Dewasa Sebelum Waktunya

Sindrom ‘Hurried-child’ yang dikenalpasti oleh Dr. David Elkind yang pernah saya kongsikan tahun lalu bukan hanya melibatkan tekanan akademik yang terlalu awal di luar kemampuan perkembangan semulajadi anak-anak kecil, sindrom ini juga merebak ke dalam pelbagai aspek kehidupan seorang kanak-kanak masa kini.

hurriedchild

Kredit imej: Brunette Diaries dan koleksi sendiri

Jika kita mengikuti perkembangan semasa tentang kanak-kanak di seluruh dunia, salah satu isu besar yang mendapat kecaman pelbagai pihak adalah ‘trend’ memaksa kanak-kanak untuk berbusana seperti orang dewasa. Trend ini lebih ketara bagi kanak-kanak perempuan yang sering dieksploitasikan untuk berpakaian seksi dan kasut bertumit tinggi yang tidak sesuai usia. Dengan adanya rangkaian pakaian kanak-kanak yang didewasakan, kanak-kanak dipaksa untuk menggayakan fesyen pakaian dan dandanan seperti orang dewasa.

Walau apa saja yang dipakai oleh kanak-kanak, mereka tetap comel dan penyejuk mata. Walau bagaimanapun trend yang sebegini menyebabkan berlakunya dua kemungkinan:

1) Dengan berfesyen yang sedemikian, secara tidak langsung mereka juga diharapkan agar berkelakuan seperti orang dewasa. Harus diingat kanak-kanak bukan ‘mini adults’. Perkembangan fizikal, sosial, emosi, intelektual dan spiritual mereka belum capai ke tahap orang dewasa. Mereka seumpama ‘work in progress’ yang masih perlu dipupuk dan dibaja.

2) Dengan berfesyen yang sedemikian, didapati ada kanak-kanak yang memaksa diri mereka sendiri untuk berkelakuan seperti orang dewasa. Mereka bertutur menggunakan perkataan orang dewasa yang ada kalanya tidak manis disebut, mereka menonton rancangan tv dan mendengar lagu-lagu yang tidak sesuai untuk kanak-kanak. Mereka cenderung untuk meniru orang dewasa kerana ia bersesuaian dengan imej yang dipaksakan ke atas mereka.

Jika ini berlaku, rugilah kanak-kanak yang ‘hurried’ atau digesa-gesakan ini kerana mereka terlepas zaman riang kanak-kanak yang tidak mungkin akan berulang kembali. Apabila mereka dewasa nanti, zaman inilah yang akan dikenang dengan ungkapan “Seronoknya menjadi kanak-kanak”. Jika mereka dipaksa melalui zaman kanak-kanak mereka dengan menjadi orang dewasa, kenangan ‘good old days’ itu tidak ada.

Trend ini bukan hanya melibatkan kanak-kanak yang dipaksa berpakaian seksi, berdandan dan mengenakan mekap yang tidak sesuai usia, ada juga yang ‘dipaksa’ berfesyen menutup ‘aurat’ sebelum tiba usia kerana comel. Baby tidak perlu bertudung. Trend anak perempuan dipaksa berpakaian sedondon ibu dengan fesyen fishtail, peplum, jubah beropol dan sebagainya kerana ia menghasilkan imej yang layak-Insta (Insta worthy) juga adalah sebahagian dari sindrom ‘Hurried Child’ ini.

Kanak-kanak menjadi tua sebelum waktunya kerana memenuhi impian ibubapa yang terpedaya dengan tipu daya peniaga dan pengiklan yang suka mengambil kesempatan ke atas kealpaan kita yang tidak memahami perkembangan kanak-kanak.

Berpada-pada dan berhati-hatilah.

Pesanan: Harap pembaca membaca setiap ayat yang saya tulis supaya tiada salah faham sebelum komen. Terima kasih

Oh ya, ramai ‘followers’ yang menghantar mesej kepada saya bertanya tentang buku-buku yang saya baca. Bagi yang berminat dengan topik ini , boleh baca buku ‘The Hurried Child: Growing Up Too Fast Too Soon’ oleh David Elkind.
Nanti saya sarankan buku-buku lain lagi insya Allah.
(Tambahan: Sila ke posting selepas ini untuk saranan buku)

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Read Aloud dan Bimbingan Emosi

Semalam saya menulis tentang Read Aloud ataupun bacakan buku untuk anak-anak.

Read Aloud bukan sahaja memupuk minat anak untuk membaca dan berdiskusi, ‘read aloud’ juga adalah kaedah yang sangat berkesan untuk membentuk empati dalam diri anak-anak. Kaedah penceritaan dapat membantu anak untuk memahami perasaan dan permasalahan yang dialami oleh orang lain.

Peringkat pertama untuk menjadi seorang individu yang mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi adalah self awareness, iaitu faham emosi yang dialami oleh diri sendiri. Marah, sedih, gembira, kecewa, takut, terkejut dan sebagainya.

Apabila anak faham emosinya, anak juga akan terbuka untuk memahami emosi orang lain.

Emosi adalah untuk dikenalpasti dan bukannya ditidakkan.
Individu yang emosinya sering ditidakkan akan menjadi manusia yang tidak peduli dengan permasalahan orang lain, tidak ada perasaan apabila melihat dan melakukan kekejaman.

Itulah yang banyak kita lihat sekarang.

“Takkan itu pun nak sedih?”
“Alaa, releks la jangan frust sangat”
“Orang Rohingya tu lagi susah tau. Susah kau sikit saja”
“Lelaki mana boleh menangis. Lembik la kau”

Ini semua kaedah yang salah kerana menidakkan emosi.

Jika anda selalu ikuti penulisan saya di Parent Connect ini, saya sering menggalakkan agar pendidikan emosi itu diajar dari peringkat pra sekolah lagi.
Lakukannya melalui Read Aloud kerana ia akan lebih menarik perhatian anak-anak.

Insya Allah

Teacher Reading a Story to Her Students

 

50 Must-have Picture Books To Teach Social Emotional Skills

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Read Aloud

readaloud

THE classic book on Read Aloud by Jim Trelease.

(Ketika dibeli pada tahun 2003 dari second hand shop di Melbourne, buku ini sudah pun berusia 20 tahun (published in 1982). Saya sangat teruja menjumpainya kerana banyak perbincangan tentang read aloud ketika itu di Yahoogroup parenting. Setelah 12 tahun, helaian mukasurat sudah pun berwarna kuning. Walau bagaimanapun isi kandungannya tentang kepentingan membaca kepada anak-anak merentasi masa.)

 

 

 

READ ALOUD.

Anda pernah dengar?

Terlalu banyak kajian sejak 30 tahun yang lalu membuktikan bahawa satu-satunya aktiviti yang membantu anak untuk menjadi seorang individu yang suka membaca dan bukan hanya cepat dan pandai membaca adalah READING ALOUD ataupun bacakan buku kepada anak.

Ada sesetengah individu mempunyai persepsi bahawa anak-anak yang cepat membaca adalah anak yang dipaksa belajar membaca.

Oh itu tidak benar sama sekali. Jangan terlalu cepat berprasangka jika anda tidak kenal Read Aloud.

Tidak semua anak cepat membaca kerana dipaksa ‘belajar’ membaca oleh ibubapa.

Ramai anak kecil yang cepat membaca dan suka membaca kerana dari bayi lagi ayah dan ibu sering bacakan buku cerita untuk anak.

Sebagaimana kita dedahkan anak kepada muzik dan anak sukakan muzik, kita dedahkan anak kepada bola sepak dan anak sukakan bolasepak, kita dedahkan anak kepada aktiviti kemasyarakatan dan anak suka membantu, kita dedahkan anak kepada gajet dan anak suka gajet, read aloud juga begitu.

Amalan read-aloud ini mewujudkan minat untuk membaca tanpa dipaksa.
Apabila minat anak dipupuk, anak akan mempunyai motivasi intrinsik untuk cuba membaca dengan sendirinya tanpa dipaksa.

Amalan ini juga mengeratkan hubungan dan menggalakkan diskusi antara ibubapa dan anak, membantu skil mendengar dan bertutur dan juga membantu memperkayakan kosa kata anak.

Apabila ayah dan ibu ada matlamat, anak-anak juga menjadi orang yang bermatlamat. Insya Allah.

Pada era di mana gajet menjadi satu ketagihan bagi anak kecil, read aloud menyediakan aktiviti alternatif kepada anak. Adalah mustahil untuk kita menjauhkan anak dari gajet jika itu sajalah aktiviti yang disorongkan kepada anak pada waktu lapang. Bukan salah anak.

Bagi saya, jika ayah dan ibu tidak suka membaca, memaksa anak untuk membaca adalah satu bentuk penderaan.

Buku ini masih diterbitkan sehingga sekarang dan saya lihat ada dijual di Kinokuniya.

Saya juga diberitahu buku ini akan (atau sudah?) diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Jika anda menjumpainya, belilah. Saya tidak menjual.

Atau boleh cari di Google tentang teknik Read Aloud untuk panduan ringkas.

Jika anda ada pengalaman read aloud bersama anak, boleh berkongsi di sini. Terima kasih.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Bacalah!

 

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

‘Digital Diet’ Yang Sihat

digdiet

Akhir-akhir ini kita banyak membaca pendapat tentang bagaimana penggunaan gajet membantutkan perkembangan fizikal, intelektual, pertuturan, sosial dan emosi anak-anak pada usia awal. Semua pendapat ini perlu diambil serius dan ibubapa perlu dapatkan bantuan sekiranya anda risau tentang perkembangan anak-anak anda.

Anak-anak kita, terutamanya generasi Alpha dikenali sebagai ‘digital natives’. Satu istilah yang diperkenalkan oleh Marc Prensky pada tahun 2001 untuk menggambarkan generasi yang lahir dan dikelilingi oleh teknologi dan peranti digital. Teknologi akan terus kekal dan berkembang. Ibubapa perlu bijak memainkan peranan untuk mewujudkan keseimbangan tentang penggunaan teknologi digital keluarga dan anak-anak atau apa yang dikenali sebagai ‘digital diet’.

Anak-anak perlu dibekalkan dengan skil penting yang diperlukan dalam dunia digital supaya mereka dapat mengimbangi masa (time management), perhubungan (relationship) dan reputasi (reputation) apabila berada dalam dunia mereka ini. Tanpa skil ini anak sama ada akan ketinggalan dalam dunia digital ataupun akan menjadi masyarakat digital yang tidak bertanggungjawab dan mendatangkan masalah.

Disebabkan ada yang menghantar mesej bertanya saya tentang isu ini, saya ingin mencadangkan agar ibubapa dan juga guru membaca buku ‘Screen-smart Parenting’ oleh Jodi Gold MD ini sebagai panduan untuk mencapai keseimbangan atau ‘digital diet’ dalam keluarga dan di kalangan anak-anak.

Penulis yang juga seorang Profesor dalam bidang Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja menggunakan pendekatan mudah dan ‘non-judgemental’ terhadap penggunaan teknologi digital.

Beliau tetap menegaskan bahawa bagi anak kecil, tidak ada teknologi yang dapat menggantikan interaksi dengan ibubapa (HUMAN INTERACTION) dan juga bermain (PLAY).

Buku dibahagikan kepada panduan untuk 0-2 tahun, 3-5 tahun, 6-8 tahun, 8-10 tahun, 11-14 tahun, 15-18 tahun dan juga anak-anak ADHD.

Selamat menimba ilmu.

Oh ya, saya bukan penjual atau agen dan saya juga tidak ada saham dalam syarikat penerbitan.

Saya hanya berkongsi buku yang berada dalam ‘library’ saya untuk dijadikan panduan oleh semua yang berminat.

Boleh dapatkan di Kinokuniya KLCC (RM 75.99 setahun yang lalu) atau mungkin juga online.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Tiada Istilah ‘Berkorban Untuk Anak-anak.’ 

pcANU

Kita bersusah payah mendidik dan membesarkan anak kerana mereka amanah Allah yang menjadi tanggungjawab kita.

Kerana menunaikan tanggungjawab inilah satu hari nanti usah diungkit tenaga, usaha, kudrat, masa dan wang ringgit yang kita habiskan untuk mereka.

Itu tanggungjawab yang kita lunaskan ikhlas kerana Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Memahami Anak-anak

childinmind

Bukan sahaja teori, malah mungkin ada amalan-amalan lama juga harus dinilai semula untuk disesuaikan dengan zaman di mana anak-anak kita dibesarkan.
Memahami perkembangan kanak-kanak dan remaja bukanlah hanya tugas pendidik-pendidik di sekolah sahaja, ibubapa juga harus sentiasa belajar untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam diri anak-anak.
Dunia sekarang semakin kompleks dan ia sudah tentunya mempunyai kesan ke atas diri kita dan anak-anak juga.

Rujukan: Understanding Child Development, Lindon & Brodie

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Peluklah Anak Lelaki

hug

Kredit Gambar: Google

Ketika anak lelaki masih bayi, kita selalu memeluk mereka.
Bayi lelaki atau bayi perempuan sama saja bagi kita.

 

Ayah dan ibu, teruskanlah memeluk anak lelaki apabila mereka meningkat remaja kerana kajian oleh School of Sociology, Social Policy and Social Work, Queens University, Belfast mendapati anak lelaki perlu dipeluk dua hingga tiga kali lebih kerap berbanding anak perempuan untuk menghasilkan paras hormon oxytoxin yang sama.

Hormon inilah yang akan mengeratkan lagi perhubungan antara ibubapa dan anak.

Jika mereka merasa segan untuk dipeluk di khalayak ramai, peluklah mereka sebelum meninggalkan rumah. Tetapi jika mereka biasa dengan pelukan yang tidak putus dari kecil, mereka tidak akan terkesan dengan senyuman sinis rakan.

“Boys need two things that we tend to forget about when we focus only on their physical abilities and their higher activity levels: They need more touch and more conversation.”
Michael Thompson PhD., ‘Raising Cain’.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Jangan Takut Untuk Berkata NO Kepada Anak

Tidak semua NO itu adalah negatif dan membantutkan perkembangan kreativiti anak. Banyak NO yang membantu perkembangan sosial, emosi dan moral anak-anak.

sayingnobook

1) Ada NO yang mengajar anak tentang erti bahaya. Bahaya berlaku dalam sekelip mata. Kadang-kadang kemalangan berlaku tanpa sempat pun kita mengelipkan mata. Anak juga perlu diajar untuk berfikir tentang bahaya tindakannya kepada orang sekeliling juga.

2) Ada NO yang mengajar anak tentang empati. Ia mengajar anak bahawa orang lain juga mempunyai perasaan, hak dan keperluan mereka. Orang lain itu termasuklah kita sebagai ibubapa yang perlukan masa untuk diri sendiri juga. NO dalam konteks ini bermakna kita mesti menghormati hak dan keperluan orang lain.

3) Ada NO yang mengingatkan anak tentang erti ‘cukup’. Terlalu bermewah-mewah dengan kuantiti yang tidak perlu akan memudaratkan anak kerana dia tidak akan pernah merasa cukup dengan apa sahaja. Tidak faham erti cukup hanya menambahkan tekanan dalam jiwa seorang individu.

4) Ada NO yang mengajar anak tentang hak milik. Anak perlu tahu bahawa dia tidak boleh mengambil sesuatu yang bukan haknya dengan sewenang-wenangnya. Dia perlu tahu bahawa dia juga perlu mempertahankan apa yang menjadi miliknya melainkan diberi dan diambil dengan keizinan.

5) Ada NO yang memberi peluang kepada anak menjadi lebih kreatif. Jika anak tidak selalu mendapat sesuatu permainan yang diingininya, anak boleh menjadi lebih kreatif dengan mencipta permainan sendiri dengan bahan-bahan yang ada.
Artikel:
https://mobile.nytimes.com/…/to-raise-better-kids-say-no.ht…

6) Ada NO yang mendidik anak untuk menghargai masa dan menetapkan prioriti. Ada kalanya anak terlampau asyik dengan sesuatu sehingga mengambil ruang masa untuk rutin penting yang lain.

7) Ada NO yang mengajar anak erti berdikari. Walaupun sebagai ibubapa kita mempunyai wang ringgit, kepintaran dan tenaga untuk melakukan semuanya untuk anak-anak, anak juga perlukan ruang untuk menjalankan tanggungjawabnya tanpa pertolongan daripada kita sentiasa (atau pertolongan pembantu rumah). Beri anak ruang otonomi untuk membina skil-skil penting dalam hidup.

8) Ada NO yang melahirkan seorang individu yang tegas, asertif dan berprinsip. Anak belajar daripada kita. Jika NO kita kepada anak adalah konsisten dan menunjukkan ketegasan, anak juga akan belajar untuk menjadi seorang yang tegas terutamanya terhadap pengaruh-pengaruh yang negatif atau orang yang mengambil kesempatan ke atasnya suatu hari nanti.

Walaupun NO itu bunyinya negatif dan kita seharusnya mengelakkan perkataan-perkataan yang negatif kepada anak-anak, NO boleh membawa kepada nilai-nilai yang positif.

Apa yang paling penting adalah corak komunikasi kita dengan anak-anak. Jika kita sentiasa meluangkan masa untuk bersembang, menerang dan mendengar, insya Allah anak faham bahawa NO kita adalah NO yang positif.

Selepas NO, fikir bersama anak kaedah atau tindakan alternatif yang lebih baik.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Tidak Mahu ‘Share’? Masalah Akhlakkah?

Isu ‘share’ adalah isu yang paling kerap diutarakan kepada saya terutamanya oleh ibu-ibu kepada anak kecil berusia pra sekolah. Ayah dan ibu risau bila anak tidak mahu ‘share’. Ada juga anak yang sudahlah tidak mahu ‘share’, bertindak agresif pula dengan kawan yang meminta. Bila disuruh juga ‘share’ mulalah akan tantrum. Kadang-kadang kedua-dua pihak, yang tidak mahu ‘share’ dan tidak di‘share’ akan throw tantrum.

share

Bila ditanya kenapa ayah dan ibu risau bila anak tidak mahu ‘share’? Jawapannya adalah

1) Anak orang lain ok saja ‘share’. Takut kiranya anak mempunyai masalah perkembangan (developmental delay).

2) Risau kiranya anak membesar menjadi Hj. Bakhil, kedekut, tiada empathy, tidak mahu membantu mereka yang memerlukan dan dalam kesusahan.

3) Risau persepsi orang lain terhadap anak dan terhadap diri ibubapa sendiri apabila anak tidak mahu share. Orang lain beranggapan kita tidak pandai didik anak.

4) Ibubapa merasa diri gagal apabila anak tidak mahu share.

TAHUKAH ANDA ‘share’ bukanlah proses yang mudah bagi anak kecil usia TASKA atau prasekolah? ‘Share’ bukanlah isu moral atau akhlak, ‘share’ adalah isu perkembangan kanak-kanak (development).

‘Share’ adalah proses yang kompleks melibatkan pelbagai perkembangan. Secara ringkasnya, sikap tidak mahu ‘share’ adalah sikap yang developmentally appropriate (sesuai dengan perkembangan) anak kecil.

KENAPA ‘SHARE’ MERUPAKAN KONSEP YANG SUKAR BAGI ANAK KECIL?

1) Istilah ‘share’ yang kita sering galakkan atau paksa, membawa maksud yang mengelirukan bagi anak kecil. Adakah ia bermaksud pinjamkan, atau beri terus? Ini melibatkan perkembangan kognitif anak. Mereka belum berupaya untuk berfikir secara abstrak.

Apabila anak ‘share’ makanan, makanan itu habis dan hilang terus. Adakah ‘share’ mainan bermaksud mainan itu juga akan hilang terus? Anak belum faham.

2) ‘Share’ melibatkan konsep masa (sense of time) – berapa lama perlu saya beri kepada dia? Adakah saya akan dapat kembali? Bila? Ibu cakap ‘nanti’, ‘lagi dua minit’, pinjamkan ‘sekejap’, ‘sejam’. Anak belum faham semua konsep ini.

Konsep masa ini terbina di antara usia 4-6 tahun. Bila konsep ini difahami, barulah anak faham bahawa dia akan menerima kembali barangnya dan bukannya kekal bersama orang lain. Tetapi kalau maksud ‘share’ menurut ayah dan ibu adalah beri terus, anak kembali keliru dengan konsep masa ini. Nampak tak?

3) ‘Share’ melibatkan konsep pemilikan (ownership).
Contohnya “Ini anak patung saya”. “Itu kereta mainan dia”. ‘Mine’, ‘hers’, ‘yours’.
Konsep pemilikan ini berkembang di antara usia 4-6 tahun. Anak kecil sifatnya ‘egocentric’ hanya fikirkan diri sendiri dan belum faham orang lain. Sebab itulah ada anak kecil yang suka merebut mainan orang lain. Konsep ownership ini masih samar bagi anak tersebut. Anak perlu dibimbing supaya dia faham.

4) ‘Share’ juga melibatkan konsep pemindahan hak milik (transfer of ownership). Bila sudah faham konsep ownership, anak juga perlu faham bahawa barang yang dimiliki boleh bertukar milik sama ada secara sementara (pinjamkan) atau secara kekal (beri terus).

Kompleks tak? Cuba fikirkan betapa sukarnya untuk anak kecil faham konsep ini.

Konsep ‘ownership’ juga menjadi asas untuk anak memahami bahawa dia tidak boleh mengambil hak orang lain tanpa izin. Jika barang itu bukan miliknya, dia perlu bertanya terlebih dahulu dan bukannya mengambil dengan selamba, merebut atau meragut. Ini juga penting untuk difahami oleh kanak-kanak sekolah rendah, remaja dan juga orang dewasa.

Jika tidak difahami pada usia lanjut maka tidak ada bezanya dengan anak kecil berusia 0-4 tahun.

5) ‘Share’ melibatkan dua idea yang perlu difahami serentak oleh anak
i) mainan ini milik saya
ii) mainan saya ada pada dia

Bagi orang dewasa, ini benda mudah tetapi bagi anak kecil memahami dua idea sudah cukup membingungkan bagi mereka.

6) ‘Share’ juga melibatkan emosi – apa perasaan saya?
Jika anak kecil dipaksa untuk ‘share’ dan mereka terpaksa korbankan hak milik mereka, anak akan kaitkan ‘share’ dengan perasaan sedih, kecewa dan marah. Apabila ‘share’ dikaitkan dengan perasaan ini, lebih sukar untuk anak ‘share’ pada masa yang lain.

Cubalah fahami perasaan anak. Anak kecil juga ada perasaan. Jika kita mendengar, mereka akan lebih mudah untuk ‘share’.

Kita juga perlu hormat kepada anak kiranya ada kepunyaannya yang sangat disayangi dan tidak mahu di‘share’ dengan orang lain. Hormati hak anak juga.

7) ‘Share’ juga melibatkan konsep ’empathy’ iaitu memahami perasaan dan keperluan orang lain. Jika anak ada ’empathy’ lebih mudah untuk anak ‘share’ dengan anak lain yang juga punya keperluan ke atas barang tersebut. Anak juga akan mudah ‘share’ dengan anak lain yang kelihatan sangat tertekan kerana ingin berkongsi. ‘Empathy’ mula berkembang sekitar usia 4 tahun.

8) ‘Share’ juga bergantung kepada temperament (sifat semulajadi) anak. Ada anak yang lebih mudah untuk ‘share’ kerana anak-anak ini tergolong di kalangan anak dengan temperament ‘easy/flexible’. Bagi anak yang ‘feisty’, ‘share’ mungkin mengambil masa untuk mereka praktikkan.

Banyak lagi sebab musababnya tetapi cukuplah lapan faktor supaya ibubapa dan guru faham betapa sukarnya konsep ‘share’ yang sering kita lagukan kepada anak kecil. Anak kecil mengambil masa, berilah mereka masa, ruang dan peluang. Harapan perlu realistik dan bersesuaian perkembangan anak-anak. Relax.

Dalam kita cuba menggalakkan anak untuk ‘share’, pada masa yang sama kita juga perlu pupuk perkembangan yang saya sebut di atas supaya anak faham. Memahami konsep itu sendiri mengambil masa bagi anak kecil kerana mereka tidak mempunyai keupayaan kognitif untuk memahaminya lagi. Perkembangan emosi dan sosial mereka juga masih hijau.

Saya bersetuju kiranya kita tidak menggunakan istilah ‘share’ dengan anak-anak. Istilah ‘turn taking’ (mengambil giliran) seperti petikan dalam gambar lebih membantu anak-anak dalam memupuk sifat sabar, pemurah, dan menerapkan ‘delayed gratification’ iaitu berupaya untuk menunggu untuk mendapat sesuatu ganjaran/kepuasan.

Tukarkan lensa kita.

Share lah posting tentang ‘share’ ini untuk menenangkan ayah, ibu dan guru-guru lain juga. 🙂

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Fokus Pada Usaha, Bukan Hanya Hasil

uk

Anak bongsu saya bersekolah di UK dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke Year 7 (Tingkatan 1). Apabila memulakan persekolahan di Malaysia dalam Tingkatan 2, subjek yang paling digeruninya sudah tentulah subjek Bahasa Melayu kerana dia tidak pernah belajar Bahasa Melayu secara formal ataupun dengan format yang betul. Dia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi tidaklah fasih. Bahasa Melayu pertuturan adalah lebih kepada Bahasa/loghat Utara kerana kedua-dua saya dan suami adalah orang Utara.

Dalam ujian Bahasa Melayu yang pertama dia mendapat 25 markah daripada 100. Saya tidak mengharapkan apa-apa keajaiban dengan subjek Bahasa Melayu kerana faham betapa terhadnya kosa kata dan sukarnya elemen tatabahasa bagi anak itu. Dia tidak berputus asa, dia terus berusaha sedaya yang mungkin dalam keterbatasan itu.

Apabila mendapat markah ujian yang kedua, dia masih lagi di tahap ‘merah’.

“Do you want to know what the teacher said to me when she returned the paper Ummi?”, tanya anak saya.
Saya gugup.
“Yes, what did she say?”, tanya saya gementar.
Anak ini masih dalam kategori bawah paras lulus. Apa agaknya kata-kata guru Bahasa Melayu nya?
Saya khuatir kerana kata-kata inilah yang akan membentuk motivasi dalaman anak ini dan menentukan minatnya terhadap Bahasa Melayu yang tidak pernah dipelajarinya.

“My teacher said ‘”Masha Allah kamu sudah semakin mahir jawab soalan-soalan BM. Tahniah!” – because I got better marks than the first test, even though it is still not so good compared to my friends.”

“And you know what Ummi? The whole class cheered and clapped their hands when they heard that.”

Subhanallah, disebabkan respon guru tersebut kepada keputusannya yang semakin meningkat dan respon rakan-rakan sebaya yang turut sama memberi dorongan dan sokongan, Alhamdulillah anak saya berjaya mendapat 68 markah untuk peperiksaan akhir tahun.

Kata anak saya “Had the teacher responded differently or negatively or put me down or compared me with others, I would have given up because it would have made me feel hopeless and incompetent.”

Ini kisah anak saya. Terima kasih Cikgu atas kata-kata Cikgu.

Kejayaan tidak semestinya hanya terhasil dengan ‘drilling’ dan latih tubi. Usaha-usaha kecil yang dirai dengan kata-kata yang positif lebih bermakna dari kegagalan yang dicemuh dengan tujuan untuk memberi motivasi.

Jika anak atau murid jelas menunjukkan usaha, tetapi balasan kita adalah:

“Kerja kamu masih tidak memuaskan” atau
“Bukan ini yang saya mahu” atau
“Kenapa banyak kali buat pun tak boleh jugak lagi?” dan seumpamanya, maka kejayaan anak itu akan terus tertangguh.

Kejayaan yang besar adalah gabungan usaha-usaha kecil. Kejayaan usaha-usaha kecil inilah yang akan membuahkan hasil yang berpanjangan. Insya Allah.

Kata-kata boleh menghidupkan jiwa dan kata-kata jugalah yang mematikan jiwa.
Fokus pada usaha, bukan hanya hasil.
Fokus pada kelebihan, bukan hanya kelemahan.
Layanlah anak-anak seperti manusia.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect