3 Kata-kata ‘MAGIS’ Membina Perhubungan Positif Dengan Anak

Sebagai ibubapa dan juga guru, bebelan demi bebelan kadang-kadang hanyalah meletihkan diri kita sendiri sedangkan hasilnya belum lagi pasti. Penerimaan anak-anak terhadap cara kita berkomunikasi dengan mereka juga berbeza-beza. Ada yang patuh hanya dengan sekali mendengar, ada yang mempersoalkan terlebih dahulu, dan ada yang mengambil masa untuk hadam dan terima apa yang cuba kita sampaikan. Semuanya bergantung kepada pembawaan anak dan juga kesesuaian cara kita dengan pembawaan diri mereka.

magic

Kredit Gambar: Video Block

Jika dirasakan komunikasi dalam bentuk kekerasan dan ugutan tidak berkesan, cubalah pula tiga kata-kata ini untuk membina perhubungan dan interaksi yang positif dengan anak-anak. Semoga ia dapat melembutkan hati anak-anak dan menjadikan mereka lebih terbuka dan mahu bekerjasama dengan kita.

1) I AM HERE (Saya ada).

Faktor utama yang membina ‘connection’ antara ibubapa dan anak adalah ‘trust’ (percaya) dan ‘respect’ (hormat). Kata-kata “I am here” akan memberi keyakinan kepada anak bahawa walau dalam apa jua situasi dan walau menghadapi apa jua masalah dan kerumitan, ibubapa akan tetap ada di sisi anak. Berada di sisi anak bukanlah bermakna sentiasa hadir secara fizikal. Ibubapa juga perlu bekerja dan menyelesaikan urusan seharian. Pada zaman sekarang ini ibubapa boleh hadir dalam hidup anak setiap masa yang diperlukan melalui panggilan telefon, e-mail, whatsapp, telegram, skype, dan pelbagai medium komunikasi yang ada. Ibubapa perlu sentiasa memberi indikasi bahawa mereka akan sentiasa juga hadir secara emosi untuk turut sama merasai setiap kegembiraan dan kesedihan yang dialami anak pada bila-bila masa sahaja. Jika ibubapa penuh dengan pelbagai alasan kerana tidak dapat hadir ketika waktu suka duka anak, anak akan mula hilang ‘trust’ tersebut dan mulalah mencari sumber lain yang sentiasa ada di sisi anak termasuklah di internet.

Kata-kata “I am here” ini menyedarkan anak-anak tentang betapa bernilainya mereka kepada ibubapa.

2) I HEAR YOU (Saya mendengar).

“I hear you” bukanlah bermaksud menurut apa saja kemahuan anak. Ibubapa perlu bersifat terbuka untuk mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh anak tanpa cepat mengkritik anak. Cubalah untuk mendengar sampai habis apa yang hendak diluahkan oleh anak tanpa terlalu cepat memberi cadangan. Mendengar adalah skil yang paling penting dalam komunikasi. Jika kita ingin anak mendengar cakap kita, kita hendaklah menjadi role model yang baik dalam mendengar apa saja permasalahan dan kerumitan yang mungkin dihadapi oleh anak. Apabila kita mendengar, kita juga tahu apa yang diperlukan oleh anak. Kita juga akan tahu apa tanggungjawab kita yang tidak dan belum tertunai terhadap anak. Kadang-kadang perkara yang hendak diperkatakan anak adalah amat remeh bagi kita tapi perkara itu sudah tentu besar bagi anak. Jika kita tidak mendengar, anak akan mencari sumber lain yang sudi mendengar. Jadikanlah diri kita tempat untuk anak meluahkan perasaan dan masalah.

Kata-kata “I hear you” ini mengajar anak tentang erti hormat-menghormati antara ibubapa dan anak.

3) HOW CAN I HELP? (Bagaimana boleh saya bantu?)

Anak-anak juga ada masalah mereka yang tersendiri. Sebagai orang dewasa yang berpengalaman, ada kalanya kita sendiri lemah dan buntu apabila berhadapan dengan masalah. Apabila anak menghadapi sebarang masalah, mereka mungkin menghadapi tekanan yang lebih berat disebabkan pengalaman hidup mereka yang kurang. Siapa lagi yang boleh mereka harapkan untuk membantu selain ibubapa yang merupakan orang terdekat dengan mereka. Ringan-ringanlah mulut, masa dan tenaga membimbing anak dan bersama-sama fikirkan caranya untuk menyelesaikan kekusutan mereka. Penyelesaian masalah (problem solving) adalah skil penting yang akan sentiasa diperlukan seumur hidup anak.

Kata-kata “How can I help?” ini akan mengajar anak tentang erti kerjasama antara ibubapa dan anak terutamanya ketika menghadapi konflik dan kesukaran. Ia juga membina ‘trust’ dan ‘respect’ anak terhadap ibubapa yang menjadikan anak-anak prioriti dalam hidup.

Anak-anak yang sudah biasa mendengar kata-kata sebegini dalam keluarga akan menjadi individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, hormat-menghormati, mempunyai empati dan mudah menghulurkan bantuan dan sentiasa bekerjasama dalam masyarakat.
Insya Allah.

Segalanya bermula dari rumah.

Kata-kata ini juga perlu diamalkan oleh para pendidik di sekolah untuk memupuk skil sosial dan emosi dalam diri pelajar-pelajar.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Advertisements

Membina ‘Trust’ Dengan Anak

Suara jeritan yang kuat memecah keheningan pagi itu di tepi pantai.

“ASYIK CAKAP TAK PANDAI…TAK PANDAI. KALAU TAK BELAJAR MACAM MANA NAK PANDAI?”

trust

Saya berpaling ke arah datangnya suara itu. Semua orang (lebih dari 50) memerhati ke arah seorang lelaki yang sedang mendukung seorang anak yang berusia lingkungan 6 tahun. Anak yang memakai pelampung tersebut menangis dan ketakutan kerana berada dalam air. Beberapa orang dewasa yang berada di keliling mereka (dan mengenali mereka) ada yang ketawa, ada yang kelihatan serba salah dan cuba membantu.

Saya memuji niat si ayah. Beliau ingin mengajar anaknya berenang atau tidak takutkan air tetapi pada pendapat saya caranya sangat tidak kena dan tidak membantu anak untuk belajar.

TRUST vs MISTRUST

Dalam situasi yang sebegitu, amat penting untuk kita mewujudkan TRUST dalam diri anak terlebih dahulu terhadap ayah.

Menengking (yelling) dan memalukan (shaming/humiliating) anak di hadapan orang ramai adalah cara yang terbaik untuk mewujudkan MISTRUST.

Dalam apa jua keadaan, anak perlu yakin bahawa maruah dirinya akan dipelihara oleh kedua ibubapa. Ini adalah hak seorang anak yang menjadi tanggungjawab ibubapa.
Islam sendiri menyarankan agar kita menjaga aib sesama kita, apalagi aib keluarga dan anak-anak. Aib anak yang kecil juga harus dijaga kerana aib tetap aib. Tidak perlu ditengking anak di khalayak ramai untuk menunjukkan yang kita seorang ibu atau ayah yang baik. Itu hanyalah membuka pekung bahawa kita tidak bijak mengurus emosi dan mengawal keadaan.

Bagaimana cara mewujudkan TRUST dalam situasi itu?

1. Sebelum memulakan proses pengajaran, ceritakan terlebih dahulu apa yang akan dilakukan dan ‘what to expect’. Kejutan yang tidak diduga hanya mematikan keyakinan diri anak.

2. Yakinkan anak bahawa:

“Ayah akan pastikan kamu selamat. Percayalah”
(I will make sure you are safe. Trust me!)

“Ayah akan pegang kuat-kuat. Percayalah”
(I will hold you tight. Trust me!)

“Ayah akan jaga kamu, dan kamu perlu mencuba”
(I will look after you, and you would have to try!)

3. Sebut pada anak dengan tegas bukan tengking. (Firm and kind)

4. Sebut pada anak apabila anak tenang, bukannya apabila anak panik dan menangis.

Apabila TRUST ini dibina terlebih dahulu, anak akan lebih yakin untuk mencuba.

TRUST inilah yang akan mewujudkan CONNECTION antara ayah dengan anak.

Hubungan yang terbina dari rasa percaya (TRUST) dan hormat (RESPECT) antara ayah dan anak adalah lebih kukuh berbanding hubungan yang terbina dari rasa rakut dan marah.

TRUST ini juga yang akan mewujudkan CONFIDENCE dalam diri anak.

HUMILIATING (Memalukan)

Bayangkan diri kita dimalukan oleh boss di hadapan rakan sekerja. Apa perasaan kita?
Insaf dan bermotivasi ataupun marah?

Anak-anak juga punya emosi dan perasaan. Mereka juga rasa apa yang kita rasa.

Dengan memalukan anak-anak di khalayak ramai, kita menjadi teladan kepada anak kecil bahawa:

“It’s ok to humiliate someone who is smaller and inferior than you.”

“It’s ok to disrespect others by shaming and humiliating them.”

“It’s ok to laugh at someone who is being humiliated.”

Secara tidak langsung orang dewasa akan mewujudkan generasi dan masyarakat yang tiada empathy terhadap orang lain.

MISTRUST dan HUMILIATION hanya menyebabkan anak membenci sesuatu aktiviti atau ilmu. Ia bukan kaedah mengajar yang efektif.

Oleh itu walau dalam apa jua situasi kita hendak mendidik anak-anak atau murid, kita perlu fikirkan akan kesan dan akibat yang berpanjangan bukan sahaja ke atas pendidikan anak malah juga kepada masyarakat.

Bertegas dengan anak memang digalakkan tapi tak perlulah dimalukan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect