10 Sebab Alam Sekitar Penting Untuk Kanak-Kanak (Dan Orang Dewasa)

Berdasarkan kajian:

  1. Kanak-kanak yang kerap bermain dalam alam semulajadi mempamerkan keupayaan motor yang lebih maju termasuk koordinasi, keseimbangan dan ketangkasan. Mereka juga jarang jatuh sakit (Grahn, et al. 1997, Fjortoft & Sageie 2001).
  2. Apabila kanak-kanak bermain dalam alam semulajadi, permainan mereka lebih pelbagai dengan imaginasi dan kreativiti yang menggalakkan perkembangan bahasa dan skil kolaborasi. (Moore & Wong 1997, Taylor, et al. 1998, Fjortoft 2000).
  3. Pendedahan kepada alam sekitar memupuk perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memperbaiki tahap kepekaan, penaakulan dan pemerhatian (Pyle 2002).
  4. Alam sekitar mengurangkan kesan tekanan ke atas kanak-kanak dan membantu mereka menghadapi kesukaran. Semakin banyak pendedahan pada alam, semakin besar manfaatnya (Wells & Evans 2003).
  5. Bermain dalam persekitaran yang pelbagai mengurangkan risiko dan kecenderungan dibuli dan membuli (Malone & Tranter 2003).
  6. Alam semulajadi mewujudkan ketenangan dengan melahirkan rasa bersatu dengan alam dan persekitaran (Crain 2001).
  7. Pengalaman awal dengan alam semulajadi mempunyai perkaitan yang positif dengan perkembangan imaginasi dan perasan ingin tahu (wonder) (Cobb 1977, Louv 1991).  Rasa ingin tahu adalah motivasi untuk pembelajaran yang berterusan seumur hidup (Wilson 1997).
  8. Kanak-kanak yang bermain di luar mempunyai perasaan yang lebih positif terhadap satu sama lain (Moore 1996).
  9. Alam semulajadi memupuk interaksi sosial antara kanak-kanak (Moore 1986, Bixler et al. 2002).
  10. Persekitaran luar adalah penting untuk membina autonomi dan keupayaan untuk berdikari (Bartlett 1996).

Adakah anda memerhatikan kesan-kesan ini pada anak-anak anda?
Orang dewasa juga perlu keluar berinteraksi dengan alam sekitar untuk mengurangkan tekanan.

 Video:
5 September 2018
Anak kecil dalam cuaca panas terik 42 darjah Celsius kota Mekah tetap teruja dan aktif berinteraksi dengan alam sekitarnya.
Tanpa gajet.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Perkara Penting Yang Semakin Hilang

white water rafting

 

Tahukah anda 4 faktor penting yang membantu proses pembelajaran dan membentuk tingkah laku anak-anak adalah:

1) Pergerakan (movement)
2) Sentuhan (touch)
3) Perhubungan sesama manusia (human connection)
4) Pendedahan kepada alam sekitar (exposure to nature)

Sebanyak manakah anak-anak kita sekarang mendapat stimulasi daripada elemen-elemen yang disebut atas?

1) Adakah anak kita banyak bergerak ataupun mereka lebih banyak menghabiskan masa mereka duduk diam dengan satu aktiviti tertentu sahaja tanpa bergerak? Pergerakan bukan hanya membantu perkembangan fizikal kanak-kanak. Pergerakan bukan hanya membantu perkembangan skima, motor halus dan motor kasar sahaja, pergerakan juga membantu anak untuk melepaskan tenaga yang terpendam dalam diri anak. Tenaga yang tidak dilepaskan pada masa dan tempat yang sepatutnya akan menyebabkan anak menjadi lebih impulsif dari yang sepatutnya dan diluahkan dalam bentuk tindakan luar kawal.

2) Adakah anak-anak kita disentuh dan dibelai dengan secukupnya? Atau adakah kita beranggapan bahawa sentuhan atau pelukan hanya akan membuatkan anak kita melampau dan besar kepala?
Sentuhan adalah makanan asas kepada emosi anak-anak. Semua anak memerlukan jumlah sentuhan dan pelukan yang secukupnya walaupun mungkin bahasa kasih sayang mereka (rujuk 5 love languages) bukan sentuhan.

Sentuhan dan pelukan:
1) merendahkan tahap hormon stres iaitu cortisol
2) mengawal selia hormon adrenalin yang membantu tindak balas kepada situasi atau konflik
3) menguruskan ‘anxiety’ atau kegusaran.

Anak-anak yang tidak terbimbing dan tidak terurus emosinya akan meluahkannya dalam bentuk tingkah laku yang sukar dikawal. Jika keadaan ini berlaku, ia juga akan mengganggu proses pembelajaran.

3) Anak-anak kita bukannya robot. Sebagai makhluk sosial, anak-anak memerlukan perhubungan sesama manusia, dilayan seperti manusia dan belajar untuk berinteraksi dengan positif sesama manusia.
Sejauh manakah kita membuka peluang kepada anak-anak kita untuk berinteraksi sesama manusia?
Atau adakah anak kita lebih banyak berinteraksi dengan mesin?

Anak yang tidak tahu berinteraksi secara positif sesama manusia kerana perkembangan sosialnya tidak dipupuk dengan sebaiknya akan menghadapi masalah untuk membina perhubungan dengan orang lain. Kesukaran ini akan menyukarkan anak untuk memahami dan mempunyai empati terhadap orang lain. Ini adalah dua perkara penting yang menjadi asas kepada tingkah laku yang positif dalam diri anak-anak.

4) Alam sekitar dapat membantu anak-anak untuk menjadi lebih tenang dan damai. Ketenangan ini diperlukan untuk membina fokus dan tumpuan terutamanya dalam proses pembelajaran. Anak-anak juga memerlukan ketenangan ini untuk membantu mereka dalam proses kawalan diri. Pembangunan material yang melampau di persekitaran kita banyak mempengaruhi tingkah laku anak-anak kerana mereka tidak berpeluang berinteraksi dengan alam sekitar.
Adakah kita membawa anak-anak keluar dari hutan batu dan meneroka hutan hijau sekali sekala?
Adakah anak-anak kita dibiasakan dengan pasir, laut, sungai dan bukit bukau?
Adakah mereka biasa comot bermain lumpur?
Pengalaman ini membantu perkembangan modal insan.

Apabila kita berbicara tentang tingkah laku kanak-kanak sekarang yang berbeza daripada kanak-kanak dahulu, kita patut juga menilai sejauh manakah berbezanya hidup kanak-kanak sekarang berbanding kanak-kanak dahulu.

Pembelajaran dan tingkah laku anak-anak banyak bergantung kepada 4 faktor tersebut. Kembalikan pengalaman tersebut dalam kehidupan seharian anak-anak kita. Ia tidak memerlukan belanja yang besar.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect