Perlukah Hantu Dalam Hidup Anak?

Saya dan suami tidak pernah menakut-nakutkan anak kami dengan hantu semasa mereka kecil dahulu. Kami beruntung kerana ketika mereka kecil kami tinggal di Melbourne, Australia, negara maju yang tidak takutkan hantu dan tidak menakut-nakutkan kanak-kanak dengan hantu. Manusia yang perangai seperti hantu juga tidak ramai di daerah kami ketika itu. Kes jenayah terlalu rendah. Saya faham bagaimana perasaannya bila takutkan hantu.

hantu

Semasa kecil dahulu kawasan perumahan saya bersebelahan dengan tanah perkuburan Islam. Bayangkan cerita-cerita yang berlegar-legar sesama kawan sepermainan dan juga cerita-cerita orang-orang tua yang menakut-nakutkan kanak-kanak dengan hantu supaya kami berkelakuan baik. Ketakutan yang saya alami itu sungguh mengganggu, dan saya masih ingat bagaimana ketakutan itu menghalang pergerakan dan membantutkan eksplorasi sebagai kanak-kanak. Semua kerana takutkan hantu.

Anak-anak kami yang kecil ketika itu langsung tidak takutkan gelap. Berbeza dengan saya sewaktu kecil. Gelap menimbulkan ‘anxiety’ dalam diri saya. Lari lintang pukang bila gelap sebab takutkan hantu, peluh membasahi tubuh sehingga tidur pun terganggu. Saya tidak mahu perkara yang sama dialami oleh anak-anak saya. Anak-anak kami tidak faham apa itu hantu dan tidak kaitkan kegelapan dengan hantu. Walaupun dalam masyarakat Barat, konsep ‘monster under the bed’ itu biasa, tetapi anak-anak tidak terkesan dengan konsep itu sebab kami tidak pernah sebut dan mungkin rakan-rakan di sekolah juga tidak bangkitkan.

Hanya beberapa bulan selepas pulang ke Malaysia dan bersekolah di sini, mereka mula takutkan gelap. Mereka tidak pernah sebut takutkan ‘hantu’ tetapi mereka mula menemani sesama sendiri apabila perlu turun ke tingkat bawah rumah pada waktu malam. Kami kecewa. Bertahun-tahun pupuk perasaan berani dan tidak takutkan hantu dalam diri anak-anak tetapi sekelip mata keberanian itu lenyap. Itu adalah lumrah berkawan. Apabila mula berkawan dan bersosial, pelbagai pengaruh mula meresap ke dalam diri anak-anak kita, termasuklah nilai dan amalan yang bertentangan dengan nilai keluarga kita.

Walaupun takut atau ‘fear’ adalah salah satu dari emosi asas yang dirasai oleh manusia tetapi itu tidak bermakna kita perlu menggalakkan lagi emosi takut itu dengan hikayat hantu. Margee Kerr, seorang pakar sosiologi dan penulis buku Scream: Chilling Adventures in the Science of Fear mendapati bahawa perasaan takut mempengaruhi kanak-kanak pada kadar dan skala yang lebih besar berbanding ketakutan yang dialami oleh orang dewasa. Tahap pemikiran atau kognitif kanak-kanak belum berupaya untuk menjastifikasikan keadaan dan ketakutan. Keupayaan berimaginasi kanak-kanak sangat tinggi maka ketakutan amat menghantui dan amat mempengaruhi emosi mereka. Mereka masih belum berupaya untuk membezakan antara realiti ataupun fantasi, belum berupaya untuk menilai apa yang nyata dan apa yang karut.


Hari ini kita melihat anak kecil yang takutkan “Hantu Kak Limah” divideokan ketakutan dan esakkannya oleh si ibu dan ditularkan di media sosial untuk dijadikan bahan jenaka oleh orang dewasa. Di manakah akal dan fikiran orang dewasa?

Hari ini juga kita melihat orang dewasa beramai-ramai mentertawakan anak kecil yang meraung dalam video tular kerana takutkan ‘screen display’ telefon dengan imej hantu yang dipasang oleh orang dewasa. Bukan itu sahaja, ramai juga yang bersetuju kaedah itu patut digunakan untuk menghentikan ketagihan skrin pada kanak-kanak.
Orang dewasa yang menyebabkan ketagihan itu dan orang dewasa jugalah yang cuba menghentikannya dengan kaedah yang tidak menggunakan akal dan fikiran.

BERHENTILAH MENJADIKAN KETAKUTAN KANAK-KANAK SEBAGAI BAHAN JENAKA.
KANAK-KANAK BUKANNYA BADUT.

Adakah kita begitu ‘clueless’ dalam mendidik anak-anak sehinggakan kita perlu menggunakan ‘hantu’ sebagai autoriti dalam keibubapaan?

Jika ingin membentuk kelakuan dan tabiat anak bukankah kita perlukan ilmu, akal dan fikiran dan bukannya hantu?
Ilmu itu perlu dicari.
Belajar.

Jika kita tidak mahu anak mengganggu malam kita, bukankah kita yang perlu mendisiplinkan anak untuk tidur, bukannya menggunakan hantu sebagai medium.

Jika kita tidak mahu anak keluar merayau ke tempat yang merbahaya, bukankah kita perlu tetapkan peraturan dan terangkan kepada anak akan bahayanya dan bukannya menggunakan hantu sebagai alasan.

Bagaimana anak-anak ingin meneroka dan bereksperimen kiranya hantu membantutkan perkembangan pemikiran mereka?

Zaman sudah berubah. Sekarang ini hantu yang takutkan manusia kerana manusia itu lebih aneh berbanding hantu itu sendiri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

‘Berhantu’kah Main Sorok-sorok (Hide and Seek)?

Baru-baru ini saya terlihat kanak-kanak bermain sorok-sorok atau ‘Hide and Seek’. Saya sangkakan permainan ini sudah pupus apabila munculnya gajet dan siaran TV 24 jam dalam dunia kanak-kanak sekarang. Syabas ibubapa anak-anak ini yang membiarkan anak-anak ‘boring’ tanpa teknologi buat seketika. Mungkin ibubapa perlu bermain ‘Hide’ gajet supaya anak ‘seek’ pada waktu yang ditetapkan saja.

Main sorok-sorok bukanlah hanya aktiviti yang kosong dan tidak bermanfaat. Sebagai orang dewasa mungkin kita sudah lupa ataupun kita tidak tahu pun apa yang berlaku di dalam diri kita ketika bermain. Kiranya dikupas dari segi sains perkembangan kanak-kanak, aktiviti riadah, santai, suka-suka ini memupuk perkembangan penting dalam diri kanak-kanak yang tidak kita terfikir.

 

hideand seek

Kredit gambar: ageofautism.com

MEMBUAT KEPUTUSAN – Tahukah anda permainan ini menggalakkan anak-anak mempertimbangkan segala kemungkinan untuk membantu mereka membuat keputusan.

“Di mana kawan ini mungkin bersembunyi? Badan dia agak besar, tidak mungkin dia muat ke dalam ruang tersebut.

Kawan yang ini tidak kuat berlari, mungkinkah dia bersembunyi di kawasan yang berhampiran saja.

Kawan yang kembar ini mesti akan cari ruang yang luas sebab mereka seakan tidak boleh berpisah dalam setiap aktiviti.”

Ini semua adalah pertimbangan yang perlu dibuat dalam sekelip mata. Kanak-kanak juga banyak menggunakan imaginasi dan kreativiti untuk membantu dalam proses penyelesaian masalah. Edward De Bono (nama terkenal yang boleh di’google’ untuk berkenalan) memperkenal teknik penyelesaian masalah yang dikenali sebagai CAF (Consider All Factors). Inilah teknik yang digunakan tanpa disedari oleh kanak-kanak ketika mencari kawan-kawan dan secara tidak langsung membina skil penyelesaian masalah dalam diri mereka.

SKIL SOSIAL– Bermain beramai-ramai tentulah melibatkan banyak skil sosial. Bermain bukanlah tenang dan bahagia senantiasa. Adakalanya berlaku konflik dan rasa tidak puas hati. Contohnya jika kawan yang lain beritahu di mana kita bersembunyi kepada orang yang mencari. Ada juga yang merajuk perlu dipujuk. Ada yang tidak mahu lagi berkawan.

Apabila berlaku konflik, kanak-kanak akan terdorong untuk menyelesaikan konflik tersebut. ‘Conflict management’ bukan hanya cakap-cakap dalam organisasi atau politik; pengurusan konflik berlaku dengan sendirinya apabila kanak-kanak bermain. Jika ‘conflict management’ dalam organisasi berfungsi salah satu darinya untuk memaksimakan hasil berkumpulan, bagi kanak-kanak pula mereka hanya ingin berkawan dan terus bermain kerana itulah tugas utama mereka. Skil sosial ini membantu mereka bermain dan bekerjasama dengan lebih efektif dalam kumpulan kecil mereka.

EMOTIONAL INTELLIGENCE – Permainan ini mewujudkan emosi yang pelbagai dalam diri kanak-kanak. – Memahami perasaan ‘suspense’, teruja, berdebar, berharap, kecewa, begitu juga episod menangis, ketawa. Asas EQ atau Emotional Quotient (Kecerdasan emosi) adalah memahami jenis-jenis emosi itu sendiri.

Ini juga sebahagian dari ‘SELF AWARENESS’ atau mengenali diri sendiri kerana emosi memainkan peranan yang sangat penting ketika zaman kanak-kanak supaya kanak-kanak belajar untuk mengurus emosi mereka. Pengurusan emosi adalah skil yang penting sehingga ke tua.

KONSEP MATEMATIK – Permainan ini juga mengajar kanak-kanak konsep asas Matermatik yang penting iaitu ruang – luas, jumlah luas, isipadu tanpa perlu menghafal formula. Kanak-kanak belajar perkaitan antara tubuh badan mereka dengan ruang yang ada di persekitaran.

“Adakah baik saya menyorok belakang tong air ini atau pun masuk di celah-celah pokok yang merimbun ini? Jika saya bersembunyi di sini adakah kepala saya akan kelihatan kerana ruang ini tidak cukup tinggi untuk menutupi seluruh badan saya. Jika saya mengiring ke arah sini mungkinkah kaki saya akan kelihatan kerana ruang ini agak sempit”.

Ini juga dikenali sebagai konsep ‘BODY AWARENESS’ atau peka dengan tubuh badan sendiri. Jika tiada awareness ini dan tidak faham konsep asas ruang, tentulah kepala, kaki, tangan atau punggung akan kelihatan.

Pernahkah anda melihat anak kecil hanya menutup muka dan berharap supaya dia tidak dijumpai oleh pencari? Anak ini belum faham konsep ruang sepenuhnya. Dia masih belajar.

PERKEMBANGAN FIZIKAL – Perkembangan fizikal agak jelas dalam permainan ini, Pergerakan membina stamina dan membantu otot-otok untuk berkembang. Menyelit-nyelit dan cuba memenuhi ruang membantu perkembangan koordinasi, keseimbangan dan kepantasan dan keanjalan badan. Permainan ini juga memerlukan kanak-kanak bergerak dengan pantas kerana sebelum kiraan habis dibuat oleh pencari, mereka sudah sepatutnya bersembunyi di ruang masing-masing. Ini semua memerlukan kepantasan fizikal. Teknik mengawal pernafasan juga kadang-kalanya perlu digunakan supaya tempat persembunyian tidak bergoyang. Ini semua adalah skil.

BATASAN DAN PERATURAN – Kanak-kanak juga belajar tentang adanya batasan dan peraturan walaupun tanpa intervensi daripada orang dewasa. Adakalanya ada peraturan contohnya tidak boleh jauh dari rumah Mak Leha kerana aspek keselamatan, tidak boleh sembunyi atas pokok kerana bimbang keselamatan. Begitu juga adanya syarat-syarat tempat persembunyian. Contohya tidak boleh bersembunyi di rumah kosong (yang kononnya berhantu).

Ataupun rumah Pak Samad tidak boleh sebab Pak Samad garang – mungkin Pak Samad ada tugasan yang perlu diselesaikan ataupun rumahnya tidak sesuai sebab itu dia garang.

Ini mengajar kanak-kanak untuk menghormati privasi orang lain – sesuatu yang hampir pupus pada zaman media sosial ini.

KESAN DAN AKIBAT – Kanak-kanak juga belajar tentang kesan dan akibat sesuatu perbuatan dan belajar dari kesilapan. Jika bersembunyi di celah rimbunan semak dan mungkin luka, mereka belajar untuk lebih berhati-hati ataupun mengenakan pakaian yang lebih sesuai.

Daya ingatan kanak-kanak juga boleh diasah. Contohnya ada kawan yang mempunyai tempat persembunyian ‘favourite’ yang tersendiri, maka kita ingat tempat itu. Apabila kawan pernah bersembunyi kita akan mencari di situ juga ataupun kita sendiri bersembunyi di situ atau mungkin elak dari bersembunyi di situ jika senang dijumpai pencari.

Kesimpulannya permainan sorok-sorok ini membantu kanak-kanak untuk memahami tubuh badan sendiri dan orang lain, memahami emosi sendiri dan orang lain, memahami persekitaran, membantu perkembangan sosial dan pengurusan konflik, memahami asas matematik, membantu perkembangan fizikal dan juga perkembangna kognitif yang sudah tentunya menghubungkan sel-sel otak. Ia bukanlah permainan kosong buang masa dan tidak belajar apa-apa.

JOM teruskan bermain sorok-sorok. Walaupun zaman telah berubah, manfaatnya terhadap perkembangan kanak-kanak terus kekal. Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect