Kredit Imej: buzzle.com
Otak manusia mempunyai bahagian yang dikenali sebagai Reticular Activation System (RAS) yang berfungsi menyaring semua maklumat yang masuk ke dalam otak dan memfokuskan pada maklumat yang penting bagi setiap individu. Fungsi ini adalah sangat penting dalam membantu kita memberi perhatian kepada objektif yang ingin dicapai.
Contohnya jika Hari Raya ini kita sekeluarga bercadang untuk memakai pakaian sedondon warna biru, ketika membeli belah mata kita akan cepat menangkap baju-baju yang berwarna biru kerana otak kita telah di‘set’ untuk fokus pada warna biru.
Sebagai ibubapa (dan juga guru) jika objektif kita hanyalah untuk memfokuskan pada salahlaku, membetulkan kesilapan, mencari kekurangan, ‘highlight’ kelemahan, maka banyaklah yang akan kita jumpa.
Jika objektif kita untuk memfokuskan pada tingkahlaku positif, mencari kelebihan, ‘highlight’ kekuatan, dan memuji usaha (effort), maka banyak juga yang akan kita jumpa.
Anak-anak yang positif dan berjaya adalah anak yang mempunyai jati diri (self esteem) dan keyakinan diri (self confidence) yang tinggi. Ini boleh terhasil apabila usaha, kekuatan, dan kelebihan mereka dihargai.
Apakah yang menjadi fokus kita?
Apakah yang disaring oleh RAS kita sebagai ibubapa dan guru?
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy