‘Meroyan’ Yang Disalahgunakan

Saya lihat sekarang ini perkataan ‘meroyan’ digunakan sewenang-wenangnya dalam pelbagai konteks yang tidak kena sehingga menenggelamkan maksud sebenar perkataan tersebut.
Meroyan adalah isu kesihatan mental yang sangat serius dan tidak seharusnya dibuat bahan gurauan.

Apabila si ibu sampai ke peringkat ‘halusinasi’ seperti dalam kes ini, ia menunjukkan bahawa si ibu sudah sampai ke tahap ke 3 atau tahap paling kronik dalam meroyan atau dikenali sebagai Postpartum Psychosis.

Melahirkan anak bukanlah proses yang mudah. Hanya yang melaluinya yang tahu dan faham trauma yang dialami ketika bersalin. Ia bukan sahaja melibatkan fizikal si ibu, malah juga melibatkan emosi dan mental ibu.

Beberapa tahun lalu dalam sebuah sesi yang saya hadiri, seorang Pakar perbidanan dan sakit puan menerangkan bahawa emosi seorang ibu mengambil masa lebih lama dari fizikal si ibu untuk pulih sepenuhnya selepas bersalin. Ini untuk proses mengandung dan kelahiran yang biasa dan normal, belum lagi mengambil kira proses mengandung dan kelahiran yang sukar dan bermasalah.

APA DAN SIAPA YANG PENTING?

1) Sokongan suami sangat sangat sangat penting. Tidak ada perkataan yang dapat saya gunakan untuk menggambarkan kepentingan peranan dan sokongan si suami.
Layanlah si isteri seperti permaisuri. Kalau sebelum ini sudah pun dilayan seperti permaisuri, layanlah seperti permaisuri segala permaisuri.
Pikullah tanggungjawab menjaga bayi bersama-sama.
Bukanlah isteri sengaja mengada-ngada dengan kerenah dan permintaan. Perubahan hormon boleh mempengaruhi sikap dan tangkah laku isteri. Ini hanyalah sementara.
Bersabarlah. Bukankah anak kamu juga yang dilahirkan wahai ayah.

2) Ayah, ibu, mertua, adik beradik, ipar duai juga memainkan peranan yang penting. Janganlah memberi pelbagai tekanan dari pelbagai sudut kepada ibu yang baru bersalin. Janganlah diganggu jiwa dan emosi ibu dengan kerenah anda yang macam-macam. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaannya. Ibu baru bersalin sifatnya hypersensitive. Anda yang sepatutnya menjadi lebih sensitif dengan keadaan si ibu bukannya dia yang perlu menjaga hati anda sepanjang masa.

3) Mak cik-mak cik dan rakan-rakan pula janganlah terlampau galak dengan nasihat dan kritikan yang pelbagai sehingga membebankan emosi si ibu yang sudah semulajadinya terkesan dengan proses kelahiran. Berilah ruang dan peluang untuk si ibu berehat dan memikirkan sendiri halatuju keluarganya. Jika dia memerlukan nasihat, dia akan bertanya. Jika dia tidak bertanya, dia tidak memerlukan khidmat sukarela anda. Simpanlah dulu.

Postpartum depression (PPD) atau meroyan boleh dialami oleh sesiapa saja. Walau bagaimanapun wanita yang berisiko tinggi adalah mereka yang*:

*Pernah melalui episod meroyan atau PPD sebelum ini.
*Mengalami kemurungan ketika mengandung.
*Mempunyai sejarah kemurungan (depression) atau isu kesihatan mental yang lain.
*Melalui kehidupan atau pengalaman yang menekan.
*Tidak mempunyai sokongan sosial yang kuat dari orang terdekat.
*Mempunyai masalah rumahtangga.

Pantaulah isteri, anak/menantu, adik/kakak, dan rakan anda dan bawa si ibu untuk mendapatkan rawatan pakar kesihatan jika kemurungan atau kesedihan ibu berpanjangan sehingga mengganggu tugasan dan fungsi harian mereka.
Jangan ditunggu sehingga dia berhalusinasi kerana jika sampai ke tahap itu ia bermakna bahawa bebanan emosi dan mental itu sudah terlalu lama ditanggungnya.

meroyan

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

*Sumber: MGH Center for Women’s Mental Health.

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kanak-kanak-maut-dikelar-ibu-kandung-178363

Apabila Ibu Tidak Membuat Apa-apa Di Rumah

Apabila memandu memasuki perkarangan rumah, Azmi terkejut melihat kedua-dua orang anaknya berada di luar, masih memakai pakaian tidur yang dipakai semalam. Bekas makanan yang kosong dan pembungkus makanan berselerakan di halaman. Pintu kereta isterinya, Amy, terbuka. Pintu rumah juga terbuka luas sehingga menampakkan ruang dalam rumah.

messy

Kredit Gambar: Youtube

Azmi kaget.
“Mama mana? Mama?” tanya Azmi pada anak sulungnya yang berusia 5 tahun.
“Di dalam.” jawab anak dan terus bermain riang bersama adik.

Azmi tidak bertanya lagi, dia bergegas masuk ke dalam.
Keadaan di dalam rumah lebih berselerak. Lampu yang selama ini berdiri menghiasi indah ruang tamu jatuh seakan dirempuh raksasa . Permaidani yang selama ini terletak elok di ruang tengah rumah tersadai di tepi dinding.
Ruang tamu riuh rendah dengan suara kartun dari televisyen yang dibiarkan terpasang tanpa penonton. Ruang yang selama ini sentiasa bersih dan kemas ditatarias oleh isteri juga bersepah dengan mainan kanak-kanak, perkakasan dapur dan juga pakaian.

Sinki di dapur dipenuhi dengan pinggan mangkuk yang belum berbasuh. Bijirin sarapan dan kepingan-kepingan roti berterabur di atas meja makan manakala serpihan kaca dari gelas yang pecah dibiarkan di bawah meja.

Pintu peti sejuk dibiarkan terbuka. Pasir dari pasu pokok cili yang diletakkan di tebing tingkap dapur bertaburan di atas lantai.

“Ya Allah, Apakah yang berlaku?” Getus hati Azmi.

Dia risaukan isterinya.
“Adakah apa-apa berlaku pada isteriku? Sakitkah dia?”

Dia lantas bergegas naik ke tingkat atas untuk mencari isterinya sambil mengelak dari terpijak ‘lego’ dan mainan yang bergelimpangan sepanjang laluan. Di luar bilik mandi di tingkat atas basah dengan air. Tuala basah bergelimpangan di tingkat atas. Azmi menjadi semakin risau. Dia hampir terpijak bekas ubat gigi yang dibiarkan di atas lantai di luar bilik mandi. Kesan-kesan ubat gigi juga terpalit di dinding.

Dengan nafas yang tercungap-cungap dan peluh yang mengalir laju sejak tadi, dia membuka pintu bilik tidur. Di dalam hati tidak putus-putus berdoa dan berharap semoga tiada apa-apa yang serius berlaku kepada isterinya.

Apabila pintu bilik dibuka, kelihatan Amy sedang bersantai di atas katil sambil membelek-belek majalah.

“Eh! Abang dah balik?” sapa Amy sambil tersenyum.

Azmi semakin bingung.

“Apa yang berlaku ni? Kenapa rumah kita jadi macam ni? Anak-anak pun tidak terurus.”

Amy tersenyum lalu menjawab, “Jangan risau Bang, anak-anak dah makan. Kan hari-hari bila balik Abang akan tanya apa yang saya buat di rumah?”

“Ya, betul.” Jawab Azmi masih kebingungan.

“Jadi…..” balas Amy.

“ Hari ini saya tak buat apa yang biasa saya lakukan hari-hari di rumah.”

🙂

SELAMAT HARI IBU KEPADA SEMUA IBU WALAU DI MANA SAJA ANDA BERADA DAN WALAU APA SAJA PEKERJAAN ANDA.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

*Kisah rekaan di atas saya terjemahkan dan olah dari artikel berbahasa Inggeris yang tidak diketahui siapa penulisnya.

You Only Have One Family…

“Every family has its issue but you only have one family.”
Kata-kata yang dipetik dari filem ‘Family Man’.

keluarga.JPG

Setiap keluarga mempunyai cabaran dan masalahnya yang tersendiri tetapi itulah satu-satunya keluarga yang kita ada. Kita tiada pilihan untuk tidak mempedulikannya. Jika selama ini kaedah yang kita gunakan tidak berjaya ataupun mungkin kita tiada apa-apa kaedah tertentu untuk membimbing keluarga dan anak-anak, sedarlah segala perubahan yang ingin kita lakukan untuk kebaikan keluarga dan anak-anak akan mengambil masa. Kita mungkin juga akan menerima tentangan.

Jika latihan untuk solat mengambil masa 3 tahun untuk diterapkan dalam diri anak sebelum tindakan keras boleh diambil apabila menjangkau usia 10 tahun, begitulah panduan betapa lamanya kita perlu bersabar dan konsisten dengan setiap bimbingan yang ingin kita berikan. Bimbingan ini tidak terhenti di situ sahaja, ia perlu berterusan dengan berpesan-pesan, selagi kita bernama ibubapa.

Perubahan dan bimbingan perlu

1) Sabar
2) Konsisten
3) Pengulangan

Masalahnya kadang-kadang bukannya dengan anak, tetapi dengan diri kita sendiri yang tidak konsisten dan tidak sabar. Sekejap kata “tidak”, sekejap kata “boleh”. Bila kita sibuk dan letih, kita pun jadi permisif, “Buatlah apa yang kamu suka, mintalah apa yang kamu mahu, Ayah letih, Ibu letih.”
Tidak konsisten.
Anak lantas mengambil kesempatan.
Kemudian kita juga yang kecewa dan berang dengan anak.

Kadang-kadang anak bukannya sengaja. Ada yang berbeza daripada anak-anak lain. Mereka perlu bantuan pakar seperti terapis, psikologis atau psikiatris untuk membantu mereka supaya lebih tenang dan teratur. Di sini juga kita perlu

1) Sabar
2) Konsisten
3) Pengulangan

dalam memberi sokongan dan bimbingan kepada anak-anak ini.

Sebarang perubahan tidak akan berlaku semalaman.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ayah dan Ibu, Berdamailah

tenang

Kewarasan dan ketenangan diri ayah dan ibu sangat penting dalam membesarkan dan mendidik seorang anak.

Berdamailah dengan diri sendiri.
Berdamailah antara suami isteri.
Berdamailah dengan keluarga.
Berdamailah dengan mertua dan ipar duai.

Adakah benar masalah yang kita hadapi adalah dengan anak ataupun masalahnya adalah kerana diri kita sendiri tidak damai dan tidak tenang?

Jujurlah dengan diri sendiri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Beruntunglah Ibubapa Bila Anak Mengingatkan

solat

Kredit Gambar: Masjidku

Bersyukurlah jika kita dianugerahkan anak yang sering mengingatkan kita tentang kealpaan kita.

Anak yang mengingatkan kita tentang solat.
Anak yang mengingatkan kita tentang bahasa pertuturan kita.
Anak yang mengingatkan kita supaya bersabar.
Anak yang mengingatkan kita tentang riak dan kesombongan kita.
Anak yang mengingatkan kita tentang pakaian kita.
Anak yang mengingatkan kita untuk bersyukur dengan rezeki yang ada.
Anak yang mengingatkan kita untuk membantu orang yang memerlukan.
Dan anak yang mengingatkan kita tentang kematian.

Anak adalah ujian dan anak juga adalah rahmat buat kita. Kita bukan sahaja mendidik anak, anak juga banyak mendidik kita untuk menjadi insan yang lebih baik dan bertakwa.

Lapangkanlah dada menerima peringatan dan nasihat daripada anak walaupun anak itu adalah anak kecil kerana bukankah didikan kita jugalah yang menjadikan anak sebegitu?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Sekarang Sudah Jauh Malam. Anak Kecil, Pra Sekolah dan Sekolah Rendah Sudah Tidur?

Sekarang sudah jauh malam. Adakah anak kecil, pra sekolah dan sekolah rendah sudah tidur?
Di manakah anak yang bersekolah menengah?

Anak-anak ini memerlukan tidur awal yang cukup. Membiarkan mereka masih berjaga tanpa arah tujuan adalah satu bentuk pengabaian kepada keperluan fizikal, emosi dan mental mereka. Membiarkan mereka menonton rancangan orang dewasa pada waktu malam yang tidak mempunyai nilai yang baik adalah juga satu bentuk pengabaian.
Membiarkan mereka menonton kartun atau menggunakan gajet sedangkan anda sendiri sudah lelap tidur kerana keletihan adalah juga satu bentuk pengabaian.
Ini bukan lagi aktiviti masa berkualiti.
Mungkin guru-guru di sekolah dapat melihat kesan anak-anak yang tidak cukup tidur ini.

Melatih anak untuk tidur awal jika mereka tiada tugasan dan keperluan untuk berjaga adalah satu bonus untuk mengeratkan hubungan antara suami isteri. Inilah peluang untuk suami isteri ‘dating’ sambil bertukar-tukar kisah tentang apa yang dilalui sepanjang hari tanpa perlu memfokuskan pada hiruk pikuk anak-anak.
Pada zaman yang terkejar-kejar dan kurang komunikasi berhadapan, ‘us time’ juga boleh dilakukan di rumah jika anda bijak menguruskan anak-anak dan masa anda.

Berapa jamkah anak perlu tidur?

sleep

Sumber: sleepfoundation.org

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Al-Hijrah – Beratnya Bahu Along

Saya dijemput ke Segmen Kekeluargaan program Assalamulaikum di TV Al Hijrah pagi tadi untuk membincangkan topik berkaitan anak sulung, “Beratnya Bahu Along”.

Saya tertarik dengan soalan hos rancangan berkaitan anak sulung yang seringkali mengalah dengan adik-adik. Benarkah begitu?
Secara umumnya, ya, tetapi tidak semua begitu.

alhijrahalong

Sebagai ibubapa, kita seharusnya pandai menilai situasi dan tidak terlalu cepat meminta anak sulung mengalah hanya kerana dia lebih tua. Selain dari cuba membentuk sifat bertanggungjawab dalam diri anak sulung, kita juga seharusnya membentuk sikap dan akhlak anak yang lain juga.

Jika anak sulung seringkali disuruh mengalah setiap kali berlakunya konflik antara anak-anak, kita sebenarnya tidak membantu untuk membentuk karakter anak yang lain. Kita harus mendidik anak-anak untuk menguruskan konflik dengan penyelesaian masalah (problem solving) dan bukannya lari dari masalah.

Banyak faktor yang membentuk keperibadian anak-anak. Susun atur kelahiran (birth order) adalah salah satu daripadanya. Anak sulung selalunya mendapat perhatian 100% daripada ibubapa kerana mereka tidak perlu ‘berkongsi’ perhatian selagi mereka belum ada adik. Perhatian ini membantu perkembangan emosi dan membentuk keperibadian mereka juga.

Selain itu jarak usia antara adik beradik, jantina, layanan dan harapan ibubapa, persekitaran dan harapan masyarakat juga membentuk keperibadian seorang anak.

Kajian yang dibuat oleh Fakulti Pendidikan UKM dan diterbitkan dalam World Applied Sciences Journal pada tahun 2011 mendapati bahawa kualiti dan corak komunikasi antara ibubapa dan anak, dan juga agihan tugasan dalam keluarga oleh ibubapa dapat mendidik anak-anak untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, tidak kira sama ada anak sulung, tengah ataupun bongsu.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

“Pecahkan Ni Ye Mama. Pecahkan Ye!”

“Pecahkan ni ye Mama. Pecahkan ye!”

Tumpuan kepada kerja-kerja saya terganggu apabila mendengar nada ugutan yang keluar dari mulut seorang anak kecil kepada ibunya.
Saya menjeling ke arah datangnya suara itu. Seorang wanita duduk bersama dua orang anaknya, seorang lelaki yang berusia lingkungan 8 tahun dan seorang perempuan yang berusia lingkungan 6 tahun.

Anak perempuan masam mencuka sementara anak lelaki buat hal sendiri seakan kebosanan.

“Tengoklah abang ni Mama. Tengoklah, Dia kacau.”

Ibu masih khusyuk dengan telefonnya tanpa sebarang ekspresi.
“Sekejap la, Mama nak balas ni kejap.” Si Ibu bersuara memberi respon kepada anak tanpa memandangnya.

huffchild

Kredit Imej: Huffington Post

“Nak pecahkan ni! Nak pecahkan!” Anak perempuan masih mengugut hendak pecahkah ‘tablet’ yang dipegangnya.

“Sekejap la.” Balas ibu lembut dengan matanya melekap pada telefon. Sedikit pun tidak dijelingnya kepada anak yang mengugut.

Anak itu kelihatan kecewa kerana tiada perhatian daripada ibu.

“Nak kencing dalam seluar!” Ugutan anak berterusan tetapi kali ini bukan lagi tentang ‘tablet’.

“Kencing dalam seluar!” Sambil anak memegang seluarnya dan memerhatikan si ibu.
Mata ibu masih pada telefonnya. Langsung tidak terganggu seolah-olah itu perkara biasa.

Rimas saya melihat si Ibu.

“Oh ibu, pandanglah sekejap anak itu. Sudah lama dia cuba mencuri perhatianmu. Sekejap pun jadilah. Dia hanya ingin mengadu,” getus hati saya.

Selama hampir 20 minit anak mengugut ibu supaya memberi perhatian kepadanya. Dia ingin mengadu tentang abangnya yang mengganggu.

Abang kebosanan, adik diganggunya.
Itu biasa.

Balasan ibu hanyalah “Sekejap” “Sabar” “Ibu perlu balas e-mail”
Jeling pun tidak.
Mungkin itu juga perkara biasa dalam dunia yang serba terkejar-kejar sekarang ini.

Tetapi anak kecil mengugut untuk merosakkan harta benda dan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, itu luar biasa.

Anak sanggup lakukan apa saja untuk mendapatkan perhatian ibubapa. Apa saja seperti anak perempuan ini.

Perhatian yang diberikan adalah isyarat bahawa dirinya bernilai dan dihargai. Jika dirinya dirasakan tidak bernilai bagi ibu, kenapa perlu dia peduli tentang tablet atau seluar yang dikotorkan? Itu hanyalah material yang boleh diganti.

‘Attention seeking’ adalah sifat semulajadi anak-anak, tidak kiralah kecil atau remaja.
Tingkah laku anak akan dipengaruhi oleh matlamat inginkan perhatian.

Ingatkah lagi penulisan saya tentang ‘sense of belonging?’

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

5 Watak Penting Dalam Kehidupan Seorang Anak

anakkecil

Kredit Gambar: Google

1) IBU

Lahirnya seorang bayi ke dunia ini begitu asing, tanpa mengetahui apa-apa tentang kehidupan.

Dalam kekeliruan itu, seorang bayi tertanya-tanya adakah dia boleh mempercayai dunia yang asing ini?
Dalam kegelisahan itu, seorang bayi juga tertanya-tanya adakah dia boleh mempercayai sosok-sosok tubuh seumpama gergasi yang sering berdamping?

“Selamatkah saya di sini?”
“Adakah sosok ini akan hadir jika saya memerlukan?”
“Adakah sosok ini akan melindungi saya kiranya saya ketakutan?”
“Adakah sosok ini akan memeluk saya di kala saya kedinginan?”

Ketika usia awal ini, yang tidak asing bagi seorang bayi hanyalah sosok yang bernama ibu.
Suara belaian seorang ibu sudah biasa didengari sebelum dunia dikenali.
Itulah sosok yang menenangkan dan membahagiakan seorang bayi.
Ibulah yang menjadi pendorong tumbesaran dan perkembangan seorang bayi.
Bukan hanya kerana ibu menyusukan, tetapi ibu juga melahirkan rasa selamat dalam diri bayi terhadap dunia dan segala isinya.

Apabila seorang bayi boleh mempercayai seseorang, bayi akan belajar untuk mempercayai orang lain juga kemudiannya. Perhubungan positif di antara seorang bayi dengan orang sekelilingnya akan membantu proses tumbesaran dan perkembangan yang seterusnya.
Jika bayi sering merasa ketakutan kerana tidak dipeduli, perasaan ragu dan tidak percaya akan mempengaruhi perkembangannya.

Ibu, belailah bayi anda.

2) AYAH DAN IBU

Apabila seorang anak kecil mula pandai mengatur langkah membawa tubuh, dia akan mula meneroka untuk memahami dirinya.
Dia tertanya-tanya siapakah dirinya apabila berada di kalangan mereka yang percaya dan peduli tentangnya?
Dia tercari-cari kemampuan dirinya dengan cuba melakukan sesuatu dengan sendirinya.
Dia mahukan kuasa untuk berdikari kerana kakinya sudah berupaya untuk membawanya ke mana-mana yang diingini tanpa bantuan lagi.
Dia mahukan peluang untuk terus meneroka kerana dia sering tertanya-tanya tentang apa yang dilihatnya, didengarinya, disentuhnya, dihidunya, dan dirasanya.

“Adakah diri saya berupaya?”
“Adakah saya boleh dan dibenarkan untuk menjadi diri saya sendiri?”

Pada usia ini, jika anak diberi peluang dan kepercayaan oleh ayah dan ibu untuk meneroka, dia akan membina keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan dirinya sendiri. Dia yakin bahawa dirinya mampu dan berupaya kerana diberi peluang oleh dua insan yang rapat dengannya .
Jika penerokaannya sering dihalang dan jika peluang tidak diberikan untuk dia berusaha dengan sendirinya, dia akan ragu dengan keupayaan dirinya dan akan sentiasa mengharapkan pertolongan dan bantuan walaupun untuk sesuatu yang mudah.

Ayah dan ibu, luangkanlah masa untuk bersama-sama dengan anak kecil anda. Peluang ini hanya sekali dan tidak akan berulang lagi.

3) KELUARGA, PENGASUH, DAN PENDIDIK

Apabila pergerakannya sudah lancar dan tutur kata anak sudah berkembang dengan pesat, dia semakin galak meneroka dan bereksprimentasi dengan persekitarannya. Dia akan mencuba pelbagai perkara yang baru dengan menggunakan imaginasi dan kreativiti semulajadi yang dimilikinya.

Bagaimana benda bulat bergolek?
Apa yang berlaku jika saya jatuhkan cawan ini?
Kenapa warna bertukar apabila dicampurkan?
Dia akan cuba mencari jawapan kepada segala kemusykilan yang ada dalam dirinya.

Jika pada peringkat sebelum ini keyakinan diri terbina kerana dia diberi peluang untuk berdikari dan berusaha dengan ssendirinya, dia akan lebih bersemangat untuk mencuba tanpa gentar untuk melakukan kesilapan.
Dia tahu kesilapan adalah peluang untuk dia belajar.
Dia tahu kesilapannya akan dibimbing dan dipandu.

“Adakah apa yang saya lakukan ini betul?”
“Adakah usaha saya ini berbaloi dan dihargai?”

Jikalau anak terus diberi galakan untuk mencuba dan berusaha oleh individu yang rapat dengannya, dia akan mula mengenali minat dan kelebihannya.
Jikalau usahanya dipandang sepi dan tidak dihargai, dia akan merasa rendah diri.
Jikalau dia sering dimarahi kerana bereksperimentasi untuk memahami persekitarannya, dia akan berhenti untuk meneroka minat dan kelebihan yang dimilikinya.
Pudarlah sudah keunikan dirinya yang perlu dibaja dan diteroka.

Ayah, ibu, pengasuh dan pendidik, berilah ruang dan peluang untuk anak meneroka mencari potensi diri.

4) SEKOLAH DAN KEJIRANAN

Tujuan anak melangkah kaki ke sekolah adalah untuk mengenalpasti dan memperkukuhkan lagi minat dan kelebihan diri yang dimiliki. Anak akan sedar yang setiap rakan adalah berbeza-beza dan tidak mempunyai minat dan keupayaan yang sama. Anak mahu supaya mereka dilayan dengan adil dan saksama walaupun mempunyai minat dan keupayaan yang berbeza-beza.

“Adakah keupayaan saya dapat menyumbang kepada orang di sekeliling saya?”
“Adakah saya boleh berjaya dan selamat dengan minat dan kemampuan saya?”

Jikalau usaha dan keupayaan anak mendapat pengiktirafan dari guru dan rakan, anak akan menjadi lebih gigih untuk menyumbang. Anak akan berusaha dengan lebih baik untuk mencapai potensi diri kerana keunikannya dihargai dan diperlukan.

Jikalau minat dan kelebihannya tidak dihargai, jikalau yang diterima hanyalah maklumbalas yang negatif kerana tidak ‘unik’ seperti orang lain, dia akan hilang semangat untuk menjadi dirinya sendiri. Dia akan terus mencari ruang untuk mempamerkan keupayaan dirinya supaya ia diterima dan dihargai.

Malangnya ruang yang dicari ini termasuklah juga di kalangan mereka yang akan memudaratkan dan merosakkan anak itu. Bagi anak, yang penting asalkan dia diterima seadanya. Di kala inilah akan bermulanya kepincangan dalam hidup seorang anak jika dia tidak dibimbing sebaiknya.

Ayah dan ibu, terimalah dan sayangilah anak tanpa syarat.
Guru-guru, lihatlah kelebihan,dan keunikan seorang anak itu dan hargailah kebaikannya.
Imam, ketua kampung dan bandar, santunilah anak-anak ini dengan penuh adab dan kasih sayang.

5) RAKAN SEBAYA DAN IDOLA

Remaja adalah usia yang penuh kekeliruan. Sebagai remaja, anak mempunyai pelbagai tugas untuk dipikul. Dialah anak, dialah rakan, dialah pelajar, dialah juga anggota masyarakat.
Ramai yang keliru dengan identity diri kerana pelbagai tugas yang perlu dipikul ketika ini.
Anak sedar dia bukan lagi kanak-kanak dan dia juga perlu sedar yang pengalaman dan pengetahuan belum melayakkan dirinya sebagai seorang dewasa.

“Siapakah saya?”
“Di manakah tempat saya?”
“Apakah peranan saya?”
“Siapakah yang memahami dan boleh membantu saya?”

Jika ayah dan ibu membimbing dan memberi sokongan, anak akan lebih yakin dan kental dalam menongkah arus yang penuh cabaran. Jika jiwa remajanya itu dipandu supaya dapat menyumbang, dia menjadi anggota yang positif dalam masyarakat.
Jika dia dibiar hanyut tanpa panduan, dia akan bertambah keliru dan merasakan dirinya kehilangan. Kala ini ayah dan ibu bukan lagi watak yang utama dalam hidupnya, dia lebih tertarik untuk bersama teman sebaya dan idola yang akan mempengaruhi hala tujunya.
Kerana bagi remaja sebegini, ayah dan ibu datangnya dari dunia asing yang tidak memahami siapa diri mereka.

Ayah dan ibu, dampingilah anak remaja anda kerana mereka seumpama layang-layang. Mereka perlu dilepas jauh supaya berupaya terbang tinggi menggapai awan, tetapi adakalanya mereka perlu ditarik kembali supaya tidak putus, melayang dan terus hilang.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect