Menuai Apa Yang Disemai – Anak Belajar

Anak kecil itu meronta-ronta tidak mahu disuapkan ubat. Dikuncinya bibir serapat-rapatnya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sedap ni sedap. Ini bukan ubat. Ini air. Tengok warna merah. Ini air merah. Sedap.” kata si ibu.

Taknak Ubat

Kredit Imej: Google

Anak yang meronta-ronta tadi kelihatan lebih tenang mendengar kata-kata ibu. Dia membuka mulutnya perlahan-lahan dan membiarkan ibu menekan picagari yang berisi ‘air merah’ ke dalam mulut anak kecil itu.

Apabila ‘air merah’ yang dikatakan ibu ‘sedap’ itu mencuit deria rasanya, anak kecil terus memuntahkan apa yang masuk ke dalam mulutnya sambil anak meraung teresak-esak.

Dia tertipu dengan tipu daya si ibu yang berniat baik hendak menyembuhkan anak. Tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya dan sentiasa inginkan yang terbaik untuk anaknya.

Anak belajar.

Petang itu ‘mood’ ayah sangat baik. Dia membawa isteri dan anak-anak makan angin kerana sudah lama rasanya mereka tidak berjalan-jalan sekeluarga. Ayah terlalu sibuk dengan ‘deadline’ sebelum ini. Alhamdulillah segala urusannya sudah selesai buat masa ini. Kereta ayah meluncur laju di atas jalan raya. Lampu isyarat sudah bertukar merah tetapi ayah terus memandu membelah lampu merah.

“Ayah, lampu merah tadi. Kenapa ayah ‘drive’ terus?” tanya anak pelik. Setahu anak lampu merah perlu berhenti. Itu yang diajar ayah kepada anak ketika memperkenalkan warna-warna dulu.

Jawab ayah “Tak pe, lampu sebelah sana belum hijau. Lagipun ayah tahu tak ada kamera atau polis kat situ. Diorang tak nampak.”

Anak belajar.

Anak menghulurkan sekeping kertas kepada ayah dan ibu yang sedang bersantai di hadapan TV.

“Ayah, ibu, cikgu kasi surat ini. Cikgu cakap hujung minggu depan ada perjumpaan dengan ibubapa.” Terang anak.

“Alaa…malaslah ayah nak pergi. Cakap pada cikgu ayah ‘outstation’. Senang sikit.” Cadang ayah.

“Ha’ah ibu pun letihla hujung minggu nak ke sekolah kamu. Cakap dengan cikgu ibu ada kerja ya. Tak boleh hadir jugak.” Alasan ibu.

Anak belajar.

Kita tidak pernah ajar anak berbohong tetapi secara tidak sedar anak mungkin belajar berbohong daripada kita sejak dia masih merangkak lagi.

Apabila anak berbohong dan terus berbohong dan kita buntu sama ada untuk memarahinya, memukulnya, merotannya, cili mulutnya atau hukumnya, cuba fikir kembali adakah kita pernah berbohong kepada anak tanpa kita sedari?
Itulah yang pertama harus kita lakukan.

Imam Abu Dawud telah meriwayatkan hadith dari Abdullah bin ‘Amir, dia berkata: “Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW duduk di tengah-tengah kami, (tiba-tiba) ibuku memanggilku dengan mengatakan: ‘Hai kemari, aku akan beri kamu sesuatu!’
Rasulullah SAW mengatakan kepada ibuku: ‘Apa yang akan kamu berikan kepadanya?’ Ibuku menjawab: ‘Kurma.’
Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Ketahuilah, seandainya kamu tidak memberinya sesuatu maka ditulis bagimu kedustaan.”
(HR. Abu Dawud bab At-Tasydid fil Kadzib no. 498, lihat Ash-Shahihah no. 748)

Kita perlu belajar.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Teladan Daripada Gergasi Teknologi

Dua tahun selepas iPad dilancarkan, pengasas Apple mendiang Steve Jobs memberitahu wartawan bahawa anak-anak beliau belum lagi menggunakan iPad.

Beliau melahirkan kerisauan beliau tentang ketagihan gajet.

gergasitek

Pengasas Microsoft, Bill Gates, menetapkan bahawa anak beliau hanya boleh memiliki telefon pintar apabila berusia 14 tahun walaupun anak beliau merungut kerana semua rakan memilikinya.


 

Anak-anak mula merasakan ‘peer pressure’ dan mula membanding-bandingkan peraturan di rumah sendiri dan peraturan di rumah kawan ketika berusia dalam lingkungan 9 tahun.

Inilah usia mereka nampak apa yang rakan ada dan apa yang mereka tiada.
Inilah usia mereka mahu apa yang rakan ada.
Inilah usia mereka mula merasakan peraturan di rumah tidak adil.
Inilah usia mereka takut ketinggalan berbanding rakan.

Sebelum mereka mula meminta-minta, merayu-rayu, memujuk-mujuk.
Sebelum mereka mula membanding-bandingkan.
Sebelum mereka berkata “It’s not fair”, “Kenapa kawan boleh?”, eloklah kita tetapkan bila waktunya mereka boleh memiliki telefon pintar.

Beritahu anak dari awal supaya mereka tahu. Biarlah mereka menunggu. Ini namanya ‘delayed gratification’ yang banyak faedahnya untuk perkembangan peribadi seorang manusia.

Apabila sudah diberi tanpa pertimbangan yang wajar oleh ibubapa, amat sukar untuk ditarik balik jika anak-anak menyalahgunakannya.

Berapakah usia yang patut/ingin anda tetapkan untuk anak-anak memiliki telefon pintar?

Kenapa?

Noor Afidah Abu Bakar
Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Meniru: Antara Realiti dan Fantasi

1) Pernahkah anda melihat bayi menjelirkan lidahnya kembali setelah bayi melihat kita menjelirkan lidah kepadanya?

2) Pernahkah anda melihat anak kecil menggoyang-goyangkan badannya apabila melihat kita bergerak mengikut alunan muzik?

3) Pernahkah anda melihat anak kecil meletakkan telefon bimbit di telinganya walaupun anda tidak pernah mengajar anak tersebut tentang kedudukan telefon?

 

meniru

Kredit Gambar: Youtube

Kajian yang dibuat oleh Meltzoff dan Marshall dari Institute for Learning and Brain Science University of Washington mendapati bahawa apabila anak kecil memerhatikan perbuatan kita, otak mereka bertindak balas seolah-olah mereka turut melakukan aktiviti yang sama.

Contohnya, apabila bayi memerhatikan kita menjelirkan lidah, bahagian otak bayi yang mengawal lidah bertindakbalas seolah-olah bayi sendiri yang melakukannya. Apabila kita menggerakkan kaki dan bayi memerhatikan kita, bahagian otak bayi yang mengawal kakinya akan bertindakbalas seolah-olah bayi itu sendiri melakukannya.
Begitulah ajaibnya otak.

Ini adalah tindakbalas yang berlaku disebabkan oleh mirror neuron. Mirror neuron bertindak sebagai cermin kepada apa yang diperhatikan.

ANAK-ANAK BELAJAR MELALUI MENIRU.

Meniru adalah fasa pertama dalam proses pembelajaran anak-anak. Mereka meniru apa saja yang mereka lihat. Mereka meniru apa saja yang menjadi budaya yang diamalkan dalam rumah, sekolah, dalam masyarakat dan juga di skrin tv dan komputer.

4) Pernahkah anda terfikir kenapa anda turut sama menangis apabila melihat pelakon menangis ketika adegan sedih meruntun jiwa? Adakah kerana pelakon tersebut pandai menjiwai watak atau adakah kerana penulis skrip pandai bermain dengan emosi penonton?

Sebenarnya ini juga berlaku disebabkan oleh mirror neuron. Sebarang tindakan yang mencuit emosi kita akan lebih mudah mengaktifkan mirror neuron dan mewujudkan jaringan dalam otak yang menyebabkan kita meniru aksi tersebut. Selain meniru, mirror neuron juga menjadi asas kepada empati atau keupayaan untuk memahami perasaan orang lain (‘Mirror, Mirror in the Brain’, Science Daily, 2007).

Anak kecil mempunyai kecenderungan semulajadi untuk meniru perbuatan orang lain. Walau bagaimanapun mereka belum mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan untuk menilai sama ada perbuatan itu patut atau tidak ditiru. Mereka belum berupaya untuk menganalisa, dan menilai sama ada sesuatu perbuatan itu bermoral ataupun tidak.
Mereka akan meniru apa saja yang dilihat termasuklah perbuatan yang salah, negatif, ganas, vandalisme dan merosakkan pada pandangan orang dewasa. Sebarang perbuatan yang melahirkan emosi akan lebih cenderung untuk ditiru oleh anak-anak.

ANTARA REALITI DAN FANTASI

5) Pernahkah anda melihat anak-anak berguling, menendang, menolak, memukul dan sebagainya selepas melihat aksi lasak atau ganas dalam rancangan yang ditonton mereka di skrin TV atau komputer?

6) Pernahkah anda mendengar bahasa yang tidak elok dipertuturkan anak selepas menonton sesuatu rancangan TV?

Perbuatan meniru sebegini berlaku kerana mereka belum berupaya untuk membezakan antara realiti dan fantasi.

Apa yang ‘real’ pada anak-anak kecil adalah apa yang mereka dapat lihat dengan mata mereka. Keganasan yang mereka tonton di skrin adalah juga real bagi mereka. Jika ‘real’, maka apa salahnya jika mereka tiru? Walaupun mereka mengalami kecelaruan kognitif (cognitive confusion), itu tetap tidak menghalang mereka untuk meniru aksi tersebut.

Oleh itu fikirkanlah:

Cerita dan rancangan yang bagaimanakah ditonton anak-anak melalui skrin TV dan komputer?

Iklan bagaimanakah yang disajikan untuk menjadi tontonan anak setiap hari?
Perbuatan ibubapa dan guru-guru yang bagaimanakah ditiru oleh anak-anak?
Aksi kawan-kawan yang bagaimanakah dibawa balik oleh anak ke rumah?

Anak-anak belajar melalui meniru.
Sajikanlah mereka dengan sesuatu yang baik untuk ditiru.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Sebelum Anak Boleh Membaca

Ketika mendaftarkan anak saya yang berusia 5 tahun ketika itu di sebuah preschool di Australia, suami saya bertanya penyelia preschool adakah usia 5 tahun sudah sepatutnya boleh membaca? Jawab penyelia dengan tenang,

“Don’t worry, they will be able to read, one day. They will get there.”

 

sebelummembaca

Saya dapati walaupun anak-anak masih belum boleh membaca dengan lancar, dan ada yang masih belum boleh membaca, setiap hari mereka dikehendaki membawa pulang 2-3 buah buku cerita dari library kelas untuk dibaca dan dibuat analisa tentang buku. Pelik bukan? Bagaimana hendak bedah buku jika masih belum boleh membaca?

Konsepnya adalah supaya ibubapa juga memainkan peranan untuk bacakan buku untuk anak-anak jika anak masih belum boleh membaca. Bagi yang sudah boleh membaca, mereka boleh membaca sendiri ataupun membuat analisa berasaskan gambar dalam buku.

Mereka kemudiannya perlu menulis ‘laporan’ dalam ‘reading journal’ tentang apa saja analisa yang dibuat baik tentang kulit buku, mukasurat buku, penulis, warna yang digunakan, ketebalan buku, ‘font’, emosi mereka, dan juga sudah tentunya jalan cerita. Bagi yang belum boleh menulis atau mengeja, cukuplah sekadar melukis atau menconteng jurnal tersebut (mark making) untuk menceritakan pendapat mereka dan meluahkan perasaan mereka.

Selalunya saya atau suami akan membaca bersama-sama dengan anak saya dan kemudian kami akan meminta pendapatnya tentang buku, penulis, jalan cerita ataupun ilustrasi dalam buku tersebut. Adakalanya anak saya menulis sendiri laporan, atau melukis atau menconteng mengikut moodnya. Adakalanya saya akan tuliskan pendapat anak saya dalam jurnal tersebut.

Sebelum anak boleh membaca, aktiviti-aktiviti sebegini sangat penting untuk mewujudkan ‘reading’ atau ‘linguistic awareness’ dalam diri anak. Ini juga dikenali sebagai proses literasi awal. Saya dapati proses sebegini dapat memupuk minat anak-anak terhadap aktiviti membaca. Lebih penting lagi, ia juga menggalakkan anak-anak kecil untuk meluahkan pendapat dan menganalisa sesuatu penulisan. Ini adalah asas pemikiran kritis dalam diri seseorang individu. Ia boleh bermula dari awal lagi, sebelum anak boleh membaca.

Aktiviti-aktiviti ini juga dilakukan di prasekolah anak saya di UK.

SEBELUM ANAK BOLEH MEMBACA, PENTING UNTUK KITA:

1) Tunjukkan kepada anak bahawa sebuah buku mempunyai kulitnya, mempunyai tulang buku, dan mempunyai helaian muka surat yang dibaca dari kulit hadapan ke kulit belakang (bagi tulisan rumi). Jika anak tahu, barulah anak boleh menghargai sebuah buku.

2) Tunjukkan kepada anak yang buku mempunyai tajuk yang menceritakan kandungan buku itu.

3) Beritahu anak bahawa nama di hadapan adalah nama penulis dan ilustrator. Ceritakan kepada anak siapakah mereka dan apakah yang mereka lakukan. Saya dapati disebabkan pendedahan dari awal inilah, mereka di Barat sangat mengenali penulis-penulis, baik yang lama ataupun yang baru. Segan saya bila menghadiri seminar bersama ibubapa dan guru-guru yang semuanya mengenali beratus-ratus judul buku dan penulisnya.

4) Tunjukkan kepada anak bahawa kita membaca dari atas ke bawah buku. Ini bukan common sense ya.

5) Ceritakan kepada anak-anak bahawa setiap simbol yang dicantumkan (perkataan) mempunyai makna yang berbeza-beza. Cara yang terbaik adalah dengan mendedahkan anak kepada label makanan, papan tanda, majalah, resipi dan sebagainya.

6) Sekali sekala bacakan buku kepada anak tanpa menunjukkan ilustrasi dalam buku. Ini bertujuan untuk memupuk skil mendengar pada anak. Skil mendengar adalah skil yang sangat penting dalam perkembangan bahasa dan komunikasi.

Ibubapa jangan terlalu panik jika anak belum boleh membaca, jangan terlampau beri tekanan kepada anak. Lebih sukar untuk memupuk apa saja skil pada anak jika anak tertekan, termasuklah membaca.

Yang paling penting bukanlah untuk anak pandai membaca sahaja, yang penting adalah supaya anak suka membaca sampai tua dan menjadi pembaca yang kritis.

Anak saya berusia 20 tahun sekarang.
How time flies.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Tidak Mahu ‘Share’? Masalah Akhlakkah?

Isu ‘share’ adalah isu yang paling kerap diutarakan kepada saya terutamanya oleh ibu-ibu kepada anak kecil berusia pra sekolah. Ayah dan ibu risau bila anak tidak mahu ‘share’. Ada juga anak yang sudahlah tidak mahu ‘share’, bertindak agresif pula dengan kawan yang meminta. Bila disuruh juga ‘share’ mulalah akan tantrum. Kadang-kadang kedua-dua pihak, yang tidak mahu ‘share’ dan tidak di‘share’ akan throw tantrum.

share

Bila ditanya kenapa ayah dan ibu risau bila anak tidak mahu ‘share’? Jawapannya adalah

1) Anak orang lain ok saja ‘share’. Takut kiranya anak mempunyai masalah perkembangan (developmental delay).

2) Risau kiranya anak membesar menjadi Hj. Bakhil, kedekut, tiada empathy, tidak mahu membantu mereka yang memerlukan dan dalam kesusahan.

3) Risau persepsi orang lain terhadap anak dan terhadap diri ibubapa sendiri apabila anak tidak mahu share. Orang lain beranggapan kita tidak pandai didik anak.

4) Ibubapa merasa diri gagal apabila anak tidak mahu share.

TAHUKAH ANDA ‘share’ bukanlah proses yang mudah bagi anak kecil usia TASKA atau prasekolah? ‘Share’ bukanlah isu moral atau akhlak, ‘share’ adalah isu perkembangan kanak-kanak (development).

‘Share’ adalah proses yang kompleks melibatkan pelbagai perkembangan. Secara ringkasnya, sikap tidak mahu ‘share’ adalah sikap yang developmentally appropriate (sesuai dengan perkembangan) anak kecil.

KENAPA ‘SHARE’ MERUPAKAN KONSEP YANG SUKAR BAGI ANAK KECIL?

1) Istilah ‘share’ yang kita sering galakkan atau paksa, membawa maksud yang mengelirukan bagi anak kecil. Adakah ia bermaksud pinjamkan, atau beri terus? Ini melibatkan perkembangan kognitif anak. Mereka belum berupaya untuk berfikir secara abstrak.

Apabila anak ‘share’ makanan, makanan itu habis dan hilang terus. Adakah ‘share’ mainan bermaksud mainan itu juga akan hilang terus? Anak belum faham.

2) ‘Share’ melibatkan konsep masa (sense of time) – berapa lama perlu saya beri kepada dia? Adakah saya akan dapat kembali? Bila? Ibu cakap ‘nanti’, ‘lagi dua minit’, pinjamkan ‘sekejap’, ‘sejam’. Anak belum faham semua konsep ini.

Konsep masa ini terbina di antara usia 4-6 tahun. Bila konsep ini difahami, barulah anak faham bahawa dia akan menerima kembali barangnya dan bukannya kekal bersama orang lain. Tetapi kalau maksud ‘share’ menurut ayah dan ibu adalah beri terus, anak kembali keliru dengan konsep masa ini. Nampak tak?

3) ‘Share’ melibatkan konsep pemilikan (ownership).
Contohnya “Ini anak patung saya”. “Itu kereta mainan dia”. ‘Mine’, ‘hers’, ‘yours’.
Konsep pemilikan ini berkembang di antara usia 4-6 tahun. Anak kecil sifatnya ‘egocentric’ hanya fikirkan diri sendiri dan belum faham orang lain. Sebab itulah ada anak kecil yang suka merebut mainan orang lain. Konsep ownership ini masih samar bagi anak tersebut. Anak perlu dibimbing supaya dia faham.

4) ‘Share’ juga melibatkan konsep pemindahan hak milik (transfer of ownership). Bila sudah faham konsep ownership, anak juga perlu faham bahawa barang yang dimiliki boleh bertukar milik sama ada secara sementara (pinjamkan) atau secara kekal (beri terus).

Kompleks tak? Cuba fikirkan betapa sukarnya untuk anak kecil faham konsep ini.

Konsep ‘ownership’ juga menjadi asas untuk anak memahami bahawa dia tidak boleh mengambil hak orang lain tanpa izin. Jika barang itu bukan miliknya, dia perlu bertanya terlebih dahulu dan bukannya mengambil dengan selamba, merebut atau meragut. Ini juga penting untuk difahami oleh kanak-kanak sekolah rendah, remaja dan juga orang dewasa.

Jika tidak difahami pada usia lanjut maka tidak ada bezanya dengan anak kecil berusia 0-4 tahun.

5) ‘Share’ melibatkan dua idea yang perlu difahami serentak oleh anak
i) mainan ini milik saya
ii) mainan saya ada pada dia

Bagi orang dewasa, ini benda mudah tetapi bagi anak kecil memahami dua idea sudah cukup membingungkan bagi mereka.

6) ‘Share’ juga melibatkan emosi – apa perasaan saya?
Jika anak kecil dipaksa untuk ‘share’ dan mereka terpaksa korbankan hak milik mereka, anak akan kaitkan ‘share’ dengan perasaan sedih, kecewa dan marah. Apabila ‘share’ dikaitkan dengan perasaan ini, lebih sukar untuk anak ‘share’ pada masa yang lain.

Cubalah fahami perasaan anak. Anak kecil juga ada perasaan. Jika kita mendengar, mereka akan lebih mudah untuk ‘share’.

Kita juga perlu hormat kepada anak kiranya ada kepunyaannya yang sangat disayangi dan tidak mahu di‘share’ dengan orang lain. Hormati hak anak juga.

7) ‘Share’ juga melibatkan konsep ’empathy’ iaitu memahami perasaan dan keperluan orang lain. Jika anak ada ’empathy’ lebih mudah untuk anak ‘share’ dengan anak lain yang juga punya keperluan ke atas barang tersebut. Anak juga akan mudah ‘share’ dengan anak lain yang kelihatan sangat tertekan kerana ingin berkongsi. ‘Empathy’ mula berkembang sekitar usia 4 tahun.

8) ‘Share’ juga bergantung kepada temperament (sifat semulajadi) anak. Ada anak yang lebih mudah untuk ‘share’ kerana anak-anak ini tergolong di kalangan anak dengan temperament ‘easy/flexible’. Bagi anak yang ‘feisty’, ‘share’ mungkin mengambil masa untuk mereka praktikkan.

Banyak lagi sebab musababnya tetapi cukuplah lapan faktor supaya ibubapa dan guru faham betapa sukarnya konsep ‘share’ yang sering kita lagukan kepada anak kecil. Anak kecil mengambil masa, berilah mereka masa, ruang dan peluang. Harapan perlu realistik dan bersesuaian perkembangan anak-anak. Relax.

Dalam kita cuba menggalakkan anak untuk ‘share’, pada masa yang sama kita juga perlu pupuk perkembangan yang saya sebut di atas supaya anak faham. Memahami konsep itu sendiri mengambil masa bagi anak kecil kerana mereka tidak mempunyai keupayaan kognitif untuk memahaminya lagi. Perkembangan emosi dan sosial mereka juga masih hijau.

Saya bersetuju kiranya kita tidak menggunakan istilah ‘share’ dengan anak-anak. Istilah ‘turn taking’ (mengambil giliran) seperti petikan dalam gambar lebih membantu anak-anak dalam memupuk sifat sabar, pemurah, dan menerapkan ‘delayed gratification’ iaitu berupaya untuk menunggu untuk mendapat sesuatu ganjaran/kepuasan.

Tukarkan lensa kita.

Share lah posting tentang ‘share’ ini untuk menenangkan ayah, ibu dan guru-guru lain juga. 🙂

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Patutkah Anak-anak Diberi Reward/Allowance Kerana Melakukan Kerja-kerja Rumah (Chores)? 

Patutkah anak-anak diberi reward/allowance kerana melakukan kerja-kerja rumah (chores)?

chores
Kredit Gambar: 1 Special Place

Ini antara isu yang diperbincangkan pada sesi ‘Parenting Talk’ semalam. Terima kasih kepada Puan Siti yang membuka topik ini dan terima kasih juga kepada Encik Shah yang memberi pendapat beliau.

Saya berpendapat tujuan utama memberi chores adalah untuk melatih anak tentang tanggungjawab kepada diri sendiri dan juga keluarga.

Chores juga bertujuan untuk membentuk ‘sense of belonging’ anak-anak dalam keluarga. Apabila anak dapat menyumbang tenaga kepada keluarga, dia akan merasa dirinya bernilai. Anak-anak yang dari kecil merasa ‘belong’ dan bernilai dalam keluarga, akan lebih suka berada di rumah. Kita perlu melihat kesannya untuk jangkamasa panjang, bukan hanya ketika anak kecil sahaja. Ramai remaja yang tidak suka duduk di rumah dan lebih suka lepak bersama rakan-rakan kerana mereka tidak rasa ‘sense of belonging’ tersebut.

Chores juga membentuk skil motor kasar, motor halus dan juga skil penyelesaian masalah. Contohnya anak akan fikir “Macam mana caranya saya hendak susun buku-buku ini supaya teratur di atas rak?”.
Chores juga memupuk kreativiti pada diri anak-anak.

Jadi agak ralat jika chores yang mempunyai sangat banyak manfaatnya dari segi perkembangan seorang manusia harus dan perlu diupah supaya anak melangsaikannya.

Allowance pula, sepatutnya diberi untuk tujuan mendidik anak tentang nilai wang dan mengurus kewangan. Ramai orang muda sekarang yang diisytihar muflis dan hidup melebihi pendapatan kerana memenuhi tuntutan lifestyle. Skil ‘financial management’ ini perlu juga dipupuk dari awal lagi. Ia bukanlah ‘common sense’ jika tidak dibimbing.

Oleh itu perlukah melakukan kerja rumah (chores) diberi upah?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Adik Natasha Qisty dan Sindrom ‘Tall Poppy’

Sudah lama saya mendengar tentang Sindrom ‘Tall Poppy’ yang sering diperkatakan di Australia ketika saya tinggal di sana lebih kurang 15 tahun lalu. ‘Tall poppy’ adalah bahasa slanga di Australia yang merujuk kepada orang yang berjaya.

Hari ini kita menyaksikan bagaimana Sindrom Tall Poppy ini berlaku di negara kita sendiri apabila adik Natasha Qisty Mohd Ridzuan yang memperolehi keputusan cemerlang 9A+ dalam peperiksaan SPM 2016 dikecam dengan hebat oleh segelintir netizen kerana penampilannya. Wajarkah?

 

tallpoppy

Saya difahamkan adik Natasha menutup akaun media sosialnya kerana menjadi mangsa pembuli siber.

Ada dua isu di sini sebenarnya

1) Sindrom Tall Poppy
2) Buli siber (Cyber bullying).

Sindrom Tall Poppy (STP) ini bukanlah isu orang Melayu sahaja. Sindrom ini juga dikenali sebagai ‘The politics of envy’. Ia berkaitan dengan psikologi dan tingkah laku manusia yang tidak boleh melihat orang berdiri lebih tinggi daripadanya dan tidak senang melihat adanya ‘tall poppies’. Orang yang berjaya akan diperlekehkan dan dibuli dengan kecaman-kecaman yang tidak berasas dan tiada kena mengena dengan kejayaan yang mereka capai.

Artikel ini mendedahkan bahawa ada pelajar di Australia dibuli secara fizikal dan verbal sehingga mengalami gangguan mental dan emosi yang berpanjangan.
Adalah juga menjadi lumrah apabila dua ‘tall poppies’ dibanding-bandingkan oleh pengidap sindrom untuk membuktikan kebenaran hujah mereka yang tidak tercapai dek akal itu.

APA MASALAH PENGIDAP SINDROM TALL POPPY?

Menurut kajian yang dibuat di Flinders University of South Australia dan diterbitkan oleh Australian Journal of Psychology pada tahun 1989, mereka yang mengalami STP ini terdiri daripada mereka yang tidak meletakkan prioriti yang tinggi pada aspek kejayaan tersebut. Dalam konteks ini, mereka yang membuli adik Natasha tidak menjadikan akademik sebagai prioriti mereka sebelum ini.

Dalam kajian tersebut juga didapati STP ini banyak dihadapi oleh mereka yang mempunyai percaya diri (self esteem) yang rendah. Mereka merasa inferior. Percaya diri yang rendah boleh berlaku apabila kayu ukur yang digunakan untuk mengukur kelebihan seseorang adalah terlampau sempit. Ia bermula apabila orang dewasa hanya memfokuskan pada kelemahan anak, dan menghukum kelemahan tanpa mempunyai inisiatif dan keinginan untuk melihat pada kelebihan seseorang anak itu. Individu ini akan membesar sebagai seorang yang akan meneruskan tradisi yang sama.

Mereka mencapai kepuasan dengan merendah-rendahkan orang lain supaya ‘tall poppy’ ini berdiri sama rendah dengan mereka. Kelakuan yang sebegini akan mengurangkan kekecewaan mereka dengan diri mereka sendiri. Mereka lebih merasa puas jika dapat menyebarkannya kepada orang lain – di alam siber yang ‘public’. Sedih bukan?
Mereka yang mempunyai percaya diri yang tinggi dan yakin dengan kelebihan yang dimiliki selalunya terhindar dari menghidap STP ini.

OLEH ITU :

1) Latihlah diri kita sebagai orang dewasa untuk melihat kelebihan yang dimiliki oleh seseorang anak dan pelajar supaya mereka juga berupaya untuk melihat kelebihan dan kejayaan orang lain tanpa iri. Allah itu Maha Adil, setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing. Cari kelebihan tersebut, raikan kelebihan tersebut dan gunakan kelebihan tersebut bagi membantu mereka mengatasi apa saja kelemahan yang mungkin mereka miliki kerana manusia itu sifatnya tidak sempurna. Jangan menggunakan kelemahan seorang anak untuk menidakkan kelebihan mereka.

2) Latihlah anak-anak untuk mengagumi dan meraikan kelebihan rakan-rakan dan percaya bahawa mereka juga mempunyai kelebihan yang tersendiri.

3) Bimbinglah juga anak-anak supaya menjadi seorang yang berhemah dan bertanggungjawab di alam siber.

Selepas ini setiap kali apabila kita menyaksikan buli siber berlaku terhadap mereka yang berjaya dalam bidangnya seperti adik Natasha Qisty, tahulah kita bahawa ini adalah SINDROM TALL POPPY.

Tahniah diucapkan kepada semua yang mendapat keputusan peperiksaan SPM 2016 baru-baru ini. Ini adalah satu permulaan. Semoga menjadi individu yang boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan ummah dengan kelebihan masing-masing.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

KBAT* Bukannya Sebat

problem

Setiap tingkah laku anak adalah satu bentuk komunikasi yang tidak atau tidak dapat diluahkan dengan perkataan oleh anak.

Bila anak buat perangai, tidak kiralah anak kecil atau remaja, mereka ingin memberitahu bahawa mereka ada masalah.

Masalah anak kecil mungkin mengantuk, lapar, tidak selesa, letih, kecewa dan sebagainya.

Masalah anak remaja mungkin berkaitan dengan kawan, homework, sekolah, persekitaran, keyakinan diri dan sebagainya.

ANAK ANAK INI ADA MASALAH.

Ada 4 kategori ibubapa apabila berhadapan dengan anak yang ada masalah ini.

1) IBUBAPA YANG MENGHUKUM APABILA ANAK ADA MASALAH.

Ibubapa ini hanyalah ingin mendiamkan anak dan menghentikan perbuatan anak sedangkan masalah anak tidak juga selesai.
Anak tidak belajar skil penyelesaian masalah.

Apa yang anak pelajari?
Anak belajar untuk tidak percaya kepada ibubapa – dia mencari sesiapa saja yang faham dan dapat membantu. Dalam dunia digital sekarang ini, ramai syaitan bertopeng manusia yang online. Bagi remaja, dia keluar mencari kawan yang faham.
Anak juga belajar bahawa masalah dan konflik mesti diselesaikan dengan keganasan.

2) IBUBAPA YANG MELIHAT ANAK INI SEBAGAI SATU MASALAH.

Ibubapa ini selalunya merasa kecewa dan marah dengan anak dan juga diri sendiri. Mereka akan bertindak seperti ibubapa 1 dan kesannya kepada anak-anak juga sama seperti 1.

Masalah yang dihadapi oleh anak tidak diselesaikan.

Apa yang anak pelajari?
Dirinya hanya menyusahkan ibubapa dan dia tiada nilai dalam keluarga.

3) IBUBAPA YANG SELESAIKAN MASALAH UNTUK ANAK.

Ibubapa ini juga hanya mahu diamkan anak dan menghentikan perbuatan anak.
Ibubapa ini selalunya merasuah (bribe) anak dengan apa saja asalkan anak tidak buat perangai.

Contohnya: “OK OK mama belikan aiskrim, jangan kacau. “
“Nah gajet, jangan bising-bising dah.”
Sedangkan masalah anak tiada kena mengena dengan aiskrim ataupun gajet pun.
Masalah anak tidak juga selesai dan anak tidak belajar untuk menyelesaikan masalah.

Apa yang anak pelajari?
Apabila buat perangai, dia dapat ‘reward’. ‘Best’nya!.

4) IBUBAPA YANG BANTU ANAK SELESAIKAN MASALAH.

Ibubapa ini akan cuba lihat dan dengar apa keperluan anak yang tidak mencukupi dan apakah masalah yang menyebabkan anak buat perangai. Tidak cukup makankah? Letihkah? Kena bulikah? Kecewa dengan subjek matematik kah? Ibubapa sibuk sangatkah?

Ibubapa akan marah dan fokus pada PERBUATAN anak.

Contohnya: Jika anak berbohong, kenapa dia berbohong? Takut kena marahkah? Hendak lindungi kawan baik kah? Supaya dia dapat apa yang dia mahukah? Supaya ibubapa tumpu perhatian kepada dia dan bukan adik sahajakah?

Apabila faham masalah yang dihadapi, ibubapa ini juga cuba selami perasaan anak kerana anak pun manusia yang ada perasaan.

Ini akan disusuli dengan slot penyelesaian masalah.
Apa yang sepatutnya dilakukan dalam situasi begini? Jika berlaku lagi apa yang harus dibuat?

Apakah kesannya kepada diri, keluarga dan masyarakat (ini sesuai untuk 10 tahun ke atas, bukan anak 4 tahun).

Idea datangnya daripada anak, dengan bimbingan ibubapa.

Setiap masalah yang anak hadapi adalah peluang untuk ibubapa dan juga guru untuk mendekati anak dan bantu anak dengan teknik penyelesaian masalah.

Kemampuan penyelesaian masalah bukan hanya hak milik mereka yang pandai akademik sahaja. Ia adalah hak semua untuk mempelajari dan memiliki kemahiran tersebut dan menggunakannya dalam kehidupan seharian juga.

“YOU CAN’T TEACH CHILDREN TO BEHAVE BETTER BY MAKING THEM FEEL WORSE. WHEN CHILDREN FEEL BETTER THEY BEHAVE BETTER” – Pam Lee.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

*KBAT – Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

Fokus Pada Usaha, Bukan Hanya Hasil

uk

Anak bongsu saya bersekolah di UK dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke Year 7 (Tingkatan 1). Apabila memulakan persekolahan di Malaysia dalam Tingkatan 2, subjek yang paling digeruninya sudah tentulah subjek Bahasa Melayu kerana dia tidak pernah belajar Bahasa Melayu secara formal ataupun dengan format yang betul. Dia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi tidaklah fasih. Bahasa Melayu pertuturan adalah lebih kepada Bahasa/loghat Utara kerana kedua-dua saya dan suami adalah orang Utara.

Dalam ujian Bahasa Melayu yang pertama dia mendapat 25 markah daripada 100. Saya tidak mengharapkan apa-apa keajaiban dengan subjek Bahasa Melayu kerana faham betapa terhadnya kosa kata dan sukarnya elemen tatabahasa bagi anak itu. Dia tidak berputus asa, dia terus berusaha sedaya yang mungkin dalam keterbatasan itu.

Apabila mendapat markah ujian yang kedua, dia masih lagi di tahap ‘merah’.

“Do you want to know what the teacher said to me when she returned the paper Ummi?”, tanya anak saya.
Saya gugup.
“Yes, what did she say?”, tanya saya gementar.
Anak ini masih dalam kategori bawah paras lulus. Apa agaknya kata-kata guru Bahasa Melayu nya?
Saya khuatir kerana kata-kata inilah yang akan membentuk motivasi dalaman anak ini dan menentukan minatnya terhadap Bahasa Melayu yang tidak pernah dipelajarinya.

“My teacher said ‘”Masha Allah kamu sudah semakin mahir jawab soalan-soalan BM. Tahniah!” – because I got better marks than the first test, even though it is still not so good compared to my friends.”

“And you know what Ummi? The whole class cheered and clapped their hands when they heard that.”

Subhanallah, disebabkan respon guru tersebut kepada keputusannya yang semakin meningkat dan respon rakan-rakan sebaya yang turut sama memberi dorongan dan sokongan, Alhamdulillah anak saya berjaya mendapat 68 markah untuk peperiksaan akhir tahun.

Kata anak saya “Had the teacher responded differently or negatively or put me down or compared me with others, I would have given up because it would have made me feel hopeless and incompetent.”

Ini kisah anak saya. Terima kasih Cikgu atas kata-kata Cikgu.

Kejayaan tidak semestinya hanya terhasil dengan ‘drilling’ dan latih tubi. Usaha-usaha kecil yang dirai dengan kata-kata yang positif lebih bermakna dari kegagalan yang dicemuh dengan tujuan untuk memberi motivasi.

Jika anak atau murid jelas menunjukkan usaha, tetapi balasan kita adalah:

“Kerja kamu masih tidak memuaskan” atau
“Bukan ini yang saya mahu” atau
“Kenapa banyak kali buat pun tak boleh jugak lagi?” dan seumpamanya, maka kejayaan anak itu akan terus tertangguh.

Kejayaan yang besar adalah gabungan usaha-usaha kecil. Kejayaan usaha-usaha kecil inilah yang akan membuahkan hasil yang berpanjangan. Insya Allah.

Kata-kata boleh menghidupkan jiwa dan kata-kata jugalah yang mematikan jiwa.
Fokus pada usaha, bukan hanya hasil.
Fokus pada kelebihan, bukan hanya kelemahan.
Layanlah anak-anak seperti manusia.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect