Matematik Keibubapaan

Mungkin kita biasa menyebut atau mendengar orang menyebut:

“Sebab kena marah dengan ayah dan emak dululah saya jadi orang.”

Sebenarnya proses menjadi manusia adalah proses yang kompleks dan bukan hanya dengan dimarahi kita boleh jadi manusia.

Sejak berdekad yang lalu, Dr. John Gottman, seorang Profesor Emeritus dalam bidang Psikologi dan juga seorang pakar perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan dari The Gottman Institute telah membuat pelbagai kajian tentang amalan-amalan positif dan negatif dalam perkahwinan dan institusi kekeluargaan.

Beliau merumuskan bahawa untuk sesebuah perkahwinan itu lebih harmoni dan berkekalan, sepasang suami isteri memerlukan 5 interaksi positif kepada setiap 1 interaksi negatif.

magicratio

NISBAH 5:1 (MAGIC RATIO 5:1)

Contohnya jika suami atau isteri menyindir pasangan, interaksi negatif itu harus diikuti dengan 5 interaksi positif seperti memuji, berterima kasih, memeluk, belanja ‘lunch’, bergurau senda, membantu, berlembut, memujuk dan sebagainya untuk memulihkan keadaan dan emosi. Jika nisbah interaksi ini kurang dari 5:1 dan ia berlanjutan, keharmonian sukar wujud dalam perhubungan suami isteri.

Nisbah yang sama juga perlu diapplikasikan antara ibubapa dan anak-anak.

1 interaksi negatif seperti marah, kritik, cemuh, sindir, sarkastik, ungkit, bebel dan sebagainya haruslah diikuti dengan 5 interaksi positif seperti peluk, cium, belai, nasihat, bergurau, puji, sembang, masa kualiti, main, dan sebagainya.
Hanya dengan cara ini kita boleh mewujudkan harmoni dan kerjasama antara ibubapa dan anak.

Kesimpulannya bukanlah marah yang menyebabkan kita jadi manusia, tetapi belaian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibubapalah yang menyebabkan kita jadi manusia.

Marah adalah perlu jika diperlukan dan interaksi positif yang lebih dari negatif adalah juga penting.

Bagaimana nisbah keluarga kita hari ini?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect