Penderaan Seksual Kanak-kanak – Video

Tahukah anda di negara kita sekarang
1 dalam 4 kanak-kanak perempuan dan
1 dalam 6 kanak-kanak lelaki
mengalami penderaan seksual sebelum usia 18 tahun?

Rencana Di Akhbar Sinar Harian Sempena Seminar Hentikan Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Rencana di akhbar Sinar Harian sempena Seminar Hentikan Jenayah Seksual Kanak-Kanak pada tahun lalu yang memetik penulisan saya tentang pedofilia dari Page Parent Connect ini.

sinarpedo

Berikut adalah link artikel penuh yang saya tulis pada tahun 2015 dahulu sebagai panduan ibubapa dan pendidik.

PEDOFILIA: Perlukah Kita Kisah?

Pedofilia bukanlah jenayah yang bermusim. Jenayah pedofilia ini sentiasa berlaku. Sebagai ibubapa, pemantauan kita ke atas anak-anak perlu berterusan kerana manusia yang bernama ‘pedophile’ ini tidak akan berhenti mencari mangsanya selagi mereka ada ruang dan peluang.

‘Don’t trust anyone’.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

http://www.sinarharian.com.my/mobile/rencana/bahaya-muatnaik-gambar-anak-di-media-sosial-1.648751

Malaysia Di Tangga Pertama

teratas

Kredit Gambar: The Star

“Difahamkan, sebanyak 51 peratus kanak-kanak berusia antara 13 dan 15 tahun berkawan dengan penjenayah menerusi aplikasi WeChat, Facebook, WhatsApp dan Beetalk.”
(Bayangkan lebih separuh daripada pelajar tingkatan 1-3 di sekolah anak-anak kita.)

“Data tersebut turut mendedahkan bahawa hanya 35.6 peratus ibu bapa yang memantau aktiviti (online) anak-anak mereka.”

Ini adalah realiti yang sangat membimbangkan dan menyedihkan tentang masyarakat kita.
Ini adalah realiti yang perlu dipedulikan oleh ibubapa. Tahun lepas kita di tangga ke 3 dan itu sudah cukup membimbangkan.
Tahun ini kita di tangga teratas.
Kenapakah begitu jadinya?

Seperti yang saya tulis sebelum ini, ‘parenting’ bukan hanya mengetahui kaedah ABCD, bagaimana itu, bagaimana ini yakni makan, mjnum, menyusu, baca, mengira, tantrum, toilet train, panjat, guling, main, tadika, dan sekolah sahaja.

Sebahagian penting dari proses ‘parenting’ adalah mengetahui apakah faktor persekitaran yang mempengaruhi diri kita, anak kita dan keluarga kita. Inilah yang akan membentuk nilai dan budaya masyarakat yang akhirnya akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anak kita.

Sama-sama kita peduli dan pantau.
Jangan ingat ia tidak mungkin berlaku kepada anak-anak kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan bacaan alamat IP tertinggi di Asia Tenggara dalam memuat naik dan memuat turun gambar serta visual…
MSTAR.COM.MY

PEDOFILIA: Perlukah Kita Kisah?

danger internet

Pedofilia adalah seorang dewasa atau remaja yang mempunyai kecenderungan dan keinginan seksual terhadap kanak-kanak. Pedofilia telah lama terlepas bebas di negara kita.

Ingatkah lagi pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pada tahun 2007 dulu? Kegagalan pihak berkuasa menangkap pembunuh adik Nurin sejak 8 tahun lalu membuktikan bahawa sekurang-kurangnya seorang pedofilia tegar masih bebas. Pedofilia dalam kes ini memperolehi kepuasan dengan mendera anak kecil secara seksual dengan kejamnya. Pedofilia yang masih bebas itu mungkin pernah mendukung anak kecil kita yang dipuji comel, dia mungkin adalah ‘friend’ Facebook kita, dia mungkin seorang ‘jaga’ di apartment kita, dia mungkin juga peniaga kantin sekolah anak kita dan dia sudah pastinya saudara mara salah seorang daripada kita. Pelbagai kemungkinan.

Dua hari lepas, kita digemparkan dengan berita tertangkapnya seorang pedofilia yang merupakan pelajar Malaysia di universiti terkemuka London. Pelajar ini menyimpan, menghasilkan dan mengedar gambar dan video pornografi kelas A yang hakikatnya adalah penderaan seksual kanak-kanak yang ekstrim. Berapa ramai lagikah mereka ini di Malaysia?

Pada awal tahun 2015, ibubapa di UK dikejutkan dengan penemuan website pedofilia berpengkalan di Rusia yang mengandungi 41 juta keping gambar kanak-kanak. Gambar-gambar tersebut disalin dari akaun media sosial milik peribadi/keluarga mangsa dan dimuatnaik ke website tersebut yang mempunyai beratus-ratus ribu pengunjung dari seluruh dunia. Petikan dari laporan, “Most of the images are accompanied by inappropriate comments from users across the world, which show they are being used for sexual gratification.” (Kebanyakan gambar-gambar tersebut disertai dengan komen-komen yang tidak sepatutnya dari serata dunia, yang menunjukkan bahawa gambar-gambar ini digunakan untuk kepuasan seksual).
Bayangkan jika gambar anak-anak kecil kita juga dimuatnaik ke situ.

Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia adalah yang belum baligh (prepubescent), lelaki dan perempuan. Di Malaysia, pada awal tahun ini, seorang bayi berusia 7 bulan dirogol suami pengasuh di Kepong. Ini bukanlah satu-satunya kes di Malaysia yang melibatkan bayi. Ada lagi yang telah dilaporkan. Beginilah betapa jahat dan sakitnya seorang pedofilia. Adakah kita tidak perlu kisah?

BAGAIMANAKAH IBUBAPA BOLEH MELINDUNGI ANAK-ANAK DARI PEDOFILIA?

  1. Sentiasa ‘connect’ dengan anak-anak dan bina kepercayaan supaya kita menjadi tempat bercerita dan mengadu.
  2. Ingatkan anak-anak kecil untuk tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dan orang dewasa yang lain. Pedofilia selalunya memujuk anak untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka.
  3. Hentikan sifat malu dan segan untuk bercakap soal seksual dengan anak-anak. Setiap hari anak-anak kita terdedah kepada unsur seksual di media, internet, iklan, sekolah dan paling menghampakan, di muka hadapan suratkhabar utama. Rancangan TV kanak-kanak dan siri kartun juga ada yang mengandungi unsur seksual dan menggunakan bahasa yang berunsul seksual. Kita mesti bersedia dan bersifat terbuka untuk mendidik anak-anak tentang isu seksual apabila perlu. Berbicaralah mengikut kesesuaian umur anak dengan bahasa yang difahami anak.
  4. Sentiasa peka dengan gerak tubuh anak-anak yang mungkin mempamirkan sebarang ketidak-selesaan atau kegelisahan. Ambil tahulah.
  5. Berhati-hati dengan paparan gambar dan video anak-anak di media sosial dan internet secara umumnya. Kenalkah kita siapa ‘friend’ dan ‘follower’ kita? Gambar-gambar anak kita mungkin di antara 41 juta gambar di website pedofilia yang disebut di atas. Sekarang ini mungkin ada pedofilia yang sedang berfantasi seksual melihat gambar anak-anak kita.
  6. Ajar anak kecil tentang “appropriate and inappropriate touch”. Pesan kepada anak-anak lelaki dan perempuan, bahawa tubuh-badan mereka adalah milik mereka dan tidak boleh disentuh oleh orang lain termasuklah saudara-mara terdekat ataupun mereka yang berada di rumah pengasuh/nurseri/tadika.
  7. Kenalpasti urusan-urusan yang membabitkan keadaan berisiko kepada anak-anak seperti membersihkan diri selepas ke tandas, bersalin pakaian, mandi dan sebagainya dan selalulah bertanyakan mereka dalam perbualan tentang siapakah yang terlibat. Contohnya, kalau tiba-tiba anak kecil bercerita bahawa pada hari ini anak penjaga yang membersihkan dirinya selepas ke tandas, atau ada orang mengambil gambar mereka mandi, anda perlu bertindak segera.
  8. Ajar anak-anak teknik YELL RUN AND TELL (JERIT, LARI DAN CERITA) sekiranya mereka disentuh oleh sesiapa yang membuatkan mereka rasa tidak selesa seperti yang telah kita tunjukkan (di atas).
  9. Jangan biarkan anak kecil ke tandas awam bersendirian. Iringilah anak dan tunggu sehingga anak selesai ‘berurusan’ di tandas. Kiranya kita perlu ke tandas dan anak kita berseorangan dengan kita, apa yang boleh dilakukan adalah mencari tandas awam yang mempunyai banyak unit tandas dan suruh anak kita masuk ke dalam sebuah unit tandas. Pesan kepada anak supaya terus berada di dalam unit tandas mereka yang berkunci, sehinggalah kita mengetuk dan memanggil.
  10. Pasanglah ‘parental control software’ dan perisian saringan di komputer yang digunakan oleh anak-anak. Bersembanglah dengan anak-anak tentang bahaya ‘chat’ dengan sesiapa sahaja yang dikenali di internet. Pedofilia sentiasa mencari mangsa dengan merayau-rayau di internet. Mereka pandai memujuk dan bermanis kata. Mereka juga menggunakan identiti palsu supaya mudah dipercayai oleh kanak-kanak.
  11. Adakan peraturan yang mewajibkan anak-anak menggunakan komputer hanya di ruang keluarga/umum di dalam rumah. Elakkan dari membenarkan anak-anak menyimpan dan menggunakan komputer di dalam bilik tidur mereka kerana sukar untuk dipantau. Ini membuka peluang untuk pedofilia ‘masuk jarum’ kerana mereka tahu anak kita tidak diawasi.
  12. Elakkan memberikan telefon pintar dengan keupayaan ber’chat’ kepada anak-anak kecil.
  13. Pastikan kita kenal siapa kawan-kawan rapat anak-anak kita, begitu juga guru-guru, jurulatih dan semua remaja dan orang dewasa yang terlibat dengan anak-anak kita.
  14. Jangan biarkan anak kecil ke mana-mana berseorangan walaupun destinasi yang berdekatan seperti kedai, pasar malam dan sebagainya. Pedofilia mungkin telah lama memerhatikan rutin dan gerak geri anak kita. Mereka mungkin telah pun merancang sesuatu dan hanya menunggu masa untuk bertindak jahat.
  15. Bekerjasama dengan pihak nurseri/pra sekolah/sekolah anak untuk melindungi anak-anak dari pedofilia.

 

BAGAIMANA PIHAK NURSERI/PRA-SEKOLAH/SEKOLAH BOLEH MELINDUNGI KANAK-KANAK DARI PEDOFILIA?

  1. Tidak memaparkan gambar pelajar di akaun media sosial peribadi guru dan kakitangan. Yakinkah kita ‘friend’ guru-guru bukannya pedofilia? Jika ada ibubapa yg menjadi ‘friend’ guru, biarlah hanya gambar anak ibubapa itu sahaja yang dipaparkan jika dibenarkan, bukannya seluruh kelas.
  2. Paparan gambar di website dan media sosial rasmi pihak sekolah perlu mendapat persetujuan (consent) ibubapa terlebih dahulu.
  3. Mengawal pengambilan gambar dan video pelajar oleh guru dan kakitangan sekolah. Di sesetengah negara, guru tidak dibenarkan membawa kamera, malah telefon bimbit guru yang berkamera ditinggalkan di pejabat sepanjang waktu persekolahan untuk memastikan gambar dan video tidak dirakam sewenang-wenangnya bukan kerana urusan rasmi.
  4. Banyak negara mempunyai sistem daftar-rujukan yang membolehkan sekolah dan organisasi yang terlibat dengan kanak-kanak memeriksa latar belakang mereka yang bekerja dengan kanak-kanak. Sistem ini diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak.
  5. Memantau kiranya ada kakitangan yang gemar berseloroh dengan unsur yang tidak appropriate/lucah. Ini adalah salah satu indikasi gangguan jiwa.
  6. Memastikan pintu kelas mempunyai bahagian berkaca untuk melihat ke dalam kelas.
  7. Tiada urusan di lakukan antara guru dan kanak-kanak di dalam bilik yang tertutup. Pintu mesti sentiasa dibuka.
  8. ‘Educate’ guru, ibubapa dan pelajar tentang pedofilia bagi menunjukkan keseriusan masalah tersebut.

Prihatinlah wahai ibubapa, guru-guru dan penggubal polisi. Ambil tahulah.
Sejauh mana sesuatu masyarakat itu melindungi keselamatan anak-anak melalui kesedaran, polisi dan undang-undang, membuktikan sejauh mana masyarakat tersebut menghargai kanak-kanak.

Marilah juga kita sama-sama ‘connect’ dengan anak-anak remaja supaya mereka tidak menjadi seorang pedofilia. Semoga Allah melindungi anak-anak kita yang merupakan amanah dari Allah SWT.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/