Bagaimana Melahirkan Anak Yang Jujur?

Berita sebegini selalunya tidak menjadi bahan tular mungkin kerana ketiadaan elemen emosi, sensasi dan provokasi padanya.

sinarjujur

Walau bagaimanapun ia adalah bahan dan teladan yang baik yang boleh digunakan oleh ibubapa, guru-guru, ustaz dan ustazah untuk mendidik anak-anak tentang erti kejujuran.

Membaca berita ini mengingatkan saya pada satu eksperimen sosial yang pernah saya kongsikan di beberapa sesi keibubapaan sebelum ini.

Apakah yang menyebabkan anak-anak muda ini memulangkan wang yang dijumpai?
Kenapakah mereka tidak tergoda dengan wang sebanyak itu?
Salah satu komen yang ditinggalkan mempersoalkan adakah wang dipulangkan kerana adanya CCTV di situ?

KISAH EKSPERIMEN DOMPET HILANG.

Pada tahun 2001, majalah Reader’s Digest telah menjalankan sebuah eksperimen sosial yang dikenali sebagai “The Lost Wallet Experiment”. Eksperimen ini melibatkan bandar-bandar kecil dan besar di Amerika Syarikat, Amerika Latin, Eropah, Asia (termasuk Malaysia), Canada, Australia, dan New Zealand.

Dalam eksperimen ini, 1100 buah dompet dengan sengaja ditinggalkan di merata-rate tempat seperti di tepi jalan, di pondok telefon, di hadapan bangunan, di pasaraya, di tempat beribadat, kawasan parkir dan restoren. Dompet-dompet itu berisi wang $50 mengikut matawang negara yang terlibat. Identiti ‘pemilik’ dompet bersama alamat dan nombor telefon juga diselitkan dalam setiap dompet.

Dari jumlah dompet yang sengaja ditinggalkan itu,

56% dompet telah dipulangkan oleh mereka yang jujur di negara-negara terbabit.
44% lagi mungkin dianggap ‘tuah’, ‘luck’, ataupun mungkin juga dianggap ‘rezeki’, maka disimpan oleh individu yang menjumpainya.

Norway dan Denmark mengungguli eksperimen ini dengan 100% dompet dipulangkan kepada ‘pemilik’ dompet.

Bagaimana pula respon rakyat Malaysia pada tahun 2001 dahulu?
50% dari jumlah dompet telah dikembalikan di Malaysia.

KENAPA MEREKA JUJUR? 
(PANDUAN UNTUK IBUBAPA DAN GURU)

Apabila ditanya kepada individu-individu jujur dalam eksperimen ini akan sebab mereka memulangkannya, respon mereka dapat disimpulkan kepada tiga faktor

FAKTOR UTAMA: IBUBAPA.

Seperti yang dijangka, dalam apa jua perbincangan yang melibatkan akhlak dan tingkah laku, ibubapalah yang bertanggungjawab menjadi guru pertama.

Ramai yang mengembalikan dompet kerana mereka mempelajari tentang kejujuran daripada ibubapa mereka. Dari kecil lagi mereka melihat sifat ini diamalkan oleh ibubapa. Ibubapa mereka juga memupuk sifat jujur itu dalam diri mereka.

Seorang anak kecil yang menjumpai dompet tersebut di sebuah taman di Seattle menyerahkan dompet kepada ayahnya. Ayahnya kemudian menasihati anak kecil itu agar memulangkan dompet kepada tuannya dan mereka bersama-sama mencari alamat ‘pemiliknya’.

Ini adalah satu contoh bagaimana kejujuran dipelajari daripada ibubapa.
Bukankah ibubapa guru pertama anak?
Bukankah rumah adalah sekolah pertama anak?

Sebagai ibubapa, jika kita melihat ketidakjujuran pada anak kita, muhasabahlah diri kita terlebih dahulu.
Adakah sifat jujur menjadi amalan kita?
Adakah sifat jujur ditanamkan pada diri anak-anak?
Apabila kita menjumpai sesuatu di tempat awam yang bukan milik kita adakah kita mengambil, menyimpan dan menggunakannya tanpa rasa bersalah? ataupun
Adakah kita berusaha untuk mencari pemiliknya atau membawanya ke balai polis?

Dalam eksperimen yang sama di Thailand, seorang kanak-kanak lelaki yang membeli belah bersama ibu dan adiknya menjumpai dompet tersebut lalu menyerahkan kepada ibunya. Ibunya dilihat dengan pantas menyumbat dompet ke dalam tas tangannya dan terus meluru menaiki bas.
Berita tentang dompet itu tidak didengari lagi.

Apakah yang dipelajari oleh kedua beradik tersebut?

FAKTOR KEDUA: PEGANGAN AGAMA

Di Malaysia, salah seorang individu yang memulangkan dompet adalah seorang peniaga gerai buah-buahan di Kajang. Apabila ditanya, dia memberitahu bahawa dia memulangkan kerana sebagai seorang Muslim dia perlu mengawal dirinya dari mengambil sesuatu yang bukan miliknya.
Bukankah begitu ajaran Islam?

Selain itu, individu yang memulangkan dompet di negara-negara yang terlibat juga terdiri daripada penganut agama Buddha dan Kristian yang berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing. Mereka meletakkan kejujuran sebagai sifat penting yang harus dimiliki oleh penganut agama mereka.

Walau bagaimanapun di Mexico terdapat juga individu yang kelihatan seperti kuat pegangan agamanya dari tindak-tanduk dan penampilannya, mengambil dompet tanpa memulangkan dompet yang dijumpai.

Persoalannya sejauh manakah pegangan dan kepercayaan agama kita menghalang kita dari bersifat tidak jujur?
Sejauh manakah kita menerapkan dalam diri anak-anak tentang akhlak yang dituntut dalam agama?
Atau adakah sebagai seorang yang beragama kita bersikap acuh tidak acuh dengan apa yang menjadi tuntutan?

FAKTOR KETIGA: EMPATHY

Sejauh mana kita berupaya untuk meletakkan diri kita di tempat orang lain?
Sejauh manakah kita dapat memahami apa yang dirasakan oleh orang lain?
Sejauh manakah kita dapat membayangkan bagaimana susahnya jikalau kita kehilangan dompet?

Ramai yang memulangkan dompet yang dijumpai kerana mereka meletakkan diri mereka di tempat individu yang kehilangan dompet tersebut.
Mereka mempunyai ’empathy’.

Di Switzerland, salah seorang individu yang memulangkan dompet adalah pelayan restoren berbangsa Albania. Dia merupakan seorang rakyat Kosovo yang berjaya melarikan diri dari peperangan yang berlaku pada tahun 1990an. Walaupun kehidupannya sukar, dia memulangkan dompet tersebut kerana dia faham betapa susahnya bekerja untuk mendapatkan wang sejumlah itu.

Beberapa individu yang memulangkan dompet pernah kehilangan dompet pada suatu masa oleh itu mereka faham bagaimana perasaannya apabila kehilangan.

Itulah empathy yang seharusnya dipupuk di rumah dan juga diajarkan di sekolah-sekolah supaya ia menjadi satu budaya dalam masyarakat.

FAKTOR KEEMPAT: BUDAYA

Dalam satu kupasan yang dibuat oleh Thomas Lickona dalam buku ‘Character Matters’, beliau berpendapat bahawa budaya setempat juga memainkan peranan penting dalam pembentukan sifat jujur ‘Lost Wallet Experiment’ ini.

Penduduk di Negara Scandinavia seperti Norway, Denmark dan Finland terkenal dengan karakter positif yang dimiliki oleh mereka. Apabila karakter positif menjadi satu tabiat, maka ramai yang akan memaksa diri untuk turut sama mengamalkannya sehingga menjadi satu budaya. Karakter yang positif akan mudah ‘berjangkit’, begitu juga yang negatif. Oleh itu terpulanglah kepada kita budaya yang bagaimanakah yang hendak kita tularkan dalam masyarakat.

“Lost Wallet Experiment” ini dijalankan sekali lagi oleh majalah Readers Digest pada tahun 2013. Kali ini ia melibatkan 16 buah bandar di seluruh dunia. Dalam eksperimen kali ini, Finland berada di tangga teratas dengan 92% dompet dikembalikan.

Kata seorang rakyat Finland:
“We are a small, quiet, closely-knit community. We have little corruption, and we don’t even run red lights.”

“We don’t even run red lights” – jauh lagi perjalanan kita nampaknya.

Syabas diucapkan kepada anak muda di Kuala Kangsar, Perak yang dipaparkan dalam berita Sinar Harian ini.
Walaupun berita ini hanya berita daerah, amalan yang positif begini patut ditularkan dan mendapat tempat dalam laporan berita di media cetak, elektronik dan media sosial supaya ia menjadi ikutan seluruh rakyat Malaysia.

Terlalu banyak bahan tular yang menyesakkan dada sekarang ini sedangkan yang positif juga banyak namun kurang mendapat tempat.

Tularkan kebaikan supaya ia berjangkit.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Apa Yang Saya Pelajari Setelah 20 Tahun Menjadi Seorang Ibu

Jika ditanya apa yang saya pelajari setelah 20 tahun menjadi seorang ibu?

Jawapannya adalah, saya yakin betapa doa seorang ibu itu tiada hijabnya.
Berdoalah bersungguh-sungguh untuk anak-anak walaupun apa yang kita doakan itu adalah seremeh-remeh perkara bagi seorang manusia. Tidak ada doa yang remeh datangnya daripada seorang ibu untuk anak-anaknya dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segalanya.

Saya juga yakin siapa saya sekarang dan apa yang saya miliki sekarang juga adalah kerana doa ibu saya yang bersungguh-sungguh dan tidak pernah letih dan berputus asa selama 44 tahun ini walaupun saya tidak mendengar doa-doa itu.

doa

Jangan letih berdoa untuk anak-anak. 
When everything else fails, we have Allah. 
Yakinlah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Letih Menjawab Soalan Anak-anak? 5 Panduan Berguna

“Ibu, perut Yaya sakit lagilah”, adu anak kecil berusia 4 tahun kepada si ibu apabila si ibu meminta anak untuk tidur.

“Bila Yaya tidur, hilanglah sakit perut tu. Insya Allah bila bangun esok, sakit tu hilang.” Pujuk si ibu yang sudah pun menyapu minyak angin di perut Yaya.

“Hilang? Sakit tu hilang pergi mana Ibu?” tanya anak yang kehairanan.

“Hilanglah. Sudah, tidur cepat. Cakap banyak-banyak lagi sakit nanti.” Balas si ibu.

“Kenapa kalau cakap banyak-banyak lagi sakit Ibu?” tanya Yaya lagi yang jelas semakin hairan dengan sakit perut yang dialaminya.

“Dah! Tidur. Ibu banyak kerja ni.” Jawab si Ibu sambil mencium ubun-ubun Yaya dan terus keluar meninggalkan anak yang akan tidur dalam keadaan ingin tahu.


 

why

Adakah anak anda banyak bertanya soalan?
Adakah murid anda banyak bertanya soalan?
Bagaimanakah respon anda apabila anak anda ataupun murid anda bertanya soalan kepada anda?

Kata Socrates, seorang ahli falsafah Yunani yang terkenal pada abad ke 4 Sebelum Masihi dahulu,

“Wisdom begins in wonder” ataupun kebijaksanaan itu bermula dari sifat ingin tahu.

Sifat ingin tahu ini adalah sifat semulajadi yang dimiliki oleh kanak-kanak. Kanak-kanak sentiasa ingin tahu tentang setiap apa yang dilihat, didengari, disentuh, dirasa, dan dihidu oleh deria mereka kerana mereka sedang belajar untuk mengenali diri sendiri dan sedang cuba untuk memahami manusia dan dunia di sekelilingnya.

Mereka sedang melalui proses pembelajaran yang asas melalui deria mereka.

Mereka “wonder.”

Menurut Piaget, pakar Psikologi dan perkembangan kanak-kanak, kanak-kanak paling banyak bertanya soalan yang berkaitan dengan ‘sebab dan akibat’ dan juga bertanya tentang justifikasi atau kenapa sesuatu perkara itu berlaku.
Soalan sebegini dikenali sebagai “Why Questions”.

Seperti contoh di atas, Yaya cuba untuk memahami ke mana sakit itu hilang? (justifikasi) dan juga kenapa semakin sakit bila bercakap? (sebab dan akibat)

Ini adalah fitrah seorang manusia.

Ada kanak-kanak yang mula bertanya soalan apabila berusia sekitar 2.5 tahun. Ada yang mula bertanya lebih lewat sedikit. Itu bukanlah satu masalah yang besar. Kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza-beza.

Dalam satu kajian yang dibuat di UK, kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun UK didapati bertanya paling banyak soalan kepada ibu mereka.

Kanak-kanak perlu digalakkan bertanya soalan dan tidak didiamkan apabila cuba bertanya kerana mereka sedang belajar.

Dengan melayan soalan-soalan yang ditanya oleh kanak-kanak, kita dapat membantu anak kecil untuk:

  1. membina perkembangan bahasa dan komunikasi,
  2. memahami konsep asas dalam pembelajaran dan kehidupan seperti besar-kecil, sama-beza, tinggi-rendah, baik-buruk, kaya-miskin, sihat-sakit dan sebagainya,
  3. membina skil,
  4. memahami nilai dan akhlak mengikut agama dan adat kepercayaan kita.

Bimbing anak tentang adab bertanya dan menjawab soalan.
Bimbing juga murid untuk bertanya mengikut giliran.
Bimbing juga anak tentang adab berbincang, dan menerima perbezaan pendapat.

Semua Ini adalah skil yang harus dipupuk dari awal supaya kita menjadi masyarakat yang berilmu dan juga beradab.

1) Ibubapa dan guru usahlah rasa diuji atau dicabar apabila anak-anak bertanya soalan. Mereka sememangnya ingin tahu.
Usah juga rasa letih menjawab soalan yang ditanya kerana sifat bertanya dan ingin tahu ini menunjukkan proses pemikiran mereka yang sedang berkembang. Sel-sel otak mereka sedang berhubung.

2) Jawablah soalan yang ditanya oleh anak-anak dengan ilmu dan hikmah supaya mereka menjadi manusia yang suka menuntut ilmu dan sentiasa mengkaji.

Janganlah hanya menjawab
“Dah memang macam itu.”

3) Walaupun jawapan awal kita adalah
“Sebab Allah berkuasa untuk jadikan sebegitu” selitkan juga ilmu di sebalik sesuatu perkara atau kejadian. Ibubapa perlu berilmu untuk menerangkan tentang sesuatu perkara.

4) Jika kita tidak tahu jawapannya, minta masa daripada anak untuk anda cari jawapannya terlebih dahulu. Jangan malu untuk mengaku yang anda tidak tahu. Walau bagaimanapun pastikan anda cari jawapannya ataupun cari jawapannya bersama-sama dengan anak. Ini akan menjadi teladan yang baik untuk anak.

5) Satu cara yang terbaik untuk menjawab soalan anak yang suka bertanya adalah dengan bertanya kembali kepada anak,

“Apa pendapat kamu?”
“Kenapa kamu rasa berlaku begitu?”
“Ke mana kamu rasa hilangnya sakit itu?”

Jangan terus memberi jawapan terlebih dahulu.
Selalunya anak yang suka bertanya mempunyai ideanya yang tersendiri tentang sesuatu perkara.

Selain ingin tahu, anak juga bertanya kepada kita soalan kerana anak percayakan kita. Anak rasa selamat dan selesa dengan kita. Anak ingin membina hubungan yang rapat dengan kita – bonding.
Jika kita kerap meminta anak diam dan tidak melayan pertanyaannya, lama-kelamaan anak tidak akan bertanya lagi. Mungkin hidup kita lebih aman tanpa soalan yang tidak putus-putus, tetapi dengan berbuat demikian kita hilangkan kepercayaan anak kepada kita dan juga membantutkan proses pemikiran anak tersebut.

Saya pernah berkongsi dalam posting sebelum ini bahawa kebijaksanaan ataupun ‘wisdom’ adalah salah satu daripada 6 karakter penting yang perlu dipupuk pada seorang anak kerana ia membawa manfaat kepada anak dan juga masyarakat umumnya.

Ingatlah kebijaksanaan itu bermula dari sifat ingin tahu – “Wisdom begins in wonder”.
Sifat ingin tahu sangat menebal pada kanak-kanak.
Layanlah soalan mereka.


 

Allah memberikan Hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Al-Baqarah 2:269)


 

Semoga saya menjawab soalan seorang ibu yang bertanya saya tentang anaknya yang berusia 3 tahun yang suka bertanya soalan. Antara soalan yang ditanya oleh anak beliau adalah bagaimana ‘electricity’ itu berlaku dan berfungsi. Masha Allah.

Apakah soalan yang ditanya oleh anak anda – prasekolah, rendah, atau menengah – yang sukar untuk anda jawab?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

6 Karakter Anak Yang Perlu Dikenalpasti Dan Dipandang Tinggi

Kadang-kadang kita terlalu ghairah dan tertekan untuk membentuk anak kita mengikut acuan yang kita idamkan sehinggakan kita terlepas pandang ciri-ciri unik yang sudah sedia ada dimiliki oleh anak kita.

Kelebihan dan kekuatan seorang anak bukan hanya terletak pada kepandaian, skil dan bakat sahaja, memiliki karakter yang positif juga adalah satu kelebihan dan kekuatan seorang anak.

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Park, Peterson dan Saligman dan diterbitkan dalam Journal of Positive Psychology pada tahun 2006, didapati bahawa terdapat 6 karakter yang perlu dikenalpasti dan dipandang tinggi dalam masyarakat (dan juga keluarga) kerana ia juga adalah kelebihan dan kekuatan yang boleh membawa manfaat kepada individu yang memilikinya dan juga masyarakat di sekelilingnya.

Karakter tersebut adalah:

1) Keberanian (Courage)
2) Kemanusiaan (Humanity)
3) Kebijaksanaan (Wisdom)
4) Keadilan (Sense of Justice)
5) Kawalan Diri (Self control)
6) Tidak penting diri

character

Pupuklah anak-anak dengan karakter yang disebut di atas. Jika anak sudah pun memilikinya, lihatlah ia sebagai satu kelebihan dan kekuatan pada anak. Salurkan karakter tersebut ke jalan yang sepatutnya supaya anak tahu yang dia bernilai dan berharga walaupun anak mungkin tidak memiliki kepandaian, skil atau bakat seperti anak-anak yang lain.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Tadika Manakah Untuk Anak Saya?

Ramai yang bertanya saya tadika yang bagaimanakah yang harus dipilih untuk anak masing-masing. Tadika jenama A kah, jenama B kah, jenama C kah yang saya rasa baik untuk anak mereka?

tadika

Kredit Gambar: Google

Ketika saya pulang dari Melbourne 14 tahun dahulu dan mencari pra sekolah untuk anak yang akan memasuki pra sekolah, saya dan suami mempunyai satu kriteria penting yang kami cari iaitu

‘Adakah tadika tersebut memberi ‘homework’ kepada pelajarnya untuk disiapkan di rumah?’

Kami bertanya soalan tersebut kepada Pengetua ketika melawat sebelum memilih.
Bagi kami, anak kecil usia pra sekolah tidak seharusnya ada ‘homework’ kerana itu adalah satu bentuk tekanan yang tidak wajar diberikan kepada kanak-kanak dan tidak langsung membantu perkembangan kanak-kanak usia tersebut.

Itu kriteria kami 14 tahun lalu.
Setiap orang mempunyai kriteria yang berbeza.

Oleh itu kepada ibubapa yang bertanya tadika jenama manakah yang harus mereka daftarkan anak mereka, jawapan saya adalah

“Apakah yang kamu mahukan untuk anak kamu?”

Setiap ibubapa perlu tahu apa matlamat masing-masing tanpa perlu mengikut dan meniru orang lain.
Untuk menetapkan matlamat, ilmu itu penting.
Apabila sudah ada matlamat dan kriteria yang dicari, kekallah dengan prinsip tersebut. Jangan mahu A tapi cari B.

Apabila ibubapa keliru, pelbagai tekanan akan kita berikan kepada anak kerana kita mahukan kesemuanya, bukannya kerana kita faham perkembangan kanak-kanak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Makluman: Inbox Parent Connect

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Saya menerima banyak soalan daripada ‘followers’ yang dihantar ke ‘inbox’ page Parent Connect ni tentang anak-anak dan juga pelajar-pelajar. Terima kasih atas soalan-soalan yang diajukan.

Maaf saya belum dan tidak dapat membalas kesemuanya lagi. Dari soalan dan cabaran yang dihadapi dan dikemukakan kepada saya, saya dapati ada cabaran yang berputar pada isu yang hampir sama. Anak-anak sifatnya sama saja. Begitu juga ibubapa.

Oleh itu saya akan menjawab persoalan dan cabaran yang diajukan kepada saya melalui posting/status di page ini secara umum supaya dapat menjadi panduan individu yang bertanya soalan dan juga boleh dimanfaatkan oleh pembaca lain juga.

Ada juga panduan yang pernah saya tulis sebelum ini di page ini sejak 2 tahun yang lalu. Mungkin pada masa itu anda belum ‘follow’ page ini jadi saya akan ‘share’ semula secara berperingkat insya Allah.

Ada juga tips dan tools yang saya kongsi di sesi-sesi saya dan tidak ditulis di page ini kerana ia perlu pemahaman melalui interaksi secara bersemuka. Jadi jemputlah ke mana-mana sesi saya atau boleh hantar mesej ke inbox page ini jika ingin menganjurkan sesi. Jika anda pernah menghadiri sesi saya dan ada soalan susulan, sila perkenalkan diri anda dan sesi yang pernah anda hadiri pada mesej yang dihantar kepada saya. Ini membantu saya memberikan jawapan yang lebih relevan 🙂

Akhir kata, Ribuan Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang ‘follow’, ‘like’, ‘share’, dan ‘comment’ di page ini. Saya juga banyak belajar dari komen dan cabaran yang anda hadapi.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Setiap Perubahan Mengambil Masa

Untuk anak mempelajari sesuatu yang baru, mengubah yang lama dan pclogomemperkukuhkan yang baru tidak berlaku semalaman. Fokuskan pada kejayaan kejayaan kecil ke arah usaha untuk berubah kerana ia akan akhirnya semakin menggunung.

Sabar dan jangan tergopoh – gapah mahu melihat perubahan serta-merta.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Kecil dan Pengenalan Kepada Allah

“Mana boleh buat macam tu kan Teacher, nanti masuk neraka.”

“Allah marah kan Teacher?”

“Nanti Allah tak sayang kan Teacher?”

name of all

Anak kecil yang berusia 5 tahun memberikan pandangannya tentang tindakan rakan seusia yang tidak disenanginya.

Saya terkesima mendengar begitu kerap dan petahnya anak kecil itu berbicara tentang hukuman neraka dan kemarahan Allah. Bukankah pada usia sekecil ini anak itu sepatutnya lebih mengenali Allah sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang terlebih dahulu?

Saya berbincang dengan anak-anak kecil di bawah jagaan saya itu tentang kasih sayang dan rahmat Allah kepada hambaNya terutamanya anak-anak kecil. Allah tidak menghukum anak kecil seusia mereka dengan neraka kerana mereka masih suci tanpa dosa yang akan menyebabkan kemarahan Allah. Mereka seumpama kain putih, putih bersih, banyak yang mereka tidak tahu, mereka masih belajar dan mereka masih perlu dibimbing oleh orang dewasa. Saya melihat kejernihan dan senyuman di wajah mereka apabila mendengar tentang betapa penyayang dan pengampunnya Allah kepada mereka.

Dr. Bilal Philips, pernah menulis, di kala Allah SWT memperkenalkan diriNya sebagai yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang (Ar Rahman Ar Raheem) pada pembukaan Al Quran melalui kalimah “Bismillahirrohmanirraheem“, malangnya sesetengah orang dewasa terutamanya ibubapa dan guru, menakut-nakutkan anak kecil dengan kemarahan, hukuman dan neraka Allah untuk memperkenalkan Allah dan bukannya dengan menerapkan kasih sayang kepada Allah dalam hati-hati kecil mereka.

Selalunya amaran dan ugutan ini dilakukan apabila ibubapa atau guru ingin memperbetulkan tingkah laku anak kecil. Itu merupakan kaedah yang salah sama sekali kerana ia memberi gambaran yang negatif tentang Allah kepada anak kecil.

Gambaran tentang Allah yang bagaimana yang ingin kita perkenalkan kepada anak pada awal usia supaya anak kecil lebih tertarik untuk mengenal Allah?
Gambaran yang bagaimana yang ingin kita berikan supaya anak kecil merasa selamat dan dilindungi oleh Allah dan seterusnya ingin berkelakuan baik seperti suruhan Allah?

HARUS DIINGAT, ANAK KECIL BUKANNYA ‘MINI-ADULTS’.

Perkembangan mereka belum sampai ke tahap orang dewasa. Pemahaman mereka tentang sesuatu konsep itu tidak sama seperti orang dewasa kerana perkembangan pemikiran mereka masih mentah.

Pada usia awal, jaringan-jaringan neural otak anak sedang terbina dengan pesatnya. Mereka belum berupaya untuk berfikir secara abstrak. Mereka belum berupaya untuk membezakan antara realiti dan imaginasi. Mereka belum tahu apa yang betul dan apa yang salah.
Apa yang disebut kepada mereka berulang-ulang kali akan membentuk gambaran dan imaginasi anak kecil tentang sesuatu tanpa pemahaman yang jitu. Keupayaan intelek atau kognitif manusia hanya mula terbina secara aktif apabila berusia sekitar 7 tahun.

Anak kecil belajar melalui sensori mereka. Allah adalah sesuatu yang abstrak bagi mereka kerana mereka tidak dapat melihat, mendengar, menyentuh, merasa dan bau Allah. Mereka akan berimaginasi dan membina gambaran tentang sesuatu yang tidak dapat dikesan oleh sensori mereka kerana pada usia ini tahap kreativiti manusia amat tinggi.
Bayangkan jika yang selalu didengari oleh anak kecil adalah “Allah marah” “Allah marah” “Allah marah dan “neraka” “neraka” “neraka”, bagaimana agaknya imaginasi anak kecil tentang Allah?
Apakah imej yang mereka bina dalam pemikiran mereka?
Benarkah Allah sebegitu?

KETAKUTAN ANAK KECIL

Pada usia awal, anak kecil mudah dipengaruhi oleh rasa takut (fear). Ketidakupayaan mereka untuk berfikir secara rasional menyebabkan ketakutan sering menghantui mereka. Oleh sebab itulah anak kecil takutkan benda-benda remeh bagi orang dewasa seperti guruh, kilat, gelap, dan juga bunyi bising seperti ‘blender’ dan ‘vacuum’. Ketakutan ini perlu dikawal dan dibimbing dengan kaedah yang betul supaya ia tidak membantutkan perkembangan anak terutamanya untuk belajar dan meneroka.

Menurut Dr. Hanan Dover, Naib Presiden International Association of Muslim Psychologists, ada ibubapa yang secara sedar ataupun tidak, mengambil kesempatan ke atas emosi takut yang tinggi pada anak-anak kecil dengan mempergunakan nama Allah pada konteks yang tidak sepatutnya. Ibubapa ini percaya untuk membentuk tingkah laku anak kecil dan supaya anak kecil mendengar kata, mereka perlu menanam rasa takut yang keterlaluan kepada Allah.

Ibubapa ini telah menggantikan sifat-sifat penyayang Allah dengan sifat Allah yang menakutkan anak kecil. Menurut Dr. Hanan, kaedah yang sebegini akan meninggalkan kesan negatif kepada perkembangan spiritual dan emosi seorang anak kecil dan ia boleh membawa kesan negatif yang berpanjangan sehingga dewasa.

Kata-kata yang sering digunakan

“Jika cakap tidak elok Allah akan potong lidah.”

“Jika degil nanti Allah marah. Nak masuk neraka?”

“Asyik main-main saja, baca buku pun tidak, Allah tak sayang orang macam tu”

Ungkapan yang sebegini menyebabkan anak kecil tidak merasa selamat dan dilindungi (safe dan secured) oleh Allah. Mereka tidak nampak Allah sebagai pelindung dan pembimbing sebaliknya sebagai penghukum semata-mata. Jika ugutan-ugutan sebegini berterusan dilakukan oleh ibubapa atau orang yang terdekat dengan anak kecil tersebut, ia akan menjadi pemahaman yang kekal dan sukar untuk diubah melainkan ada usaha untuk mengubahnya dengan ilmu dan pengetahuan yang betul.

BAGAIMANA SEHARUSNYA?

Gantikan ungkapan “Allah marah” dengan “Allah suka” atau “Allah sayang”.

“Allah sayang bila kita bercakap menggunakan perkataan yang elok.”

“Allah suka bila kita berbaik-baik dengan kawan-kawan.”

“Allah sayang bila kita hormat ibubapa dan ahli keluarga yang lain.”

“Allah sayangkan hambaNya yang suka belajar.”

Ini mungkin perkara remeh bagi orang dewasa, tetapi bagi anak kecil di mana perkembangan emosinya sedang terbina dengan pesat, ungkapan seperti ini menyuntik kecintaan mereka kepada Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Ungkapan yang sebegini membina jaringan-jaringan otak yang membentuk pemahaman dan gambaran yang positif tentang Allah SWT dari usia awal lagi.

Ungkapan yang sebegini juga membentuk tingkah laku yang positif dalam diri anak mengikut fitrah anak itu sendiri yang sering ingin rasa selamat dan dilindungi terutamanya oleh Allah SWT yang telah menciptakan mereka dan juga oleh ibubapa dan orang yang terdekat dengan mereka.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect