Teknik Penyelesaian Masalah Dengan Anak Kecil

penyelesaian masalah

SITUASI:
Anak anda yang berusia 6 tahun dengan sengaja merosakkan alat mainan adiknya yang berusia 4 tahun kerana marah. Adik menangis.

RESPON ANDA:

1) Jika mainan perlu diganti:

“Adik sedih sebab abang rosakkan mainan adik. Abang perlu ganti semula mainan yang rosak. Macam mana caranya abang nak beli dan ganti?”.

Dengar apa idea si abang.

‘Brainstorm’.
‘Problem solving’.

Jangan dipandang rendah keupayaan anak berusia 6 tahun untuk memberi idea. Mereka sangat ‘brilliant’.

2) Jika dirasakan tiada keperluan untuk menggantikan mainan:

“Apa yang perlu abang lakukan pada adik?”
(Minta maaf).

Pastikan ibubapa tenang dan pastikan si abang juga tenang ketika proses penyelesaian masalah ini.

3) Proses mengurus emosi.

Tanyakan pada abang apa yang patut dibuat lain kali apabila dia marah ?
Bincangkan.

SKIL PENYELESAIAN MASALAH MENDIDIK ANAK UNTUK :

1) Bertanggungjawab ke atas perbuatannya.
2) Mengurus emosi marah, sedih, kecewa dan sebagainya dengan tingkah laku yang positif dan tidak memudaratkan diri sendiri, orang lain dan harta benda.

Walaupun nampak remeh, ini adalah skil yang sangat penting yang akan dibawa dan diamalkan sehingga dewasa.

Bayangkan mempunyai keluarga dan masyarakat yang bertanggungjawab dan harmoni.

Mulakanlah dari kecil lagi ketika otak mereka masih berkembang dan menyerap seumpama ‘sponge’.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

7 Panduan Membantu Anak Pemalu

anak pemalu

Bermain (play) adalah aktiviti yang sangat baik untuk membantu perkembangan sosial anak-anak. Dengan bermain anak-anak belajar berinteraksi, bertolak ansur, merancang, bekerjasama dan pelbagai skil sosial penting lain yang akan membantu mereka sehingga dewasa kelak. Walau bagaimanapun ada ibubapa dan guru yang menghadapi masalah apabila anak yang pemalu sukar untuk bermain atau ‘masuk kawan’.

Mempunyai sifat malu adalah sangat baik tetapi malu yang keterlaluan dan tidak bertempat boleh membantutkan proses pembelajaran anak.

Kita harus faham, sememangnya ada kanak-kanak yang dilahirkan dengan pembawaan (slow to warm up temperament) sebegitu. Bagi anak yang pemalu, bermain dan berinteraksi dengan orang lain memerlukan tenaga yang sangat banyak. Mereka memerlukan usaha yang lebih berbanding kanak-kanak yang lebih ramah dan cepat mesra secara semula jadi (easy temperament). 

CIRI-CIRI ANAK PEMALU:

1) mereka suka memerhatikan anak-anak lain bermain tetapi sukar bagi mereka untuk turut serta dan berinteraksi bersama.
2) memilih untuk tunduk, berdiam diri atau bersembunyi apabila berada di kalangan orang lain yang tidak dikenali
3) sukar ke tempat yang baru tanpa ditemani ibubapa.
4) separation anxiety tinggi apabila memulakan persekolahan.
5) tidak suka sebarang perhatian ke atas mereka.
Ada anak yang berhati-hati apabila bergerak supaya tidak membuat sebarang bunyi yang menarik perhatian.

BAGAIMANA MEMBANTU ANAK PEMALU ?

1) TUNJUKKAN YANG ANDA FAHAM (SHOW EMPATHY).

Anak-anak yang pemalu rasa takut untuk berhadapan dengan orang lain. Perasaan takut itulah yang menghalang mereka dari bermain dan berinteraksi. Tunjukkan bahawa kita faham bagaimana rasanya apabila berada dalam situasi takut yang sebegitu. Jangan tidakkan perasaan anak kerana itu tidak membantu anak untuk mengatasi perasaan tersebut.

Acknowledge the feeling first. 

ELAKKAN dari berkata:
“Kenapa pulak nak malu? Tak ada apa yang nak ditakutkan. Itukan kawan-kawan.”

GALAKKAN anak dengan menunjukkan empati.
“Malu ye? Masa mama kecik dulu pun kadang-kadang malu jugak bila nak bermain. Sekarang pun kadang-kadang mama malu kalau jumpa orang baru. Takut pun ada.”

Dengan menunjukkan empati, anak akan lebih ‘relax’ dan tidak merasakan diri terasing. Perasaan asing itu akan lebih memburukkan keadaan. Apabila anak ‘relax’ dan tenang, dia akan lebih bersemangat untuk mencuba.

2) JANGAN MELABEL

Melabel dalam situasi apa sekalipun, boleh memudaratkan kerana anak akan membentuk imej diri sebagaimana label yang kita berikan (terutamanya oleh ibubapa dan guru).

ELAKKAN melabel anak di depan orang lain.
CONTOH: 
“Dia ni pemalu…susah nak bermain dengan orang”. 

Jika beginilah caranya, anak itu akan percaya yang dia pemalu maka tidak mengapa jika dia tidak cuba bermain.

“That’s me, why should I change?”

GALAKKAN dengan berkata:
“Anak saya ni kadang-kadang mengambil masa untuk mula bermain”. Kata-kata yang sebegini dapat mengubah ‘mindset’ anak tentang dirinya. Dia akan cuba memberi peluang untuk diri sendiri.

3) BANTU ANAK TETAPKAN MATLAMAT.

Adalah normal untuk anak merasa malu apabila berada dalam persekitaran atau situasi yang baru. Ibubapa boleh membantu dengan menetapkan matlamat untuk anak, tanpa dipaksa. Mulakan dengan usaha kecil.

CONTOH: 
Matlamat anak untuk minggu ini adalah untuk memberi salam atau mengucapkan ‘hello/good morning’ kepada kawan yang bermain bersama-sama di ruang yang sama.
Tidak perlu diucapkan kepada semua. Usaha kecil ini dilakukan supaya anak merasa selesa dan tidak gugup. Apabila gugup, perasaan malu itu sukar dielakkan.

– Pastikan tugasan itu berpatutan dan tidak menimbulkan anxiety dalam diri anak.
– Bincang dengan anak terlebih dahulu sama ada matlamat itu realistik untuk dicapai
– Dengar pendapat anak dan bimbinglah dia.

4) DEDAHKAN ANAK PADA PELBAGAI SITUASI

Anak pemalu yang dibiasakan berjumpa dengan orang ramai di pelbagai tempat, lama kelamaan akan menjadi lebih selesa untuk berinteraksi.

CONTOH:
i) Bawalah anak ke perpustakaan atau kedai buku kerana di sana dia akan bertemu dengan ramai kanak-kanak yang lain. Biar dia memerhati tanpa perlu berinteraksi terlebih dahulu. Untuk lawatan seterusnya bolehlah dipraktikkan langkah 3 di atas.

ii) Apabila bawa anak membeli barang keperluan di ‘supermarket’, galakkan anak bertanya kepada pekerja di mana letaknya sesuatu barangan yang dicari.
Berdiri di sebelah anak supaya dia merasa selesa bertanya dengan adanya diri anda yang ‘familiar’.

iii) Apabila ke restoran, biar anak memesan makanan sendiri dengan pelayan restoren untuk meningkatkan keyakinan diri anak.

Pendedahan yang berperingkat ini sedikit demi sedikit akan mengurangkan rasa malu anak untuk bermain dengan kawan-kawan dan malu untuk turut serta dalam aktiviti dan perbincangan di sekolah. Anak juga akan menjadi individu yang lebih terbuka dan punya empati terhadap orang lain kerana telah diberikan pendedahan dari awal.

5) BANTU ANAK MULAKAN PERBUALAN (PROMPT).

Anak yang pemalu tidak tahu bagaimana caranya untuk memulakan perbualan walaupun berada di kalangan mereka yang dikenali. Ibubapa boleh membantu dengan memulakan dahulu perbualan di antara anak dengan rakan yang lain.

CONTOH: 
i) “Beritahulah kawan siapa nama”.
“Kawan dah nak balik tu, cakap ‘bye’”. 

Jika anak masih malu untuk membuka mulut, minta anak lambaikan tangan. Itu juga satu teknik untuk membiasakan anak.

ii) Satu teknik lagi dipanggil ‘triangulation’ di mana kita bertanya pendapat anak tentang subjek perbualan yang telah dimulakan antara ibubapa dan kanak-kanak yang lain.

CONTOH: 
Seorang anak bernama Lisa bercerita tentang kejadian dia terjatuh di padang kepada Puan Dina, ibu Nora.

Puan Dina bertanya kepada Nora yang pemalu, “Nora pun pernah jatuh kan? Cuba cerita”.

‘Prompt’ yang sebegini dapat membantu Nora untuk memulakan perbualan dan persahabatan bersama Lisa.

Walau bagaimanapun perlu berhati-hati supaya tidak terlampau menekan anak untuk berbual. Beri anak peluang secara berperingkat.

6) ROLE PLAY

Sebelum anak menghadapi situasi yang baru atau pergi ke tempat yang dia tidak biasa, adakah ‘role-play’ dengan anak terlebih dahulu.

Cuba lakonkan/’rehearse’ apa yang patut dicakap dan dilakukan apabila berhadapan dengan sesuatu situasi atau apabila ditanya sesuatu soalan. Ini merupakan persediaan mental, emosi dan fizikal supaya anak tahu ‘what to expect’. 

Anak pemalu akan merasakan tekanan yang tinggi jika mereka tidak tahu apa yang berada di hadapan.

CONTOH: 
Gunakan anak patung/teddy bear/watak kegemaran anak untuk ‘role play’ dan bertanya soalan-soalan santai kepada anak.

Apabila anak membuat persediaan sebelum berhadapan dengan kawan-kawan atau berada di situasi yang baru, dia akan lebih merasa ‘relax’.

7) PUJIAN

Pujian adalah ganjaran yang paling murah dan efektif apabila kena caranya. Apabila anak menunjukkan perkembangan dalam interaksinya dengan kawan-kawan, pujilah perkembangan tersebut.

Apabila anak berusaha walaupun kecil, pujilah anak.
Puji dengan spesifik dan sebutkan apakah usaha dan perkembangannya.

Jangan hanya puji ‘bagus’, ‘well done’, ‘good girl’ dan lain-lain pujian umum.

CONTOHnya apabila anak mencapai matlamat seperti langkah 3 di atas, pujilah anak,

“ Ayah nampak Adi lambai kepada Firas tadi ye? Baguslah lambai, bila dah biasa nanti, boleh bermain bersama-sama”. 

Sebutkan apa yang telah dicapai oleh anak walaupun usaha kecil. Bagi anak yang pemalu, usaha itu sudah terlalu besar untuk dilakukan.

Pujian yang spesifik atau ‘descriptive’ memberi semangat kepada anak untuk lebih berusaha. Memuji usaha-usaha anak akan mewujudkan ‘GROWTH MINDSET’ yang akan memotivasikan anak untuk sentiasa memperbaiki diri. Bagi anak yang pemalu, pujian ini mungkin tidak akan menghilangkan terus sifat pemalunya tetapi akan membuatkan anak lebih selektif dan malu bertempat.

Cubalah.

Pembawaan pemalu (slow to warm up) bukanlah satu kekurangan. Salurkan ia dengan betul supaya dapat memaksimakan potensi diri anak yang pelbagai.
Terus galakkan anak bermain.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Benarkah Kita Menghukum Anak Kerana Mendidik. 7 Faktor

Apabila anak menunjukkan tingkah laku yang tidak menyenangkan kita dan menimbulkan kemarahan kita, perasaan geram itu akan membuatkan kita ingin menghukum. Hukuman itu dirasakan perlu bagi tujuan mendidik. Sebelum
menghukum, adakah jelas dalam hati dan pemikiran kita akan tujuan kita menghukum?
hukum
Kredit Gambar: Google

Hukuman yang mendidik adalah hukuman yang:
  1. menyedarkan IBUBAPA tentang tanggungjawab yang perlu atau belum ditunaikan kepada anak. (Bukan tentang tingkah laku anak semata-mata)
  2. menghentikan tingkah laku negatif anak. (Tidak semestinya serta-merta dan semalaman)
  3. memberi pengajaran tentang cabaran kehidupan kepada anak.
  4. membimbing anak untuk membuat keputusan dan pilihan tindakan yang lebih baik pada masa akan datang.

 

SEBELUM MENGHUKUM PERLULAH:

1) MENGAMBIL KIRA TAHAP PERKEMBANGAN ANAK

Kebanyakan tingkah laku anak kecil yang menyebabkan kita sering melabel mereka sebagai nakal dan degil, berlaku kerana perkembangan fizikal, emosi, kognitif (pemikiran), dan sosial mereka belum berkembang. Kiranya dihukum dengan tidak wajar, anak-anak ini tidak faham di mana silapnya mereka. Hukuman itu mungkin hanya menyakitkan fizikal mereka, menakutkan mereka dan mengganggu emosi mereka tetapi tidak mendidik mereka untuk berfikir dan belajar dari kesilapan.

Contohnya anak yang sering tumpahkan air atau pecahkan pinggan, berkemungkinan belum matang perkembangan motor halus dan motor kasarnya ataupun kemungkinan belum mencapai koordinasi tangan dan mata yang sempurna. Faktor perkembangan perlulah diambil kira sebelum menghukum.

Anak kecil yang menggigit rakannya atau tidak mahu berkongsi permainan, berada dalam fasa perkembangan sosial dan emosi yang belum lagi terbentuk sepenuhnya. Anak ini harus dibantu dan dibimbing terlebih dahulu. Menghukum dengan menampar tangannya atau pipinya tidak membantu perkembangan sosial dan emosi anak tersebut. Hukuman itu sudah tentulah tidak mendidik. Tunjukkan apa yang perlu dilakukan jika marah, kecewa, sedih dan sebagainya.

2) MENYEDIAKAN KEPERLUAN ASAS

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk menyediakan keperluan asas anak supaya mereka dapat berkembang dengan sihat dan cerdas. Tertunai atau tidak keperluan asas ini juga menentukan tingkah laku anak-anak. Keperluan asas bukanlah hanya makanan, pakaian, rehat, tidur dan tempat tinggal.

Keperluan asas seorang anak juga termasuk perhatian, ‘connection’, keselamatan, rasa kekitaan (belonging), peluang untuk bermain dan peluang eksplorasi. Apabila keperluan asas ini tertunai, anak-anak merasa selamat, sihat, disayangi dan dihargai.

Apabila keperluan asas ini tidak tertunai, anak akan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan meluahkan emosi. Anak akan berkomunikasi melalui perbuatan seperti berkelakuan tidak tentu arah, menjadi kaget, tidak mengikut arahan dan peraturan, menguji batasan, lasak tidak bertempat, sering mengomel dan sebagainya.

Menghukum anak disebabkan keperluan asas anak yang tidak mencukupi, akan menghasilkan tentangan dan pemberontakan. Hukuman tersebut tidak akan berjaya mendidik anak supaya berkelakuan baik kerana ada keperluan asas yang kurang dalam hidup anak tersebut. Sebelum menghukum anak, fikirkanlah dahulu tentang kesempurnaan tanggungjawab kita sebagai ibubapa.

3) TIDAK MEMBANDINGKAN-BANDINGKAN ANAK

Hukuman yang dikenakan kerana tingkah laku anak tidak sama seperti kakaknya, atau tidak sama seperti adiknya atau tidak sama seperti anak si fulan dan si fulan atau tidak sama seperti kita masa kecil dahulu, dengan jelas bukanlah hukuman yang mendidik.

Hukuman yang sedemikian tidak memberi fokus kepada tingkah laku anak yang memerlukan bimbingan, fokus sebaliknya diberikan kepada individu. Yang mengecewakan kita adalah tingkah lakunya bukannya orangnya. Apabila perbandingan dibuat, hukuman itu sudah lari dari matlamat mendidik.

Setiap anak adalah berbeza, tidak perlu dibanding-bandingkan. Ibubapa perlu meluangkan masa untuk mengenali kelebihan dan kekurangan anak. Hanya dengan cara itu kita dapat berlaku adil kepada anak. Tanpa mengenali anak, dan tanpa memahami kenapa anak tersebut berkelakuan tidak sama seperti orang lain, hukuman itu hanyalah satu kekejaman dan penderaan terhadap anak.

4) TIDAK MELABEL

Dari masa ke semasa, seorang anak membentuk imej dan kepercayaan tentang diri sendiri. Cara yang paling berkesan untuk anak mengenali dirinya adalah melalui kata-kata dan gambaran-gambaran yang diberikan oleh individu-individu di sekeliling anak terutamanya ibubapa, guru, saudara-mara dan rakan-rakan rapat.

Gunakanlah perkataan-perkataan yang menyakinkan anak bahawa mereka sememangnya baik dan boleh menjadi baik dan lebih baik. Ingatkanlah anak tentang kebaikan yang pernah mereka lakukan dan tingkah laku positif yang pernah mereka tunjukkan. Tunjukkanlah bahawa kita menghargai dan mengharapkan kebaikan daripada anak.

Memaki hamun, memperkecil-kecilkan dan melabel dengan panggilan yang tidak elok akan mematikan semangat anak. Ia juga akan menjadi suara-suara dalam diri anak yang akan menghalang mereka untuk membuat kebaikan. Suara-suara dalaman itu akan membentuk diri dan keperibadian mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Kata-kata adalah suatu doa’.

5) DAHULUI DENGAN BIMBINGAN, SUSULI DENGAN BIMBINGAN

i) Adakah ibubapa menjadi model tingkah laku yang baik? Contohnya: Jika kita ingin menghukum anak kerana berbohong, cuba fikirkan kembali, pernahkah kita berbohong kepada anak dengan istilah ‘bohong sunat’ yang sering kita gunakan?

ii) Adakah di rumah sudah ada peraturan untuk membentuk disiplin anak? Peraturan membuatkan anak merasa selamat. Peraturan juga memberi isyarat bahawa ibubapa memberi perhatian dan peduli tentang keselamatan dan perkembangan anak. Tanpa rasa selamat itu, anak akan membentuk sempadan dan batasan sendiri untuk mereka meneroka keupayaan diri sendiri.

iii) Adakah kita meluangkan masa dan membimbing anak melalui kisah-kisah teladan yang boleh menyentuh naluri mereka? Kisah-kisah inilah yang akan mengajar mereka tentang erti kehidupan. Tanpa kisah-kisah untuk diteladani ini, dunia anak terpisah dari realiti. Anak yang terpisah dari realiti mempunyai sifat individualistik yang tinggi. Sifat ini menyebabkan anak tidak dapat berkelakuan dan berinteraksi dengan baik dengan individu lain di sekitar anak, termasuklah ibubapa sendiri.

iv) Adakah ibubapa memberi arahan dan peringatan dengan cara yang berkesan supaya anak mahu mendengar kata? Atau adakah arahan itu diberi sambil lewa dan tidak konsisten ibarat melepaskan batuk di tangga?

v) Adakah hukuman itu juga disusuli dengan bimbingan (follow through) yang konsisten? Atau adakah hukuman itu hanya mewujudkan rasa puas hati dalam diri ibubapa kerana telah berjaya ‘mendisiplinkan’ anak?

6) TIDAK MENGGUNAKAN ALLAH S.W.T DAN NERAKA UNTUK MENGUGUT ANAK

Ibubapa sepatutnya memainkan peranan untuk mendekatkan diri anak kepada Allah swt supaya anak ingin patuh kepada perintah Allah SWT dan berbuat kebaikan kerana Allah SWT.

Anak-anak kecil cepat merasa takut. Ketakutan tidak membantu anak untuk berkelakuan lebih baik malah anak akan menjauhkan diri dari faktor yang menakutkan anak. Berikanlah anak khabar gembira tentang betapa penyayang, pengasih dan pengampunnya Allah SWT. Apabila mereka berbuat walau sekecil-kecil kebaikan, yakinkanlah bahawa Allah SWT sayangkan mereka dan kasihkan mereka yang berbuat kebaikan. Ucapkanlah bahawa Allah SWT menjanjikan syurga buat mereka yang berbuat kebaikan. Janganlah ditunggu sehingga anak melakukan kesilapan untuk mengugut bahawa ‘Allah marah, nanti masuk neraka’ kepada anak. Kaedah ini bukan sahaja tidak mendidik tingkahlaku malah tidak mendidik anak untuk mengenal Allah SWT. Lebih parah lagi menjauhkan anak dari Allah SWT.

7) ‘CONNECTION’

Akhir sekali, hukuman yang mendidik adalah hukuman yang lebih merapatkan ibubapa dan anak dari segala aspek. Jika hukuman tersebut hanya menimbulkan kebencian dan mempengaruhi ‘connection’ dan komunikasi antara ibubapa dan anak, hukuman itu tidaklah mendidik. Hukuman itu memudaratkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Efektifkah Sarkasm Dan Sindiran?

sarkasm dan sindiran

Kredit Imej: Google

Tahukah anda dalam satu kajian yang dibuat selama 6 tahun oleh Glenwright, seorang professor dalam bidang psikologi di University of Manitoba dan Pexman dari University of Calgary, kanak-kanak didapati tidak memahami sarkasm dan sindiran sehinggalah berusia 10 tahun.

Sarkasm merangkumi maksud literal sesuatu yang diucapkan, bahasa badan atau komunikasi non-verbal dan niat orang yang mengucapkannya.

Sebelum usia 10 tahun, kanak-kanak hanya memahami aspek bahasa secara literal, kurang memahami komunikasi non-verbal dan tidak dapat meneka niat seseorang kerana pemikiran mereka belum sampai ke tahap pemahaman seperti orang dewasa.

Apakah Implikasinya?


Oleh itu, apabila meminta kanak-kanak melakukan sesuatu, memberi arahan, ataupun menegah kerana membahayakan, pastikan arahan yang diberikan membawa maksud yang jelas. Jangan menyindir atau sarkastik kerana mereka tidak faham.

CONTOH yang sering kita amalkan:

Apabila anak kecil memanjat (tanpa pemantauan) dan terjatuh, kita berkata:

“Itula…panjatlah lagi…panjat!”. 

Ataupun kita mengucapkan “Terima kasih” kepada anak kerana tumpahkan air kerana kita dalam keadaan penat dan marah.

Anak kecil tidak faham tegahan yang berbentuk sindiran tersebut.

Tidak hairanlah kalau anak kecil tersebut akan terus memanjat dalam keadaan yang tidak selamat dan tidak mempedulikan tegahan kita.

Berilah nasihat dan tegahan dalam bentuk yang literal dan mudah difahami dan diikuti oleh kanak-kanak. Tidak perlu sarkastik.

Ceritakan kepada anak tentang akibat sesuatu perbuatan kerana anak kecil sedang menguasai konsep ‘kesan dan akibat’ sebagai salah satu aspek kognitif/pemikiran.

Sarkasm dengan kanak-kanak hanyalah membuang masa dan menjadikan kita lebih beremosi dengan kanak-kanak jika mereka tidak menurut apa yang ditegah.
Sindiran jika sering diamalkan akan menjadi satu bentuk komunikasi pasif agresif yang tidak berkesan dan akan ditiru oleh kanak-kanak.

“Insanity is doing the same thing over and over again and expecting a different result.”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Apakah Yang Menjadi Fokus Kita? (RAS)

pcRAS

Kredit Imej: buzzle.com

Otak manusia mempunyai bahagian yang dikenali sebagai Reticular Activation System (RAS) yang berfungsi menyaring semua maklumat yang masuk ke dalam otak dan memfokuskan pada maklumat yang penting bagi setiap individu. Fungsi ini adalah sangat penting dalam membantu kita memberi perhatian kepada objektif yang ingin dicapai.

Contohnya jika Hari Raya ini kita sekeluarga bercadang untuk memakai pakaian sedondon warna biru, ketika membeli belah mata kita akan cepat menangkap baju-baju yang berwarna biru kerana otak kita telah di‘set’ untuk fokus pada warna biru.

Sebagai ibubapa (dan juga guru) jika objektif kita hanyalah untuk memfokuskan pada salahlaku, membetulkan kesilapan, mencari kekurangan, ‘highlight’ kelemahan, maka banyaklah yang akan kita jumpa.

Jika objektif kita untuk memfokuskan pada tingkahlaku positif, mencari kelebihan, ‘highlight’ kekuatan, dan memuji usaha (effort), maka banyak juga yang akan kita jumpa.

Anak-anak yang positif dan berjaya adalah anak yang mempunyai jati diri (self esteem) dan keyakinan diri (self confidence) yang tinggi. Ini boleh terhasil apabila usaha, kekuatan, dan kelebihan mereka dihargai.

Apakah yang menjadi fokus kita?
Apakah yang disaring oleh RAS kita sebagai ibubapa dan guru?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LISTEN! LISTEN! LISTEN! – Kenapa Anak Tidak Mendengar Kata…

pclogo

Kiranya kita sering tertanya-tanya kenapa anak tidak mahu mendengar kata, tanyalah diri sendiri sejauh mana kita mendengar apabila anak berkata-kata.

“Action speaks louder than words.”
Anak-anak meniru kita.

Sekiranya anak ingin bercerita sesuatu tetapi kita terus sibuk dengan urusan kita, anak akan meniru kita.

Sekiranya anak ingin berbicara sesuatu tetapi mata kita terus memandang smart phone, tablet, komputer, buku atau suratkhabar, anak akan meniru kita.

Sekiranya kita tidak memberi perhatian, anak akan meniru kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect