
Kebanyakan cabaran yang ibubapa hadapi dengan anak, tidak kira usia, bukanlah disebabkan oleh anak yang tidak berdisiplin, tetapi disebabkan oleh hubungan yang renggang di antara ibubapa dengan anak.
Kerenggangan inilah yang membawa kepada cabaran tingkah laku.
Jikalau anak yang memberi cabaran kepada kita perlu dimarahi selalu, perlu dihukum selalu, perlu dileteri selalu, perlu diugut selalu, perlu dirasuah selalu supaya berkelakuan baik ataupun semua kaedah itu tidak berjaya mengubah anak, itu bermakna hubungan kita dengan anak perlu diperbaiki terlebih dahulu.
CARA MUDAH MERAPATKAN YANG RENGGANG.
FOKUS – Apabila berpeluang untuk meluangkan masa dengan anak berhenti menggunakan sebarang peranti digital atau skrin. Beri 100% tumpuan kepada anak. Perhatian adalah satu keperluan kepada anak, bukannya satu ganjaran. Perhatian yang diberikan akan mengubah anak perlahan-lahan kerana anak merasakan diri bernilai kepada ibubapa.
MAKAN – Jadikan waktu malam sebagai waktu untuk keluarga. Amalkan makan malam bersama-sama. Pastikan makan malam tidak diganggu oleh televisyen ataupun telefon. Beri 100% tumpuan untuk mendengar perkongsian tentang aktiviti setiap ahli keluarga pada hari tersebut.
MASA ISTIMEWA – Rancangkan masa istimewa atau ‘special time’ bersama setiap anak secara bergilir-gilir. Lakukan aktiviti yang disukai oleh anak ataupun mungkin bersantai dan berbual kosong bersama-sama. Masa istimewa sebegini membuatkan setiap anak merasakan diri istimewa dan tidak dipinggirkan.
PELUKAN – Anak-anak juga perlu merasai pelukan dan sentuhan daripada ibubapa.
Pelukan merembeskan hormon oksitosin atau hormon kasih sayang yang merapatkan hubungan ibubapa dan anak.
Anak-anak memerlukan * :
4 pelukan sehari untuk kelangsungan hidup (survival).
8 pelukan sehari untuk pemeliharaan (maintenance).
12 pelukan sehari untuk pertumbuhan (growth).
Amalkan CONNECTION BEFORE CORRECTION.
Rapatkan hubungan terlebih dahulu supaya mudah untuk kita mendidik dan membimbing anak.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/