Cinta Tiga Segi

Anda sedang tekun membaca berita-berita pasca PRU di media sosial. Banyak yang perlu anda teliti dan ambil tahu kerana banyak perubahan baru yang berlaku dan bakal berlaku. Banyak juga komen yang perlu anda lontarkan di media sosial sebagai tanda setuju ataupun tidak setuju dengan pengguna media sosial yang lain.

Dari tadi lagi anak memanggil-manggil anda kerana inginkan biskut yang dibeli semalam. Biskut itu diletakkan di kabinet atas yang tidak tercapai oleh anak.
Anda acuh tak acuh, dengar tak dengar kerana seluruh tumpuan otak anda adalah pada isu yang menjadi panas di media sosial.

Anak datang menghampiri dan menarik telefon yang berada di genggaman anda lalu telefon terhempas ke lantai.

Apakah yang berlaku selepas itu?
Kita bertenang, senyum dan mesra dengan anak atau kita menyinga kerana anak kita dikatakan tidak ‘behave’?
Adakah kita peluk anak kita atau kita hukum dia?

chictribu


 

Kadang-kadang kita merungut, anak zaman sekarang tidak sama seperti anak zaman dahulu yang lebih patuh dan taat. Kita mula membandingkan anak-anak sekarang dengan diri kita yang lebih baik semasa kecil dahulu.
Pernahkah kita terfikir mungkinkah perubahan pada gaya hidup dan sikap ibubapa itu sendiri juga menyebabkan sikap anak-anak zaman sekarang tidak sama seperti anak-anak zaman kita kecil dulu?

Ibubapa kita zaman dahulu tidak ada gajet.
Mereka tidak melekat dan ketagih telefon pintar.
Mereka tidak ada whatsapp, Facebook dan Instagram untuk mengisi masa senggang dan masa bosan mereka.
Mereka tidak ketagih gajet sehinggakan sentiasa wujud ‘orang ketiga’ ketika waktu yang sepatutnya diluangkan untuk bermain dengan anak, makan dengan anak, berlibur dengan anak, dan ‘bonding’ dengan anak.

‘Orang ketiga’ inilah menyebabkan renggangnya ‘connection’ kita dengan anak dan kurangnya ‘eye contact’ kita dengan anak.

Kita lebih connect dengan orang ketiga berbanding anak-anak kita. Kita lebih banyak ‘eye contact’ dengan ‘orang ketiga’ berbanding dengan anak-anak kita.

Cuba renung kembali, adakah cinta tiga segi ini wujud dalam perhubungan antara kita dan anak-anak kita?

Kurangnya ‘connection’ fizikal dan emosi dan kurangnya ‘eye contact’ inilah yang menjadi permulaan kepada sikap dan tingkah laku anak-anak yang menguji kesabaran kita. Bahasa tubuh kita akan menceritakan kepada anak akan nilai mereka kepada kita dan sejauh mana mereka penting buat kita.

Kita selalu bercakap tentang kanak-kanak dan gajet tetapi kita jarang bercakap tentang ibubapa dan gajet.

Ingat:

1) ‘CONNECTION’ FIZIKAL DAN EMOSI
2) ‘EYE CONTACT’

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy.

Berita penuh: http://www.chicagotribune.com/…/ct-parents-technology-addic…

Pilihan 5 Tahun Sekali

spr

5 tahun sekali kita mempunyai pilihan untuk memilih siapa yang patut dipertanggungjawabkan ke atas hal ehwal negara kita.
Kita telah pun memilih. Tahniah.

Anak-anak kita tiada pilihan untuk memilih siapa menjadi ibubapa mereka 5 tahun sekali. Jadilah satu satunya pilihan sedia ada yang terbaik buat mereka dengan memikul tanggungjawab sepenuhnya.
Be there.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

PRU, Manifesto dan Akhlak Anak-anak

Beberapa hari yang lalu penulisan seorang Imam di Shah Alam melintasi di ‘news feed’ saya. Beliau menceritakan tentang seorang kanak-kanak yang cuba mencabut bendera parti yang tidak disukai kanak-kanak tersebut. Mujur Imam cepat menegur kanak-kanak itu agar tidak merosakkan harta benda walaupun tidak menyukai sesuatu. Ini adalah peringatan yang sangat baik daripada seorang dewasa yang matang buat kanak-kanak yang belum matang dan mudah dipengaruhi tingkah lakunya.

london

Dari mana kanak-kanak belajar tentang tindakan yang sedemikian?
Kita tidak perlu pun mengajar mereka, cukuplah sekadar mereka memerhati dan meniru orang dewasa yang dekat dengan mereka ataupun meniru apa yang didengari dan ditonton di skrin.

Dua minggu yang lalu, saluran radio BFM melaporkan bahawa pemantau pilihanraya (electoral watch) mendapati bahawa salah laku pilihanraya (electoral offence) semakin meningkat sejak penghujung tahun 2017 yang lalu.

Jika diimbas kembali PRU pada tahun 2013, Astro Awani melaporkan bahawa kes keganasan politik banyak berlaku seperti yang diumumkan oleh PDRM. Sejumlah 1,056 kes keganasan politik telah direkodkan sejak pembubaran parlimen pada 3 April 2013 dengan 387 kes direkodkan sejak hari penamaan calon.

Antara bentuk keganasan dan salah laku yang dilaporkan ketika itu adalah letupan, mengakibatkan kecederaan tubuh badan, khianat bakar, khianat bahan membahayakan, merosakkan harta benda, kecurian, serangan hingga menyebabkan kematian, kemusnahan harta benda, samseng, makian, ancaman, dan intimidasi.

Apakah mesej yang hendak kita sampaikan dengan tindakan yang sedemikian kepada kanak-kanak dan remaja yang merupakan generasi pelapis kita?
Perlukah kita berbangga dengan diri kita?

Di luar negara, dalam satu kajian yang dibuat ketika Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, guru-guru di AS melaporkan bahawa kejadian buli di sekolah juga meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan. Sasaran buli di sekolah-sekolah adalah golongan imigran, mereka yang beragama Islam dan juga kumpulan minoriti lain yang menjadi sasaran Donald Trump ketika kempen beliau.
Sorakan seperti “Build A Wall! Build A Wall” seperti yang selalu di sebut oleh Trump menjadi siulan buli ketika acara sukan. Pengaruh negatif Trump ke atas pelajar sekolah ketika itu dikenali sebagai “Trump Effect” dan dibicangkan dalam sebuah penerbitan oleh Southern Poverty Law Center, AS.

Kanak-kanak dan remaja adalah cerminan diri kita sebagai orang dewasa. Tidak ada manifesto pilihanraya oleh mana-mana parti politik yang dapat mengatasi kesongsangan amalan dan akhlak orang dewasa yang ditonton oleh kanak-kanak, apatah lagi oleh ibubapa sendiri di rumah.

Kawallah adab, tingkah laku, tutur kata dan akhlak kita ketika musim PRU ini. Kita tidak oleh mengawal tindakan orang lain tetapi kita berupaya untuk mengawal diri kita sendiri kerana inilah yang akan membentuk peribadi anak-anak kita.

Pakar Ekonomi negara, Dr Muhammad Abdul Khalid berkata dalam salah satu perkongsian beliau, apa yang kita rancangkan untuk kanak-kanak sekarang hasilnya akan kita lihat 20 hingga 30 tahun akan datang. Hasilnya tidak semestinya sekarang. Walaupun beliau mengulas dari segi ekonomi dan pendidikan, ia juga relevan untuk kita merenung kembali, akhlak dan pemikiran yang bagaimanakah yang ingin kita lihat pada orang dewasa 20 hingga 30 akan datang?

Adakah orang dewasa yang matang ataupun orang dewasa yang tidak bertamadun akhlaknya?
Kita akan menuai apa yang kita semai sekarang dan ia bermula dari rumah.

Coretan dari London
April 2018
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect