Pembentangan saya di Seminar Rumahku Syurgaku 2019 anjuran JAKIM bertempat di Kompleks Islam Putrajaya.
Bersama Ustaz Zul Ramli, pendakwah bebas dan Dr. Mohd Izwan bin Mohd Yusof, Penolong Pengarah (Kanan) Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti JAKIM.
Tahukah anda dalam laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga 2016 oleh LPPKN, kawalan gajet dalam keluarga di negara kita masih berada pada tahap sederhana. Ketagihan gajet ini didapati telah meninggalkan kesan kepada keluarga. Kiranya amalan penggunaan gajet tidak diperbaiki, ia boleh meruntuhkan institusi keluarga.
Dapatan ini selari dengan laporan The State of Digital LIfestyle 2018 yang mendapati bahawa pengguna di Malaysia dan India adalah yang paling ketagih peranti digital (gajet).
Perceraian juga banyak berlaku disebabkan oleh krisis yang berpunca dari perhubungan di media sosial terutamanya Facebook dan Whatsapp. Ini merupakan satu cabaran yang besar kepada institusi keluarga.
Malaysia juga berada di tempat paling tinggi di antara negara-negara Asia Tenggara dalam mencari bahan-bahan pornografi di internet. 20 000 visual pornografi di muat naik dan turun dalam sehari. Pornografi akan mempengaruhi pemikiran dan sikap seseorang. Ia bukanlah sesuatu yang peribadi sebaliknya akan membawa implikasi buruk kepada individu di sekeliling mereka yang ketagihan pornografi.
Remaja dan kanak-kanak juga terdedah kepada sexual grooming dan pencerobohan privasi kerana kurang pemantauan oleh ibubapa dan tidak diberi pendidikan oleh ibubapa tentang keselamatan di internet.
Banyak kebaikan yang boleh kita perolehi dari media pada era teknologi digital ini. Walau bagaimanapun jika kita tidak berusaha untuk mengawal jangkamasa penggunaannya dan kontennya, baik oleh suami, isteri ataupun anak-anak, ia akan lebih membawa kemudaratan berbanding kebaikan kepada keluarga kita.
Berusahalah mencari keseimbangan.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/