“Pecahkan Ni Ye Mama. Pecahkan Ye!”

“Pecahkan ni ye Mama. Pecahkan ye!”

Tumpuan kepada kerja-kerja saya terganggu apabila mendengar nada ugutan yang keluar dari mulut seorang anak kecil kepada ibunya.
Saya menjeling ke arah datangnya suara itu. Seorang wanita duduk bersama dua orang anaknya, seorang lelaki yang berusia lingkungan 8 tahun dan seorang perempuan yang berusia lingkungan 6 tahun.

Anak perempuan masam mencuka sementara anak lelaki buat hal sendiri seakan kebosanan.

“Tengoklah abang ni Mama. Tengoklah, Dia kacau.”

Ibu masih khusyuk dengan telefonnya tanpa sebarang ekspresi.
“Sekejap la, Mama nak balas ni kejap.” Si Ibu bersuara memberi respon kepada anak tanpa memandangnya.

huffchild

Kredit Imej: Huffington Post

“Nak pecahkan ni! Nak pecahkan!” Anak perempuan masih mengugut hendak pecahkah ‘tablet’ yang dipegangnya.

“Sekejap la.” Balas ibu lembut dengan matanya melekap pada telefon. Sedikit pun tidak dijelingnya kepada anak yang mengugut.

Anak itu kelihatan kecewa kerana tiada perhatian daripada ibu.

“Nak kencing dalam seluar!” Ugutan anak berterusan tetapi kali ini bukan lagi tentang ‘tablet’.

“Kencing dalam seluar!” Sambil anak memegang seluarnya dan memerhatikan si ibu.
Mata ibu masih pada telefonnya. Langsung tidak terganggu seolah-olah itu perkara biasa.

Rimas saya melihat si Ibu.

“Oh ibu, pandanglah sekejap anak itu. Sudah lama dia cuba mencuri perhatianmu. Sekejap pun jadilah. Dia hanya ingin mengadu,” getus hati saya.

Selama hampir 20 minit anak mengugut ibu supaya memberi perhatian kepadanya. Dia ingin mengadu tentang abangnya yang mengganggu.

Abang kebosanan, adik diganggunya.
Itu biasa.

Balasan ibu hanyalah “Sekejap” “Sabar” “Ibu perlu balas e-mail”
Jeling pun tidak.
Mungkin itu juga perkara biasa dalam dunia yang serba terkejar-kejar sekarang ini.

Tetapi anak kecil mengugut untuk merosakkan harta benda dan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, itu luar biasa.

Anak sanggup lakukan apa saja untuk mendapatkan perhatian ibubapa. Apa saja seperti anak perempuan ini.

Perhatian yang diberikan adalah isyarat bahawa dirinya bernilai dan dihargai. Jika dirinya dirasakan tidak bernilai bagi ibu, kenapa perlu dia peduli tentang tablet atau seluar yang dikotorkan? Itu hanyalah material yang boleh diganti.

‘Attention seeking’ adalah sifat semulajadi anak-anak, tidak kiralah kecil atau remaja.
Tingkah laku anak akan dipengaruhi oleh matlamat inginkan perhatian.

Ingatkah lagi penulisan saya tentang ‘sense of belonging?’

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Satu Kaedah Menyelesaikan SEMUA Cabaran Tingkah-laku Anak

topsecret

Sebagaimana tidak ada satu ubat yang dapat mengubati semua penyakit, begitu juga tidak ada satu kaedah yang dapat menyelesaikan semua cabaran tingkah laku anak.

Kita harus bertanya KENAPA tingkah laku anak sebegitu.  Apakah penyebabnya?  Tanpa mencari puncanya terlebih dahulu, apa sahaja kaedah yang kita gunakan belum tentu berkesan untuk memperbaiki tingkah laku tersebut.

There is no MAGIC solution

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Dua Pusar Kepala dan Tingkah-laku Anak

Apakah Kaitannya?

Sudah lama saya tertarik untuk meneroka pendapat dan kepercayaan tentang anak yang mempunyai dua pusar (double hair whorl) yang menjadi pegangan dalam masyarakat sejak sekian lama. Apabila seorang ayah meminta pendapat saya tentang kepercayaan ini, saya terpanggil untuk membuat sedikit kajian tentang kebenaran kepercayaan tersebut.

pusar

Adakah anak anda mempunyai dua pusar?
Atau anda sendiri mempunyai dua pusar di atas kepala?
Jika ya, adakah anda seorang yang sukar dikawal ketika kecil atau adakah anda sering diberikan label dan tanggapan negatif oleh orang tua-tua kerana pusar anda?
Jika anda mempunyai dua pusar adakah anda sering masuk keluar pejabat guru disiplin ataupun mungkin sering masuk keluar penjara?
Jika tidak, alhamdulillah. Ternyata kedua ibubapa anda mendidik anda dengan baik sekali walaupun anda mempunyai dua pusar.

Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, menimbulkan masalah, sukar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label yang negatif.
Benarkah semua mereka begini?

Selalunya dari lahir lagi sudah kelihatan pusar anak. Jika anak mempunyai dua pusar, dari lahir lagilah label diberikan kepada anak terutamanya oleh segelintir orang tua-tua. Walaupun kita belum lagi cuba untuk mengenali anak tersebut dan belum cuba lagi mendidik anak tersebut, dia sudah pun dilabel dengan label yang membawa konotasi ‘akan memberi kesukaran’.

Adilkah begitu?

Jika begitu persepsi kita dari awal, maka segala kebaikan anak tidak akan kita nampak kerana yang kelihatan hanyalah tingkah laku yang menguji kesabaran kita.

Mungkin segelintir orang tua-tua ini mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu mereka tetapi untuk membuat generalisasi tentang semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.

Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institut yang banyak menjalankan kajian tentang genetik dan genomic manusia, 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gene manusia.

Kepercayaan tentang anak dua pusar bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu sahaja, malah ia juga dipegang oleh masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan beberapa kelompok masyarakat lagi. Kemungkinan besar penghijrahan manusia membawa kepercayaan ini berhijrah dari satu tempat ke satu tempat sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Ada kepercayaan kuno yang mengatakan roh akan memasuki tubuh seorang manusia melalui pusarnya sejak dari awal kandungan di dalam perut ibu lagi. Apabila bayi mempunyai dua pusar, dua roh akan memasuki tubuh bayi tersebut dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-dua roh ini. Kedua-dua roh ini akan cuba bersatu menjadi satu roh yang kemudiannya menjadi roh anak tersebut. Kerana pertembungan dua roh inilah, bayi itu membesar menjadi seorang yang keliru, sering memberontak, sukar dikawal, nakal dan degil.
Anda percaya?

Bukankah sebagai seorang Muslim kita percaya bahawa seorang anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walaupun berapa pusar sekalipun yang dimiliki oleh anak tersebut?

Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa?

Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar tentang dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengan anak akan mewujudkan konsep diri (self concept) anak.
Anak sering tertanya tentang dirinya.
Siapa saya? Apakah peranan saya? Apakah kebaikan saya? Jika yang sering didengari tentang dirinya adalah label negatif, maka itulah kepercayaan anak tentang dirinya. Berhati-hatilah dalam melabel anak.

Tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.

Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku.


 

Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibubapa memahami dan mendidik anak.

Ibubapa perlu faham:

1) Perkembangan kanak-kanak (Child Development)

Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan seperti orang dewasa kerana dia belum lagi boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.

Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.
Kita tidak boleh mengharapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarah kepadanya.

Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah diberi anak makan macam-macam produk yang mungkin hanya memudaratkan anak lagi. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.

2) Pembawaan kanak-kanak (Temperament)

Setiap seorang daripada kita dilahirkan dengan sifat semulajadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan,tidak cerewet, ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada yang pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.
Sebagai ibubapa kita perlu mengetahui anak kita berada dalam kategori pembawaan yang bagaimana kerana cara kita menguruskan anak bergantung kepada pembawaan mereka. Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza.
Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami pembawaannya.

3) Fahami juga kecenderungan anak
Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana kemari, mencuba itu ini, memegang itu ini, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah di halang.

Apa yang perlu dilakukan oleh ibubapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatan anak.
Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibubapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.

4) Selain itu ibubapa juga perlu sepakat dalam proses mendidik dan membesarkan anak.

Ibubapa perlu sepakat tentang kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.
Jika ayah berkata “Ya” dan ibu berkata “Tidak”, anak akan keliru dan itulah yang menjadi punca utama anak degil dan tidak mendengar kata. Apabila dia keliru cakap siapa yang perlu diikut, dia akan mengikut kata hati dia sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.

5) Ibubapa adalah guru dan role model terbaik anak.

Anak adalah cerminan diri kita sendiri. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak-anak kita?

Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Di antaranya adalah bimbingan daripada ibubapa, persekitaran anak, rakan-rakan anak, apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosi anak, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama dalam keluarga yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.

Jangan jadikan dua pusar sebagai ‘escapism’ atau jalan keluar untuk kita berputus asa dengan anak. Sentiasalah berdoa supaya anak-anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.

Oh ya, anak saya sendiri mempunyai dua pusar kepala.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

SALAH SATU ‘Little Things That Matter’

Apabila saya menyarankan agar para bapa membantu menukar lampin anak dalam hantaran (posting) sebelum ini, itu bukanlah bermakna saya letih menukar lampin anak saya seperti pendapat di ruangan komen. Anak-anak saya sudah dewasa dan remaja, itu bukanlah satu isu.

Bukanlah juga kerana saya ingin meletakkan nilai kuantitatif pada kasih sayang seorang ayah seperti pendapat di ruangan komen.

Dalam keibubapaan, terdapat banyak perkara kecil yang membawa makna yang besar – ‘little things that matter’.

Salah satu cabaran kita sebagai ibubapa sekarang adalah masa yang kurang untuk diluangkan dengan anak-anak. Jika kurang masa, bagaimana kita hendak membina ikatan (connection) dengan anak?

Ikatan dengan anak ini bukan hanya perlu dan penting apabila anak kecil sahaja. Ikatan ini lebih diperlukan apabila anak meningkat remaja apabila proses keibubapaan menjadi lebih rumit dan mencabar. Ikatan yang dibina dari awal lagi dapat membantu apabila kita menjadi ibubapa kepada anak-anak remaja.
InsyaAllah.

Oleh itu, membantu menukar lampin anak adalah SALAH SATU ‘little things that matter’ bagi membina ikatan dalam kesuntukan waktu.

Itu usaha kita.

Noor AfIdah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Latihlah Anak Berfikir

Jika kita ingin membentuk anak-anak yang berfikir, kita perlu melayan anak sebagai individu yang punya akal dan fikiran.

think

Kredit Gambar: medium

Proses memperbaiki tingkah laku anak menjadi lebih efektif jika anak diajak untuk sama-sama berfikir akan kesan dan akibat perbuatannya berbanding diarah untuk melakukan sesuatu tanpa memahami.
Itulah gunanya akal dan fikiran.
Bukan untuk menjadi pandai akademik sahaja ataupun menggunakan akal pada jalan yang tidak sepatutnya.

Bagi anak yang berusia 4 tahun ke bawah, menyelesaikan masalah sendiri adalah sesuatu yang sukar dilakukan oleh mereka kerana keupayaan kognitif (penyelesaian masalah) masih di peringkat awal.
Inilah yang menyebabkan tantrum yang kita lihat pada kanak-kanak usia tersebut.
Apabila mereka menghadapi masalah atau terpaksa berlawan dengan emosi, mereka akan hilang kawalan.

Dalam situasi sebegini,

  1. memindahkan anak dari situasi yang menyebabkan dia hilang kawalan ataupun memindahkan objek yang menyebabkan anak hilang kawalan adalah kaedah yang terbaik.
  2. membimbing anak memikirkan alternatif adalah juga kaedah yang baik.

 

Contohnya:

“Ibu tidak benarkan kamu menendang bola dalam rumah. Jom kita ke padang.”

“Ayah tidak benarkan kamu memukul orang lain. Kalau geram sangat boleh pukul bantal tetapi bukan kawan.”

Apabila anak sudah lebih dari usia 4 tahun, kita sudah boleh melatih anak dengan skil penyelesaian masalah.

Jika berlaku sesuatu, tanyalah pada anak:

“Kenapa ini berlaku?”
“Bagaimana perasaan bila jadi begini?”
“Apa yang boleh dibuat supaya tidak berlaku lagi?”
“Bagaimana hendak memperbaiki keadaan?”

Jangan memandang rendah keupayaan anak untuk berfikir. Jika kita tiada keyakinan pada anak-anak, mereka juga tidak yakin dengan keupayaan mereka sendiri.
Ini adalah proses yang menggalakkan anak menggunakan akal dan fikiran apabila melakukan kesilapan atau menghadapi kesukaran.
Ini merupakan skil yang penting dalam kehidupan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

FORUM: Anak Yang Periksa Ibubapa Yang Risau

alfarabi

FORUM: Anak Yang Periksa Ibubapa Yang Risau.
Anjuran Sekolah Islam Al Farabi, Klang.

Moderator : Ustazah Shadiya Abbas, ahli panel Al-Hidayah TV3.

Saya juga seorang ibu, dan saya juga risau apabila anak hendak menduduki peperiksaan walaupun anak yang sudah berada di Universiti.

Perasaan risau itu normal cuma kita perlu melatih diri untuk mengawal kerisauan itu supaya tidak memudaratkan anak yang sepatutnya menjadi fokus kita.

Pendapat saya, kita perlu mengenalpasti apa yang menyebabkan kita risau.

1) Adakah kerana ‘peer pressure’ yakni apa yang kita lihat dan dengar di hadapan kita atau di media sosial menyebabkan kita tertekan?

2) Adakah harapan kita kepada anak terlalu tinggi dan kurang bersesuaian dengan perkembangan dan keupayaan anak?
Atau adakah terlalu rendah sehingga kita tidak menggalakkan anak untuk berusaha?

3) Adakah andaian kita yang salah tentang anak menyebabkan kita sentiasa risau. Mungkinkah anak tidak rajin belajar kerana dia tidak faham atau ada isu di sekolah dan bukannya kerana dia malas?

4) Adakah kita terlalu risau tentang masa depan anak sehingga kita tidak memberi tumpuan kepada kekuatan dan kelebihan anak pada masa sekarang?

5) Adakah kita membanding-bandingkan anak dengan diri kita atau dengan adik-beradik atau rakan sehingga menyebabkan kita risau?

6) Atau adakah pengalaman atau kekecewaan kita pada masa lalu menyebabkan kita terlalu risau?

Semua persoalan ini perlu diuruskan terlebih dahulu kiranya ia mengganggu dan merisaukan kita.

Saya setuju dengan tips daripada Prof. Joharry, Pensyarah Fakulti Pendidikan UIA, yang menjadi ahli panel bersama-sama saya, bahawa yang paling penting bagi ibubapa adalah mewujudkan suasana pembelajaran dan suasana suka membaca dalam rumah. Ini akan menjadi motivasi terbaik untuk anak.

Selain itu sentiasalah mengadakan perbincangan ilmiah dalam keluarga di samping perbualan santai. Wujudkan budaya ilmu dalam keluarga.

Tahniah diucapkan kepada PIBG Sekolah Islam Al Farabi yang menganjurkan forum ini.

Terima kasih juga diucapkan kepada ADUN Selat Klang, YB Dr. Halimah Ali yang turut hadir ke forum ini walaupun mempunyai jadual tugasan yang padat.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy.

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Kredit gambar: S.I. Al Farabi

Perhubungan Rapat Antara Ayah dan Anak Boleh Dibina Dengan Hanya Menukar Lampin

Tahukah anda perhubungan yang rapat antara ayah dan anak boleh dibina dengan hanya menukar lampin anak sejak hari pertama anak lahir?

3 tahun pertama kehidupan seorang anak adalah waktu kritikal di mana ‘attachment’ sangat diperlukan. ‘Attachment’ inilah yang akan membina rasa percaya (trust) dan hubungan yang rapat (connection) yang berpanjangan (insya Allah) antara ayah/ibu dan bayi.

Ketika 3 tahun pertama, anak memerlukan lebih kurang 5000 kali pertukaran lampin. Jika seorang ayah menukar lampin hanya 20% kali sekalipun, itu sudah memberi 1000 peluang untuk ayah ‘bond’ dan berinteraksi dengan anak. Ayah perlu mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan perhatian bayi untuk menukar lampinnya dan bayi pula selalunya terhibur dengan gurauan ayah ketika berinteraksi.

Interaksi yang dibina dari peringkat awal inilah juga yang menjadikan tugas mendisiplinkan anak lebih mudah kerana ‘connection’ telah pun terbina.

Jika menukar lampin pun tidak mahu dilakukan, bagaimana ayah hendak memainkan peranan sebagai pembimbing tingkah laku anak?

Easy peasy.

Syabas saya ucapkan kepada semua ayah yang menukar lampin anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ayah, Oh! Ayah. Kenapakah Begini?

Ayah oh! Ayah kenapakah begini?

Bukankah ayah adalah seorang pelindung keluarga dan anak-anak?
Belum reda lagi kedukaan kita menangisi pemergian adik Aina Nabihah kerana didera dengan kejam oleh ayah kandungnya sendiri.

bh


“Di antara perasaan-perasaan yang utama yang diletakkan Allah SWT dalam hati kedua ibubapa adalah perasaan rahmat terhadap anak-anak, serta kasih sayang dan belas kasihan terhadap mereka. Ini adalah satu perasaan yang mulia di dalam soal pendidikan anak-anak. Juga dalam soal penyediaan dan pembentukan mereka untuk mendapatkan sebaik-baik natijah dan setinggi-tinggi kesan.

Hati yang sepi dari sifat rahmat akan menyebabkan tuannya bersikap kasar, keras dan kejam yang sangat dibenci. Sifat-sifat yang buruk ini akan menyebabkan si anak menjadi bengkok dan tersungkur ke dalam kekotoran sifat-sifat yang dikeji, dan sudut sudut kejahilan dan kejahatan.

Lantaran itu, kita dapati syariat Islam kita telah menentukan pembentukan rahmat di dalam hati, dan menganjurkan para orang dewasa seperti ayah, guru, ataupun orang yang bertanggungjawab untuk memperelok diri dengan sifat rahmat, serta berkelakuan dengannya.”

Al Bukhari telah meriwayatkan daripada Aisyah r.a. katanya,

“Telah datang seorang Arab dusun kepada Nabi SAW seraya bertanya: Apakah kamu menciumi anak-anak kamu? Kami tidak! Maka berkata Rasulullah SAW: Apa yang hendak dikatakan lagi, kerana Allah telah mencabut sifat rahmat itu dari hatimu.”

(Dipetik dari buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, Abdullah Nasih Ulwan, Jilid 1)

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/384519/bapa-hempas-anak-ke-lantai-kerana-menangis

Anak-anak Kehilangan Waktu Bermain

Tahukah anda menurut kajian, dalam jangkamasa 20 tahun ini kanak-kanak telah kehilangan 2 jam setiap hari waktu bermain kerana fokus diberikan kepada akademik dan peperiksaan.

play

Kredit Gambar: Google

Maknanya jika semasa ibubapa kecil dulu kita biasa bermain waktu petang selama dua jam dari jam 4.30-6.30 petang, sekarang ini waktu itu bukan lagi waktu bermain yang sepatutnya.

Adakah trend ini menjadikan kanak-kanak sekarang berbeza daripada kanak-kanak dahulu?

Jawapannya ya.

Kerana setiap pengalaman menghubungkan sel-sel otak, setiap pengalaman membentuk perkembangan dan keperibadian seorang individu.

(Main gajet tidak termasuk bermain ya)

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect