Buku-buku Dalam Library Parent Connect

Seperti yang saya tulis di penghujung ‘posting’ terdahulu, ini adalah antara buku-buku dalam library saya yang membincangkan tentang zaman kanak-kanak yang digesa-gesakan (hurried) dan juga tentang tekanan-tekanan dalam dunia kanak-kanak. Mungkin ada lagi yang saya terlupa.

pclibrary

Jika anda mempunyai saranan buku yang berkaitan, anda dialu-alukan untuk berkongsi di ruangan komen.
Terima kasih.

Apa yang ditulis tidak semestinya melambangkan pemikiran dan pendirian kita sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya kita tahu.
Jom membaca untuk menjadi ibubapa yang berilmu.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Dewasa Sebelum Waktunya

Sindrom ‘Hurried-child’ yang dikenalpasti oleh Dr. David Elkind yang pernah saya kongsikan tahun lalu bukan hanya melibatkan tekanan akademik yang terlalu awal di luar kemampuan perkembangan semulajadi anak-anak kecil, sindrom ini juga merebak ke dalam pelbagai aspek kehidupan seorang kanak-kanak masa kini.

hurriedchild

Kredit imej: Brunette Diaries dan koleksi sendiri

Jika kita mengikuti perkembangan semasa tentang kanak-kanak di seluruh dunia, salah satu isu besar yang mendapat kecaman pelbagai pihak adalah ‘trend’ memaksa kanak-kanak untuk berbusana seperti orang dewasa. Trend ini lebih ketara bagi kanak-kanak perempuan yang sering dieksploitasikan untuk berpakaian seksi dan kasut bertumit tinggi yang tidak sesuai usia. Dengan adanya rangkaian pakaian kanak-kanak yang didewasakan, kanak-kanak dipaksa untuk menggayakan fesyen pakaian dan dandanan seperti orang dewasa.

Walau apa saja yang dipakai oleh kanak-kanak, mereka tetap comel dan penyejuk mata. Walau bagaimanapun trend yang sebegini menyebabkan berlakunya dua kemungkinan:

1) Dengan berfesyen yang sedemikian, secara tidak langsung mereka juga diharapkan agar berkelakuan seperti orang dewasa. Harus diingat kanak-kanak bukan ‘mini adults’. Perkembangan fizikal, sosial, emosi, intelektual dan spiritual mereka belum capai ke tahap orang dewasa. Mereka seumpama ‘work in progress’ yang masih perlu dipupuk dan dibaja.

2) Dengan berfesyen yang sedemikian, didapati ada kanak-kanak yang memaksa diri mereka sendiri untuk berkelakuan seperti orang dewasa. Mereka bertutur menggunakan perkataan orang dewasa yang ada kalanya tidak manis disebut, mereka menonton rancangan tv dan mendengar lagu-lagu yang tidak sesuai untuk kanak-kanak. Mereka cenderung untuk meniru orang dewasa kerana ia bersesuaian dengan imej yang dipaksakan ke atas mereka.

Jika ini berlaku, rugilah kanak-kanak yang ‘hurried’ atau digesa-gesakan ini kerana mereka terlepas zaman riang kanak-kanak yang tidak mungkin akan berulang kembali. Apabila mereka dewasa nanti, zaman inilah yang akan dikenang dengan ungkapan “Seronoknya menjadi kanak-kanak”. Jika mereka dipaksa melalui zaman kanak-kanak mereka dengan menjadi orang dewasa, kenangan ‘good old days’ itu tidak ada.

Trend ini bukan hanya melibatkan kanak-kanak yang dipaksa berpakaian seksi, berdandan dan mengenakan mekap yang tidak sesuai usia, ada juga yang ‘dipaksa’ berfesyen menutup ‘aurat’ sebelum tiba usia kerana comel. Baby tidak perlu bertudung. Trend anak perempuan dipaksa berpakaian sedondon ibu dengan fesyen fishtail, peplum, jubah beropol dan sebagainya kerana ia menghasilkan imej yang layak-Insta (Insta worthy) juga adalah sebahagian dari sindrom ‘Hurried Child’ ini.

Kanak-kanak menjadi tua sebelum waktunya kerana memenuhi impian ibubapa yang terpedaya dengan tipu daya peniaga dan pengiklan yang suka mengambil kesempatan ke atas kealpaan kita yang tidak memahami perkembangan kanak-kanak.

Berpada-pada dan berhati-hatilah.

Pesanan: Harap pembaca membaca setiap ayat yang saya tulis supaya tiada salah faham sebelum komen. Terima kasih

Oh ya, ramai ‘followers’ yang menghantar mesej kepada saya bertanya tentang buku-buku yang saya baca. Bagi yang berminat dengan topik ini , boleh baca buku ‘The Hurried Child: Growing Up Too Fast Too Soon’ oleh David Elkind.
Nanti saya sarankan buku-buku lain lagi insya Allah.
(Tambahan: Sila ke posting selepas ini untuk saranan buku)

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Lagi-lagi Gajet dan Media Sosial.

Secara purata 4 orang kanak-kanak hilang sehari.
Kebanyakan yang hilang adalah remaja perempuan berusia antara 13-15 tahun.

missing

Kredit Gambar: Tribunnews

Kenapa?
Kerana media sosial.
Kerana beri anak gajet tapi biar tidak pantau.
Kerana ibubapa tidak kenal kawan online anak.
Kerana ikut boyfriend, ikut kawan.
Kerana ingin bebas.

Anda beri anak gajet?
Anda ada peraturan penggunaan gajet?
Anda ajar anak ‘online safety’?
Anda ada ‘filter’ untuk tapis unsur pornografi ‘laptop’ anak?
Anda pasang aplikasi ‘parental control’ di telefon anak?
Anda ada ‘password’ telefon, laptop dan media sosial anak?
Anda selalu memeriksa ‘history’ penggunaan gajet anak?

Semua perkara di atas adalah perkara asas untuk keselamatan anak-anak di atas talian.
Inilah antara skil keibubapaan era gajet.
Didiklah Anak Mengikut Zamannya

Sumber Berita: https://www.thestar.com.my/news/nation/2017/09/26/high-price-to-pay-in-

name-of-freedom-teenage-runaways-are-taking-big-risk-when-they-leave-their-home

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Rotan Berkesankah?

Jika anda dirotan atau dipukul oleh ayah atau ibu anda selama 24 jam sehari setiap hari dan anda menjadi orang yang berjaya sekarang, maka layaklah anda berkata “Kerana dipukullah saya menjadi orang”.

rotan

Kredit Gambar: The Star

Tapi kalau setakat dirotan atau dipukul seminggu sekali atau sebulan sekali, mungkin di kaki, tetapi pada beratus-ribu jam yang lain ayah dan ibu anda

Pastikan anda cukup makan minum
Suapkan anda makan
Basuh najis anda
Rawat anda waktu sakit
Sedia tempat tinggal selesa untuk anda
Pastikan tilam bantal anda empuk
Beri pelajaran kepada anda
Pastikan anda belajar agama dan Quran
Hantar anda ke sekolah
Bantu dengan kerja sekolah
Beri nasihat dan galakan
Layan minat anda
Penuhi kemahuan anda
Pastikan kelengkapan hidup cukup
Bergelak ketawa dengan anda
Bawa anda ronda pusing kampung atau taman
Pastikan seekor nyamuk pun tidak gigit anda
Pastikan tidak dibuli atau budak nakal tidak mengorat anda

Maka JANGANlah berkata “Kerana dipukullah saya menjadi orang”.

Kata lah “Kerana penjagaan, perlindungan, belaian, dan kasih sayang kedua ayah dan ibu sayalah saya berjaya”.

Bukan kerana rotan.

Banyak faktor lain yang penting untuk mendidik dan mendisiplin.
Berlaku adillah kepada kedua ibu bapa anda dengan memberi gambaran sebenar.

Tidak perlu ikut trend.
Tidak perlu mendabik dada.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak-anak Memberikan Cabaran Yang Berbeza Pada Setiap Peringkat Usia

cabaranberbeza

Kredit Gambar: BeardoComic

Anak-anak memberikan cabaran yang berbeza pada setiap peringkat usia mereka.

Ketika bayi, kita diuji dengan kepenatan fizikal menguruskan anak yang bergantung sepenuhnya kepada kita. Tidur sering terganggu dan tidak cukup. Kitaran menyusukan anak, membersihkan anak dan menenteramkan anak sangat meletihkan. Memastikan bayi dijaga oleh pengasuh yang baik juga adalah cabaran yang besar ketika usia ini.

Semasa usia ‘toddler’, kita perlu berhadapan pula dengan anak yang sering meragam kerana inginkan otonomi. Anak mula mempunyai pendirian untuk melakukan sesuatu mengikut caranya sendiri walaupun kurang pengalaman. Membantah atau tidak menurut apa yang anak inginkan sering menimbulkan konflik dalam bentuk ‘tantrum’.

Ketika usia persekolahan kita perlu pula berhadapan dengan cabaran akademik yang terpaksa dilalui oleh anak. Adakalanya risau kita melebihi kerisauan anak. Pada usia ini juga anak melalui cabaran sosial kerana mula berkawan. Anak mungkin mula meniru tingkah laku yang tidak elok dan membawa pulang ke rumah. Kita pula perlu menyokong dan membimbing anak dan pada masa yang sama menetapkan batasan dan peraturan supaya anak berpegang kepada nilai keluarga kita. Peraturan ini adakalanya tidak menggembirakan anak tetapi bukanlah tugas kita untuk memastikan anak gembira sentiasa tanpa peraturan.

Dengan anak remaja, cabaran akademik dan sosial semakin memuncak. Pada peringkat usia inilah kita perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah anak yang banyak bermain dengan emosi. Pada usia ini jugalah rakan-rakan adalah segalanya bagi mereka. Mereka ingin bebas dari label kanak-kanak dan mahu berdikari. Pada masa yang sama mereka juga masih perlukan bimbingan. Mengimbangi antara memberikan mereka kebebasan dan menggalakkan mereka bertanggungjawab ke atas diri sendiri seumpama menarik rambut dalam tepung.

Proses keibubapaan ada pasang dan ada surutnya. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Fasa baru usia anak adalah pelajaran baru juga bagi kita. Rasa risau itu normal, rasa sedih itu normal, rasa kecewa itu normal, rasa bersalah itu normal, rasa marah itu normal.

Hargailah seribu satu kegembiraan dan kebahagiaan yang kita lalui sebagai ibubapa.
Carilah dan hargailah kebaikan anak-anak yang sudah pastinya ada, kerana itulah yang akan memberikan semangat buat kita di waktu kita rasa ‘gagal’ sebagai ibubapa.

Do’a.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Seminar Kenali Perkembangan Kritikal Anak Anda

Satu inisiatif yang sangat baik oleh Unit Audiologi dan Unit Pertuturan Hospital Ampang.

 

seminardigitalampang

Seminar yang menghimpunkan Audiologis, Pegawai Pertuturan, Jurupulih Carakerja dan Pakar Psikiatri dari Hospital Ampang dan saya sendiri dari bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Keibubapaan, dianjurkan untuk mendidik ibubapa dan individu yang terlibat dengan kanak-kanak untuk memahami perkembangan kanak-kanak (Child Development).

Setiap tingkahlaku anak ada sebabnya dan mereka bukan sengaja hendak menjadi ‘nakal’ atau ‘degil’ seperti yang selalu kita labelkan.

Anak yang mempunyai isu dari segi perkembangan fizikal – motor kasar, motor halus, sensori, koordinasi, dan perkembangan bahasa dan pertuturan – termasuk pendengaran, akan menghadapi kesukaran dari segi pembelajaran, emosi, sosial dan juga tingkahlaku jika mereka tidak dibantu dari awal.

Dari usia awal, semua perkembangan harus diberi penekanan yang seimbang kerana setiap satu adalah berkait antara satu dengan lain.

Perlu diketahui bahawa penggunaan gajet yang tidak terkawal dan sering dijadikan ‘babysitter’ adalah antara punca utama ramai kanak-kanak sekarang mempunyai isu dari aspek-aspek yang disebutkan.

Pantau dan peka dengan perkembangan anak-anak anda dan dapatkan bantuan kiranya perlu. Setiap anak mempunyai keunikan dan keupayaan yang tersendiri yang harus dipupuk dan dirai.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Diri Saya Hak Saya

Bagi yang mengikuti Parent Connect ini sejak dua tahun yang lalu, bagi yang pernah menghadiri sesi-sesi saya dan bagi yang mengenali saya secara peribadi, tentu anda tahu bahawa salah satu aspek yang sering saya tekankan dalam ‘parenting’ sejak dulu adalah tentang Keselamatan Diri (Personal Safety) ataupun Pendidikan Seksual Anak-anak.

 

dirisayahaksaya

Ramai orang dewasa yang sudah berkahwin dan belum berkahwin tampil bercerita kepada saya tentang kisah-kisah hitam masa lalu mereka didera secara seksual ketika kecil dulu yang sering menghantui mereka sehingga kini. Mereka didera oleh orang yang dekat dengan mereka.

Apabila saya bertanya apakah nasihat yang ingin mereka berikan kepada ibubapa sekarang, jawapan mereka sama saja,

“Ajari anak tentang Keselamatan Diri (Pendidikan Seksual) supaya anak tahu apa yang harus dilakukan.”

Saya menyokong segala usaha oleh sesiapa saja untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran tentang isu ini.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Di bawah adalah coretan NGO Mothers against Pornography.

________________________________________________

Harapkan pegar, pegar makan padi.

Mutakhir ini, begitu banyak sekali kes-kes pencabulan yang berlaku ke atas anak-anak, tidak kira kecil atau remaja. Yang tambah memeritkan apabila yang melalukan perbuatan durjana ini adalah dari kalangan mereka yang sepatutnya melindungi anak-anak tersebut.

Adakah kita hanya sekadar baca dan biarkan kisah-kisah tragis itu berlalu pergi kerana kita merasakan yang ianya tidak terjadi kepada anak-anak kita?

Jangan sampai kita menangis tidak berlagu kerana menyesal tidak mengambil berat dan mengambil tahu.
Ayuh, kita sama-sama ambil peduli. Kita perkasakan anak-anak kita. Mari bersama-sama kami, kita berpegang tangan berganding bahu dalam menyebarluaskan kesedaran tentang keselamatan diri dan maruah anak-anak kita.

“DIRI SAYA HAK SAYA” adalah manifestasi kekuatan kita dan anak-anak.
Layari www.lovemyself.ikram.org.my/ untuk mengikuti kursus atas talian (online course) PERCUMA berkaitan cara-cara menjaga keselamatan diri dan maruah anak anda.

Jom sertai pertandingan video berkisar tentang topik ini – terbuka untuk anak-anak berumur 5-12 tahun
Kami juga ingin mengajak anda untuk sama-sama sertai larian LoveMyself Run 2017 apda 22 Oktober 2017 bertempat di Padang Merbuk, KL sebagai tanda solidariti kita bersama-sama bencikan dan menolak virus pornografi dari terus merebak dan bernanah dalam masyarakat kita.

#BahagiaTanpaPornografi
#LoveMyselfCampaign
#lovemyselfrun2017
#22October2017PadangMerbokKL

Pendidikan Kewangan Untuk Anak-anak

saving

Kredit Imej: Google

Apakah perancangan anak-anak dengan duit Raya mereka?
Apakah nasihat anda kepada anak-anak?

Apakah benda yang sudah lama anak idamkan dan menunggu saat menerima duit Raya untuk memilikinya?

Inilah masa terbaik untuk mendidik tentang nilai wang, perancangan kewangan, menabung, makna memberi kepada yang memerlukan dan juga kepuasan mendapatkan apa yang diidamkan setelah sekian lama menunggu (delayed gratification).

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

SELAMAT HARI GURU

Bagi sesetengah murid, apa yang cikgu cakapkan pada hari pertama persekolahan dia ingat sampai bila-bila.
Bagi sesetengah murid pula, sampai hari akhir persekolahan, letih cikgu bercakap, telinganya tetap tebal jua.

Pengaruh seorang guru adalah untuk selama-lamanya. Tidak akan diketahui di mana permulaannya dan di mana penghujungnya.

“Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau do’a anak yang soleh” (HR. Muslim no. 1631)

SELAMAT HARI GURU

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect