Perhubungan Rapat Antara Ayah dan Anak Boleh Dibina Dengan Hanya Menukar Lampin

Tahukah anda perhubungan yang rapat antara ayah dan anak boleh dibina dengan hanya menukar lampin anak sejak hari pertama anak lahir?

3 tahun pertama kehidupan seorang anak adalah waktu kritikal di mana ‘attachment’ sangat diperlukan. ‘Attachment’ inilah yang akan membina rasa percaya (trust) dan hubungan yang rapat (connection) yang berpanjangan (insya Allah) antara ayah/ibu dan bayi.

Ketika 3 tahun pertama, anak memerlukan lebih kurang 5000 kali pertukaran lampin. Jika seorang ayah menukar lampin hanya 20% kali sekalipun, itu sudah memberi 1000 peluang untuk ayah ‘bond’ dan berinteraksi dengan anak. Ayah perlu mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan perhatian bayi untuk menukar lampinnya dan bayi pula selalunya terhibur dengan gurauan ayah ketika berinteraksi.

Interaksi yang dibina dari peringkat awal inilah juga yang menjadikan tugas mendisiplinkan anak lebih mudah kerana ‘connection’ telah pun terbina.

Jika menukar lampin pun tidak mahu dilakukan, bagaimana ayah hendak memainkan peranan sebagai pembimbing tingkah laku anak?

Easy peasy.

Syabas saya ucapkan kepada semua ayah yang menukar lampin anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

3 Kata-kata ‘MAGIS’ Membina Perhubungan Positif Dengan Anak

Sebagai ibubapa dan juga guru, bebelan demi bebelan kadang-kadang hanyalah meletihkan diri kita sendiri sedangkan hasilnya belum lagi pasti. Penerimaan anak-anak terhadap cara kita berkomunikasi dengan mereka juga berbeza-beza. Ada yang patuh hanya dengan sekali mendengar, ada yang mempersoalkan terlebih dahulu, dan ada yang mengambil masa untuk hadam dan terima apa yang cuba kita sampaikan. Semuanya bergantung kepada pembawaan anak dan juga kesesuaian cara kita dengan pembawaan diri mereka.

magic

Kredit Gambar: Video Block

Jika dirasakan komunikasi dalam bentuk kekerasan dan ugutan tidak berkesan, cubalah pula tiga kata-kata ini untuk membina perhubungan dan interaksi yang positif dengan anak-anak. Semoga ia dapat melembutkan hati anak-anak dan menjadikan mereka lebih terbuka dan mahu bekerjasama dengan kita.

1) I AM HERE (Saya ada).

Faktor utama yang membina ‘connection’ antara ibubapa dan anak adalah ‘trust’ (percaya) dan ‘respect’ (hormat). Kata-kata “I am here” akan memberi keyakinan kepada anak bahawa walau dalam apa jua situasi dan walau menghadapi apa jua masalah dan kerumitan, ibubapa akan tetap ada di sisi anak. Berada di sisi anak bukanlah bermakna sentiasa hadir secara fizikal. Ibubapa juga perlu bekerja dan menyelesaikan urusan seharian. Pada zaman sekarang ini ibubapa boleh hadir dalam hidup anak setiap masa yang diperlukan melalui panggilan telefon, e-mail, whatsapp, telegram, skype, dan pelbagai medium komunikasi yang ada. Ibubapa perlu sentiasa memberi indikasi bahawa mereka akan sentiasa juga hadir secara emosi untuk turut sama merasai setiap kegembiraan dan kesedihan yang dialami anak pada bila-bila masa sahaja. Jika ibubapa penuh dengan pelbagai alasan kerana tidak dapat hadir ketika waktu suka duka anak, anak akan mula hilang ‘trust’ tersebut dan mulalah mencari sumber lain yang sentiasa ada di sisi anak termasuklah di internet.

Kata-kata “I am here” ini menyedarkan anak-anak tentang betapa bernilainya mereka kepada ibubapa.

2) I HEAR YOU (Saya mendengar).

“I hear you” bukanlah bermaksud menurut apa saja kemahuan anak. Ibubapa perlu bersifat terbuka untuk mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh anak tanpa cepat mengkritik anak. Cubalah untuk mendengar sampai habis apa yang hendak diluahkan oleh anak tanpa terlalu cepat memberi cadangan. Mendengar adalah skil yang paling penting dalam komunikasi. Jika kita ingin anak mendengar cakap kita, kita hendaklah menjadi role model yang baik dalam mendengar apa saja permasalahan dan kerumitan yang mungkin dihadapi oleh anak. Apabila kita mendengar, kita juga tahu apa yang diperlukan oleh anak. Kita juga akan tahu apa tanggungjawab kita yang tidak dan belum tertunai terhadap anak. Kadang-kadang perkara yang hendak diperkatakan anak adalah amat remeh bagi kita tapi perkara itu sudah tentu besar bagi anak. Jika kita tidak mendengar, anak akan mencari sumber lain yang sudi mendengar. Jadikanlah diri kita tempat untuk anak meluahkan perasaan dan masalah.

Kata-kata “I hear you” ini mengajar anak tentang erti hormat-menghormati antara ibubapa dan anak.

3) HOW CAN I HELP? (Bagaimana boleh saya bantu?)

Anak-anak juga ada masalah mereka yang tersendiri. Sebagai orang dewasa yang berpengalaman, ada kalanya kita sendiri lemah dan buntu apabila berhadapan dengan masalah. Apabila anak menghadapi sebarang masalah, mereka mungkin menghadapi tekanan yang lebih berat disebabkan pengalaman hidup mereka yang kurang. Siapa lagi yang boleh mereka harapkan untuk membantu selain ibubapa yang merupakan orang terdekat dengan mereka. Ringan-ringanlah mulut, masa dan tenaga membimbing anak dan bersama-sama fikirkan caranya untuk menyelesaikan kekusutan mereka. Penyelesaian masalah (problem solving) adalah skil penting yang akan sentiasa diperlukan seumur hidup anak.

Kata-kata “How can I help?” ini akan mengajar anak tentang erti kerjasama antara ibubapa dan anak terutamanya ketika menghadapi konflik dan kesukaran. Ia juga membina ‘trust’ dan ‘respect’ anak terhadap ibubapa yang menjadikan anak-anak prioriti dalam hidup.

Anak-anak yang sudah biasa mendengar kata-kata sebegini dalam keluarga akan menjadi individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, hormat-menghormati, mempunyai empati dan mudah menghulurkan bantuan dan sentiasa bekerjasama dalam masyarakat.
Insya Allah.

Segalanya bermula dari rumah.

Kata-kata ini juga perlu diamalkan oleh para pendidik di sekolah untuk memupuk skil sosial dan emosi dalam diri pelajar-pelajar.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Disiplin dan Connection

0-7 tahun bermainlah dengan anak.
8-14 tahun disiplinkanlah anak.

Jika ibubapa rajin meluangkan masa bermain dengan anak ketika anak berusia 0-7 tahun, secara tidak langsung ibubapa juga sedang membina asas untuk peringkat 7 tahun seterusnya.

discipine

Kredit Gambar: Aha Parenting

Disiplin memerlukan ‘connection’ yang kukuh di antara ibubapa dengan anak. Bermain membina ‘connection’ yang diperlukan ini dari peringkat awal lagi.

Apabila ibubapa meluangkan masa bermain dengan anak, anak rasa dihargai, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa turun padang bermain seperti kanak-kanak, anak rasa kebersamaan, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa mengajak anak merancang permainan, anak rasa yakin diri, anak rasa ‘connected’.
Apabila anak kalah atau pun menang dalam perlumbaan ketika bermain bersama, anak pelajari kelebihan dan kelemahan diri, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa tetapkan batasan ketika bermain, anak rasa selamat dan dilindungi, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa bergelak ketawa ketika bermain, anak rasa gembira, anak rasa ‘connected’.

‘Connection’ inilah yang membina hormat anak kepada ibubapa dari peringkat awal lagi. Apabila anak hormat kepada ibubapa, anak akan lebih mudah untuk menurut dan mendengar kata ibubapa terutamanya apabila tiba peringkat usia 8-14 tahun. Ini merupakan peringkat usia yang mencabar untuk mendidik anak-anak kerana mereka lebih mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan.
‘Connection’ jugalah yang mengekalkan ‘authority’ ibubapa kerana anak tahu ibubapa peduli.

Begitulah besarnya impak bermain dengan anak kepada proses mendisiplinkan anak.
Oleh itu jika ibubapa menghadapi masalah dalam menguruskan tingkah laku anak, cuba renung kembali ‘connection’ bagaimanakah yang telah dibina dengan anak sejak usia anak 0-7 tahun.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

“Ada Peraturan Atau Tidak Di Rumah?”

“Ada peraturan atau tidak di rumah?”

Inilah soalan yang sering saya tanya apabila ada ibubapa yang meminta pandangan tentang anak yang sukar dikawal.

Ada ibubapa yang mengangguk dan ada yang menggeleng apabila ditanya.

rules

Mungkin peraturan itu bunyinya keras dan menghukum, jadi ada ibubapa yang kurang selesa mengadakan peraturan.
Ada yang takut peraturan akan mematikan semangat dan membunuh kreativiti dan sifat meneroka pada kanak-kanak.
Tambahan lagi di sekolah sudah banyak peraturan, guru pula ramai yang garang, jadi ramai yang merasakan anak-anak perlu diberi kebebasan mutlak di rumah supaya mereka lebih ‘chill’ dan ‘relax’.
Bagi yang tidak banyak masa untuk diluangkan dengan anak pula, mereka lebih suka gaya keibubapaan yang permisif tanpa peraturan kerana ingin mengelakkan konflik dengan anak.

Takut anak sentap.
Takut anak merajuk.
Takut anak berkecil hati.

Jika ‘peraturan’ dikaitkan dengan hukuman, kemarahan, kritikan, dan konflik, maka peraturan itu akan dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

“Parenting is not to decide what to do when children step outside the boundary. Parenting is to guide children on how to live within the boundary.”

Anak-anak memerlukan had dan batasan untuk memastikan mereka ‘safe and secure’ untuk terus meneroka dan mencapai potensi diri. Tanpa had dan batasan – peraturan – mereka akan membuang masa tercari-cari ruang yang selamat kerana persekitaran mereka tidak dapat dijangka (unpredictable). Perasaan ‘safe and secure’ ini penting untuk proses pembelajaran dan latihan untuk menghadapi kehidupan bermasyarakat.

BAGAIMANA MEMBINA PERATURAN DI RUMAH?

Faktor paling penting yang perlu ada untuk menggubal peraturan dalam rumah adalah kerjasama antara kedua ibubapa.

Langkah pertama untuk menggubal peraturan adalah kedua ibubapa duduk berbincang tentang aspek yang memerlukan peraturan di rumah. Seeloknya peraturan itu digubal sebelum sesuatu masalah timbul. Oleh itu ibubapa perlu peka akan perkembangan anak, persekitaran anak dan pengaruh dalam hidup anak.

Adakah perlu peraturan berkaitan penggunaaan teknologi?
Adakah perlu peraturan berkaitan waktu tidur?
Adakah perlu peraturan berkaitan kerja sekolah?
Adakah perlu peraturan berkaitan rutin seharian?
Adakah perlu peraturan berkaitan menonton tv?
Adakah perlu peraturan berkaitan waktu makan?

Setiap keluarga mempunyai masalah dan cabarannya yang tersendiri, oleh itu terserah kepada ibubapa untuk menentukan aspek dalam keluarga yang memerlukan peraturan.

Nilai dalam setiap keluarga adalah berbeza-beza.
Jika satu hari nanti anak bertanya “Kenapa di rumah kawan boleh, di rumah kita tidak boleh?”.
Terangkan kepada anak kenapa ‘keluarga kita’ memerlukan peraturan tersebut.
Terangkan tentang nilai keluarga kita.

Contohnya sebelum memberi keizinan untuk anak menggunakan internet, ibubapa perlu tetapkan:

-Bilakah penggunaan internet dibenarkan,
-Berapa lamakah ia boleh digunakan,
-Bagi tujuan apakah internet itu boleh digunakan.

Jika anak mengikut peraturan untuk sesuatu jangkamasa apakah ganjaran yang akan diberikan – ganjaran tidak semestinya bersifat material.

Jika melanggar peraturan, apakah akibat (consequence) terhadap yang melanggar peraturan?

Semua ini perlu ditetapkan terlebih dahulu.
Selepas berbincang, ibubapa perlu menyampaikan kepada anak apakah peraturan tersebut dan kenapakah ahli keluarga memerlukan peraturan tersebut.

Ada juga peraturan yang fleksibel mengikut tahap perkembangan atau usia anak.

Contohnya anak yang bersekolah menengah boleh tidur lewat kerana banyak ulangkaji atau kerja sekolah yag perlu disiapkan.
Anak pra sekolah tidak ada kerja sekolah (sepatutnyalah) maka perlu tidur awal supaya anak tidak membuang masa dengan gajet atau menonton TV sahaja.

“RUMAH SAYA ADA PERATURAN TETAPI ANAK TIDAK IKUT. KENAPA?”

Anak tidak ikut peraturan kerana,

1) Ibubapa tidak konsisten.
Peraturan hanyalah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Anak tahu ibubapa tidak serius. Jika ibubapa tidak serius tentang nilai, anak-anak juga tidak peduli tentang nilai dan peraturan.
Kita perlu konsisten sehinggalah amalan menjadi tabiat dan tabiat kemudiannya menjadi nilai yang dibawa sampai bila-bila.

2) Apabila anak ikut peraturan, tidak ada apa-apa respon daripada ibubapa.
Tiada pengakuan, tiada senyuman, tiada pujian, tiada ganjaran.
Anak jadi malas dan bosan.

3) Apabila anak tidak ikut, tidak ada apa-apa respon daripada ibubapa.
Tiada ‘consequence’, tiada implikasi kerana tidak ikut peraturan.
Anak tidak hairan.

Peraturan akhirnya hanyalah satu hiasan yang ‘nice to have’ sahaja.

Apabila anak biasa hidup dalam nilai dan peraturan yang ditetapkan di rumah, anak juga akan mengamalkan nilai dan peraturan dalam masyarakat. Insya Allah.
Bukankah kita ingin melihat masyarakat yang lebih bertamadun?
Mulakanlah dari rumah.

Apakah aspek yang memerlukan peraturan di rumah anda?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Anak-anak Bersama Dengan Kita Cuma Selama 900 Minggu Sebelum Dia Mula Meninggalkan Rumah

leaving

Kredit Gambar: DailyExpress

Anak-anak bersama dengan kita cuma selama 900 minggu sebelum dia mula meninggalkan rumah.

Masa bersama itu semakin singkat jika anak ke sekolah berasrama.

Pastikan kita hadir 100% dalam hidup anak apabila anak bersama dengan kita selama 900 minggu itu dan bukannya ‘present but absent’ seperti yang saya tulis sebelum ini.

Hitunglah minggu-minggu yang tinggal.

Bagaimana hubungan dengan anak minggu ini?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

 

Dari Mata Turun Ke Hati

Kata orang cinta itu bermula dari mata turun ke hati.
Ini bukan hanya madah percintaan antara teruna dan dara, kata-kata ini sangat releven dalam membina perhubungan yang positif dengan anak-anak.

matahati

Kredit Gambar: Google

‘Eye contact’ adalah gerak tubuh yang paling penting dalam membina ‘connection’ dan komunikasi efektif dengan anak-anak.

Salah satu sebab utama kenapa anak tidak mempedulikan permintaan dan batasan yang ada adalah kerana ibubapa tiada ‘eye contact’ apabila meminta anak melakukan sesuatu. Sama ada kita hanya memberi arahan dari jauh ataupun memberi arahan sambil membuat sesuatu seperti memasak, membaca, mengemas, menggunakan phone – Whatsapp, Facebook, IG, menggunakan komputer, menjemur pakaian dan sebagainya.
Semua ini tiada ‘eye contact’ yang boleh membina cinta ‘dari mata turun ke hati’ anak-anak.

Begitu juga dengan anak, apabila kita meminta anak melakukan sesuatu ketika anak sedang menonton televisyen, bermain ‘game’, membaca, khusyuk bermain, menggunakan telefon, menggunakan komputer dan sebagainya, anak juga tidak memberi tumpuan kepada kita kerana tiada ‘eye contact’. Anak tidak fokus dan tidak memberi perhatian.

Apabila tiada ‘eye contact’, itu menunjukkan kita tidak serius. Apabila kita tidak serius, anak juga tidak serius mendengar apatah lagi menurut apa yang dipinta. Apa yang anak lihat dalam mata kita adalah lebih ‘powerful’ berbanding kata-kata yang anak dengar daripada mulut kita.

Eye contact juga membina ‘trust’ antara ibubapa dan anak. Dengan ‘trust’ ini anak-anak yakin yang ibubapa memberi perhatian, peduli dan mengambil berat tentang anak.

Jadi jika anda seringkali perlu ulang-ulang arahan kepada anak dan anak tetap tidak mendengar kata, mungkin yang pertama sekali perlu diperiksa adalah ‘eye contact’ antara anda dengan anak kerana ‘eye contact’ membina ‘connection’ dan ‘trust’ yang amat penting dalam komunikasi yang efektif. Apabila tunggu kita marah baru menunjukkan kita serius, itu bukanlah tanda berlakunya komunikasi yang positif dan efektif.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Membina Ikatan Kukuh Dengan Anak-anak

Membina ikatan yang kukuh dengan anak-anak tidak memerlukan belanja yang besar. Jika dimulakan dari awal dan konsisten, fasa yang payah boleh menjadi lebih mudah.
Insya Allah.

Saya pasti tentu anda juga mempunyai kenangan-kenangan manis dengan momen yang ‘sweet’ dan ‘simple’ sebegini.

What matters most is not who or what you are but what you do with your children when they need you the most.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Berhubung (Connect)

pclogo

Sebagaimana sakit kepala yang disebabkan oleh ‘brain disorder’ seperti tumor dan intracranial hypertension tidak boleh diubati dengan hanya makan ubat penahan sakit, begitu jugalah dengan tingkahlaku kanak-kanak.

Tingkahlaku kanak-kanak adalah cerminan keperluan (needs) yang tidak dipedulikan ibubapa, kekeliruan, dan gangguan emosi (emotional state).
Mewujudkan kepatuhan dengan hanya menghukum tidak akan menyelesaikan masalah. Malah ia akan terus membarah.

Berhubunglah (connect) dengan anak tersebut dan ambil pedulilah keperluan emosi anak tersebut.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect