Anak Ketagih Gajet Tetap Dapat Nombor 1

smart-child

Kredit Gambar: Google

Ketika berbincang tentang kesan gajet kepada kanak-kanak baru-baru ini, seorang ayah bertanya saya tentang seorang anak berusia 4 tahun. Anak tersebut sering dibiarkan menggunakan gajet tetapi dia tetap mendapat no. 1 dalam kelas. Jika begitulah pencapaiannya, bukankah gajet itu tidak membawa keburukan kepada anak tersebut?

Begini,

Sebagai ibubapa, matlamat yang hendak kita capai dengan anak berusia 4 tahun bukanlah hanya untuk melihat anak mendapat nombor 1 dalam kelas. Mendapat nombor 1 atau nombor berapa sekali pun dalam kelas usia 4 tahun bukanlah penanda aras bahawa anak tersebut sudah cukup berkembang dan terdidik.

Sepatutnya tadika berusia 4 tahun tidak ada sistem pernomboran sebagai penilaian keupayaan seorang murid. Sistem sebegini adalah salah sama sekali. Pernomboran ketika usia ini tidak mencerminkan keupayaan sepenuhnya seorang anak malah mewujudkan ‘fixed mindset’ pada ibubapa itu sendiri yakni “Anak saya sudah cukup pandai dan bijak. Anak saya tidak memerlukan apa-apa didikan lagi.”

Dalam menilai dan menganalisa kesan penggunaan gajet kepada anak-anak, ibubapa dan guru harus melihat dari pelbagai sudut perkembangan kanak-kanak bukan hanya dari sudut pandai dalam peperiksaan.

Antara aspek yang perlu diberi penekanan adalah:

1) KEUPAYAAN KOMUNIKASI DAN BAHASA.

  • Bagaimanakah penguasaan komunikasi verbal anak?
  • Berapakah kosa kata yang dimiliki anak?
  • Adakah anak banyak bersoal jawab?
  • Bagaimanakah komunikasi sosial anak?
  • Bagaimanakah tingkah laku ‘non verbal’ anak?

2) KEUPAYAAN KOGNITIF

  • Bagaimanakah corak pemikiran anak?
  • Adakah dia mula memahami konsep kesan dan akibat?
  • Bagaimanakah keupayaan menaakul anak?
  • Bagaimanakah skil penyelesaian masalah anak?
  • Adakah anak kreatif?
  • Bagaimanakah keupayaan imaginasi anak?

3) KEUPAYAAN FIZIKAL

  • Bagaimanakah skil motor halus anak?
  • Adakah anak boleh menggunakan gunting, sudu, garfu, memegang pensil, peralatan lukisan dengan betul?
  • Bagaimanakah skil motor kasar anak?
  • Bolehkah anak menggunakan fizikal untuk berlari, melompat, merangkak, menyusur, memanjat tanpa pergerakan yang kekok?

4) KEUPAYAAN SOSIAL

  • Adakah anak mahu dan berupaya membina persahabatan?
  • Bagaimanakah skil kepimpinan anak?
  • Adakah anak boleh mengikut giliran?
  • Adakah anak memiliki skil pengurusan konflik apabila berkelahi dengan kawan, contohnya?
  • Adakah anak berupaya untuk bekerja dalam kumpulan?
  • Adakah anak memahami peraturan dan batasan yang ada?
  • Adakah anak boleh mengikut arahan yang diberikan?

5) KEUPAYAAN EMOSI

  • Adakah anak boleh melabelkan emosi?
  • Adakah anak faham emosi yang dirasainya?
  • Adakah anak boleh menyatakan apakah yang sedang dirasa?
  • Adakah anak berupaya memahami emosi orang lain?
  • Adakah anak mempunyai empati?
  • Adakah anak mahu dan suka membantu orang lain?
  • Adakah anak melihat sesuatu dengan pandangan yang positif?
  • Adakah anak berupaya menjadi dirinya sendiri?

Semua di atas adalah di antara skil yang perlu dipupuk pada kanak-kanak berusia 4 tahun oleh ibubapa dan juga guru di tadika. Panjang lagi senarainya jika hendak ditulis. Oleh kerana semua skil itu masih berkembang, maka tidak ada nombor yang dapat digunakan untuk menilainya kerana ia begitu subjektif.

Dalam menilai kesan gajet kepada kanak-kanak berusia 4 tahun, ibubapa harus melihat gambaran keseluruhan yang merangkumi semua perkembangan kanak-kanak, bukan setakat pandai dapat nombor 1.

Perjalanan anak berusia 4 tahun masih jauh lagi. Berilah anak peluang dan stimulasi yang sepatutnya dalam membina perkembangan holistik anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Kisah Seorang ‘Hero’

Sepuluh tahun lalu dialah ‘hero’ di kampung. Cakap orang langsung tidak diendahnya. Walaupun baru berusia 6 tahun ketika itu, habis serata pelusuk kampung di jelajahnya dengan basikal. Kata ayah dan ibunya anak itu sukar untuk dikawal. Jatuh, luka, kemalangan adalah perkara biasa. Kata orang kampung dia tidak rasa sakit seperti orang lain. Deria kurang sensitif. Oleh sebab itulah kemalangan langsung tidak menghairankan bagi dia. Bagaimana dia hendak berhenti jika rasa sakit yang menghalang kanak-kanak lain tidak dirasakan olehnya. Apabila menginjak ke usia 10 tahun dia mula bercampur dengan remaja yang liar. Dia mula merokok dan merayau sehingga ke pagi. Dia tetap ‘hero kampung’ yang sukar dihalang dan dikawal.

herokampung

Kredit Gambar: Youtube

Lama kami tidak bertemu dengan dia.

Pada Hari Raya ke 3 baru-baru ini suami saya disapa oleh seorang anak muda yang wajahnya seakan kanak-kanak hero kampung itu dulu.
Benarlah itu dia.
Tetapi pertemuan kali ini berbeza, kerana suami bertemu dengan dia usai solat subuh berjemaah di masjid. Bukan calang-calang anak muda yang akan bersolat berjemaah di Masjid. Orang tua juga ‘liat’, apatah lagi anak muda yang hidupnya masih ingin berseronok dibuai mimpi.
Apatah lagi anak muda yang latar belakang masa kecilnya ‘liar’ sebegitu. Setelah berbual, rupanya anak muda ini akan ke Indonesia kerana akan melanjutkan pelajaran dalam bidang agama. Kata suami, dia kelihatan sungguh tenang dan berbeza dari dulu.

Dulu ramai yang gusar dan bercakap-cakap tentang dia. Bimbang kiranya tingkah lakunya yang sukar dikawal itu hanya akan membawanya ke kehidupan dalam penjara.
Tidaklah diketahui bila dan bagaimana ‘turning point’ hidupnya sehingga dia berubah.

Manusia boleh berubah. Anak-anak kita juga boleh berubah.
Siapa dan bagaimana anak semasa kecil tidak semestinya berterusan sehingga dewasa.

Berusaha dan berdoalah semoga anak kecil yang baik akan berterusan menjadi baik dan anak kecil yang sukar dikawal akan berubah menjadi lebih baik.
Itulah tanggungjawab kita.
Anak-anak adalah ujian buat kita dan perjalanan kita sebagai ibubapa tidaklah mudah sentiasa.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

‘Takut Bini’?

Suami yang bergegas pulang tepat masa dikatakan ‘takut bini’, sedangkan dia bergegas pulang kerana hendak luangkan masa bersama isteri dan anak-anak.

Suami yang memasak di dapur dan jemur kain di ampaian dikatakan kena ‘queen control’, sedangkan dia dengan rela hati berkongsi tanggungjawab rumahtangga dengan isteri.

Suami yang mendengar cakap isteri dikatakan ‘kena cucuk hidung’ sedangkan kedua-dua suami isteri sering mendengar dan bertolak ansur demi keharmonian rumahtangga dan keluarga.

lelakimasak

Kredit Gambar: Billy Info

Zaman sudah berubah, mentaliti kita juga harus berubah. Cabaran keluarga dan anak-anak juga berbeza dari dulu. Suami dan isteri saling memerlukan dan mempunyai peranan masing-masing dalam keluarga dan rumahtangga.
Mereka yang berfikiran sebegitu sepatutnya lebih rasa malu dengan diri sendiri kerana masih terperangkap dalam gua.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Teknik Disiplin Yang Berkesan

rightwrong

Tidak ada SATU teknik disiplin yang berkesan ke atas setiap anak dalam setiap situasi yang mencabar. Ibubapa perlu tahu kepelbagaian teknik dan pilih yang paling efektif ke atas anak tersebut pada satu masa tertentu.
Anak berbeza perlukan pendekatan berbeza.
Situasi berbeza mungkin memerlukan kaedah berbeza.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

‘Game’ Sebagai Isu Kesihatan Mental

Tahukah anda WHO (World Health Organisation) buat julung kalinya telah mengisytiharkan ketagihan bermain ‘game’ sebagai isu kesihatan mental?

games

Otak anak-anak dalam keadaan ‘plastik’ iaitu ia sangat mudah diubahsuai oleh apa saja stimulasi dan pendedahan. Dedahkanlah otak mereka kepada yang baik dan membina.

Anak-anak yang sentiasa dihadapkan dengan ‘game’ sukar untuk fokus dan memberi tumpuan. Guru-guru mungkin lebih dapat memerhatikan keadaan ini. Mungkin anda sendiri perasan, anak yang leka dengan game dan gajet seakan dalam keadaan ‘high’ apabila kita menegur atau memanggil mereka yang sedang asyik.

Mereka yang telah menghadiri sesi ‘Pendidikan Anak-anak Era Digital’ yang pernah saya anjurkan tahu pendirian saya tentang teknologi dan ‘game’. Saya tidak anti-teknologi, saya pro penggunaan teknologi yang bertanggungjawab, terbatas dan mendidik.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

‘Meroyan’ Yang Disalahgunakan

Saya lihat sekarang ini perkataan ‘meroyan’ digunakan sewenang-wenangnya dalam pelbagai konteks yang tidak kena sehingga menenggelamkan maksud sebenar perkataan tersebut.
Meroyan adalah isu kesihatan mental yang sangat serius dan tidak seharusnya dibuat bahan gurauan.

Apabila si ibu sampai ke peringkat ‘halusinasi’ seperti dalam kes ini, ia menunjukkan bahawa si ibu sudah sampai ke tahap ke 3 atau tahap paling kronik dalam meroyan atau dikenali sebagai Postpartum Psychosis.

Melahirkan anak bukanlah proses yang mudah. Hanya yang melaluinya yang tahu dan faham trauma yang dialami ketika bersalin. Ia bukan sahaja melibatkan fizikal si ibu, malah juga melibatkan emosi dan mental ibu.

Beberapa tahun lalu dalam sebuah sesi yang saya hadiri, seorang Pakar perbidanan dan sakit puan menerangkan bahawa emosi seorang ibu mengambil masa lebih lama dari fizikal si ibu untuk pulih sepenuhnya selepas bersalin. Ini untuk proses mengandung dan kelahiran yang biasa dan normal, belum lagi mengambil kira proses mengandung dan kelahiran yang sukar dan bermasalah.

APA DAN SIAPA YANG PENTING?

1) Sokongan suami sangat sangat sangat penting. Tidak ada perkataan yang dapat saya gunakan untuk menggambarkan kepentingan peranan dan sokongan si suami.
Layanlah si isteri seperti permaisuri. Kalau sebelum ini sudah pun dilayan seperti permaisuri, layanlah seperti permaisuri segala permaisuri.
Pikullah tanggungjawab menjaga bayi bersama-sama.
Bukanlah isteri sengaja mengada-ngada dengan kerenah dan permintaan. Perubahan hormon boleh mempengaruhi sikap dan tangkah laku isteri. Ini hanyalah sementara.
Bersabarlah. Bukankah anak kamu juga yang dilahirkan wahai ayah.

2) Ayah, ibu, mertua, adik beradik, ipar duai juga memainkan peranan yang penting. Janganlah memberi pelbagai tekanan dari pelbagai sudut kepada ibu yang baru bersalin. Janganlah diganggu jiwa dan emosi ibu dengan kerenah anda yang macam-macam. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaannya. Ibu baru bersalin sifatnya hypersensitive. Anda yang sepatutnya menjadi lebih sensitif dengan keadaan si ibu bukannya dia yang perlu menjaga hati anda sepanjang masa.

3) Mak cik-mak cik dan rakan-rakan pula janganlah terlampau galak dengan nasihat dan kritikan yang pelbagai sehingga membebankan emosi si ibu yang sudah semulajadinya terkesan dengan proses kelahiran. Berilah ruang dan peluang untuk si ibu berehat dan memikirkan sendiri halatuju keluarganya. Jika dia memerlukan nasihat, dia akan bertanya. Jika dia tidak bertanya, dia tidak memerlukan khidmat sukarela anda. Simpanlah dulu.

Postpartum depression (PPD) atau meroyan boleh dialami oleh sesiapa saja. Walau bagaimanapun wanita yang berisiko tinggi adalah mereka yang*:

*Pernah melalui episod meroyan atau PPD sebelum ini.
*Mengalami kemurungan ketika mengandung.
*Mempunyai sejarah kemurungan (depression) atau isu kesihatan mental yang lain.
*Melalui kehidupan atau pengalaman yang menekan.
*Tidak mempunyai sokongan sosial yang kuat dari orang terdekat.
*Mempunyai masalah rumahtangga.

Pantaulah isteri, anak/menantu, adik/kakak, dan rakan anda dan bawa si ibu untuk mendapatkan rawatan pakar kesihatan jika kemurungan atau kesedihan ibu berpanjangan sehingga mengganggu tugasan dan fungsi harian mereka.
Jangan ditunggu sehingga dia berhalusinasi kerana jika sampai ke tahap itu ia bermakna bahawa bebanan emosi dan mental itu sudah terlalu lama ditanggungnya.

meroyan

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

*Sumber: MGH Center for Women’s Mental Health.

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kanak-kanak-maut-dikelar-ibu-kandung-178363

Lampin Pakai Buang dan Tandas

Masalah besar apabila ramai menggunakan lebuhraya ketika musim perayaan dan musim cuti adalah longgokan lampin pakai buang dalam tandas awam.
tandasplus.jpg
Jijik dan mengecewakan.
Bagaimana mungkin kita menjadi pendidik yang baik untuk anak-anak kita jika kita sendiri tidak berupaya mendidik diri untuk membuang lampin pakai buang yang dipenuhi najis besar dan kecil anak kita ke dalam tong sampah.

Jika amalan semudah itu tidak kita pedulikan, apatah lagi amalan yang memerlukan usaha, tenaga dan kesabaran dalam menjadi ibubapa.
Perubahan yang besar bermula dari amalan yang kecil.
Perubahan dalam masyarakat bermula dari institusi keluarga.
Perubahan dalam keluarga bermula dari ibubapa.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Peranan Seorang Ayah, Abah, Abi, Walid, Papa, Daddy

fatherumbrella

Kredit Gambar: Google

Peranan Seorang Ayah, Abah, Abi, Walid, Papa, Daddy;

1) Menanam kepercayaan dan akidah dalam diri anak.
2) Melatih dan mengajak anak bersolat dan beribadat.
3) Bermain, beriadah dan berguling dengan anak-anak 
4) Menyediakan keperluan anak.
5) Mandikan anak.
6) Tukar lampin anak.
7) Cebokkan anak.
8) Menyediakan susu walau di tengah malam.
9) Tidurkan anak.
10) Mendisiplinkan anak-anak.
11) Tegas dengan anak-anak.
12) Memastikan kesejahteraan akal dan pemikiran anak-anak.
13) Melindungi anak-anak dari pengaruh tidak elok.
14) Menjaga keselamatan anak-anak.
15) Berlembut dan manjakan anak-anak.
16) Melayan minat setiap anak.
17) Memberi pelajaran kepada anak-anak.
18) Menjaga kesihatan anak-anak.
19) Menjadi pemandu anak-anak.
20) Menjadi kaunselor dan psikologis anak-anak.
21) Menjadi guru tiusyen anak-anak
22) Menjadi pendamai antara ibu dan anak dan antara anak-anak.
23) Mengajar adab dan akhlak kepada anak-anak.
24) Menjadi teladan dan ikutan anak-anak.
Dan banyak lagi.

Tidak mudah memainkan semua peranan ini tetapi anda tetap lakukan juga atas dasar tanggungjawab.

SELAMAT HARI BAPA KEPADA SEMUA.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Duit Raya Oh! Duit Raya

Pemberian duit Raya sudah lama menjadi budaya kita. Ia bukanlah satu budaya yang baru. Menurut emak saya, semasa emak kecil 70 tahun lalu kanak-kanak sudah pun diberikan duit Raya. Malah walau bukan musim Raya sekalipun, jika duit diberikan sebagai hadiah kepada kanak-kanak, ia disebut sebagai ‘duit Raya’ juga.

duitraya

Apa yang baru adalah pemberian duit Raya di dalam sampul yang ditiru dari budaya masyarakat Cina jika tidak silap saya. Masyarakat Cina memberi ang pau dalam sampul merah, masyarakat Melayu memberi duit Raya dalam sampul hijau pada asalnya dan kini menjadi sampul pelbagai warna.

Bagi saya pemberian duit Raya kepada kanak-kanak tidak ada salahnya sebagai meraikan kanak-kanak pada Hari Raya. Sejak zaman-berzaman dan di mana sahaja, kanak-kanaklah yang paling gembira pada Hari Raya. Ia seumpama memberi hadiah kepada mereka. Dalam masyarakat Islam yang lain juga ada budaya memberi hadiah sempena Syawal tetapi tidak semestinya dalam bentuk wang. Hadiah ini diberikan untuk mengeratkan hubungan dan sebagai lambang ukhuwwah dan kasih sayang. Bagi saya konsep pemberian duit Raya juga begitu.

* Walau bagaimanapun ibubapa perlu mendidik anak pengertian Syawal sebenarnya. Didiklah anak bahawa Hari Raya bukanlah untuk mengutip duit Raya semata-mata walaupun aktiviti itu sangat mengujakan.

* Janganlah pula ibubapa yang lebih sudu dari kuah memaksa anak meminta duit Raya ataupun menyindir mereka yang memberi jumlah duit Raya tidak sebanyak yang ibubapa harapkan. Duit Raya tidak seharusnya menjadi satu bebanan.

* Agak lucu bila mengingatkan ada kanak-kanak yang menolak jumlah duit Raya yang sedikit kerana mahukan yang lebih banyak. Jika tidak beri sekurang-kurangnya RM5, mereka menolak dan berlalu. Ini pemikiran ‘skim cepat kaya’ yang mengharapkan imbuhan yang besar sehinggakan yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Agaknya dari mana kanak-kanak belajar hingga mempunyai mentaliti yang sebegini?

* Sebelum anak keluar konvoi beramai-ramai keliling kampung mengutip duit Raya, berpesanlah kepada anak agar bersyukur dengan apa saja jumlah yang diterima. Sedikit pun syukur, banyak pun syukur. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Jangan mengeluh, jangan menyindir, jangan komplen kepada tuan rumah. Walau tidak diberi duit Raya sekalipun, redholah. Jaga lisan, jaga adab.

* Pesanlah kepada anak supaya menjamah juga makanan dan minuman yang dihidangkan tuan rumah, walaupun sedikit, walaupun perut sudah padat dengan ketupat, rendang, dan air manis.

* Bimbinglah anak tentang pengurusan duit Raya. Mungkin ada yang dibelanjakan untuk membeli apa yang diidamkan selama ini, ada jumlah yang disedekah/didermakan kepada tabung pilihan, ada jumlah yang ditabung. Semoga latihan pengurusan kewangan ini menjadi tabiat atau ‘habit’ dan amalan yang berterusan.
Masyarakat kita memang agak terkebelakang dalam soal pengurusan kewangan. Ramai yang suka berbelanja melebihi kemampuan, ramai yang diisytihar muflis pada usia yang masih muda, ramai yang hidup ‘biar papa asal bergaya’, ramai yang tidak tahu menabung.

Semuanya bermula dari kecil.

Berilah duit Raya megikut kemampuan dengan niat untuk meraikan kanak-kanak dan menggembirakan mereka. Janganlah jadikan duit Raya sebagai simbol kekayaan atau status symbol’ sehingga ia membebankan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect