Faedah Kebosanan

FaedahBosan

Tahukah anda rasa bosan yang dialami oleh kanak-kanak adalah baik untuk perkembangan kognitif (pemikiran) mereka?

Untuk mengatasi rasa bosan kanak-kanak akan:

1) Menggunakan pemikiran kreatif (creative thinking) untuk memikirkan idea dan aktiviti yang unik dan di luar dari kebiasaan.

2) Menggunakan kapasiti imaginatif (imaginative capacity) untuk membayangkan, melakonkan, meniru watak, karakter dan pekerjaan yang pernah dilihat atau didengari. Imaginasi juga mendorong penggunaan bahan yang pelbagai untuk membentuk dan membina sesuatu rekaan. Selain itu, imaginasi juga memupuk penggunaan bahasa dan perkataan untuk meluahkan dan menyampaikan perasaan dan pemikiran.

3) Mempraktikkan kemahiran penyelesaian masalah (problem solving) bagi merancang dan mencapai sesuatu matlamat yang cuba dicapai.

Selain itu, percubaan untuk mengatasi rasa bosan juga mengajar kanak-kanak untuk:

4) bergantung kepada diri sendiri dan tidak berharap untuk sentiasa dihiburkan oleh ibubapa atau orang lain.

5) membina ketahanan jiwa (resilience) ketika melalui saat yang sukar dan menekan.

Jika kita sering menyogok kanak-kanak dengan gajet atau TV ketika waktu lapang atau apabila mereka kebosanan, kita terlepas peluang untuk memupuk skil penting bagi membina perkembangan kognitif mereka.

Berilah peluang untuk mereka merasa bosan dan memikirkan cara untuk mengatasi kebosanan.

Tentu ada sahaja idea yang dapat mereka fikirkan dengan sendiri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Terlebih Kasih Sayang

terlebihkasihsayang

Tidak ada istilah ‘terlebih kasih sayang’ dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
Kasih sayang seorang ayah dan ibu adalah sesuatu yang tidak ada batasan dan tidak boleh diukur tahap tertingginya. Kasih sayang adalah satu rahmat yang dianugerahkan Allah kepada ayah dan ibu yang harus dilimpahkan kepada anak-anak. Melimpahi anak-anak dengan belaian dan kasih sayang tidak akan membuatkan anak menjadi manja atau melampau. Anak menjadi manja kerana sifat semulajadinya begitu atau pun kerana dia kurang perhatian, belaian dan kasih sayang daripada ayah dan ibu. Anak menjadi melampau kerana dia kurang perhatian, belaian dan kasih sayang ayah dan ibu.

‘Terlebih kasih sayang’ tidak akan memudaratkan anak-anak kerana ia satu keperluan utama bagi mereka.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Nyawa Untuk Telefon Pintar

TradePhone

Luahan seorang anak terhadap ayahnya.

Ayah… 
Yang saya perlukan bukanlah sebuah rumah yang dipenuhi dengan makanan yang enak, telefon bimbit yang paling canggih dan tidak sama sekali barang permainan yang mewah. Apa yang saya harapkan adalah agar ayah dapat meletakkan telefon ayah dan bermain dengan saya. Itulah perkara yang paling menggembirakan dalam hidup saya.

Ayah…
Saya sanggup mempertaruhkan nyawa saya agar ayah dapat meletakkan telefon ayah.
Saya sayangkan Ayah.”
Anak-anak memerlukan masa, perhatian, tumpuan dan kasih sayang seorang ayah.
Keibubapaan bukanlah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh ibu sahaja. Ia merupakan satu perkongsian.Semoga luahan anak ini menjadi iktibar buat saya dan anda juga.  Elakkan ‘Cinta Tiga Segi’.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

Perbincangan Meja Bulat Pendidikan Awal Kanak-Kanak

mejabulat

Atas inisiatif Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara, dua hari lalu telah berlangsung Perbincangan Meja Bulat yang mengumpulkan pakar-pakar dari pelbagai bidang dan agensi yang berkait rapat dengan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia.

Salah satu aspek penting yang telah diberi penekanan adalah tentang pendidikan keibubapaan (parenting knowledge) dan juga penglibatan ibubapa (parental involvement) dalam proses penerapan ilmu dan penerapan nilai murni dalam diri seorang kanak-kanak.

Proses pembelajaran bukan hanya tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata. Ibubapalah guru pertama dan utama bagi seorang kanak-kanak. Rumah adalah sekolah yang paling penting dalam penerapan ilmu dan nilai murni. Ibubapa harus memikul tanggungjawab untuk mendidik anak sebaiknya.

Ibubapa perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang perkembangan dan keperluan kanak-kanak supaya ibubapa dapat meletakkan jangkaan yang realistik (realistic expectation) pada seorang anak. Terlalu banyak tekanan diberikan kepada anak-anak kecil sekarang terutamanya dari segi akademik sehinggakan menimbulkan masalah kesihatan mental di kalangan anak-anak usia awal.

Terima kasih diucapkan kepada JKDPN di bawah Dr Putri Afzan Maria yang telah menjemput saya untuk turut sama berbincang dan mengemukakan cadangan bagi memperkasakan ibubapa demi masa depan anak-anak kita.
Semoga apa yang diperbincangkan dan diusulkan oleh semua pakar yang hadir akan mencantikkan lagi lanskap Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia sehingga ke dasarnya.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Membimbing Anak Bercakap Benar

 

Tahukah anda ketika berusia lingkungan 3 tahun, ‘Theory of Mind’ terbina dan berkembang dalam diri seorang –kanak-kanak. ‘Theory of mind’ ini penting untuk perkembangan sosial kanak-kanak kerana ia membuatkan kanak-kanak faham bahawa:

  • kepercayaan orang lain mungkin berbeza dari kepercayaan kita
  • niat orang lain mungkin berbeza dari niat kita
  • pemikiran orang lain mungkin berbeza dari pemikiran kita
  • pengetahuan orang lain mungkin berbeza dari pengetahuan kita
  • keinginan orang lain mungkin berbeza dari keinginan kita.

Pengetahuan tentang perbezaan ini penting dalam membantu kanak-kanak bersosial dan berinteraksi dengan orang lain. ‘Theory of mind’ ini juga menjadi asas penting dalam perkembangan dan pembinaan empati – keupayaan untuk merasai, memahami dan bertindak balas terhadap emosi orang lain.

Walaupun ‘Theory of mind’ ini sesuatu yang positif, jika tidak dibimbing dari peringkat awal, ia boleh melahirkan sikap suka berbohong dalam diri kanak-kanak. Kanak-kanak tidak bercakap benar apabila dia tahu bahawa orang yang dibohongi mempunyai pengetahuan yang berbeza. Kanak-kanak mula berbohong apabila dia sedar bahawa orang lain tidak tahu apa yang dia tahu.

‘Theory of mind’ adalah perkembangan kognitif (pemikiran/otak) yang harus dipupuk seiring dengan perkembangan rohani, perkembangan moral dan juga perkembangan sosial. Tidak ada satu perkembangan dalam diri kanak-kanak yang lebih penting dari perkembangan yang lain. Semuanya sama penting. Sebagai ibubapa dan guru, semuanya harus dipupuk dengan serentak menggunakan kaedah yang sesuai dengan perkembangan individu dan usia kanak-kanak.
Jangan fokus pada 3M sahaja.

BAGAIMANA CARA MEMBIMBING ANAK SUPAYA BERCAKAP BENAR.

1. Disebabkan ‘Theory of Mind’ berkembang dari awal, terapkan dalam diri anak dari awal lagi tentang Allah yang Maha Mengetahui (Al-‘Aliim), Maha Mendengar (As-Samii’) dan Maha Melihat (Al-Basiir).

Nama-nama Allah ini bukanlah diajar dengan cara menghafal atau dilagukan sahaja, terangkan juga signifikasi dan implikasinya menggunakan bahasa yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak. Kaedah penceritaan yang santai menggunakan kisah-kisah yang senang difahami kanak-kanak lebih mudah meresap dalam jiwa kanak-kanak. Dengan ini kanak-kanak sedar bahawa walaupun orang lain (manusia) tidak tahu, tidak lihat, tidak dengar, Allah Maha Mengetahui kesemuanya termasuk apa yang difikirkan oleh seseorang.

2. Elakkan hukuman yang terlampau keras dan juga menyakitkan fizikal.
Kanak-kanak yang berasal dari keluarga yang suka menghukum dengan hukuman yang keras dan tidak sepadan dengan kesalahan didapati lebih pandai berbohong untuk ‘survival’ berbanding kanak-kanak yang dihukum dengan setimpal bersesuaian dengan kesalahan.

Begitu juga dengan kanak-kanak yang berasal dari keluarga yang mempunyai banyak peraturan tetapi tidak terbuka untuk perbincangan (Keibubapaan authoritarian) didapati lebih gemar dan pandai berbohong. Amalkan keibubapaan autoritatif di mana perbincangan selalu digalakkan di samping mempunyai peraturan di rumah.
Kaedah ini juga releven untuk diamalkan di sekolah-sekolah.

3. Kanak-kanak sentiasa menunggu untuk dipuji dan dihargai apabila bercakap benar. Janganlah hanya nampak keburukan anak apabila dia berbohong. Dari awal lagi pujilah dan hargailah anak yang suka bercakap benar. Kanak-kanak dilahirkan seumpama kain putih, mereka secara semulajadinya akan bercakap benar. Jika dia berubah dari suka berbohong kepada bercakap benar, hargailah perubahan yang ditunjukkan. Penghargaan yang kita berikan kepada sifat positif anak akan membuatkan anak semakin suka untuk mengamalkan sifat yang positif. Jiika kita banyak berikan perhatian kepada tingkah laku negatif, maka yang negatiflah akan banyak kita lihat dipamerkan oleh kanak-kanak.

4. Jadilah teladan yang baik buat anak-anak untuk ditiru. Janganlah berbohong kepada orang sekeliling. Janganlah berbohong kepada anak walaupun dengan niat bergurau. Anak lebih cepat belajar daripada tindakan kita yang mereka perhatikan berbanding nasihat dan kata-kata kita.

Kanak-kanak mempunyai kecenderungan untuk mereka-reka cerita kerana mereka belum dapat membezakan antara realiti dan fantasi. Tahap imaginasi mereka juga tinggi ketika usia awal. Kadang-kadang mereka ingin bergurau dengan kita walaupun tidak begitu mahir seperti dalam video ini.

Walau bagaimanapun, setiap sesuatu yang diceritakan oleh kanak-kanak HARUS disiasat akan kebenarannya terutamanya jika ia melibatkan penderaan fizikal atau pun seksual. Jangan menggunakan alasan ‘Theory of mind’ untuk menidakkan terus apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak kerana ramai yang menjadi mangsa dan menyimpan kesedihan itu sehingga menyebabkan kemurungan dan mempengaruhi rutin seharian.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Anak Lelaki vs Anak Perempuan

GentsClub

Tingkah laku agresif atau melawan anak lelaki seringkali disimplistikkan sebagai ‘Boys will be boys’ atau ‘anak lelaki memang macam itu’. 

Ungkapan sebegini tidak membantu untuk mengenalpasti punca sebenar seorang anak bertindak agresif. Ia juga menjadikan orang dewasa lebih bersikap ‘tidak apa’ dan biarkan sahaja sifat agresif kerana disangkakan itu adalah sifat semulajadi seorang anak lelaki. Ungkapan ‘Boys will be boys’ mengakibatkan sifat ganas berterusan sehingga membawa kepada keganasan rumahtangga dan juga penderaan.

Melalui ‘Gentlemen’s Club’ di Thomas E. Kerns Elementary, South Carolina, kanak-kanak lelaki yang datang dari keluarga yang berisiko tinggi (youth at-risk) dibimbing supaya menjadi seorang individu yang berhemah tinggi.

Kanak-kanak ini diajar untuk menghormati orang lain sebagaimana mereka mahu diri mereka dihormati.

Mereka juga diterapkan dengan rasa percaya diri atau ‘self esteem’ supaya mereka sedar bahawa diri mereka juga berharga dan memiliki skil untuk disumbangkan kepada masyarakat sekeliling.

Kanak-kanak yang agresif dan membuli adalah mereka yang memiliki ‘self esteem’ yang rendah dan merasakan diri mereka tidak bernilai.

Mereka juga dilatih dengan sifat bertanggungjawab agar mereka berupaya untuk bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka sendiri dan memiliki ‘self control’ supaya dapat mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Mereka juga diajar dengan etika dan adab dalam bermasyarakat mengikut budaya mereka.

Bukankah nilai yang sebegini perlu untuk anak-anak lelaki kita juga walaupun anak kita bukan dari kalangan mereka yang berisiko tinggi?

Anak lelaki atau anak perempuan dilahirkan sama sahaja.
Anak lelaki yang agresif mempunyai masalah dan perlu dibantu sebagaimana anak perempuan yang agresif juga mempunyai masalah dan perlu dibantu.
Kedua-duanya mempunyai kecenderungan yang sama.

Jika anak perempuan dinasihatkan supaya berlemah lembut, anak lelaki juga perlu dinasihatkan supaya berlemah lembut dalam bicara dan tindakan.

Jika anak perempuan diharapkan supaya pandai memasak di dapur dan mengemas, tidak ada salahnya anak lelaki memiliki skil yang sama. Ini tidak akan mengurangkan kelelakian mereka walau sedikit.

Jika anak perempuan diminta untuk berpakaian sopan, anak lelaki juga seharusnya diajar supaya memiliki sifat malu agar tidak bercelana ketat apabila remaja atau dewasa sehingga menyakitkan mata yang terpandang.

Kita bukan sahaja membesarkan seorang anak lelaki, kita juga membentuk seorang lelaki dewasa, seorang suami dan seorang ayah yang baik dan bertanggungjawab satu hari nanti.

Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Artikel berkaitan: https://www.cbsnews.com/…/gentlemens-club-students-life-le…/

Kanak-kanak Berusia 10 Tahun Membaca 942 Buku Pada Tahun 2014

baca942buku

Kredit Gambar: FB A Mighty Girl

Kanak-kanak berusia 10 tahun ini membaca 942 buku pada tahun 2014.

Ya, 942 buku.

Apa yang paling menakjubkan adalah, ketika berusia 7 tahun dia LANGSUNG TIDAK TAHU MEMBACA. Dia didapati mempunyai ciri-ciri disleksik.

Adakah ibubapa memaksa dan menekan dia supaya membaca?
Adakah sekolah juga paksa dan latih tubi supaya dia boleh membaca?
Adakah dia makan tonik atau ubat cerdas minda?

TIDAK SAMA SEKALI.

Ini rahsianya.
“I think the main thing was we didn’t push her and they didn’t make her read all the time at school. We just read to her instead to help her enjoy books rather than making it a big deal. It finally did click for her — and then it just went off into the stratosphere.”

READ TO HER.
Bacakan buku bersama-sama dia. Bacakan buku untuk dia.

Jika ibubapa tidak minat membaca, anak-anak pun susah ‘belajar’ membaca.
Jika di rumah tidak ada suasana membaca, anak-anak pun tidak minat membaca.

Bagi ibubapa yang mempunyai anak disleksik, jangan berputus asa ya. Insya Allah ada jalannya untuk memperkasakan mereka.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Anak Meraung Mahukan Gajet

Ada ayah yang merungut,

“Cakap senanglah jangan bagi gajet. Anak (kecil) dah meraung minta fon, sanggup ke dengar?”

Begini,

Setiap kali apabila anak meraung, kita bagi, anak meraung, kita bagi, anak meraung, kita bagi, maka dia akan terus meraung sebab dia tahu kita akan mengalah dan tidak tegas.

Anak-anak kita dilahirkan bijak.
Sebagai ibubapa kita perlu menjadi dua kali ganda lebih bijak untuk menguruskan anak-anak bijak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/