FORUM: Anak Yang Periksa Ibubapa Yang Risau

alfarabi

FORUM: Anak Yang Periksa Ibubapa Yang Risau.
Anjuran Sekolah Islam Al Farabi, Klang.

Moderator : Ustazah Shadiya Abbas, ahli panel Al-Hidayah TV3.

Saya juga seorang ibu, dan saya juga risau apabila anak hendak menduduki peperiksaan walaupun anak yang sudah berada di Universiti.

Perasaan risau itu normal cuma kita perlu melatih diri untuk mengawal kerisauan itu supaya tidak memudaratkan anak yang sepatutnya menjadi fokus kita.

Pendapat saya, kita perlu mengenalpasti apa yang menyebabkan kita risau.

1) Adakah kerana ‘peer pressure’ yakni apa yang kita lihat dan dengar di hadapan kita atau di media sosial menyebabkan kita tertekan?

2) Adakah harapan kita kepada anak terlalu tinggi dan kurang bersesuaian dengan perkembangan dan keupayaan anak?
Atau adakah terlalu rendah sehingga kita tidak menggalakkan anak untuk berusaha?

3) Adakah andaian kita yang salah tentang anak menyebabkan kita sentiasa risau. Mungkinkah anak tidak rajin belajar kerana dia tidak faham atau ada isu di sekolah dan bukannya kerana dia malas?

4) Adakah kita terlalu risau tentang masa depan anak sehingga kita tidak memberi tumpuan kepada kekuatan dan kelebihan anak pada masa sekarang?

5) Adakah kita membanding-bandingkan anak dengan diri kita atau dengan adik-beradik atau rakan sehingga menyebabkan kita risau?

6) Atau adakah pengalaman atau kekecewaan kita pada masa lalu menyebabkan kita terlalu risau?

Semua persoalan ini perlu diuruskan terlebih dahulu kiranya ia mengganggu dan merisaukan kita.

Saya setuju dengan tips daripada Prof. Joharry, Pensyarah Fakulti Pendidikan UIA, yang menjadi ahli panel bersama-sama saya, bahawa yang paling penting bagi ibubapa adalah mewujudkan suasana pembelajaran dan suasana suka membaca dalam rumah. Ini akan menjadi motivasi terbaik untuk anak.

Selain itu sentiasalah mengadakan perbincangan ilmiah dalam keluarga di samping perbualan santai. Wujudkan budaya ilmu dalam keluarga.

Tahniah diucapkan kepada PIBG Sekolah Islam Al Farabi yang menganjurkan forum ini.

Terima kasih juga diucapkan kepada ADUN Selat Klang, YB Dr. Halimah Ali yang turut hadir ke forum ini walaupun mempunyai jadual tugasan yang padat.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy.

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Kredit gambar: S.I. Al Farabi