Melatih 10 Sifat Positif Anak Pada Bulan Ramadhan

Ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa untuk umat Islam. Walaupun tidak diwajibkan bagi anak-anak kecil berpuasa, ramai yang teruja meraikan Ramadhan dan turut berpuasa bersama-sama ibubapa, abang, dan kakak yang telah dewasa.

Ramadhan adalah bulan ibadah dan bulan berbuat kebaikan.
Selain solat fardu, sunat tarawih, tadarus Al Quran, dan berpuasa yang menjadi ibadah dan amalan yang sangat diberi penekanan pada bulan Ramadhan ini, pembentukan akhlak dan karakter anak-anak dan ibubapa, juga perlu diberi tumpuan.. Banyak aktiviti dan amalan pada bulan ramadhan yang menyediakan peluang untuk melatih sifat positif dalam diri anak yang diharapkan dapat berterusan sehingga lepas bulan Ramadhan.

10sifatramadhan

1) PATUH

1. SOLAT SEBELUM PUASA.

Sebelum melatih anak untuk berpuasa, latihlah anak bersolat terlebih dahulu. Solat menjadi lambang kepatuhan seorang Muslim kepada suruhan Allah SWT. Mendidik anak untuk berpuasa kerana kepatuhan kepada Allah SWT lebih bermakna berbanding berpuasa kerana inginkan ganjaran semata-mata. Wujudkan motivasi intrinsik (dalaman) di dalam diri anak untuk berpuasa kerana Allah SWT.

2. Pujilah sebarang usaha anak ketika bulan ramadhan ini baik dari segi solatnya atau puasanya yang dilakukan kerana Allah SWT.

3. Wujudkan juga ‘connection’ dengan anak-anak melalui ibadah yang boleh dilakukan bersama-sama sebagai satu keluarga, contohnya solat berjemaah, tarawih di masjid bersama-sama (jika berpeluang kerana mungkin ada kesukaran jika anak masih terlalu kecil).
Bagi anak kecil yang berpuasa, layanlah kerenah mereka, fahamilah kesukaran yang mungkin mereka lalui walaupun puasa mereka adalah secara sukarela dan tidak kita paksa. Jadikan puasa satu ibadah yang menyenangkan dan menggembirakan anak-anak terutamanya ketika waktu berbuka. Sediakanlah juadah yang menjadi kegemaran anak, baik yang baru berlatih ataupun anak dewasa.

4. Berbukalah bersama-sama tanpa gangguan dari televisyen atau gajet kerana inilah peluang untuk kita ‘bond’ bersama anak-anak.

Kajian yang dibuat oleh The National Center on Addiction and Substance Abuse, Columbia University mendapati bahawa keluarga yang sering makan bersama-sama melahirkan anak-anak yang tinggi jati diri, kurang depresi, kurang penglibatan dengan penyalahgunaan dadah, dan berprestasi tinggi dalam pembelajaran. ‘Connection’ yang diwujudkan melalui ibadah dan amalan kerana Allah SWT insya-Allah akan mewujudkan kepatuhan anak kepada kita juga sebagai ibubapa. Tanpa ‘connection’, kepatuhan agak sukar untuk dibentuk. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

2) BERTANGGUNGJAWAB

Anak-anak akan kenal erti tanggungjawab apabila dari kecil lagi mereka diamanahkan dengan tanggungjawab.

1. Pada bulan Ramadhan, wujudkan kerjasama di antara anak-anak dalam menyelesaikan tugasan di rumah. Tugasan merangkumi aktiviti mengemas, membantu dalam pembelajaran, ‘babysit’ adik yang masih kecil, persediaan untuk berbuka, persediaan untuk sahur, membasuh, menyidai dan melipat kain, dan sebagainya.

2. Akui rasa letih, lapar dan dahaga yang mungkin dialami oleh anak-anak dan saling memberi sokongan antara satu sama lain. Apabila ahli keluarga saling memahami, akan wujud perasaan ingin saling membantu dan bekerjasama untuk meringankan kepenatan yang dirasai. Wujudkan jadual tugasan yang diperbincangkan dan dipersetujui bersama dalam mesyuarat keluarga.

3. Bahagi-bahagikan tugasan mengikut kesesuaian usia supaya semua terlibat. Pembahagian tanggungjawab di dalam keluarga akan mewujudkan ‘sense of belonging’ yang akan sentiasa mendorong anak-anak bekerjasama dan ingin membantu antara satu-sama lain.

4. Oleh kerana aktiviti bulan Ramadhan adalah berbeza dari bulan-bulan yang lain, anak-anak juga perlu dididik untuk bertanggungjawab terhadap diri sendiri dengan mengadakan jadual khas untuk Ramadhan.
Bincang dengan anak jadual harian yang merangkumi waktu untuk menyiapkan tugasan sekolah, waktu bertadarus, waktu bermain atau aktiviti bebas, waktu Tarawih dan aktiviti yang dirasakan sesuai untuk anak.

Rasa bertanggungjawab tidak boleh dipaksa. Ia hanya boleh terbina dalam diri anak dengan sandaran sistem nilai utuh yang dibina di dalam keluarga dan masyarakat.

3) JUJUR

Pada bulan Ramadhan, terdapat banyak mesej dan teladan yang baik di persekitaran kita yang menjadi pendorong untuk berbuat kebaikan.

1. Galakkan anak-anak untuk memfokuskan kepada segala yang positif di persekitaran mereka untuk diambil iktibar. Bahagian otak manusia yang dinamakan Recticular Activating System akan berfungsi untuk menyaring perkara-perkara positif untuk diamalkan (rujuk posting terdahulu).

2. Galakkan anak-anak untuk berlaku jujur dalam perkataan dan perbuatan. Tekankan tentang kepentingan untuk bercakap benar dan tidak berbohong. Amalan berpuasa itu sendiri menggalakkan kita untuk ikhlas dan jujur dalam menjalankan ibadah berpuasa.

Contohnya, sekiranya anak yang berpuasa minum air dengan sengaja ketika mandi atau melakukan lain-lain perkara yang membatalkan puasa, kita mungkin tidak akan tahu, namun Allah Maha Mengetahui. Berpuasa kerana kepatuhan kepada Allah SWT akan mewujudkan kejujuran dan keikhlasan dengan sendirinya.

Ingatkan anak-anak hadith Rasulullah SAW “ Dari Ibnu Mas’ud ra. Berkata, Rasulullah saw. Bersabda: “sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan, Dan kebaikan itu membawa ke syurga. Seseorang akan selalu bertindak jujur sehingga ia ditulis di sisi Allah swt sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang akan selalu berdusta sehingga ia ditulis di sisi Allah swt sebagai pendusta” (Bukhari dan Muslim)

3. Pujilah anak sekiranya mereka berlaku jujur dan sebutkan dengan terperinci tentang kejujuran yang diamalkan supaya menjadi motivasi kepada mereka untuk terus jujur dalam perbuatan dan perkataan.

Rasululah SAW sendiri dikenali sebagai Al Amin iaitu seorang yang amanah dan jujur. Berkongsi cerita sirah Rasulullah SAW, para Rasul dan sahabat pada bulan Ramadhan dapat mendorong anak-anak untuk mencontohi tingkah laku mereka.

4) BERSEDERHANA

Ramadhan adalah bulan yang penuh ujian dalam mengawal nafsu terutamanya nafsu makan. Jika tidak dikawal, Ramadhan akan menjadi pesta makan dan minum yang membawa kepada pembaziran.

1. Didiklah keluarga kita dan anak-anak kita untuk bersederhana ketika berbuka. Sebelum mengunjungi Bazar Ramadhan, rancang dengan anak-anak terlebih dahulu apa yang hendak dibeli mengikut citarasa masing-masing supaya kita dapat membataskan nafsu kita dari berbelanja berlebih-lebihan. Berlebih-lebihan ini akan membawa kepada pembaziran. Ini juga adalah satu amalan yang tidak sepatutnya berlaku baik di bulan Ramadhan atau bulan-bulan lainnya.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Rakyat Malaysia membuang makanan sehingga 8,000 tan atau 800,000 kilogram sehari dan jumlah itu mampu menampung bekalan makanan untuk enam juta orang (sumber BERNAMA).

2. Rancangkan juga keperluan Hari Raya dengan anak-anak supaya anak-anak nampak kepentingan bersederhana yang kita titikberatkan menjelang Aidilfitri. Ibubapa adalah role model yang terbaik anak-anak, kiranya dari kecil mereka didididk untuk besederhana dan hidup dengan sederhana, amalan itu juga akan menjadi ikutan mereka apabila dewasa kelak.

5) MENEPATI MASA

Ramadhan adalah satu-satunya bulan di mana masa adalah sangat dihargai dan dihormati oleh semua. Kita akan sentiasa pastikan yang kita tidak lewat walau sesaat pun untuk berbuka puasa. Kita juga akan sentiasa pastikan yang kita tidak melepasi walau sesaat selepas waktu Subuh supaya puasa kita tidak terbatal.

1. Galakkan amalan menepati masa ini dalam keluarga kita. Jadikan amalan “tidak lewat walau sesaat” sebagai amalan yang berterusan walau di luar Ramadhan.

2. Berbicaralah dengan anak-anak tentang kepentingan masa di dalam Islam kerana Allah SWT telah berjanji dengan masa di dalam Surah Al Asr.

3. Ajarilah anak bahawa menepati masa bukanlah hanya untuk diri kita sahaja, malah kita juga patut menghormati masa orang lain. Latihlah diri supaya menepati masa kiranya berjanji dengan seseorang atau berjanji untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.

6) MERENDAH DIRI

Ramadhan adalah bulan yang menyaksikan umat Islam seluruh dunia menunaikan rukun Islam yang ketiga.

1. Wujudkan kesedaran dalam diri anak bahawa umat Islam tidak kira miskin, kaya, tua, muda dari pelbagai warna kulit dan bangsa semuanya turut sama berpuasa sebagaimana kita.

2. Sedikit pendidikan kemanusiaan dapat mendedahkan anak-anak kepada kesukaran dan penderitaan yang dialami oleh mereka yang melalui kehidupan yang tidak sebaik keluarga kita baik di dalam negara mahupun di luar negara, tidak kira apa bangsa dan agama sekalipun.

3. Pada bulan Ramadhan ini, carilah peluang untuk membawa anak-anak melihat kehidupan sukar sesetengah ahli masyarakat supaya anak-anak faham dan cakna kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh orang lain. Pendedahan ini akan mewujudkan rasa merendah diri dan bersyukur dengan apa yang telah dimiliki.

7) HORMAT-MENGHORMATI

1. Mulakan hormat menghormati sesama ahli keluarga. Orang Asia secara umumnya mempunyai panggilan khas kepada orang yang lebih tua seperti pak cik, mak cik, abang, dan kakak yang mudah mewujudkan rasa hormat di dalam keluarga. Galakkan panggilan mengikut pangkat ini di dalam keluarga.

2. Suri teladan – Anak-anak belajar untuk menghormati orang lain apabila mereka melihat kita sebagai ibubapa mengamalkan hormat menghormati sesama manusia. Sedarlah, dalam kita berurusan dengan orang ramai pada bulan Ramadhan, tidak kiralah di bazar Ramadhan ketika berbeli juadah berbuka, di bank ketika mengeluarkan wang atau sebagai pekerja bank, di sekolah sebagai guru atau sebagai ibubapa, di jalan raya ketika hantar atau ambil anak dari sekolah, di pasar raya membeli belah untuk Hari Raya, anak-anak memerhatikan tingkah laku kita sepanjang masa.

Walaupun kita menggalakkan anak-anak untuk menghormati orang lain, perbuatan kita akan lebih menjadi ikutan berbanding perkataan kita. Dalam bulan penuh barakah ini, didiklah diri kita supaya menjadi suri teladan terbaik untuk anak-anak. Sebagai manusia, kadang-kadang kita juga melakukan kesilapan di hadapan anak-anak, contohnya ketika stres di jalan raya. Cepat-cepatlah akui kesilapan kita itu dan nasihatilah anak supaya tidak melakukan kesilapan yang sama.

3. Didiklah anak kecil untuk mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang memberi bantuan atau perkhidmatan contohnya pekedai, penghantar surat khabar, pekerja dobi, peniaga kantin, polis trafik, pemandu teksi dan sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat dan darjat.

8) SABAR

Ramadhan dan sabar tidak dapat dipisahkan. Sabar yang sering dikaitkan dengan Ramadhan adalah dalam konteks menahan lapar dan dahaga.

1. Bagi anak-anak, berpuasa adalah baik untuk melatih ‘delayed gratification’ atau ganjaran yang tertunggak. Ganjaran yang ditunggu-tunggu setelah bersabar berpuasa selama 13 jam (di Malaysia) adalah berbuka puasa dengan juadah dan hidangan yang lazat. Ganjaran ini cukup menggembirakan anak kecil yang baru berlatih untuk berpuasa.

Bagi anak yang lebih dewasa, berpuasa kerana Allah dapat melatih sabar dan istiqamah dalam beribadah dan berbuat kebaikan untuk menuju pengakhiran yang baik dan syurga Allah.

2. Sabar ini jugalah dapat melatih anak-anak untuk bersyukur dengan segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada keluarga kita. Galakkan juga anak-anak untuk bersabar dalam berhadapan dengan kesukaran yang mungkin dihadapi bersama kawan-kawan ataupun di sekolah pada bulan Ramadhan ini.

3. Penyelesaian masalah – Bersabar bukanlah bermakna kita hanya berdiam diri, sebaliknya sabar ini bermaksud tidak bertindak secara impulsif dan melulu dan memikirkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Jangan dipandang ringan keupayaan anak kecil untuk menyelesaikan masalah. ‘Kids are natural problem solver’. Bimbinglah mereka.

9) SOPAN

1. Keletihan berpuasa pada bulan Ramadhan dapat mendidik anak-anak untuk berbicara hanya perkara yang sepatutnya sahaja. Ingatkan anak-anak bahawa terlalu banyak berbicara akan menggunakan tenaga yang lebih dan memenatkan lagi.

2. Nasihatilah anak-anak untuk menggunakan bahasa dan perkataan yang elok ketika berbicara apabila berpuasa.
Jika sebelum ini kita bimbang dan buntu kerana anak membawa pulang perkataan yang tidak enak didengar, ambillah peluang pada bulan Ramadhan ini untuk mengingatkan dan menasihati anak.

3. Basahilah bibir anak dengan ayat-ayat Al Quran dan zikir yang menjadi amalan umum pada bulan Ramadhan ini agar menjadi amalan yang berterusan.

4. Ambillah peluang untuk mendidik anak bersopan santun dalam tingkah laku. Tingkah laku yang tidak menyenangkan seringkalinya hanya menambah letih anak. Fokus pada kebaikan dan tingkahlaku positif yang dilakukan oleh anak. Berilah pujian supaya anak rasa bermotivasi untuk berterusan menunjukkan tingkah laku yang positif.

10 ) EMPATI.

Ramadhan mendidik kita dan anak-anak untuk merasai penderitaan dan kesusahan orang lain.

1. Berkongsilah dengan anak-anak cerita tentang mereka yang ‘berpuasa’ sepanjang masa walau di luar bulan Ramadhan kerana ketiadaan makanan dan minuman untuk dijamah.

2. Terangkan kepada anak-anak penekanan Islam kepada pemberian zakat yang merupakan rukun Islam yang keempat. Saidina Abu Bakar r.a sendiri memerangi mereka yang tidak menunaikan zakat. Zakat dapat membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan bantuan.

3. Galakkan juga anak-anak untuk bersedekah walaupun sedikit. Jadikan Ramadhan bulan latihan yang akan membentuk sifat bermurah hati dan memberi yang berkekalan. Ramai anak-anak kecil dan remaja yang dilihat mensedekahkan sebahagian duit Raya mereka kepada individu dan pertubuhan yang membantu mereka yang di dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.

4. Selain dari menyumbangkan zakat dan sedekah melalui para amil, masjid dan sebagainya, anak-anak boleh dibawa untuk bersama-sama terus memberikan sumbangan kepada orang-orang miskin dan yang memerlukan. Impak pengalaman melihat sendiri nasib mereka yang kurang bernasib baik ini sangat tinggi ke atas hati anak-anak. Insya-Allah mereka akan lebih prihatin dan sentiasa mahu terus membantu dan bermurah hati

5. Galakkan juga anak-anak untuk menyumbangkan tenaga yang mereka miliki untuk digunakan di jalan kebaikan. Berbuat baik dan tolong menolong sesama insan tidak kira warna kulit, bangsa dan agama adalah fitrah manusia. Anak-anak kecil secara semulajadinya sangat bermurah hati dan suka membantu. Amalan tersebut perlu sentiasa dipupuk dan digalakkan sehingga dewasa.

Samalah-samalah kita mengambil peluang pada bulan Ramadhan yang mulia ini untuk membentuk akhlak dan sifat positif dalam diri anak-anak dan juga diri kita sendiri. Semoga keluarga kita dan semua umat Islam di seluruh dunia memperolehi baraqah dari Ramadhan kali ini.

Selamat Menunaikan Ibadah Puasa di Bulan Ramadhan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Get Out of My Life

Petikan dari bacaan saya sekarang:

Ibubapa tidak selalunya tahu apakah yang terbaik. Mereka akan melakukan kesilapan. Namun siapakah yang lebih baik untuk membuat keputusan tentang kehidupan seorang anak melainkan ibubapa sendiri? Merekalah pakar tentang anak-anak mereka dan mereka jugalah yang memikirkan kepentingan anak lebih daripada orang lain.

Hanya mereka sajalah yang dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan berkenaan anak-anak mereka. Itu adalah tugas mereka.

Ibubapa tidak semestinya sentiasa betul, mereka hanya boleh buat yang terbaik. Dalam apa jua situasi, apakah keputusan yang telah diambil tidaklah penting.. Apa yang penting adalah melakukan sesuatu yang difikirkan betul dan kemudiannya mengambil pendekatan yang tegas dan positif.

Masalah akan timbul apabila ibubapa sering bertukar fikiran, goyah dan defensif. Apabila remaja merasakan wujudnya ketidakpastian ini, mereka akan mula memberontak.


terbaik

Parents cannot always know what is best. No one can. They will make mistakes. But who better than they to be making decisions about their own child’s life? They are the experts on their own child and they, more than anyone, have their child’s interest most at heart.

They alone have the task of making decisions regarding their children. That’s the job.

Parents cannot always be right; they can only do their best. Most important of all, in many situations, it does not matter what actual decision parents make. The key is to do what they think is right, and then adopt a firm, positive posture.

The problems arise when parents chop and change, waver or get defensive. Then the teenager, recognising uncertainty, moves in for the kill.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Mendidik Anak-anak Lelaki Menghormati Kanak-kanak Perempuan – Video

Ini adalah usaha yang proaktif oleh Kenya dalam menangani gejala rogol dalam masyarakat mereka.

Tahukah anda di negara kita seramai 13,272 kanak-kanak di bawah usia 16 tahun dilaporkan telah di rogol di antara tahun 2010 sehingga Mei 2017?

Dalam menangani apa saja gejala, isu atau masalah dalam masyarakat, mencegah adalah lebih baik dari mengubati. 
Anak-anak lelaki harus dididik untuk menghormati kanak-kanak perempuan supaya mereka membesar menjadi lelaki yang menghormati wanita.
Gurauan, sindiran, siulan dan komen di media sosial yang berbau seksual dan mengobjektifikasikan wanita seharusnya dikecam oleh masyarakat umum.

Banyak program yang diadakan di negara kita lebih memfokuskan kepada pemerkasaan kanak-kanak dan remaja perempuan supaya mereka dapat melindungi diri mereka dari gejala ini.
Program-program pemerkasaan kanak-kanak dan remaja lelaki untuk menghormati dan melindungi wanita juga harus diadakan supaya mereka dapat memahami kepentingan dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat.

Jom perkasakan anak lelaki dan anak perempuan kita menuju negara yang lebih harmoni.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Tips Supaya Anak Bekerjasama

Jika matlamat kita adalah untuk membentuk anak yang sentiasa memberikan kerjasama dan bukan patuh hanya apabila disuruh, maka kita perlu melatih anak untuk melihat kesan ke atas setiap tindakannya.

Apakah yang berlaku setelah saya berbuat begini?
Adakah kesannya menguntungkan atau merugikan?
Adakah kesannya menggembirakan atau menyedihkan?
Adakah kesannya membina atau merosakkan?
Adakah kesannya menyakiti hati orang lain?

together

Kredit Gambar: Google

Melihat kesan dan akibat sesuatu tindakan akan melatih anak untuk membuat pilihan tindakan yang lebih bijak pada masa akan datang.

Berbincanglah dengan anak tingkah laku manakah yang mendatangkan kesan yang merugikan dan kemudian fokuskan untuk mengubah tingkah laku tersebut secara berperingkat.
Biar anak melihat kesan yang lebih menguntungkan.

Kaedah ini relevan untuk anak kecil dan juga remaja.

“Rome wasn’t built in a day.”

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apabila Ibu Tidak Membuat Apa-apa Di Rumah

Apabila memandu memasuki perkarangan rumah, Azmi terkejut melihat kedua-dua orang anaknya berada di luar, masih memakai pakaian tidur yang dipakai semalam. Bekas makanan yang kosong dan pembungkus makanan berselerakan di halaman. Pintu kereta isterinya, Amy, terbuka. Pintu rumah juga terbuka luas sehingga menampakkan ruang dalam rumah.

messy

Kredit Gambar: Youtube

Azmi kaget.
“Mama mana? Mama?” tanya Azmi pada anak sulungnya yang berusia 5 tahun.
“Di dalam.” jawab anak dan terus bermain riang bersama adik.

Azmi tidak bertanya lagi, dia bergegas masuk ke dalam.
Keadaan di dalam rumah lebih berselerak. Lampu yang selama ini berdiri menghiasi indah ruang tamu jatuh seakan dirempuh raksasa . Permaidani yang selama ini terletak elok di ruang tengah rumah tersadai di tepi dinding.
Ruang tamu riuh rendah dengan suara kartun dari televisyen yang dibiarkan terpasang tanpa penonton. Ruang yang selama ini sentiasa bersih dan kemas ditatarias oleh isteri juga bersepah dengan mainan kanak-kanak, perkakasan dapur dan juga pakaian.

Sinki di dapur dipenuhi dengan pinggan mangkuk yang belum berbasuh. Bijirin sarapan dan kepingan-kepingan roti berterabur di atas meja makan manakala serpihan kaca dari gelas yang pecah dibiarkan di bawah meja.

Pintu peti sejuk dibiarkan terbuka. Pasir dari pasu pokok cili yang diletakkan di tebing tingkap dapur bertaburan di atas lantai.

“Ya Allah, Apakah yang berlaku?” Getus hati Azmi.

Dia risaukan isterinya.
“Adakah apa-apa berlaku pada isteriku? Sakitkah dia?”

Dia lantas bergegas naik ke tingkat atas untuk mencari isterinya sambil mengelak dari terpijak ‘lego’ dan mainan yang bergelimpangan sepanjang laluan. Di luar bilik mandi di tingkat atas basah dengan air. Tuala basah bergelimpangan di tingkat atas. Azmi menjadi semakin risau. Dia hampir terpijak bekas ubat gigi yang dibiarkan di atas lantai di luar bilik mandi. Kesan-kesan ubat gigi juga terpalit di dinding.

Dengan nafas yang tercungap-cungap dan peluh yang mengalir laju sejak tadi, dia membuka pintu bilik tidur. Di dalam hati tidak putus-putus berdoa dan berharap semoga tiada apa-apa yang serius berlaku kepada isterinya.

Apabila pintu bilik dibuka, kelihatan Amy sedang bersantai di atas katil sambil membelek-belek majalah.

“Eh! Abang dah balik?” sapa Amy sambil tersenyum.

Azmi semakin bingung.

“Apa yang berlaku ni? Kenapa rumah kita jadi macam ni? Anak-anak pun tidak terurus.”

Amy tersenyum lalu menjawab, “Jangan risau Bang, anak-anak dah makan. Kan hari-hari bila balik Abang akan tanya apa yang saya buat di rumah?”

“Ya, betul.” Jawab Azmi masih kebingungan.

“Jadi…..” balas Amy.

“ Hari ini saya tak buat apa yang biasa saya lakukan hari-hari di rumah.”

🙂

SELAMAT HARI IBU KEPADA SEMUA IBU WALAU DI MANA SAJA ANDA BERADA DAN WALAU APA SAJA PEKERJAAN ANDA.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

*Kisah rekaan di atas saya terjemahkan dan olah dari artikel berbahasa Inggeris yang tidak diketahui siapa penulisnya.

Kawalan Diri…

Sukar untuk kita membentuk anak-anak yang tinggi kawalan diri (self control) jika kita sendiri sering gagal mengawal tutur kata, gagal mengawal emosi, gagal mengawal belanja, gagal mengawal tingkah laku, gagal mengawal waktu, dan gagal mengawal kemahuan.

self c

Kredit Gambar: Step Digest

Jika kawalan diri anak rendah, kita perlu melihat imej di cermin terlebih dahulu sebelum kita memantau pengaruh persekitaran.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Pilihan 5 Tahun Sekali

spr

5 tahun sekali kita mempunyai pilihan untuk memilih siapa yang patut dipertanggungjawabkan ke atas hal ehwal negara kita.
Kita telah pun memilih. Tahniah.

Anak-anak kita tiada pilihan untuk memilih siapa menjadi ibubapa mereka 5 tahun sekali. Jadilah satu satunya pilihan sedia ada yang terbaik buat mereka dengan memikul tanggungjawab sepenuhnya.
Be there.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apakah Yang Berubah?

Apabila bayi menangis, kelam kabut ayah dan ibu mencari puncanya.

“Baby lapar rasanya Mama. Bila last Ma menyusu?” tanya si ayah.

“Eh! Tak sampai sejam tadi. Belum sampai waktu menyusu lagi Pa. Basah agaknya.” Balas ibu resah sambil memeriksa lampin bayi.

“Tak penuh pun lampinnya. Angin agaknya perut dia.”
Ayah lantas kelam kabut mencari minyak telon untuk disapu di perut bayi yang tangisannya semakin kuat.

Walau disapu dan diusap, tangisan bayi masih belum reda.

Ibu memeriksa suhu badan bayi, “Tak panas pun badannya Pa.”
“Kenapa ya Pa?” Ibu semakin resah.

“Cuba kuatkan kipas angin dan bukakan tingkap. Abang rasa bilik ini agak ‘stuffy’. Mungkin sebab itu.”
Tanpa berlengah ibu menuruti cadangan ayah. Apa saja sanggup dilakukan untuk menghentikan tangisan bayi dan mendamaikannya.

“Sama saja Pa. Tak berhenti jugak. Kenapa ni Pa? Jom kita bawa ke klinik. Risau saya.”  Ibu sudah hampir mati akal. Ibu selalunya cepat tersentuh apabila anak menangis tidak berhenti. Iyalah, bukan senang hendak mengandung dan melahirkan. Jika tidak cepat bertindak, kalau berlaku apa-apa, menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengubah apa-apa.

Tiba-tiba

“Eh! Ini semut merah ni. Mana datang semut? Bukankah syarikat kawalan serangga datang sembur baru-baru ini.” Ayah bingkas memeriksa ‘cot’ bayi.

“Ya Allah Ma, tengok ni. Ini bekas digigit semut. Patutlah dia menangis tidak berhenti. Sakit ni Ma. Kesian.” Ayah menunjukkan benjolan kecil pada kulit bayi akibat digigit seekor semut durjana itu.

“Cepat-cepat ambik krim yang Ma beli online tu dan sapukan. Mudah-mudahan melegakan.”

Setelah digosok, dituam, disusukan, dibelai, dibuai, dan didodoi, tangisan bayi pun reda. Bayi terus tertidur dalam dakapan ayah. Lega ayah. Lega ibu.


toddteen

Kredit Gambar: depositphotos

Begitulah respon kita kepada bayi.

Setiap tangisan bayi adalah satu bentuk komunikasi yang harus kita rungkaikan kerana mereka belum boleh berkata-kata. Kita tidak melihat bayi sebagai manusia yang manipulatif, dan cuba menguji. Ibubapa yang peduli dan proaktif akan cuba untuk memahami dan mencari punca bagi mencari solusi masalah yang dihadapi oleh bayi.

Sikap kita mula berubah apabila anak sudah boleh berjalan dan berkata-kata. kita tidak lagi dengan sepenuh hati cuba untuk mencari punca. Kita jarang bertanya kenapakah anak saya begini? Kita terus bertanya apa yang harus saya lakukan? Ada yang terus melabel anak nakal, biadap, degil dan diratib tidak berhenti-henti di hadapan anak.

Mungkinkah anak tidak mempunyai skil untuk menghadapi kekecewaan maka dia selalu dilihat meragam dan memberontak apabila kecewa? Jika itu puncanya, bekalkan anak dengan skil untuk menghadapi kekecewaan. Bukannya terus marah apabila dia meragam. Hukuman tidak membina skil tersebut.

Mungkinkah anak tidak tahu cara untuk berinteraksi? Dia tidak mempunyai kosa kata yang positif dan baik untuk digunakan. Yang dia tahu hanyalah perkataan yang kasar dan mencarut untuk meluahkan perasaannya. Anak ini juga tidak mempunyai skil. Bekalkan anak dengan skil komunikasi yang positf, bukannya dengan hukuman yang tidak membantu membina skil tersebut.

Mungkinkah anak tidak berupaya untuk mengungkapkan kesakitan fizikal yang dialaminya maka dia selalu meraung walau disebabkan perkara yang kecil? Ataupun anak mungkin mengasingkan diri dan tidak berkawan disebabkan kesakitannya? Bekalkan anak dengan skil untuk memberitahu dan meluahkan. Kita juga perlu lengkapkan diri kita dengan skil untuk mendengar dan memantau, bukan hanya skil untuk membebel.

Sebagaimana seorang bayi, tingkahlaku dan tindakan seorang anak termasuklah anak remaja, adalah satu bentuk komunikasi.

Tanya diri kita, apa yang cuba anak sampaikan?
Apakah keperluan yang tidak cukup?
Apakah yang terlebih?
Apakah skil yang anak perlukan?

Kemudian sama-sama kita mencari solusi.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Remaja Perempuan dan Media Sosial

Berdasarkan kajian dalam artikel ini, anak remaja perempuan yang berusia antara 10-15 tahun lebih terkesan dan tertekan dengan penggunaan media sosial berbanding anak remaja lelaki.
Jika dilihat dalam negara kita sendiri, hantaran (posting) berkaitan kecantikan, penggayaan tudung, dan ‘make up’ sangat menarik perhatian bukan saja remaja, malah kanak-kanak perempuan juga.

socmed

Remaja perempuan lebih mengharapkan ‘like’ dan pengiktirafan daripada orang lain. Mereka juga lebih terdorong untuk membanding-bandingkan diri mereka dengan remaja yang lain.

Saya pernah berbincang dengan para ibu tentang pengaruh media sosial ini dan ada di antara orang dewasa juga yang merasakan media sosial seperti Facebook dan Instagram memberi tekanan kepada orang dewasa sendiri terutamanya apabila melihat kehidupan orang lain yang dipaparkan. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi orang dewasa juga dan mereka mengambil keputusan untuk ‘deactivate’ akaun mereka untuk beberapa ketika.

Keupayaan untuk mengawal diri seperti orang dewasa ini belum dimiliki sepenuhnya oleh anak remaja ditambah lagi mereka berada dalam fasa membina persahabatan. Rakan adalah segala-galanya bagi mereka. Mereka ingin turut serta (fit in) dan tidak mahu ketinggalan (fear of missing out – FOMO). ‘Deactive’ akaun media sosial sukar bagi mereka kerana ini bermakna mereka akan kehilangan rakan-rakan ini.

Anak remaja perempuan juga lebih terdedah kepada buli siber berbanding anak remaja lelaki.

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memantau penggunaan media sosial oleh anak-anak remaja kerana tekanan ini akan memberi kesan kepada tingkah laku, pembelajaran, tidur dan ‘mood’ mereka.
Saya sering juga melihat ayah atau ibu yang berkongsi bergelak ketawa dengan anak remaja apabila melihat sesuatu hantaran (posting) di media sosial. Perbincangan dan interaksi berkisar media sosial dan kandungannya antara ibubapa dan anak-anak remaja adalah amat penting untuk mewujudkan hubungan yang rapat dan secara tidak langsung juga dapat memantau penggunaannya pada masa yang sama.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

PRU, Manifesto dan Akhlak Anak-anak

Beberapa hari yang lalu penulisan seorang Imam di Shah Alam melintasi di ‘news feed’ saya. Beliau menceritakan tentang seorang kanak-kanak yang cuba mencabut bendera parti yang tidak disukai kanak-kanak tersebut. Mujur Imam cepat menegur kanak-kanak itu agar tidak merosakkan harta benda walaupun tidak menyukai sesuatu. Ini adalah peringatan yang sangat baik daripada seorang dewasa yang matang buat kanak-kanak yang belum matang dan mudah dipengaruhi tingkah lakunya.

london

Dari mana kanak-kanak belajar tentang tindakan yang sedemikian?
Kita tidak perlu pun mengajar mereka, cukuplah sekadar mereka memerhati dan meniru orang dewasa yang dekat dengan mereka ataupun meniru apa yang didengari dan ditonton di skrin.

Dua minggu yang lalu, saluran radio BFM melaporkan bahawa pemantau pilihanraya (electoral watch) mendapati bahawa salah laku pilihanraya (electoral offence) semakin meningkat sejak penghujung tahun 2017 yang lalu.

Jika diimbas kembali PRU pada tahun 2013, Astro Awani melaporkan bahawa kes keganasan politik banyak berlaku seperti yang diumumkan oleh PDRM. Sejumlah 1,056 kes keganasan politik telah direkodkan sejak pembubaran parlimen pada 3 April 2013 dengan 387 kes direkodkan sejak hari penamaan calon.

Antara bentuk keganasan dan salah laku yang dilaporkan ketika itu adalah letupan, mengakibatkan kecederaan tubuh badan, khianat bakar, khianat bahan membahayakan, merosakkan harta benda, kecurian, serangan hingga menyebabkan kematian, kemusnahan harta benda, samseng, makian, ancaman, dan intimidasi.

Apakah mesej yang hendak kita sampaikan dengan tindakan yang sedemikian kepada kanak-kanak dan remaja yang merupakan generasi pelapis kita?
Perlukah kita berbangga dengan diri kita?

Di luar negara, dalam satu kajian yang dibuat ketika Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, guru-guru di AS melaporkan bahawa kejadian buli di sekolah juga meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan. Sasaran buli di sekolah-sekolah adalah golongan imigran, mereka yang beragama Islam dan juga kumpulan minoriti lain yang menjadi sasaran Donald Trump ketika kempen beliau.
Sorakan seperti “Build A Wall! Build A Wall” seperti yang selalu di sebut oleh Trump menjadi siulan buli ketika acara sukan. Pengaruh negatif Trump ke atas pelajar sekolah ketika itu dikenali sebagai “Trump Effect” dan dibicangkan dalam sebuah penerbitan oleh Southern Poverty Law Center, AS.

Kanak-kanak dan remaja adalah cerminan diri kita sebagai orang dewasa. Tidak ada manifesto pilihanraya oleh mana-mana parti politik yang dapat mengatasi kesongsangan amalan dan akhlak orang dewasa yang ditonton oleh kanak-kanak, apatah lagi oleh ibubapa sendiri di rumah.

Kawallah adab, tingkah laku, tutur kata dan akhlak kita ketika musim PRU ini. Kita tidak oleh mengawal tindakan orang lain tetapi kita berupaya untuk mengawal diri kita sendiri kerana inilah yang akan membentuk peribadi anak-anak kita.

Pakar Ekonomi negara, Dr Muhammad Abdul Khalid berkata dalam salah satu perkongsian beliau, apa yang kita rancangkan untuk kanak-kanak sekarang hasilnya akan kita lihat 20 hingga 30 tahun akan datang. Hasilnya tidak semestinya sekarang. Walaupun beliau mengulas dari segi ekonomi dan pendidikan, ia juga relevan untuk kita merenung kembali, akhlak dan pemikiran yang bagaimanakah yang ingin kita lihat pada orang dewasa 20 hingga 30 akan datang?

Adakah orang dewasa yang matang ataupun orang dewasa yang tidak bertamadun akhlaknya?
Kita akan menuai apa yang kita semai sekarang dan ia bermula dari rumah.

Coretan dari London
April 2018
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect