Tahukah anda di negara kita sekarang
1 dalam 4 kanak-kanak perempuan dan
1 dalam 6 kanak-kanak lelaki
mengalami penderaan seksual sebelum usia 18 tahun?
Month: April 2018
Sekarang Sudah Jauh Malam. Anak Kecil, Pra Sekolah dan Sekolah Rendah Sudah Tidur?
Sekarang sudah jauh malam. Adakah anak kecil, pra sekolah dan sekolah rendah sudah tidur?
Di manakah anak yang bersekolah menengah?
Anak-anak ini memerlukan tidur awal yang cukup. Membiarkan mereka masih berjaga tanpa arah tujuan adalah satu bentuk pengabaian kepada keperluan fizikal, emosi dan mental mereka. Membiarkan mereka menonton rancangan orang dewasa pada waktu malam yang tidak mempunyai nilai yang baik adalah juga satu bentuk pengabaian.
Membiarkan mereka menonton kartun atau menggunakan gajet sedangkan anda sendiri sudah lelap tidur kerana keletihan adalah juga satu bentuk pengabaian.
Ini bukan lagi aktiviti masa berkualiti.
Mungkin guru-guru di sekolah dapat melihat kesan anak-anak yang tidak cukup tidur ini.
Melatih anak untuk tidur awal jika mereka tiada tugasan dan keperluan untuk berjaga adalah satu bonus untuk mengeratkan hubungan antara suami isteri. Inilah peluang untuk suami isteri ‘dating’ sambil bertukar-tukar kisah tentang apa yang dilalui sepanjang hari tanpa perlu memfokuskan pada hiruk pikuk anak-anak.
Pada zaman yang terkejar-kejar dan kurang komunikasi berhadapan, ‘us time’ juga boleh dilakukan di rumah jika anda bijak menguruskan anak-anak dan masa anda.
Berapa jamkah anak perlu tidur?

Sumber: sleepfoundation.org
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect
Bapa Ketagih Pornografi
Agak kerap saya mendengar rintihan para isteri dan ibu yang diluahkan kepada saya tentang ketagihan pornografi oleh si suami yang juga ayah kepada anak-anak. Isteri kecewa, menjeruk rasa, putus harapan dan rasa tidak bernilai bagi suami.
Sebagaimana dadah dan alkohol, ketagihan pornografi juga melalui proses yang sama. Ketagihan tetap ketagihan.

Saya pernah bertanya pakar dalam NGO yang banyak menguruskan kes penderaan seksual, adakah pornografi sesuatu yang peribadi dan tidak melibatkan orang lain? Adakah pornografi hanya ‘merosakkan’ individu yang ketagih dan bukannya orang lain?
Jawapannya, TIDAK.
Pada awalnya ia bersifat aktiviti individu tetapi mereka yang ketagih ini tidak akan pernah puas dengan apa yang ditonton. Sebagaimana ketagihan dadah, semakin lama ketagih, semakin tinggi dos yang diperlukan, begitu juga dengan pornografi. Ada yang melampiaskan nafsu pada darah daging sendiri apabila berada di kemuncak ketagihan. Isteri sudah tidak memberi apa-apa makna lagi. Isteri hanyalah pada lafaz “Aku terima nikahnya…”
Bagaimana ayah yang ketagih pornografi boleh berfungsi sebagai seorang ayah yang baik? Saraf otak mereka rosak, karakter mereka berubah disebabkan pornografi, dan mereka juga hilang minat untuk menjadi seorang ayah. Minat mereka hanyalah pada ketagihan mereka sahaja. Usaha mereka hanyalah mencari apa yang dapat memenuhi keinginan serakah mereka sahaja. Mereka tidak dapat berfungsi sebagai manusia yang normal.
Menjadi ibubapa memerlukan komitmen yang sangat tinggi.
Menjadi ibubapa memerlukan kita menjadi ‘role model’ yang baik bagi anak-anak.
Menjadi ibubapa memerlukan kita menjadi pemimpin dan imam dalam keluarga.
Menjadi ibubapa menuntut kita melindungi anak-anak daripada pengaruh yang merosakkan anak, walau dengan nyawa kita sekalipun.
Jika demikian, di mana kedudukan keluarga dan anak-anak dalam kehidupan suami dan ayah yang ketagih pornografi?
Emosi isteri dan ibu juga terganggu disebabkan ketagihan ini.
Anak-anak sudah tentunya akan terkesan dengan tiadanya harmoni.
Jangan malu untuk mendapatkan bantuan pakar. Malulah dengan Allah SWT jika tiada usaha untuk memperbaiki diri.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect
Masuk Telinga Kanan, Keluar Telinga Kiri
SOALAN:
“Puan, orang cakap kalau kita mahu sesuatu itu melekat di hati dan ingatan anak, kita perlu ulang banyak kali, barulah anak ingat, barulah anak buat. Saya dah letih berleter, kadang-kadang sampai naik angin hilang sabar tetapi anak tidak buat juga. Tidak disuruh, tidak dibuat.”

KENAPA KITA BERLETER?
- Ada yang berleter kerana kita juga dileteri suatu masa dahulu. Itu sudah menjadi budaya dan amalan keibubapaan dalam keluarga.
- Ada yang berleter sebab tidak tahu cara lain untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati.
- Ada yang berleter untuk memberi arahan kepada anak yang tidak mahu patuh.
- Ada yang ingin menunjukkan kuasa dan otoriti walaupun berleter itu seringkalinya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
- Ada yang berleter sebab rasa panik, kaget dan bersalah dengan diri sendiri. Untuk menutup kegusaran itu maka leteran digunakan.
- Ada yang takut anak mengulangi kesilapan yang pernah kita dilakukan maka cara yang terbaik adalah berleter untuk menutup rasa tidak selamat yang dirasakan.
Kebanyakannya berleter kerana itu adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk ‘memaksa’ anak menurut kata tanpa perlu banyak usaha dan perancangan.
Adakah leteran berkesan untuk jangkamasa panjang?
Seperti dalam soalan di atas, selalunya tidak. Ia hanya berkesan ketika saat itu saja.
Perangai yang sama akan diulangi. Anak akan menunggu leteran sekali lagi. Selagi tidak dileteri, selagi itulah perbuatan yang sama diulang.
Perbuatan diulang, berleter lagi. Berleter lagi, perbuatan diulang.
Ia menjadi satu kitaran yang tidak sudah, tidak efektif dan tidak produktif.
Leteran akhirnya menjadi irama dan lagu yang hanya membuai dan mendodoikan tanpa kesan pada anak.
KENAPAKAH LETERAN TIDAK BERKESAN?
Leteran adalah proses mencari silap bukannya proses memperbetulkan kesilapan.
Ia hanya memfokuskan pada apa yang buruk dan apa yang salah pada anak sahaja. Pernahkah dalam leteran itu kita selitkan perkara yang positif yang dilakukan anak?
Tidak bukan? Ataupun jarang-jarang sekali.
Selalunya kita hanya semburkan apa yang negatif sahaja seolah-olah tiada langsung yang baik pada anak. Selalunya kita guna istilah yang ekstrim.
“Kamu tidak pernah….”
“Selalu macam ni…”
”Dah berapa kali dah…”
Semua yang ekstrim negatif sahaja dan langsung tidak ada yang positif.
Anak akan berhenti mencuba untuk berubah dan menjadi baik kerana usaha kecil mereka tidak ada nilainya di mata ibubapa di kala berleter.
Kaedah yang lebih efektif untuk membentuk tingkah laku yang baik adalah bukannya mencari silap tetapi mencari kebaikan. Semakin banyak kebaikan yang kita cari, semakin banyaklah kebaikan yang akan kita lihat dalam diri anak.
Ini adalah kitaran positif yang efektif.
Dalam leteran itu juga kita berkemungkinan membuat andaian yang tidak betul dan tuduhan yang melulu tanpa memeriksa terlebih dahulu apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu tingkah laku itu. Ini juga amat mengecewakan anak yang dileteri.
Mungkin harapan kita terlalu tinggi dan anak tidak dapat mencapainya dengan mudah.
Mungkin persekitaran tidak kondusif untuk fizikal anak melakukan apa yang diharapkan.
Mungkin anak tidak faham arahan yang disampaikan kerana cara komunikasi kita tidak kena dengan anak.
Jika inilah sebabnya, maka tidak hairanlah leteran kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tuduhan dan andaian tidak akan terkesan di hati. Ia hanya menyakitkan hati.
APA YANG PERLU DIBUAT SELAIN BERLETER?
Jika kita inginkan kerjasama yang berpanjangan, kita perlukan perancangan. Tidak ada penyelesaian segera dalam proses keibubapaan. Semuanya memerlukan usaha, pertimbangan yang teliti dan kesabaran yang tinggi.
Buat perancangan dengan anak. Jemput anak untuk sama-sama menyelesaikan masalah secara diplomasi. Anak-anak harus diajar kesan dan akibat perbuatan mereka ke atas dirinya, keluarga dan orang sekeliling. Tidak perlu tunggu sehingga anak remaja untuk membincangkannya. Anak kecil juga faham jika kita menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami.
Adakan peraturan dalam rumah. Sentiasa berbincang tentang peraturan yang ada. Jika anak tidak ikut peraturan ada kesan dan akibatnya. Ini juga harus dibincangkan dari awal bersama-sama dengan anak bukannya dibuat secara rawak apabila anak melakukan kesilapan.
Kita harus berusaha menjadi ibubapa proaktif yang bersedia sebaik mungkin dengan segala kemungkinan dan bukannya menjadi reaktif dengan leteran dan hukuman yang tidak efektif untuk mendidik.
Pastikan sistem pendidikan di rumah adalah yang terbaik untuk anak menjadi seorang manusia.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect