
ANAK ASYIK BERMAIN SAJA, BILA HENDAK BELAJAR?
Cabaran seorang ibu seperti yang diluahkan kepada saya:
“Puan, anak saya berusia 5 tahun, saya tidak beri gajet kepada anak saya kerana macam-macam keburukan saya dengar tentang gajet. Anak saya OK, Tetapi bila tidak diberi gajet anak saya asyik main saja, tidak boleh diam. Saya risau sebab anak saya tidak mahu belajar. Bagaimanakah cara untuk saya mendisiplinkan anak saya supaya dia belajar?”
*Pernahkah anda juga risau yang anak kecil anda terlalu banyak bermain dan tidak mahu belajar?
*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda suka ke hulu ke hilir membawa barang penuh di tangannya?
*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda suka memusing-musingkan badannya sehingga jatuh terduduk ataupun terlanggar perabut berhampiran?
*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda suka sangat bermain dengan air paip yang mengalir?
*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda suka bergayut di taman permainan dengan kakinya di atas dan kepala ke bawah?
*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda sering menyusun kereta mainan mengikut turutan yang hanya anak tahu signifikasinya?
*Pernahkah anda tertanya-tanya juga tentang aksi atau tingkah laku lain yang membingungkan anda? Ada kalanya tingkah laku ini membahayakan anak tetapi bila dihalang dia tetap ingin melakukannya.
TAHUKAH ANDA semua tingkah laku dan pergerakan ini amat penting ke atas perkembangan dan pembelajaran seorang kanak-kanak dan ia bukanlah sia-sia.
TAHUKAH ANDA kanak-kanak mempunyai kecenderungan yang meluap-luap (urge) untuk melakukan beberapa aksi atau perbuatan yang dikenali sebagai skema ataupun pola tingkah laku?
Skema ini bukanlah semata-mata pergerakan fizikal yang sia-sia tanpa belajar apa-apa atau untuk menguji kesabaran anda dengan aksi yang mungkin membahayakan.
Skema adalah kecenderungan semulajadi yang dimiliki kanak-kanak Kita juga mempunyai kecenderungan tersebut ketika kecil dahulu tetapi mungkin kita sudah lupa.
APAKAH ITU SKEMA (schema)?
BUKAN skima jawapan peperiksaan.
Ia adalah pola tingkah laku yang sering kita lihat dilakukan oleh kanak-kanak secara berulang-ulang dalam pelbagai situasi ketika bermain dan meneroka persekitaran. Ia dilakukan untuk memahami kenapa dan bagaimana sesuatu itu berlaku atau berfungsi.
Skema:
1) menjadi asas kepada perkembangan kognitif (pemikiran) kanak-kanak.
2) mencerminkan struktur pemikiran kanak-kanak.
3) membina jaringan neural otak kanak-kanak (ayat biasa kita dengar – menghubungkan sel sel otak),
4) membantu pembelajaran kerana kanak-kanak belajar dengan melakukan (learn by doing),
5) membantu memahami dan membina konsep seperti matematik dan sains dan juga memahami kehidupan dan kemanusiaan.
Skema dipamirkan secara fizikal, verbal atau juga melalui hasil karya kanak-kanak.
Ia boleh kita lihat dari bayi lagi. Semakin kanak-kanak membesar, skema ini menjadi semakin kompleks dan sofistikated kerana skema adalah cerminan pemikiran kanak-kanak.
KENAPA KITA PERLU TAHU?
1) Bagi pengamal dan pendidik bidang pendidikan awal kanak-kanak pengetahuan tentang skema ini penting untuk menggubal kurikulum dan aktiviti yang bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak. Ia juga penting untuk menyediakan persekitaran yang sesuai untuk kanak-kanak bermain, berkembang dan belajar.
2) Bagi ibubapa pula, dengan memerhatikan anak ketika anak sedang bermain, kita dapat mengenalpasti apakah skema yang sedang dipamirkan oleh anak dan apakah yang sedang dipelajari anak.
3) Mengetahui dan menggalakkan skema membantu kita memahami minat dan kebijaksanaan (intelligence) anak.
4) Apabila kita faham tentang skema, kita akan lebih faham kenapa anak berkelakuan seperti yang kita lihat.
5) Kita dapat membantu memperkayakan pengalaman skema anak, sekaligus membantu perkembangan otak anak, pembelajaran anak dan pembesarannya.
6) Kita dapat membendung tingkah laku yang mungkin membahayakan atau menguji kesabaran kita.
7) Membantu kita membuat pilihan sekolah yang menyediakan peluang untuk anak meneroka skema dan bukan hanya diam di meja menyudahkan ‘worksheet’
Berikut adalah 9 jenis skema atau pola tingkah laku yang dikenalpasti pada kanak-kanak dan mungkin juga ada pada diri anda sendiri sebagai orang dewasa.
Yang mana satu yang anda lihat pada anak anda sekarang?
Adakah anak mempamirkan satu skema atau gabungan beberapa skema?
Setelah mengetahui tentang skema, fikirkan kembali adakah anak tidak belajar apabila bermain dan meneroka.
Terdapat 9 jenis Skema yang akan diperincikan di dalam post selepas ini.
This slideshow requires JavaScript.
Noor Afidah Abu Bakar
MA Early Childhood Education
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect