Kredit Imej: Google
Ramai yang membaca kisah kamu.
Kata anak kamu, kamu menunggu di dalam kereta bermain fon.
Kata anak kamu, kamu tidak tahan mendengar tangisan anak kamu sendiri.
Kamu enak mengulit fon kamu sedangkan isteri kamu dibiarkan keseorangan menguruskan anak-anak kecil kamu di pusat kesihatan itu.
Wahai ayah yang tidak tahan mendengar tangisan anak sendiri…
Mungkin tidak pernah ada yang memberitahu kamu bahawa bayi dan tangisan tidak dapat dipisahkan. Mungkin tidak pernah ada yang memberitahu kamu bahawa lahirnya zuriat kamu ke dunia ini dimulai dengan tangisan. Mungkin tidak pernah ada yang memberitahu kamu bahawa tangisan itu adalah petanda bermulanya satu kehidupan.
Tidakkah tangisan pertama anak kamu itu membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada kamu?
Tangisan itulah yang menaikkan taraf kamu dari lelaki biasa kepada seorang ayah yang tinggi martabatnya. Kamulah yang bakal membentuk seorang manusia yang berbakti kepada kamu dan isteri kamu, berbakti kepada keluarga kamu dan berbakti kepada masyarakat. Tangisan itulah tanda bermulanya bekalan bagi kamu di alam sana nanti. Doa-doa daripada anak yang menangis itulah yang akan membantu kamu kelak apabila tidak ada sesiapa lagi yang dapat membantu kamu di alam sana nanti. Bersyukurlah dengan kehadiran anak yang menangis itu. Janganlah menjauhkan diri dari tangisan itu kerana lahirnya membawa rahmat dan barakah dalam hidup kamu.
Wahai ayah yang tidak tahan mendengar tangisan anak sendiri…
Mungkin tangisan anak kamu mengingatkan kamu pada sejarah silam yang mengguris. Mungkin kamu tidak biasa dengan riuh rendah tangisan seorang anak kecil. Jangan rasa gusar, jangan rasa rendah diri, kamu tidak keseorangan. Sejak awal kejadian manusia semua ayah di dalam dunia ini melalui pengalaman yang sama. Tidak ada cacat celanya diri kamu jika tangisan anak kamu itu merunsingkan kamu. Mungkin tidak ada ayah lain yang memberitahu kamu bahawa mereka juga melalui cabaran seperti kamu. Mungkin di kalangan kelompok kamu adalah mereka yang juga tidak tahan dengan tangisan anak sendiri. Mereka juga menjauhkan diri seperti kamu. Mungkin di kalangan kelompok kamu adalah mereka yang tidak memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan baik. Kamu tidak perlu menjadi seperti mereka.
Mungkin kamu tidak tahu bahawa ramai ayah yang mengumpul kekuatan meruntuhkan benteng keegoan seorang lelaki. Mereka turut mengelek dan menenangkan anak mereka yang menangis. Mungkin mereka tidak bercerita kerana bimbang dengan kata nista. Ramai yang tidak peduli dicerca dan melakukannya kerana kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Kamu boleh memilih untuk menjadi seperti mereka.
Wahai ayah yang tidak tahan mendengar tangisan anak sendiri…
Mungkin tidak pernah ada yang memberitahu kamu bahawa anak menangis bukan sengaja. Anak bukan sengaja hendak menguji kamu. Anak bukan sengaja hendak menyusahkan kamu. Anak menangis kerana dia memerlukan kamu.
“Tolong saya ayah, saya lapar.”
“Tolong saya ayah saya panas.”
“Tolong saya ayah, saya tidak betah dengan suasana yang hiruk pikuk begini.”
“Tolong saya ayah, saya letih.”
“Tolong saya ayah, saya sakit digigit semut.”
”Tolong saya ayah, saya merindui pelukan dan ciuman seorang ayah.”
“Tolong saya ayah, ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya. Kenapa dengan saya ayah?”
Anak darah daging kamu merayu pertolongan daripada kamu. Anak darah daging kamu tidak boleh meluahkan kesedihan dan kekecewaan dengan kata-kata. Satu-satunya cara untuk anak meluahkannya adalah melalui tangisan. Kasihanilah anak wahai ayah. Janganlah menjauhkan diri daripada anak ketika dia memerlukan kamu.
Wahai ayah yang tidak tahan mendengar tangisan anak sendiri…
Mungkin tidak pernah ada yang memberitahu kamu bahawa anak menangis hanyalah sementara. Tangisan yang tidak berkesudahan bagi kamu itu akan berhenti juga apabila tiba masanya. Tangisan itu akan berhenti juga apabila anak sudah pandai menyusun kata menyampaikan apa yang diingininya.
Sedar tidak sedar, anak yang kamu abaikan apabila dia menangis itu bersikap acuh tidak acuh terhadap kamu. Sedar tidak sedar anak itu tidak menuruti kata-kata kamu. Hidup ini ibarat roda. Apa yang kita lakukan dan apa yang tidak kita lakukan, akan berpusing kembali ke dalam kehidupan kita.
Bagaimana mungkin anak akan mempedulikan kamu kiranya di kala anak memerlukan kamu, kamu bosan dengan tangisannya? Mana mungkin anak mahu mendekati kamu kiranya di saat dia memerlukan kamu, kamu menjauhkan diri daripadanya.
Janganlah biarkan masa itu berlalu sehinggakan kamu tidak lagi menjadi insan yang penting dalam hidup anak kamu yang menangis itu.
Wahai ayah yang tidak tahan mendengar tangisan anak sendiri…
Mungkin tidak ada yang pernah memberitahu kamu bahawa ramai anak zaman sekarang yang bermasalah kerana tiadanya ayah yang hadir dalam hidup mereka. Ramai anak zaman sekarang yang bermasalah kerana tangki emosi mereka tidak dipenuhi dengan kehadiran seorang ayah yang peduli. Ramai anak zaman sekarang yang bermasalah kerana dari mereka bayi lagi, mereka tidak dapat mempercayai seorang ayah. Dari mereka bayi lagi ayah mereka mengelak dari memahami tangisan mereka. Ayah mereka hanya inginkan yang baik dan wangi sahaja daripada mereka. Ayah mereka menjauhkan diri apabila tangisan mereka dianggap menyusahkan dan membingitkan.
Bukan salah mereka kiranya mereka menjadi begitu.
Salah kamu wahai ayah yang tidak tahan mendengar tangisan anak kamu sendiri lalu berterusan menjauhkan diri.
TETAPI mungkin juga kamu menjauhkan diri bermain fon hanya untuk seketika. Apabila kamu tenang, kamu kembali secepat mungkin membantu isteri kamu menguruskan anak-anak kamu.
Begitulah yang sebaiknya.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect