Apa Yang Saya Pelajari Setelah 20 Tahun Menjadi Seorang Ibu

Jika ditanya apa yang saya pelajari setelah 20 tahun menjadi seorang ibu?

Jawapannya adalah, saya yakin betapa doa seorang ibu itu tiada hijabnya.
Berdoalah bersungguh-sungguh untuk anak-anak walaupun apa yang kita doakan itu adalah seremeh-remeh perkara bagi seorang manusia. Tidak ada doa yang remeh datangnya daripada seorang ibu untuk anak-anaknya dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segalanya.

Saya juga yakin siapa saya sekarang dan apa yang saya miliki sekarang juga adalah kerana doa ibu saya yang bersungguh-sungguh dan tidak pernah letih dan berputus asa selama 44 tahun ini walaupun saya tidak mendengar doa-doa itu.

doa

Jangan letih berdoa untuk anak-anak. 
When everything else fails, we have Allah. 
Yakinlah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Sistem Kehidupan Membentuk Anak-anak Kita

family

Setiap anak dan setiap cabaran yang dihadapi oleh anak adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dalam sistem kekeluargaan kita sendiri.

1. Apakah nilai dan amalan di rumah?
2. Apakah rutin seharian di rumah?
3. Ada peraturankah di rumah?
4. Adakah pelukan dan ciuman menjadi kebiasaan?
5. Bagaimana komunikasi antara ibubapa?
6. Bagaimana komunikasi antara ibubapa dan anak?
7. Adakah ibubapa hadir secara fizikal DAN emosi dalam hidup anak?
8. Adakah ibubapa luangkan masa untuk anak?
9. Apakah yang menjadi tontonan dan bacaan di rumah?
10. Adakah anak disaji dengan makanan sihat?
11. Adakah keluarga mengamalkan gaya hidup sihat?
12. Adakah ibubapa kenal betul pembawaan setiap anak?
13. Adakah anak-anak dilayan dengan adil?
14. Adakah kelebihan setiap anak dikenalpasti?
15. Adakah ibubapa mempunyai hubungan yang rapat dengan guru atau penjaga anak?
16. Adakah ibubapa memilih penjaga yang memegang nilai yang sama?
17. Adakah ibubapa peka dengan pengaruh zaman?
18. Adakah ibubapa kenal rakan baik anak?
19. Adakah ibubapa tahu tentang kebaikan dan cabaran teknologi digital?
20. Adakah ibubapa sentiasa berdoa memohon petunjuk dan pertolongan Allah SWT?

Seluruh sistem kehidupan memainkan peranan dalam membentuk anak-anak kita.
Jika kita menghadapi kesukaran dalam keibubapaan, renung dan cari puncanya.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Matematik Keibubapaan

Mungkin kita biasa menyebut atau mendengar orang menyebut:

“Sebab kena marah dengan ayah dan emak dululah saya jadi orang.”

Sebenarnya proses menjadi manusia adalah proses yang kompleks dan bukan hanya dengan dimarahi kita boleh jadi manusia.

Sejak berdekad yang lalu, Dr. John Gottman, seorang Profesor Emeritus dalam bidang Psikologi dan juga seorang pakar perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan dari The Gottman Institute telah membuat pelbagai kajian tentang amalan-amalan positif dan negatif dalam perkahwinan dan institusi kekeluargaan.

Beliau merumuskan bahawa untuk sesebuah perkahwinan itu lebih harmoni dan berkekalan, sepasang suami isteri memerlukan 5 interaksi positif kepada setiap 1 interaksi negatif.

magicratio

NISBAH 5:1 (MAGIC RATIO 5:1)

Contohnya jika suami atau isteri menyindir pasangan, interaksi negatif itu harus diikuti dengan 5 interaksi positif seperti memuji, berterima kasih, memeluk, belanja ‘lunch’, bergurau senda, membantu, berlembut, memujuk dan sebagainya untuk memulihkan keadaan dan emosi. Jika nisbah interaksi ini kurang dari 5:1 dan ia berlanjutan, keharmonian sukar wujud dalam perhubungan suami isteri.

Nisbah yang sama juga perlu diapplikasikan antara ibubapa dan anak-anak.

1 interaksi negatif seperti marah, kritik, cemuh, sindir, sarkastik, ungkit, bebel dan sebagainya haruslah diikuti dengan 5 interaksi positif seperti peluk, cium, belai, nasihat, bergurau, puji, sembang, masa kualiti, main, dan sebagainya.
Hanya dengan cara ini kita boleh mewujudkan harmoni dan kerjasama antara ibubapa dan anak.

Kesimpulannya bukanlah marah yang menyebabkan kita jadi manusia, tetapi belaian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibubapalah yang menyebabkan kita jadi manusia.

Marah adalah perlu jika diperlukan dan interaksi positif yang lebih dari negatif adalah juga penting.

Bagaimana nisbah keluarga kita hari ini?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect