73 Soalan Sehari

73 questions

Anak anda banyak bertanya soalan?
Letih menjawab soalan-soalan anak?

Menurut kajian yang dibuat di UK ini, kanak-kanak berusia 4 tahun paling banyak bertanya soalan.

Bagaimana dengan anak anda?

Bertanya adalah kaedah yang paling kerap digunakan oleh kanak-kanak untuk memahami tentang sesuatu perkara. Walaupun kaedah itu mungkin sangat meletihkan bagi ibubapa, ia merupakan kaedah pembelajaran yang efektif bagi mereka.

Perlu diingat bahawa dengan bertanya mereka mula menunjukkan kecenderungan untuk belajar. Dengan bertanya juga mereka mula menunjukkan minat untuk menaakul (reasoning). Ini adalah perkembangan skil kognitif yang penting bagi kanak-kanak. Mereka mula bertanya ketika berusia lingkungan 3 tahun.

Jika ibubapa meluangkan masa untuk menjawab soalan-soalan anak, kecenderungan anak untuk meneroka ilmu dan pengetahuan akan semakin bertambah. Sebaliknya jika kita mengambil sikap mengabaikan pertanyaan mereka, akan wujud perasaan bersalah dalam diri mereka dan seterusnya mematikan semangat untuk belajar dan meneroka ilmu.

Jika anda keletihan terpaksa melayan soalan-soalan anak, tunda memberi jawapan ke suatu masa yang lebih sesuai. Jangan diabaikan terus. Jangan kecam atau marah anak kerana bertanya.

Jika anda tidak tahu jawapan kepada soalan anak, carilah jawapan dari sumber yang sahih. Jangan mereka-reka jawapan. Menurut kajian, ramai ibubapa bergantung pada Google untuk mencari maklumat. Semuanya dihujung jari sekarang ini. Tetapi janganlah dibiarkan anak meng‘google’ sendiri jawapannya kerana ditakuti bertembung dengan apa yang tidak sepatutnya di internet.

Apakah soalan anak yang paling susah untuk anda jawab?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Merapatkan Yang Renggang

Kebanyakan cabaran yang ibubapa hadapi dengan anak, tidak kira usia, bukanlah disebabkan oleh anak yang tidak berdisiplin, tetapi disebabkan oleh hubungan yang renggang di antara ibubapa dengan anak.

Kerenggangan inilah yang membawa kepada cabaran tingkah laku.

Jikalau anak yang memberi cabaran kepada kita perlu dimarahi selalu, perlu dihukum selalu, perlu dileteri selalu, perlu diugut selalu, perlu dirasuah selalu supaya berkelakuan baik ataupun semua kaedah itu tidak berjaya mengubah anak, itu bermakna hubungan kita dengan anak perlu diperbaiki terlebih dahulu.

CARA MUDAH MERAPATKAN YANG RENGGANG.

FOKUS – Apabila berpeluang untuk meluangkan masa dengan anak berhenti menggunakan sebarang peranti digital atau skrin. Beri 100% tumpuan kepada anak. Perhatian adalah satu keperluan kepada anak, bukannya satu ganjaran. Perhatian yang diberikan akan mengubah anak perlahan-lahan kerana anak merasakan diri bernilai kepada ibubapa.

MAKAN – Jadikan waktu malam sebagai waktu untuk keluarga. Amalkan makan malam bersama-sama. Pastikan makan malam tidak diganggu oleh televisyen ataupun telefon. Beri 100% tumpuan untuk mendengar perkongsian tentang aktiviti setiap ahli keluarga pada hari tersebut.

MASA ISTIMEWA – Rancangkan masa istimewa atau ‘special time’ bersama setiap anak secara bergilir-gilir. Lakukan aktiviti yang disukai oleh anak ataupun mungkin bersantai dan berbual kosong bersama-sama. Masa istimewa sebegini membuatkan setiap anak merasakan diri istimewa dan tidak dipinggirkan.

PELUKAN – Anak-anak juga perlu merasai pelukan dan sentuhan daripada ibubapa.

Pelukan merembeskan hormon oksitosin atau hormon kasih sayang yang merapatkan hubungan ibubapa dan anak.

Anak-anak memerlukan * :
4 pelukan sehari untuk kelangsungan hidup (survival).
8 pelukan sehari untuk pemeliharaan (maintenance).
12 pelukan sehari untuk pertumbuhan (growth).

Amalkan CONNECTION BEFORE CORRECTION.
Rapatkan hubungan terlebih dahulu supaya mudah untuk kita mendidik dan membimbing anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Sabar Yang Diperlukan Ibubapa

sabar

SABAR EMOSI

Sabar sebagai ibubapa selalu dikaitkan dengan keupayaan untuk menahan rasa marah.
Bersabar agar kita tidak mengamuk, tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak menghukum sehingga membawa kepada penderaan. 

Anak meragam, anak menguji kesabaran, anak melawan, anak tidak mendengar kata, anak tidak hormat, anak meraung, anak sepahkan rumah, semua ini menjadi cabaran kepada emosi ibubapa. Sabar emosi ini penting untuk menjaga keharmonian dalam keluarga dan juga untuk memastikan kewarasan diri kita sendiri.

SABAR MENUNGGU HASIL

Walau apa saja yang kita usahakan dalam mendidik anak-anak ia tidak akan menunjukkan hasilnya dalam waktu yang singkat. Mendidik anak-anak adalah satu proses tarbiyah yang dimulai dengan asuhan, didikan dan bimbingan peringkat demi peringkat sehinggalah anak berupaya untuk melakukannya sendiri.

Didikan dan bimbingan ini jugalah yang akan menghasilkan ‘inner speech’ atau suara hati dalam diri anak yang akan menjadi motivasi dalaman supaya anak melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang tidak baik.

Proses ini mengambil masa dan menuntut kesabaran ibubapa.
Janganlah terlalu mengharapkan hasil yang tergesa-gesa sehingga memaksa anak di luar kemampuan dan keupayaan dirinya.

SABAR BERUSAHA

Jika satu kaedah tidak bersesuaian dengan anak, berusahalah mencari dan mencuba kaedah yang lain pula. Jangan cepat berputus asa dan menyalahkan diri sendiri. Jangan juga menyalah anak semata-mata jika sesuatu usaha kita itu tidak berjaya. Setiap anak berbeza-beza sebagaimana setiap keluarga berbeza-beza.

Bersabarlah dalam berusaha mencari jalan penyelesaian kepada apa saja cabaran yang kita hadapi dengan anak-anak.

Bersabar bukanlah bermaksud kita hanya berdiam diri menunggu keajaiban berlaku tanpa usaha.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Berhentilah Memalukan Kanak-kanak di Media Sosial

shaming

Wahai ibubapa…

Jagalah aib anak-anak sendiri di media sosial. Janganlah dimuatnaik video atau gambar yang memalukan. Anak kecil tidak dapat mempertahankan dirinya. Anak kecil tidak tahu kisahnya telah disebarkan. Anak kecil tidak tahu ramai yang mentertawakan dia. Anak kecil tidak tahu ada yang mengeji dia hanya kerana berperangai seperti anak kecil.

Adakah yang mengeji itu sempurna kelakuannya ketika kecil dulu?
Sedarlah yang kita beruntung zaman ibubapa kita dulu tiada media sosial.

Anak kecil tidak tahu ramai yang hendak ‘memberi penampar’ kepada dia kerana mereka tidak tahu cerita sebenar apa yang berlaku.

Kasihan kamu hai anak.

Wahai ibubapa…

Anak kecil itu akan terus diejek, dimalukan dan dibuli kerana keghairahan orang dewasa mengongsi kisahnya. Kasihanilah dia. Dia tidak tahu apa-apa.
Anak kecil itu bukan saja diejek oleh rakan sebaya, anak kecil itu juga diejek oleh orang dewasa yang akalnya tidak sempurna.
Kasihanilah dia.

Satu hari nanti anak kecil akan mendapat tahu juga yang dia telah dimalukan di internet. Satu hari nanti mungkin dia tertekan dengan aibnya yang telah dibuka. Satu hari nanti mungkin renggang hubungan kerana aibnya tidak dijaga. Atau mungkin satu hari nanti perangainya tetap tidak berubah kerana dia popular dengan perangainya yang sebegitu. Dia popular kerana ibubapa sendiri yang mempopularkan dia walaupun perangainya masih memerlukan bimbingan.

Wahai ibubapa…

Apa yang kita muatnaik di internet akan terus kekal di internet sampai bila-bila. Kita boleh padamkan dari media sosial kita, tetapi ramai yang tidak padamkan. Ramai yang telah kongsikan. Ramai yang muat turun dan menyimpannya. Mungkin mereka berniat baik, namun mungkin juga ada yang berniat tidak baik terhadap kita, keluarga kita dan anak-anak kita. Mungkin ia akan digunakan oleh mereka nanti untuk terus membuka aib kita.

Pohonlah perlindungan daripada Allah SWT. Allah akan terus menutup aib kita selagi kita berusaha menutupnya. Kita manusia yang sentiasa berbuat silap.

Anak-anak adalah cerminan diri kita sendiri. Jika kita membuka aib anak di media sosial untuk disebarkan, kita sebenarnya membuka pekung di dada kita sendiri.

STOP SHAMING CHILDREN

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ketagihan Gajet Bukan Hanya Oleh Anak-anak

gagetstar

Kredit Imej: The Star

Ibubapa sekarang banyak meluangkan masa bersama anak-anak, ini patut dipuji.
Walau bagaimanapun menurut kajian, kita mengamalkan model keibubapaan yang paling buruk dalam sejarah peradaban manusia, iaitu ‘Distracted Parenting’ atau Keibubapaan Yang Terganggu.

Kenapa?

Kerana masa yang kita luangkan bersama-sama anak terlalu banyak diganggu oleh ‘Cinta Tiga Segi’ antara kita dan anak iaitu telefon pintar.

Kita hanya hadir secara fizikal tetapi kita tidak ‘connect’ secara emosi dengan anak.

Asas perkembangan dan pembelajaran anak adalah melalui proses yang dikenali sebagai ‘serve and return’. Saya pernah menulis, rujuk di pautan ini :
Kaedah Mudah Menghubungkan Sel-sel Otak

Proses ini melibatkan komunikasi yang responsif antara ibubapa dan anak. Kehadiran ‘smartphone’ telah mengurangkan proses ‘serve and return’ ini walaupun kita meluangkan masa dengan anak. Kita menjadi tidak responsif dan kaku. Mereka yang pernah menghadiri sesi saya tentu ingat “Still-Face.”

Kita mengharapkan sistem pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak kita. Kita mengharapkan agar anak tidak terbeban dengan subjek yang susah, anak tidak terbeban dengan buku teks yang terlampau berat, anak tidak terbeban dengan peperiksaan dan anak tidak terbeban dengan jadual persekolahan yang padat.

Tetapi adakah kita sebagai ibubapa bersedia untuk tidak menggunakan telefon apabila kita meluangkan masa bersama-sama anak?

Adakah kita tidak kisah membebankan emosi anak?Ataupun kita masih ingin berterusan dengan model

‘Distracted Parenting’ ataupun ‘Present but absent parenting’?

Artikel penuh ‘The Star’.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Read Aloud dan Bimbingan Emosi

Semalam saya menulis tentang Read Aloud ataupun bacakan buku untuk anak-anak.

Read Aloud bukan sahaja memupuk minat anak untuk membaca dan berdiskusi, ‘read aloud’ juga adalah kaedah yang sangat berkesan untuk membentuk empati dalam diri anak-anak. Kaedah penceritaan dapat membantu anak untuk memahami perasaan dan permasalahan yang dialami oleh orang lain.

Peringkat pertama untuk menjadi seorang individu yang mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi adalah self awareness, iaitu faham emosi yang dialami oleh diri sendiri. Marah, sedih, gembira, kecewa, takut, terkejut dan sebagainya.

Apabila anak faham emosinya, anak juga akan terbuka untuk memahami emosi orang lain.

Emosi adalah untuk dikenalpasti dan bukannya ditidakkan.
Individu yang emosinya sering ditidakkan akan menjadi manusia yang tidak peduli dengan permasalahan orang lain, tidak ada perasaan apabila melihat dan melakukan kekejaman.

Itulah yang banyak kita lihat sekarang.

“Takkan itu pun nak sedih?”
“Alaa, releks la jangan frust sangat”
“Orang Rohingya tu lagi susah tau. Susah kau sikit saja”
“Lelaki mana boleh menangis. Lembik la kau”

Ini semua kaedah yang salah kerana menidakkan emosi.

Jika anda selalu ikuti penulisan saya di Parent Connect ini, saya sering menggalakkan agar pendidikan emosi itu diajar dari peringkat pra sekolah lagi.
Lakukannya melalui Read Aloud kerana ia akan lebih menarik perhatian anak-anak.

Insya Allah

Teacher Reading a Story to Her Students

 

50 Must-have Picture Books To Teach Social Emotional Skills

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Anak-anak Bersama Dengan Kita Cuma Selama 900 Minggu Sebelum Dia Mula Meninggalkan Rumah

leaving

Kredit Gambar: DailyExpress

Anak-anak bersama dengan kita cuma selama 900 minggu sebelum dia mula meninggalkan rumah.

Masa bersama itu semakin singkat jika anak ke sekolah berasrama.

Pastikan kita hadir 100% dalam hidup anak apabila anak bersama dengan kita selama 900 minggu itu dan bukannya ‘present but absent’ seperti yang saya tulis sebelum ini.

Hitunglah minggu-minggu yang tinggal.

Bagaimana hubungan dengan anak minggu ini?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

 

It Takes Two To Tango

stress

Kredit Gambar: Google

Selalu kita dengar kalau anak atau pelajar stress, mereka susah hendak belajar.
Kadang-kadang kita lupa kalau kita sebagai ibubapa atau pendidik pula stress, kita pun susah hendak mengajar.

Hanya mesej negatif yang berlegar-legar.

It takes two to tango.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect