Ibubapa Berlumba-lumba…

Dari lahirnya seorang anak, ibubapa sudah mula berlumba-lumba sesama sendiri tanpa kita sedar. Kita mengheret sama bayi dan anak kecil yang tidak tahu apa-apa dalam perlumbaan yang kita cipta. Media sosial merancakkan lagi pertandingan antara ibubapa dan menyebabkan tekanan yang melampau ke atas anak-anak walaupun kita tidak mengakuinya.

Siapa menyusu badan, siapa menyusu botol?
Siapa rajin menyediakan makanan ‘home-cooked’ untuk bayi?
Bayi siapa yang tidur nyenyak sepanjang malam?
Bayi siapa yang paling cepat merangkak?
Bayi siapa yang paling cepat berjalan?
Siapa yang paling banyak menyediakan aktiviti untuk anak-anak kecilnya?
Anak siapa yang paling awal membaca?
Anak siapa yang paling mahir matematik?
Anak siapa yang paling cepat bercakap?
Anak siapa yang sering mendapat no. 1 semasa tadika?
Anak siapa yang paling berakhlak?
Anak siapa menghafal Al Quran dari bayi?
Keputusan peperiksaan anak siapa sentiasa cemerlang?
Anak siapa yang berjaya memasuki sekolah berasrama?
Anak siapa yang paling berbakat?
Anak siapa mempunyai skil yang hebat?
Anak siapa dapat memasuki universiti awam dan terkemuka?

Persaingan tidak putus-putus.

Setelah hampir 30 tahun mengkaji tentang kesan persaingan di kalangan pelajar, Alfie Kohn, seorang Pakar Pendidikan yang terkenal, merumuskan dalam buku “No Contest – The Case Against Competition” bahawa persaingan tidak semestinya menjadikan pelajar lebih cemerlang.

Apabila peperiksaan dijadikan kaedah penilaian dari peringkat tadika lagi, kanak-kanak yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang akan kehilangan motivasi untuk belajar dari awal lagi. Kanak-kanak yang cemerlang pula akan sentiasa merasa tertekan untuk mengekalkan kecemerlangan dalam persaingan secara berterusan.
Kanak-kanak kecil ini tidak mempunyai peluang untuk meneroka kelebihan dan keupayaan diri kerana mereka dihakimi terlalu awal dalam persaingan dan pertandingan yang tidak mereka pinta.

Dalam kajian-kajian yang dijalankan selama 60 tahun,

  1. 65 kajian mendapati bahawa kanak-kanak belajar dengan lebih bermakna dan efektif apabila mereka belajar melalui kolaborasi dan bukannya persaingan sesama sendiri.
  2. 8 kajian mendapati bahawa persaingan menjadikan pembelajaran lebih efektif.
  3. 36 kajian mendapati bahawa tiada perbezaan kepada keberkesanan pembelajaran antara persaingan dan kolaborasi.

Kajian juga mendapati bahawa bahagian otak yang mengawal ketakutan (fear) menjadi lebih aktif apabila kanak-kanak mengetahui bahawa tugasan yang diberikan kepada mereka adalah satu pertandingan sesama mereka. Kanak-kanak tidak merasa selamat dan selesa dalam proses pembelajaran yang berteraskan persaingan sedangkan perasaan selamat dan selesa adalah elemen penting supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna dan efektif.

Kurangkan persaingan dan perbanyakkan kolaborasi sesama pelajar supaya mereka lebih berminat untuk menuntut ilmu.

Noor Afidah Abu Bakar
MA Early Childhood Education
Parent Connect Consultancy

 

BH hentikan
NILAI: Kementerian Pendidikan mengarahkan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid, dan sekolah kawalan dihentikan.
BHARIAN.COM.MY

Adakah Ayah Lebih Cenderung dan Tabah Hati Dengan Aktiviti Lasak Anak? 

Apabila anak yang baru pandai menaiki basikal berbasikal di kawasan tidak rata.

Ibu – “Jangan naik di situ nanti jatuh.”
Ayah – “Biarlah, baru ada cabaran sikit. Nanti lagi cekap.”

roughhousing

Kredit Imej: Google

Pernah melalui situasi seperti ini?

Adakah ayah lebih cenderung dan tabah hati dengan aktiviti lasak anak berbanding ibu yang lebih risau?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Imam, Kanak-kanak dan ‘Sticker’

Mereka cuma anak-anak kecil berusia di antara 5 hingga 7 tahun. Masjid di kawasan perumahan di Wakra, Doha menjadi tumpuan yang tidak asing lagi bagi mereka. Apabila azan berkumandang mereka akan memenuhi saf-saf sebagai makmum. Tidak ada sesiapa yang melarang mereka dari berdiri bersama-sama dengan makmum dewasa yang lain walaupun di saf paling hadapan. Mereka bebas memilih tempat mereka tanpa arahan daripada orang dewasa untuk ke tepi, ke belakang atau ke ruang khas hanya kerana mereka anak-anak kecil.

doha

Usai solat berjemaah, mereka kalut mendapatkan buku kecil masing-masing yang disimpan di dalam almari khas berhampiran dengan Imam. Mereka berebut-rebut untuk bersalam dengan Imam sambil memegang buku kecil masing-masing. Imam yang berusia lingkungan 60 tahun tidak jemu melayan anak-anak kecil yang menjadi makmumnya. Dengan jari jemari yang tidak lagi muda, Imam mengopek ‘sticker’ kartun untuk dilekatkan di dalam buku-buku anak-anak kecil ini. ‘Sticker’ itu menjadi motivasi mereka untuk solat berjemaah di masjid itu. Di kala kanak-kanak lain mungkin masih bertatih bersolat sendirian, mereka lebih maju ke hadapan dengan belajar bersolat berjemaah di masjid dengan konsisten. Insya-Allah, apabila anak-anak ini makin membesar, mereka akan terus konsisten solat berjemaah di masjid walaupun tidak lagi teruja untuk mendapatkan ‘sticker’ semata-mata.

Ada yang berpendapat bahawa motivasi intrinsik atau motivasi dalaman diri akan memberi kesan yang berkekalan berbanding motivasi ekstrinsik (luaran) seperti ‘sticker’. Bagi anak-anak kecil, apa saja yang menyukakan dan menggembirakan hati mereka akan menjadi dorongan untuk mereka belajar. Paksaan dan tekanan akan hanya menambahkan hormon kortisol dalam otak yang akan membantutkan proses pembelajaran kerana stres.

Learning must be fun for it to be effective.

Faktor pendidik yang ‘sporting’ dan memahami jiwa kanak-kanak juga penting sebagai motivasi pembelajaran. Siapa kata hanya orang muda sahaja yang memahami kanak-kanak? Orang tua, waima Imam sekalipun akan memahami keperluan dan jiwa kanak-kanak jika dia berusaha untuk mendekati dan menyantuni mereka.

Imam di kawasan perumahan saya pernah berpesan kepada ibubapa yang membawa anak untuk bersolat di masjid agar mengajak anak masing-masing berdiri di sebelah ibu atau ayah bersama makmum yang lain. Kata Imam, anak-anak kecil ini akan berpeleseran dan mengganggu Jemaah lain jika mereka diletakkan di belakang sesama kanak-kanak. Oleh kerana itulah adalah lebih baik untuk mereka berada di dalam saf bersama orang dewasa.

Itulah Imam yang memahami kanak-kanak.

Ganjaran luaran seperti ‘sticker’ ada kalanya diperlukan untuk membentuk atau mengubah tingkah laku kanak-kanak. Apabila tabiat sudah mula terbentuk, pemberian ‘sticker’ bolehlah dihentikan. Menurut Jessica Lahey dalam buku “The Gift of Failure”, ganjaran yang berlebihan akan melunturkan kembali motivasi dalaman yang telah terbina. Oleh itu berpada-padalah dalam memberi ganjaran kerana ia kemungkinan hanya akan memudaratkan anak-anak. Apabila anda meminta anak melakukan sesuatu tugasan dan anak bertanya apakah ganjarannya, Itu bermakna anda harus menilai kembali kaedah keibubapaan anda.

Refleksi dari Doha, Qatar.
Disember 2017

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Anak Anda ‘Attention Seeker’?

Semasa anak masih kecil dan perlukan perhatian, kita abaikan dia. Kita dengar nasihat daripada penasihat yang tidak sihat.

Kata penasihat, “Jangan layan sangat budak tu, nanti dia naik kepala. Biar dia menangis.”
Kita pun ikut membuta tuli.

attseeking

Kredit Gambar: Google

Memang tugas hakiki anak-anak adalah untuk mendapatkan perhatian ibubapa. Perhatian adalah keperluan asas seorang anak. Apabila diberi perhatian dia rasa dirinya bernilai dan diterima. Apabila dia rasa dirinya bernilai barulah dia akan berkelakuan baik.

Masalahnya dengan kita, bila anak meragam, bila anak berkelakuan tidak elok, barulah kita beri perhatian. Kita beri perhatian dengan memarahi anak.

Negative attention IS attention.

Anak yang tidak pernah mendapat perhatian merasa gembira kerana akhirnya dia mendapat perhatian apabila berkelakuan negatif. Anak itu merasa gembira kerana ibubapa mula sedar akan kewujudannya apabila dia membuatkan ibubapa marah. Pada waktu lain keperluan emosinya diabai.

Pernahkah kita terfikir kenapa ada anak yang walau dimarahi sampai berbuih mulut dan dipukul sampai berbirat-birat tetapi begitu juga perangainya, tidak berubah?

Ini kerana dari kecil lagi dia tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Apabila dia berbuat baik, tidak ada siapa pun yang memberi perhatian kepadanya tetapi apabila dia berkelakuan tidak elok, banyak pula perhatian yang diterima.

Jadi kenapa dia perlu berubah?
Bukankah lebih baik dia terus begitu?

Anak-anak memang semulajadinya “attention seeker.” Mereka akan buat apa saja untuk mendapatkan perhatian dan diterima.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Don’t Live Through Your Child

livethruchild

Kredit Gambar: Google

Jangan jadikan anak-anak bahan untuk menebus kegagalan dan kekecewaan masa lalu kita. Jangan paksa anak memenuhi impian masa lalu kita yang tidak tercapai. Biarlah anak menjadi dirinya dan memenuhi impiannya sendiri dengan doa dan bimbingan kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Kecil Belum Pandai Meluahkan Perasaan

Tahukah anda ada anak kecil yang suka mengetuk-ngetuk kepala adiknya dan memicit-micit bahagian tubuh adiknya kerana dia sayangkan adiknya?

CTTblueToon18x24

Kredit Gambar: CTT

Begitulah realiti seperti yang diceritakan kepada saya oleh seorang ibu. Pada mulanya ibu sangkakan si kakak cemburukan adiknya dan berniat hendak menyakiti adiknya kerana marah, kecewa atau cemburu.
Walau bagaimanapun setelah diperhatikan dan diteliti oleh ibu, si kakak akan ‘menyakiti’ adiknya apabila dia terlampau geram kerana sayangkan adiknya.

Anak kecil belum pandai meluahkan perasaan sepenuhnya. Perkembangan bahasa mereka masih di peringkat awal. Perkembangan emosi mereka masih perlukan bimbingan.
Ada kalanya mereka sendiri tidak pasti apa yang mereka rasakan. Ada kalanya mungkin juga mereka terdengar orang dewasa berkata, “Mama pukul kerana sayang” atau “Ayah cubit kerana sayang”, maka mereka jadikan kata-kata dan perbuatan orang dewasa sebagai panduan untuk mempamerkan apa yang mereka rasakan.

Bimbing emosi anak anda dengan mengajar mereka mengenalpasti emosi mereka.

Gembira.
Sedih.
Takut.
Marah.
Sayang.
Cemburu.
Kecewa.
Terkejut.
Benci.
Dan sebagainya.

Apa yang perlu dibuat selepas mengenalpasti emosi?

Ajar anak bagaimana caranya menghadapi emosi dan bagaimana untuk membimbing emosi.

Apa yang perlu dibuat apabila sayang?
Apa yang perlu dibuat apabila sedih?
Apa yang perlu dibuat apabila gembira?
Apa yang perlu dibuat apabila kecewa?
Apa yang perlu dibuat apabila marah?
Apa yang perlu dibuat apabila cemburu?

Jika anak tidak pernah dibimbing, tidak pernah diajar dan anak tidak pernah melihat cara kita membimbing emosi kita sendiri, anak tidak akan tahu bagaimana caranya.

Oleh itu apabila kita melihat tingkah laku anak yang tidak menyenangkan kita, cuba selami emosi anak. Apakah emosi anak ketika itu dan kenapa dia bertindak begitu?
Apabila kita tahu puncanya kita akan jumpa penyelesaian yang sepatutnya.

Berhati-hati juga apabila kita berkata yang kita melakukan sesuatu kerana sayang.
Cakap siang pandang-pandang.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Cabaran Keibubapaan

Proses keibubapaan (parenting) bukan hanya tentang mendidik anak-anak. ‘Parenting’ adalah proses dua hala yang melibatkan kedua-dua ibubapa dan anak-anak. Dalam mendidik anak-anak kita juga mendidik diri kita sendiri supaya menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Setiap ibubapa tidak dapat lari dari melalui ‘low parenting moments’ atau masa-masa duka masing-masing. Ini adalah momen-momen di mana kita rasa gagal dalam memikul tanggungjawab sebagai ibubapa dengan sebaiknya. Ini adalah momen-momen di mana kita rasa kecewa dengan diri kita sendiri kerana kesilapan-kesilapan yang kita rasakan telah kita lakukan dalam mendidik anak-anak.
Sebagaimana nasihat kita kepada anak-anak, jadikan setiap kesilapan kita itu sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri dan bukannya untuk menghukum diri.

Don’t be too hard on yourself because there is no perfect parents.

Ini adalah senarai cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh ibubapa dalam proses keibubapaan. Melihat pada senarai ini, saya yakin setiap daripada kita telah melaluinya dan mungkin sedang melaluinya. Setiap peringkat usia anak mempunyai cabarannya yang tersendiri. Anda tidaklah bersendirian dalam ‘low parenting moments’ anda.

 

Sumber dari kajian oleh Emma Kenny, Pakar Psikologi kanak-kanak (Daily Mail, UK)

Dari senarai ini, yang manakah cabaran terbesar bagi anda dalam membesarkan dan mendidik anak anda ketika ini?
Atau mungkin ada cabaran lain yang ingin dikongsi?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Apa Yang Anak Mahukan Sebenarnya?

happychild

Kredit Gambar: freepik

Hadiah terbaik yang boleh diberikan kepada anak-anak bukanlah hanya sesuatu yang boleh disentuh, dipegang ataupun sesuatu untuk dibawa bermain dan bergembira. Walaupun hadiah itu mungkin berharga, keterujaan anak padanya mungkin tidak kekal lama.

Hadiahkanlah anak dengan kepercayaan kita kepada kemampuan diri mereka kerana itulah yang menjadikan anak yakin dengan diri sendiri dan sentiasa cuba untuk memperbaiki kekurangan diri.

Hadiahkanlah anak dengan rasa hormat kita kepada mereka kerana itulah yang membina maruah dan jati diri mereka, dan itu jugalah yang membentuk identiti mereka.

Hadiahkanlah anak dengan penghargaan kita kepada usaha dan pertolongan mereka kerana itulah yang menjadi bukti betapa bernilainya mereka kepada kita.

Hadiahkanlah anak dengan kehidupan yang penuh berkasih sayang kerana dalam dunia yang penuh huru-hara ini, tidak ada yang lebih mendamaikan dan membahagiakan dari keluarga yang penuh berkasih-sayang.

Anak-anak tidak memerlukan kekerasan, kekasaran, atau sindiran yang berterusan untuk dibentuk dan dibimbing, sebaliknya mereka lebih memerlukan pemahaman dan pertimbangan daripada orang yang mereka percaya dapat melindungi mereka.

Be There

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Wawancara Astro Awani: Cadangan Hapus Hukuman Buang Sekolah

Penulisan Saudara Israr Khalid, jurnalis Astro Awani, dari wawancara beliau bersama saya semalam.

Awani

Kita telah pun melihat kesannya melalui tragedi yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Kita bukan sahaja kehilangan nyawa anak-anak remaja melalui tragedi tersebut, kita juga kehilangan jiwa remaja yang terlibat melakukannya.

Remaja bermasalah atau ‘troubled youth’ memerlukan bantuan supaya kelebihan dan kekuatan yang mereka miliki boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara. Proses ini perlu penglibatan ibubapa kerana ibubapalah pendidik dan pembimbing utama anak-anak.

Terima kasih tim Awani.

Cadangan Hapus Hukuman Buang Sekolah – Segalanya Bermula Dari Ibubapa-Perunding

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Hujan Batu Di Negara Sendiri

Salah satu cabaran yang besar bagi anak-anak saya ketika bersekolah di London dahulu adalah apabila tibanya musim sejuk. Pada musim sejuk waktu solat rapat-rapat kerana waktu siang adalah pendek. Apabila tamat waktu persekolahan pada pukul 3.30 petang, ia sudah pun menghampiri waktu Maghrib. Oleh itu anak-anak perlu bersolat Zohor dan Asar di sekolah sebelum pulang. Alhamdulillah sepanjang anak-anak bersekolah di sana, baik ketika di International School mahupun National School, pihak sekolah sangat terbuka memberi ruang masa dan tempat untuk anak-anak bersolat.

Walaupun tempat yang disediakan ada yang tidak sempurna seperti surau atau masjid, tetapi kami bersyukur atas keterbukaan pihak sekolah di mana majoriti kakitangan dan pelajarnya adalah terdiri daripada bukan Islam.
Pihak sekolah sendiri gusar kiranya ruang yang disediakan terlalu kecil atau tidak sesuai tetapi ia sudah cukup sempurna bagi seorang Muslim yang hendak mendirikan solat. Kami tidak mengeluh malah berbesar hati dan berterima kasih kepada mereka.

Kadang-kadang ada rakan-rakan Muslim yang menyertai anak-anak saya dan mereka solat berjemaah.
Kadang-kadang ada juga rakan bukan Islam yang mengikut gerakan solat di belakang mereka kerana ‘curious’.

Tidak ada langsung masalah atau isu ditimbulkan oleh ibubapa bukan Islam di sekolah-sekolah tersebut. Tiada aduan kepada pihak sekolah atau pun kepada saya sendiri kerana bimbang kiranya solat anak-anak saya akan menghilangkan identiti anak mereka atau memecahbelahkan para pelajar. Malah hubungan saya dengan kakitangan sekolah, guru-guru dan ibubapa adalah sangat baik.
Guru-guru memuji kerana apabila mereka bersolat, mereka tidak mengganggu orang lain dengan berpeleseran atau membuat bising seperti segelintir pelajar lain.

Itu adalah secebis pengalaman kami sekeluarga ketika menetap di London.
Allah telah mempermudahkan urusan solat kami dan anak-anak di negara bukan Islam yang disangkakan tidak semudah di Malaysia.


 

Sebenarnya saya teringatkan pengalaman itu apabila saya berbincang dengan seorang guru yang telah lebih 15 tahun berpengalaman mengajar di 4 buah sekolah menengah di Malaysia. Saya suka mendapatkan pandangan guru-guru juga apabila berbincang isu keibubapaan kerana mereka banyak meluangkan masa bersama anak-anak kita. Menurut beliau usia menengah adalah usia yang sangat mencabar untuk membentuk pelajar jika ia tidak dimulakan dari usia awal lagi.

Dari pemerhatian dan pengalaman beliau selama mengajar, pelajar Muslim yang mudah dididik dan dibentuk mempunyai dua ciri-ciri yang sama.

Ciri-cirinya:

1) Pelajar tersebut tidak meninggalkan solat.
Ini dapat diperhatikan dengan jelas apabila pelajar bersekolah sesi petang.
2) Ibubapa pelajar sentiasa mengambil berat, meluangkan masa dan terlibat dengan pendidikan anak.

Menurut guru tersebut lagi, sekarang ini ramai pelajar yang bukan sahaja tidak bersolat malah tidak tahu cara bersolat walaupun sudah berada di peringkat menengah. Lebih menyedihkan apabila ibubapa sendiri tidak mendidik dan memberi penekanan dalam keluarga.

Apabila dibandingkan dengan pengalaman kami di London, adalah satu kerugian kiranya berada di negara Malaysia yang mudah untuk bersolat tanpa sebarang tekanan atau kekangan, negara yang mempunyai banyak surau dan masjid di setiap penjuru, tetapi kita tidak menjadikan solat itu sebagai satu keutamaan dalam keluarga dan juga tidak dipupuk dan diamalkan di sekolah-sekolah, malah mendapat tentangan apabila ingin diamalkan seperti yang dilaporkan dalam berita.

Tidakkah kita mahu supaya anak-anak kita mudah dididik dan dibentuk?

Fikirkanlah.

 

lhsolat

Gambar menunjukkan ruang yang disediakan untuk anak saya bersolat di sekolah ketika dia berusia 9 tahun di London.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy