Forum Tadika Ceria az-Zahrah

forumazzahra

Forum di Klang semalam.

Terima kasih kepada semua ibubapa dan pendidik yang sanggup meluangkan masa pada pagi Ahad untuk hadir.

azzahrah

 

Dalam mendidik anak-anak pada usia awal, apa yang paling penting adalah untuk kita memahami perkembangan kanak-kanak dan juga perkembangan individu anak. Kita tidak boleh menilai anak dengan membanding-bandingkan dengan kemampuan anak yang lain yang kita lihat di FB atau IG, ataupun saudara-mara yang lain.
Jika kita memberi tekanan yang melampaui tahap perkembangan anak tersebut, ia dikenali sebagai intellectual abuse. Walau bagaimanapun jika kita membiarkan terus tanpa stimulasi yang sepatutnya, ia adalah intellectual neglect.

Carilah keseimbangan.

Kita tidak boleh cepat melabel anak-anak sebagai Autistik atau ADHD hanya berdasarkan satu tingkah laku.

Jika anak asyik mengadap gajet dan tidak pandai bersosial jangan terus melabel sebagai Autistik.

Kita perlu membawa anak berjumpa pakar kanak-kanak untuk membuat penilaian yang profesional. Intervensi adalah perlu.

Terima kasih kepada Tadika Ceria Az Zahrah yang menganjurkan forum ini dan telah lebih 20 tahun menyumbang pada bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia ini.
Semoga Allah merahmati setiap titik peluh dan usaha tim TCAZ.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Perspektif Seorang Anak

Rutin yang meletihkan atau mungkin membosankan bagi kita adalah ‘magic’ bagi anak apabila

  1. adanya kita
  2. adanya pelukan, ciuman dan kasih sayang tanpa syarat.

Anak pada usia ini sedang membina kepercayaan kepada orang sekelilingnya.

  1. Adakah mereka boleh dipercayai?
  2. Adakah mereka hulurkan bantuan jika diperlukan?
  3. Adakah saya diterima sebagai sebahagian daripada mereka?

Mereka juga sedang membina kepercayaan kepada diri mereka sendiri.

  1. Adakah saya berupaya melakukan sesuatu dengan sendiri?
  2. Adakah saya dapat membantu orang yang saya sayang?
  3. Adakah saya bernilai?

Oleh itu ketahuilah dalam momen-momen yang mungkin normal bagi kita, anak kita melihatnya sebagai “The best day EVER“.

The most precious gift you can give to your child is the gift of your time and attention.

Tentu ramai yang boleh ‘relate’ dengan video ini. 🙂

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

SELAMAT HARI GURU

Bagi sesetengah murid, apa yang cikgu cakapkan pada hari pertama persekolahan dia ingat sampai bila-bila.
Bagi sesetengah murid pula, sampai hari akhir persekolahan, letih cikgu bercakap, telinganya tetap tebal jua.

Pengaruh seorang guru adalah untuk selama-lamanya. Tidak akan diketahui di mana permulaannya dan di mana penghujungnya.

“Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau do’a anak yang soleh” (HR. Muslim no. 1631)

SELAMAT HARI GURU

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Menuai Apa Yang Disemai – Anak Belajar

Anak kecil itu meronta-ronta tidak mahu disuapkan ubat. Dikuncinya bibir serapat-rapatnya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sedap ni sedap. Ini bukan ubat. Ini air. Tengok warna merah. Ini air merah. Sedap.” kata si ibu.

Taknak Ubat

Kredit Imej: Google

Anak yang meronta-ronta tadi kelihatan lebih tenang mendengar kata-kata ibu. Dia membuka mulutnya perlahan-lahan dan membiarkan ibu menekan picagari yang berisi ‘air merah’ ke dalam mulut anak kecil itu.

Apabila ‘air merah’ yang dikatakan ibu ‘sedap’ itu mencuit deria rasanya, anak kecil terus memuntahkan apa yang masuk ke dalam mulutnya sambil anak meraung teresak-esak.

Dia tertipu dengan tipu daya si ibu yang berniat baik hendak menyembuhkan anak. Tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya dan sentiasa inginkan yang terbaik untuk anaknya.

Anak belajar.

Petang itu ‘mood’ ayah sangat baik. Dia membawa isteri dan anak-anak makan angin kerana sudah lama rasanya mereka tidak berjalan-jalan sekeluarga. Ayah terlalu sibuk dengan ‘deadline’ sebelum ini. Alhamdulillah segala urusannya sudah selesai buat masa ini. Kereta ayah meluncur laju di atas jalan raya. Lampu isyarat sudah bertukar merah tetapi ayah terus memandu membelah lampu merah.

“Ayah, lampu merah tadi. Kenapa ayah ‘drive’ terus?” tanya anak pelik. Setahu anak lampu merah perlu berhenti. Itu yang diajar ayah kepada anak ketika memperkenalkan warna-warna dulu.

Jawab ayah “Tak pe, lampu sebelah sana belum hijau. Lagipun ayah tahu tak ada kamera atau polis kat situ. Diorang tak nampak.”

Anak belajar.

Anak menghulurkan sekeping kertas kepada ayah dan ibu yang sedang bersantai di hadapan TV.

“Ayah, ibu, cikgu kasi surat ini. Cikgu cakap hujung minggu depan ada perjumpaan dengan ibubapa.” Terang anak.

“Alaa…malaslah ayah nak pergi. Cakap pada cikgu ayah ‘outstation’. Senang sikit.” Cadang ayah.

“Ha’ah ibu pun letihla hujung minggu nak ke sekolah kamu. Cakap dengan cikgu ibu ada kerja ya. Tak boleh hadir jugak.” Alasan ibu.

Anak belajar.

Kita tidak pernah ajar anak berbohong tetapi secara tidak sedar anak mungkin belajar berbohong daripada kita sejak dia masih merangkak lagi.

Apabila anak berbohong dan terus berbohong dan kita buntu sama ada untuk memarahinya, memukulnya, merotannya, cili mulutnya atau hukumnya, cuba fikir kembali adakah kita pernah berbohong kepada anak tanpa kita sedari?
Itulah yang pertama harus kita lakukan.

Imam Abu Dawud telah meriwayatkan hadith dari Abdullah bin ‘Amir, dia berkata: “Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW duduk di tengah-tengah kami, (tiba-tiba) ibuku memanggilku dengan mengatakan: ‘Hai kemari, aku akan beri kamu sesuatu!’
Rasulullah SAW mengatakan kepada ibuku: ‘Apa yang akan kamu berikan kepadanya?’ Ibuku menjawab: ‘Kurma.’
Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Ketahuilah, seandainya kamu tidak memberinya sesuatu maka ditulis bagimu kedustaan.”
(HR. Abu Dawud bab At-Tasydid fil Kadzib no. 498, lihat Ash-Shahihah no. 748)

Kita perlu belajar.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ada Apa Dengan Kotak?

Video ini mengingatkan anda kepada anak anda?
Anak anda lebih berminat bermain dengan kotak berbanding isinya?

Anak-anak saya juga suka bermain dengan kotak ketika kecil dulu. Malah di rumah kami sentiasa ada ‘stok’ kotak pelbagai jenis dan saiz, sebagai permainan anak-anak.

APAKAH KESERONOKAN YANG DIBERIKAN OLEH KOTAK?

1) Kotak memberi ruang kreativiti dan imaginasi untuk anak-anak. Mereka boleh mencipta apa saja dengan kotak. Kotak dapat membawa mereka ke mana saja tempat yang mereka bayangkan apabila ‘dinaiki’ sebagai kenderaan.

2) Kotak yang boleh disentuh, dilihat, dilipat, dipijak, dipanjat, diguling, disepak, diconteng, dipakai, err…dikunyah, memberi pengalaman sensori kepada anak-anak.

3) Kotak yang menyediakan ruang untuk dimasuki oleh anak mengajar anak tentang ‘spatial awareness’.
Anak belajar tentang perbandingan saiz diri berbanding objek, belajar tentang kedudukan, belajar tentang jarak, dan juga tentang isipadu. Inilah yang mendorong anak untuk masuk keluar kotak, merangkak ke dalam kotak, pakai kotak, panjat kotak dan sebagainya.

4) Kotak membuatkan anak merasa selamat dan selesa seolah-olah dipeluk dan diapit, apabila anak berada di dalamnya.

5) Kotak yang digunakan untuk bersembunyi ketika bermain ‘hide and seek’ memberi otonomi kepada anak kerana memiliki ruang untuk dirinya sendiri.

6) Rekaan dari kotak yang diakui, dilayan, dipuji dan dipamirkan oleh ibubapa membangkitkan keyakinan diri dan percaya diri dalam diri anak-anak.

Kebaikan bagi ibubapa pula, semua perkembangan ini dapat dipupuk dengan kos yang minima.
Tidak perlu berbelanja besar untuk sebuah kotak.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Teladan Daripada Gergasi Teknologi

Dua tahun selepas iPad dilancarkan, pengasas Apple mendiang Steve Jobs memberitahu wartawan bahawa anak-anak beliau belum lagi menggunakan iPad.

Beliau melahirkan kerisauan beliau tentang ketagihan gajet.

gergasitek

Pengasas Microsoft, Bill Gates, menetapkan bahawa anak beliau hanya boleh memiliki telefon pintar apabila berusia 14 tahun walaupun anak beliau merungut kerana semua rakan memilikinya.


 

Anak-anak mula merasakan ‘peer pressure’ dan mula membanding-bandingkan peraturan di rumah sendiri dan peraturan di rumah kawan ketika berusia dalam lingkungan 9 tahun.

Inilah usia mereka nampak apa yang rakan ada dan apa yang mereka tiada.
Inilah usia mereka mahu apa yang rakan ada.
Inilah usia mereka mula merasakan peraturan di rumah tidak adil.
Inilah usia mereka takut ketinggalan berbanding rakan.

Sebelum mereka mula meminta-minta, merayu-rayu, memujuk-mujuk.
Sebelum mereka mula membanding-bandingkan.
Sebelum mereka berkata “It’s not fair”, “Kenapa kawan boleh?”, eloklah kita tetapkan bila waktunya mereka boleh memiliki telefon pintar.

Beritahu anak dari awal supaya mereka tahu. Biarlah mereka menunggu. Ini namanya ‘delayed gratification’ yang banyak faedahnya untuk perkembangan peribadi seorang manusia.

Apabila sudah diberi tanpa pertimbangan yang wajar oleh ibubapa, amat sukar untuk ditarik balik jika anak-anak menyalahgunakannya.

Berapakah usia yang patut/ingin anda tetapkan untuk anak-anak memiliki telefon pintar?

Kenapa?

Noor Afidah Abu Bakar
Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Guru Pertama

Sebelum anak mula bersekolah, guru pertama anak adalah kita.
Guru bersilih ganti di sekolah, guru tetap anak adalah kita.
Setelah anak tamat belajar, guru kehidupan anak adalah kita.
Sehingga ke nafas akhir kita ataupun anak, guru yang terakhir anak adalah kita.

Tiada insan lain yang memikul tanggungjawab mendidik anak sepenuhnya melainkan kita.
Itu adalah satu anugerah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

DULU DAN SEKARANG

Dulu
Pisang diambil di pokok belakang rumah saja. Ia kemudian digoreng untuk makan petang. Makan kosong begitu saja atau mungkin dicicah gula atau sambal kicap.

Sekarang
Pokok pisang pun tidak ada dalam kawasan rumah.
Pisang goreng kita beli.
Bukan pisang goreng kosong, ada cheese, susu pekat dan coklat lagi. Bahan mewah semuanya (dan tidak menyihatkan).

Dulu
Petang lepas sekolah, lepas mengaji, terus hilang merayap pusing kampung, tangkap berudu, panjat pokok, terjun sungai.
Sebelum Maghrib pulanglah semua umpama camar pulang ke sarang.

Sekarang
Hendak benarkan anak keluar pun takut.
Cerita jenayah sana sini.
Pemandu laju macam pelesit.
Seharian di sekolah, bebanan ke atas otak sudah cukup meletihkan.
Sudahnya anak di rumah saja menatap skrin.

Dulu
Rancangan TV bermula pukul 5 petang. Tamat pukul 12 malam.
Tapi selalunya lepas tamat Drama Minggu Ini atau Opah atau PJ Holding pukul 9 malam, kita terus siap untuk tidur.
Rancangan kartun hanyalah Scooby Doo, Woody Woodpecker, Road Runner, Tom and Jerry dan Tweety.
Rancangan bola sepak hanyalah Road To Wembley.
Rancangan hiburan hanyalah Mekar Sejambak atau Hiburan Minggu Ini.

Sekarang
Jam berapa sekarang pun anak sudah ‘lost’ sebab TV beroperasi 24jam.
Jika tidak boleh tidur anak dibiar tengok TV. Bila anak tengok TV anak terus aktif tidak boleh tidur.
Rancangan dan siaran pula ‘lost’ jadinya sebab terlampau banyak.

Dulu
Apa yang ‘trending’ dalam dunia kanak-kanak dan remaja Amerika lambat sampai ke pengetahuan kita.
Ambil berbulan jugalah TV hendak siarkan. Semuanya rancangan tertunda, tiada ‘live’ .
Mereka pun tidak kenal kita.
Mereka kata kita tinggal atas pokok.

Sekarang
Apa yang anak-anak Amerika buat semuanya anak kita tahu serta merta dengan penuh terperinci, tiada yang tertinggal.
Apa stail yang ‘in’?
Apa game yang terbaru?
Apa yang cool?
Semuanya boleh tahu dengan sentuhan saja.

Dulu
Tiada komputer, tiada gajet.

Sekarang
Saya, anda dan ramai anak tidak boleh hidup tanpanya.

Jadi
Kepada orang dewasa dan tua yang berkata,

“Dulu saya buat itu ini, dilayan begitu begini, dihukum begitu begini… saya ok saja jadi orang jugak”,

Cuba fikir kembali adakah persekitaran anda dan anak-anak sekarang sama 100%?

Jika banyak yang sudah berubah,
maka mentaliti dan kaedah mendidik juga perlu berubah mengikut kesesuaian zaman.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect