Ini adalah video terbitan France Television yang ditayangkan di sekolah-sekolah Perancis sebagai kempen anti buli. Mesej yang hendak disampaikan melalui video ini adalah, kiranya senario sebegini tidak berlaku di tempat kerja ataupun sekiranya berlaku di tempat kerja implikasinya adalah berbeza kerana melibatkan saman, pihak polis, penjara dan sebagainya, maka kita sebagai orang dewasa yang mempunyai autoriti tidak seharusnya membiarkan buli berlaku di institusi-institusi pendidikan seperti sekolah (dan juga universiti) kerana buli di mana-mana jua adalah sama. Cuma mungkin istilah yang digunakan berbeza.
Apabila berlakunya kes buli, fokus kita selama ini lebih tertumpu kepada individu yang membuli. Kita mula bercakap-cakap tentang ibubapanya, keluarganya, bagaimana dia dibesarkan, taraf sosio ekonominya, kawasan tempat tinggalnya, sikapnya, rakan-rakan baiknya, tahap akademiknya, aktiviti hariannya, dan sebagainya.
TAHUKAH ANDA BULI ADALAH KEGIATAN BERKUMPULAN?
Buli bukan hanya melibatkan pembuli dan mangsa sahaja.
Siapakah pemegang-pemegang watak dalam kegiatan buli ini?
1) Pembuli/pelaku
2) Pembantu (Henchmen)
Mereka ini tidak memulakan kegiatan buli tetapi mereka menggalakkan pembuli dan juga turut sama membuli sebaik saja ia dimulakan.
3) Penggalak (Reinforcer)
Mereka tidak terlibat membuli tetapi mereka menggalakkan lagi keganasan yang dilakukan. Mereka menyorak, memberi sokongan, ketawa dan juga menambahkan penonton ketika kegiatan buli berlaku. Mereka menyebabkan pembuli semakin menjadi-jadi dengan keganasannya.
4) Pemerhati (Bystander)
Mereka menonton secara pasif tanpa berbuat atau berkata apa-apa. Mereka tidak menghentikan buli dan tidak juga memberi sokongan pada buli. Mereka ingin membantu tetapi terlalu takut terutamanya apabila memikirkan akan kesannya terhadap diri mereka kiranya bertindak.
5) Pencegah (Interference)
Mereka adalah sebahagian dari pemerhati tetapi mereka melangkah setapak lagi cuba menghentikan keganasan yang dilakukan. Mereka mencegah sendiri secara langsung serta merta ataupun mendapatkan bantuan pihak berautoriti untuk menyelamatkan mangsa yang dibuli.
Mereka inilah hero.
Jika kita ingin mencegah kegiatan buli dari terus berleluasa adalah sangat perlu untuk kita perkenalkan kepada anak-anak dan pelajar-pelajar watak-watak yang disebutkan di atas supaya mereka faham peranan yang telah mereka mainkan dalam menggalakkan kegiatan buli dan juga peranan bagaimana yang perlu dimainkan untuk mencegah kegiatan buli ini.
Selalunya individu yang membuli akan diangkat statusnya ke tahap yang tertinggi di kalangan watak antagonis dalam kumpulan yang membuli tersebut. Individu yang diangkat sebagai hero antagonis ini perlukan pemerhati untuk mempamirkan kehebatannya.
Mereka yang memerhati, tahu dan tidak melakukan apa-apa (watak bystanders) secara tidak langsung memberi isyarat kepada pembuli bahawa mereka redha dengan keganasan yang dilakukannya.
Dalam sebuah kajian yang diketuai oleh seorang Profesor dalam bidang Psikologi UCLA dan diterbitkan dalam Journal of Consulting and Clinical Psychology didapati program yang paling berkesan untuk menghentikan kegiatan buli di sekolah-sekolah adalah program yang dikenali sebagai KiVa yang bermaksud ‘nice’ dalam Bahasa Finnish . Program ini sudah tentunya dijalankan di negara Finland. Program ini lain dari yang lain kerana ia memberi penekanan kepada peranan yang boleh dimainkan oleh watak pemerhati (bystanders). Objektifnya adalah untuk mewujudkan empati di kalangan watak pemerhati (bystanders) terhadap mangsa buli dan menunjukkan cara bagaimana pemerhati boleh bertindak dan tampil ke hadapan untuk menjadi watak pencegah (interference) untuk menghentikan kegiatan buli.
Menarik bukan?
Program seumpama ini juga ternyata diperlukan di negara kita yang saban hari, setiap minggu ada saja laporan-laporan tentang kegiatan buli sehingga menyebabkan kecederaan, kecacatan dan juga kematian kepada mangsa. Ingatkan anak-anak kita dan diri kita juga, daripada kita hanya bercakap-cakap, fikirkanlah apa watak kita selama ini dan apa peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak apabila memegang watak pemerhati atau bystanders ini.
It takes the whole village to raise a child.
Saya ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa beliau dan menempatkan Allahyarham di kalangan orang-orang yang beriman.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect
(Video credit: France Télévisions)