It Takes Two To Tango

stress

Kredit Gambar: Google

Selalu kita dengar kalau anak atau pelajar stress, mereka susah hendak belajar.
Kadang-kadang kita lupa kalau kita sebagai ibubapa atau pendidik pula stress, kita pun susah hendak mengajar.

Hanya mesej negatif yang berlegar-legar.

It takes two to tango.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Tunggu Sekejap Wahai Kekasih

tantrum sabar

Pernahkah anda melalui situasi di mana anak mahukan sesuatu serta merta dan tidak mahu menunggu?

Kanak-kanak sekarang dikenali sebagai generasi ‘INSTANT GRATIFICATION’ iaitu generasi yang tidak sabar menunggu. 

Mereka hidup dalam dunia yang serba pantas. Mereka hidup dalam dunia ‘touch screen’, semuanya di hujung jari.

Mereka hidup dalam dunia di mana semua kehendak mereka boleh dipenuhi dengan segera oleh (kebanyakan) ibubapa.

Mereka hidup dalam dunia di mana kartun kegemaran boleh ditonton sepanjang masa diulang ulang.

Disebabkan kepantasan mendapatkan sesuatu ini, mereka sering melihat diri mereka sebagai seorang individu dan bukannya sebagai sebahagian dari unit keluarga. Mereka sukar melihat kesan perbuatan dan kemahuan mereka kepada keluarga.

Ajari anak generasi ini untuk sabar menunggu.
Ajari anak generasi ini untuk faham bahawa orang lain juga ada keperluan mereka yang harus dihormati.

Apabila anak ajak bermain dan anda sedang sibuk uruskan pinggan mangkuk yang bertimbun di dapur, katalah kepada anak “Beri ibu 5 minit untuk cuci pinggan mangkuk. Lepas itu Ibu datang.”

Biar anak tunggu sekejap dan faham yang ibu juga ada tugasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Apabila anak meminta bantuan dengan kerja sekolahnya dan anda perlu menguruskan anak kecil dengan segera, katalah kepada anak

“Kejap Ayah pakaikan adik lampin lepas itu Ayah bantu. “
Biar anak tunggu sekejap.

Kadang-kadang waktu menunggu itu anak akan dapat menyelesaikan apa saja masalah yang dihadapinya dengan sendiri.

Biar anak faham bahawa semua ahli keluarga ada keperluan yang perlu dihormati dan saling dibantu.

Latih anak untuk menunggu untuk dapatkan sesuatu.
Bukankah ganjaran syurga juga perlu ditunggu?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Mendengar Kata Apabila

listening

Kredit Gambar: Google

Tahukah anda apabila kita memberi respon kepada bayi atau anak kecil yang berinteraksi dengan kita, kita bukan hanya mengajar anak cara berkomunikasi atau membantu anak memperkayakan kosa kata, sebenarnya kita juga mengajar anak tentang kepatuhan atau mendengar kata.

Untuk anak mendengar kata, anak perlu terlebih dahulu MAHU mendengar.

Proses ini bermula apabila suara manusia memberi ketenangan kepada bayi atau anak kecil melalui nyanyian, bacaan ayat suci Al Quran, bercerita, gurindam, ‘lullaby’, bisikan, bunyi-bunyi lucu atau bunyi-bunyi haiwan yang diajuk seperti moo, meow, dan sebagainya. Anak kecil yang menikmati suara yang mengasyikkan dan mendamaikan ini terutamanya apabila suara itu adalah suara ayah dan ibu sendiri akan sentiasa teruja untuk mendengar suara tersebut.

Anak kecil akan MAHU mendengar apabila suara ini berkata-kata kerana suara ini mendamaikan bagi anak.

Namun jika yang selalu didengari anak kecil dari awal adalah suara yang kasar, bising, marah, arahan, rintihan, bingit, kritikan dan seumpamanya, suara ini tidak mendamaikan buat anak.

Anak TIDAK MAHU mendengar.

Proses seterusnya adalah apabila ayah dan ibu meluangkan masa untuk mendengar apa yang cuba disampaikan oleh bayi dan anak kecil. Apabila ayah dan ibu MAHU mendengar dan memberi respon kepada anak, anak juga akan MAHU mendengar.

Jika anak anda tidak mahu mendengar kata, cuba renung kembali adakah kedua-dua proses di atas dipraktikkan dari awal.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Memahami Anak-anak

childinmind

Bukan sahaja teori, malah mungkin ada amalan-amalan lama juga harus dinilai semula untuk disesuaikan dengan zaman di mana anak-anak kita dibesarkan.
Memahami perkembangan kanak-kanak dan remaja bukanlah hanya tugas pendidik-pendidik di sekolah sahaja, ibubapa juga harus sentiasa belajar untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam diri anak-anak.
Dunia sekarang semakin kompleks dan ia sudah tentunya mempunyai kesan ke atas diri kita dan anak-anak juga.

Rujukan: Understanding Child Development, Lindon & Brodie

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Apakah Perkara Penting Anak-anak Kecil Pelajari?

belajar

Kredit Gambar: Google

Bagi ayah dan ibu yang bertanya apakah perkara penting yang perlu dipelajari di peringkat usia awal anak-anak, berikut adalah aspek pembelajaran penting bagi anak-anak usia tersebut. Pastikan pra sekolah anak-anak anda memberi penekanan kepada aspek-aspek ini.

Ayah dan ibu adalah pendidik utama, oleh itu kita juga bertanggungjawab ke atas pembelajaran anak-anak.

  1.  Belajar tentang perasaan orang lain dan membina empati terhadap orang lain.
  2. Belajar tentang perhubungan dengan orang lain dan mencari perkaitan antara hidup sendiri dan hidup orang lain.
  3. Membina keyakinan untuk berkomunikasi dengan orang lain.
  4. Bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah.
  5. Belajar untuk mendengar dan menghormati apa yang diperkatakan oleh guru dan ibubapa.
  6. Belajar untuk mendengar dan menghormati apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak lain.
  7. Belajar untuk memberikan dan menerima pendapat dan buah fikiran dalam kumpulan.
  8. Belajar tentang persamaan dan perbezaan antara manusia.
  9. Belajar tentang manusia dan penempatan yang berbeza-beza dan masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh mereka.
  10. Belajar tentang perbezaan antara manusia melalui kisah-kisah yang diceritakan kepada mereka.
  11. Belajar tentang kelebihan dan keterbatasan teknologi (bukan hanya komputer/gajet/telefon pintar) dan bagaimana ia boleh memberi manfaat dan mudarat kepada manusia.

 

Pendidikan awal bukan hanya belajar untuk pandai membaca, menulis dan mengira sahaja. Inilah usia yang terbaik untuk membina manusia.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Melentur Buluh Dari Rebungnya

brain

SITUASI 1
Pernahkah bayi anda menendang-nendang kakinya dan mengepak-ngepakkan tangannya dengan reaksi gembira apabila anda pakaikan bib untuknya?

Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa reaksi itu terhasil kerana bayi anda sedang berfikir?

Apabila kita pakaikan bib, bayi meramalkan (predict) bahawa sekejap lagi dia akan disuapkan makanan.

Ramalan ini dibuat berdasarkan pengalaman yang sudah dilaluinya sebelum ini. Bayi mengumpulkan maklumat yang ada dan meramal.
Meramal adalah salah satu elemen berfikir.

SITUASI 2
Pernahkah anak kecil anda mencampakkan sudu dari ‘high chair’ di meja makan dan merengek supaya anda mengutipnya? Apabila dikutip dia jatuhkan sudu semula dan merengek untuk dikutip? Dan mungkin proses ini berterusan sehingga anda biarkan saja tanpa mengutipnya dan dia pun berhenti merengek?

Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa anak kecil anda bukannya sengaja menguji kesabaran anda? Dia juga sedang berfikir.

Anak kecil ini cuba memahami proses kesan dan akibat (cause and effect).
“Apakah yang berlaku jika saya lakukan sebegini?”
“Adakah kesannya sama setiap kali?”

Memahami ’cause and effect’ adalah satu elemen berfikir yang ada dalam diri anak secara semulajadi dan perlu sentiasa dipupuk. Bukankah elemen ini perlu sehingga ke tua?

SITUASI 3
Pernahkah anak kecil anda menangis kerana kecewa dia gagal menyambungkan blok-blok binaannya? Apabila anda menunjukkan kepadanya cara melakukannya dia akhirnya tahu bagaimana caranya dengan meniru langkah-langkah yang ditunjukkan?

Meniru (imitation) juga adalah satu elemen berfikir. Dalam konteks ini ia menggabungkan skil pemerhatian, skil motor halus, koordinasi, dan perancangan untuk menghasilkan sesuatu yang sama seperti dilihatnya.

SITUASI 4
Adakah anak anda bertanya banyak soalan kepada anda?
Adakah dia bertanya soalan-soalan pelik yang anda sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya seperti “Kenapa air basah?” dan sebagainya?

Pernahkah anda terfikir bahawa apabila dia menyoal tidak mengira masa dan tempat, tidak mengira anda letih atau tidak, itu tandanya otaknya sedang ligat berfikir.

Menyoal (questioning) adalah juga satu elemen berfikir. Anak sedang cuba untuk mengumpulkan maklumat-maklumat untuk membentuk pemahaman tentang persekitarannya.

Pada siapakah lagi dia akan bertanya jika bukan pada adiwira dalam hidupnya?

Ini adalah antara contoh-contoh dalam kehidupan seharian anak yang menunjukkan bahawa anak berfikir sejak bayi lagi. Proses berfikir ini sering dipamerkan melalui tindak tanduknya yang mungkin kira rasakan biasa-biasa saja atau mungkin kita naik angin kerana menguji kesabaran kita. Sebenarnya tidak ada satu pun perbuatan semulajadi anak kecil yang sia-sia jika anda belajar untuk memahaminya.

Menggalakkan anak kecil berfikir bukanlah dengan cara memberikannya latihan yang sukar diluar kemampuannya untuk membuktikan ‘kegeniusan’ sahaja. Proses berfikir ini banyak berlaku apabila anak kecil bermain. Bermain bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Peluklah Anak Lelaki

hug

Kredit Gambar: Google

Ketika anak lelaki masih bayi, kita selalu memeluk mereka.
Bayi lelaki atau bayi perempuan sama saja bagi kita.

 

Ayah dan ibu, teruskanlah memeluk anak lelaki apabila mereka meningkat remaja kerana kajian oleh School of Sociology, Social Policy and Social Work, Queens University, Belfast mendapati anak lelaki perlu dipeluk dua hingga tiga kali lebih kerap berbanding anak perempuan untuk menghasilkan paras hormon oxytoxin yang sama.

Hormon inilah yang akan mengeratkan lagi perhubungan antara ibubapa dan anak.

Jika mereka merasa segan untuk dipeluk di khalayak ramai, peluklah mereka sebelum meninggalkan rumah. Tetapi jika mereka biasa dengan pelukan yang tidak putus dari kecil, mereka tidak akan terkesan dengan senyuman sinis rakan.

“Boys need two things that we tend to forget about when we focus only on their physical abilities and their higher activity levels: They need more touch and more conversation.”
Michael Thompson PhD., ‘Raising Cain’.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Matematik Keibubapaan

Mungkin kita biasa menyebut atau mendengar orang menyebut:

“Sebab kena marah dengan ayah dan emak dululah saya jadi orang.”

Sebenarnya proses menjadi manusia adalah proses yang kompleks dan bukan hanya dengan dimarahi kita boleh jadi manusia.

Sejak berdekad yang lalu, Dr. John Gottman, seorang Profesor Emeritus dalam bidang Psikologi dan juga seorang pakar perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan dari The Gottman Institute telah membuat pelbagai kajian tentang amalan-amalan positif dan negatif dalam perkahwinan dan institusi kekeluargaan.

Beliau merumuskan bahawa untuk sesebuah perkahwinan itu lebih harmoni dan berkekalan, sepasang suami isteri memerlukan 5 interaksi positif kepada setiap 1 interaksi negatif.

magicratio

NISBAH 5:1 (MAGIC RATIO 5:1)

Contohnya jika suami atau isteri menyindir pasangan, interaksi negatif itu harus diikuti dengan 5 interaksi positif seperti memuji, berterima kasih, memeluk, belanja ‘lunch’, bergurau senda, membantu, berlembut, memujuk dan sebagainya untuk memulihkan keadaan dan emosi. Jika nisbah interaksi ini kurang dari 5:1 dan ia berlanjutan, keharmonian sukar wujud dalam perhubungan suami isteri.

Nisbah yang sama juga perlu diapplikasikan antara ibubapa dan anak-anak.

1 interaksi negatif seperti marah, kritik, cemuh, sindir, sarkastik, ungkit, bebel dan sebagainya haruslah diikuti dengan 5 interaksi positif seperti peluk, cium, belai, nasihat, bergurau, puji, sembang, masa kualiti, main, dan sebagainya.
Hanya dengan cara ini kita boleh mewujudkan harmoni dan kerjasama antara ibubapa dan anak.

Kesimpulannya bukanlah marah yang menyebabkan kita jadi manusia, tetapi belaian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibubapalah yang menyebabkan kita jadi manusia.

Marah adalah perlu jika diperlukan dan interaksi positif yang lebih dari negatif adalah juga penting.

Bagaimana nisbah keluarga kita hari ini?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kenapa Anak Saya Tidak Seperti Anak Dia?

Hari-hari anda ‘follow’ perkembangan anak comel itu di Instagram.

“Oh comelnya. Nak anak macam ni jugak nanti” – komen anda di Instagram tersebut.
Anda ‘tag’ pasangan anda.

 

tidakseperti

Satu lagi komen di Instagram anak comel itu, “Nanti kita buat macam ini jugak dengan anak kita Ayang.”

Komen lagi “Semoga anak saya jadi macam ini. Amin.”

Komen lagi “Baiknya dia. Untungla ada anak macam ini.”

Saya kira banyak juga ‘komen’ yang tidak ditulis di Instagram itu. Komen yang hanya disimpan di dalam hati.

Boleh dikatakan semua ibubapa berdoa dan menaruh harapan untuk mempunyai anak yang ‘perfect’ seperti yang dilihat di media sosial.

Apa yang kita tidak nampak dan tidak diberitahu adalah cabaran ayah dan ibu anak tersebut dalam membesarkan anak itu, sepertimana ayah dan ibu yang lain membesarkan anak mereka.

Sepertimana kita juga.

Bolehkah anak kita menjadi seperti anak orang lain?

Insya Allah boleh. Kita doakan. Tetapi bukanlah 100%.

Anak-anak dilahirkan dengan pembawaan yang unik. Jika anda mempunyai anak lebih dari seorang anda akan faham pembawaan ini. Anak comel dan baik yang anda lihat di Instagram itu juga mempunyai pembawaannya yang tersendiri yang mungkin berbeza dari anak anda.

APAKAH PEMBAWAAN (TEMPERAMENT)?

Pembawaan adalah kecenderungan semulajadi anak-anak.
Ia merupakan cara anak bertindakbalas terhadap apa yang berlaku di persekitaran anak. Jika anda melihat anak di Instagram itu tenang dan ‘cool’ saja apabila tidak diberikan apa yang dia mahu, anak anda yang mudah mengamuk itu berkemungkinan besar mempunyai pembawaan yang berbeza.

Jika pembawaan berbeza, kaedah yang perlu kita gunakan untuk mendidik dan membentuk anak kita juga berbeza dari anak comel ataupun remaja yang hebat di Instagram itu.

Terdapat 3 pembawaan asas:

1) Pembawaan mudah (Easy temperament)

Anak dalam kategori ini tidak banyak kerenah. Merengek pun sekejap saja dan mudah dipujuk. Anak sentiasa kelihatan tenang dan gembira. Anak ini tidak mudah terganggu dengan bunyi bising, mudah menyesuaikan diri dengan tempat baru dan cepat berkawan.

2) Pembawaan lambat hingga sederhana (Slow to warm up)

Anak dalam kategori ini mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan tempat baru dan orang baru. Mereka selalu dilabel sebagai ‘pemalu’. Apabila berhadapan dengan situasi baru, mereka akan menyisihkan diri dan memerhati terlebih dahulu.

3) Pembawaan sukar (Feisty)

Biasanya anak dalam kategori ini adalah seorang yang cerewet, lasak dan kadangkala agresif. Anak menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan mudah terganggu atau tercuit oleh orang lain. Anak ini mengambil masa untuk ditenteramkan.

Walau bagaimanapun 35% kanak-kanak didapati mempunyai pembawaan bercampur dan tidak tergolong dalam satu kategori tertentu.

Tidak ada pembawaan yang tidak baik. Semuanya dijadikan Allah baik, lahir seumpama kain putih walaupun pembawaan berbeza-beza.

Sebagai ibubapa, kita perlu faham pembawaan individu anak-anak kerana kita perlu mencari kaedah yang bersesuaian dengan pembawaannya (goodness of fit) untuk membimbing anak-anak.

Kata-kata seperti “Oh anak saya memang macam tu, suka melompat-lompat atas sofa sebab dia mempunyai pembawaan sukar. Saya kena faham dan sokong” adalah salah sama sekali. Jangan dijadikan sebagai alasan. Walaupun anak mempunyai pembawaan sukar, kita boleh menyalurkan tenaganya ke arah yang baik. Sediakan persekitaran yang sesuai untuk anak melompat-lompat. Mana tahu satu hari nanti dia menjadi jaguh acara lompat galah Sukan Olimpik.

Jika kita adalah seorang ayah atau ibu yang ekstrovert yakni suka dan senang bergaul dengan orang lain, anak yang mempunyai pembawaan lambat hingga sederhana mungkin memberi tekanan kepada kita.

“Kenapalah anak saya ini anti sosial sangat? Budak-budak lain senang saja bermain, berkawan. Dia terperok sorang-sorang di sudut itu saja.”

Kesesuaian antara pembawaan atau personaliti kita dan anak kita juga perlu dicari. Kita tidak boleh memaksa anak menjadi seperti kita jika pembawaan anak adalah berbeza.

Kita mungkin biasa mendengar ibubapa kita sendiri atau orang tua berkata,
“Lain betul perangai anak kamu dengan kamu.”
Itu biasa.

Walau bagaimanapun kita perlu membimbing anak supaya dia dapat membina akhlak, adab dan skil-skil penting dalam hidup tidak kira apa saja pembawaannya.

Kita tidak boleh menekan anak untuk menjadi seperti anak yang kita lihat di Instagram itu. Kadang-kadang teknik yang sama belum tentu membuahkan hasil yang sama. Fahami pembawaan anak dan cari kesesuaian antara anak dengan persekitaran dan anak dengan kita juga.

Banyak konflik berlaku antara ibubapa dan anak remaja kerana tidak dicari kesesuaian pembawaan.

Apakah pembawaan anak anda?
Adakah pembawaan anak sama dengan pembawaan anda?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect