berhadapan dengan situasi baru, mereka akan menyisihkan diri dan memerhati terlebih dahulu.

3) Pembawaan sukar (Feisty)

Biasanya anak dalam kategori ini adalah seorang yang cerewet, lasak dan kadangkala agresif. Anak menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan mudah terganggu atau tercuit oleh orang lain. Anak ini mengambil masa untuk ditenteramkan.

Walau bagaimanapun 35% kanak-kanak didapati mempunyai pembawaan bercampur dan tidak tergolong dalam satu kategori tertentu.

Tidak ada pembawaan yang tidak baik. Semuanya dijadikan Allah baik, lahir seumpama kain putih walaupun pembawaan berbeza-beza.

Sebagai ibubapa, kita perlu faham pembawaan individu anak-anak kerana kita perlu mencari kaedah yang bersesuaian dengan pembawaannya (goodness of fit) untuk membimbing anak-anak.

Kata-kata seperti “Oh anak saya memang macam tu, suka melompat-lompat atas sofa sebab dia mempunyai pembawaan sukar. Saya kena faham dan sokong” adalah salah sama sekali. Jangan dijadikan sebagai alasan. Walaupun anak mempunyai pembawaan sukar, kita boleh menyalurkan tenaganya ke arah yang baik. Sediakan persekitaran yang sesuai untuk anak melompat-lompat. Mana tahu satu hari nanti dia menjadi jaguh acara lompat galah Sukan Olimpik.

Jika kita adalah seorang ayah atau ibu yang ekstrovert yakni suka dan senang bergaul dengan orang lain, anak yang mempunyai pembawaan lambat hingga sederhana mungkin memberi tekanan kepada kita.

“Kenapalah anak saya ini anti sosial sangat? Budak-budak lain senang saja bermain, berkawan. Dia terperok sorang-sorang di sudut itu saja.”

Kesesuaian antara pembawaan atau personaliti kita dan anak kita juga perlu dicari. Kita tidak boleh memaksa anak menjadi seperti kita jika pembawaan anak adalah berbeza.

Kita mungkin biasa mendengar ibubapa kita sendiri atau orang tua berkata,
“Lain betul perangai anak kamu dengan kamu.”
Itu biasa.

Walau bagaimanapun kita perlu membimbing anak supaya dia dapat membina akhlak, adab dan skil-skil penting dalam hidup tidak kira apa saja pembawaannya.

Kita tidak boleh menekan anak untuk menjadi seperti anak yang kita lihat di Instagram itu. Kadang-kadang teknik yang sama belum tentu membuahkan hasil yang sama. Fahami pembawaan anak dan cari kesesuaian antara anak dengan persekitaran dan anak dengan kita juga.

Banyak konflik berlaku antara ibubapa dan anak remaja kerana tidak dicari kesesuaian pembawaan.

Apakah pembawaan anak anda?
Adakah pembawaan anak sama dengan pembawaan anda?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect