Padam Papan Hitam Seumpama Orang Gaji?

blackboard

Kredit Imej: Google

Hari ini menjadi viral di media sosial isu pelajar sekarang tidak boleh disuruh padam papan hitam/putih di sekolah kerana mereka seumpama diperlakukan seperti orang gaji.

Dari artikel tersebut, tidak jelas dinyatakan sama ada tegahan itu datangnya daripada pengetua, rakan guru ataupun daripada ibubapa pelajar

Dari pengalaman saya menjadi guru prasekolah, anak-anak peringkat usia awal ini berebut-rebut hendak membantu memadam papan putih. Ada yang sampai merajuk jika tidak terpilih sehingga perlu diadakan sistem giliran padam papan putih.

Kanak-kanak peringkat usia awal sentiasa inginkan ‘approval’ orang dewasa yang dekat dengan mereka iaitu ibubapa dan guru. Mereka gembira jika dapat membantu kerana apabila ibubapa dan guru gembira, mereka merasa ‘loved’ dan ‘belong’. Ini adalah keperluan asas kanak-kanak dan juga seorang individu secara umumnya.

Sifat semulajadi suka membantu lama-kelamaan akan terhakis kiranya anak-anak tidak pernah diberi tanggungjawab. Apabila anak diberi tanggungjawab, anak akan merasa ‘belong’ dalam keluarga kerana anak merasa dirinya berharga dan diperlukan. Semakin dia merasa dirinya diperlukan, semakin dia ingin membantu. Ini bukanlah isu orang kaya atau orang miskin. Saya mengenali seorang anak muda dari keluarga yang sangat berada tetapi juga sangat ringan tulang kerana dari kecil beliau sentiasa digalakkan membantu ibu dengan ‘chores’ (kerja rumah). Melakukan semuanya untuk anak (over-parenting) tanpa meninggalkan ruang untuk mereka berdikari menyebabkan anak tiada keinginan untuk membantu kerana mereka tiada skil.

Di sekolah pula, kiranya yang menjadi kayu ukur kejayaan hanyalah jumlah A, pelajar yang tidak mendapat banyak A sukar untuk merasa diri ‘belong’ dalam komuniti sekolah. Bila mereka tidak merasa ‘belong’ dan dihargai, mereka akan menjauhkan diri dari membantu dan mencari rakan-rakan ‘seangkatan’ yang menghargai diri mereka.

Apabila anak-anak lebih ‘connected’ dengan gajet, mereka juga akan semakin ‘disconnected’ dari manusia. Mereka tidak akan tahu bagaimana untuk berinteraksi sesama manusia maka mereka juga tidak tahu yang manusia perlu saling bantu-membantu. Membantu tidak lagi menjadi ‘common sense’ buat anak-anak yang ‘disconnected’ dari dunia nyata ini.

Kesimpulannya berilah anak-anak tanggungjawab di rumah supaya mereka kenal erti tanggungjawab.

Hargailah setiap skil dan kelebihan anak-anak supaya mereka merasa diri bernilai dan dihargai.

‘Connect’ anak dengan dunia nyata dengan ‘disconnect’ mereka dari dunia maya.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Trainers Menakutkan Murid Sekolah Rendah Dengan Ular Untuk Mantapkan Jati Diri?

 

Jati diri menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka adalah

“sifat atau ciri yg unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya, identiti: pembinaan negara Malaysia lebih berteraskan kekuatan ~ bangsa dan se­mangat patriotik yang utuh; pengisian program kebudayaan ini penting bagi mem­bentuk sahsiah dan ~ belia masa ini.”

(http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=jati+diri)

Aktiviti untuk memantapkan jati diri tidak seharusnya disalah ertikan dengan aktiviti untuk memantapkan ketahanan fizikal.

Malang sekali kiranya memantapkan jati diri sering dikaitkan dengan aktiviti lasak dan menakutkan ala ‘military boot camp’.

Benarkah semakin ‘ganas’ dan ‘keras’ kaedah yang digunakan oleh trainer, semakin mantap jati diri anak-anak ini?

Atau adakah kaedah ‘ganas’ dan ‘keras’ hanya memberi isyarat kepada anak-anak yang masih mentah ini bahawa ganas dan keras (atau buli) sepatutnya menjadi lambang keperibadian dan identiti kita?

Pemantapan jati diri adalah berkaitan dengan

1) emosi individu yang stabil dan terbimbing
2) ‘strength’ (kelebihan dan kekuatan) individu yang dikenal pasti.

Sebarang aktiviti, termasuklah aktiviti fizikal, hendaklah mengambil kira kedua-dua elemen penting tersebut.

Trauma yang dihasilkan oleh emosi yang tertekan tidak memantapkan jati diri.
Trauma hanya melemahkan dalaman diri dan mengaktifkan ‘flight, fight or freeze’ iaitu tindakbalas asas yang tidak merangsang pemikiran.

Adakah kita mahu menjadikan ‘tidak berfikir’ sebagai identiti kita?

CHILDREN ARE NOT MINIATURE ADULTS

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Emosi Dan ‘Problem Solving’

Cuteness overload.

Takut adalah emosi yang dirasakan oleh semua termasuk kanak-kanak. Emosi wujud untuk survival, supaya kita memikirkan apakah penyelesaian kepada masalah/situasi yang mewujudkan emosi tersebut.

Perhatikan pada awalnya si ibu melayan dan mengakui ketakutan anak ini. Dia tak kata “Jangan takut” sebaliknya dia berkata “I am sorry, I didn’t know you are really scared.”

Perhatikan juga di akhir perbualan si ibu membimbing anak dengan problem solving. Anak juga mencadangkan apa yang patut dibuat.

Walaupun ini hanyalah berkaitan mimpi, tetapi latihan yang baik untuk penyelesaian masalah. Children are natural problem solver. Jangan ‘suppress’ skil semulajadi itu. Biar kreativiti mereka berkembang dengan sendirinya.

ADAKAH ANAK-ANAK PEDULI? 5 Cara Memupuk Sifat Peduli Dan Empati

pclogo

Gempa bumi berskala Richter 7.8 melanda Nepal semalam. Setakat artikel ini ditulis 5000 nyawa dikhuatiri terkorban, 50000 lagi cedera dan lebih 1 juta kanak-kanak memerlukan bantuan (sumber: UNICEF). Keadaan di Syria juga semakin genting, berjuta-juta rakyat Syria menjadi pelarian. Rakyat Palestin pula terus ‘terpenjara’ dan dibunuh di negara sendiri dan berjuta-juta menjadi pelarian. Bangsa Rohingya terus dinafikan kerakyatan di negara sendiri dan ditekan dan dibunuh tanpa belas kasihan. Masih ramai rakyat Kelantan yang tinggal di dalam khemah kerana kehilangan tempat tinggal akibat bencana banjir beberapa bulan yang lalu. Mereka masih memerlukan bantuan.

Sejauh manakah kita dan anak-anak kita, biar yang kecil ataupun yang remaja, PEDULI tentang mereka yang tidak bernasib baik?

Kajian yang dilakukan oleh University of Missouri pada tahun 2011 mendapati bahawa remaja yang terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan lebih mudah terhindar dari gejala-gejala negatif. Walau bagaimanapun, menurut kajian yang diterbitkan oleh Journal of Personality and Social Psychology pula, generasi milenial (yang lahir pada tahun 80an ke atas) kurang berminat untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti amal dan kemasyarakatan kerana fokus hidup mereka sekarang lebih tertumpu kepada pencarian material dan populariti.

Anak-anak yang PEDULI sangat berbeza dan mereka biasanya mempunyai kualiti berikut:

  1. menghormati orang lain tanpa membezakan harta kekayaan, pangkat, bangsa dan agama
  2. sentiasa ingin membantu sesiapa jua yang di dalam kesusahan
  3. sentiasa berfikiran positif dan mensyukuri nikmat yang ada
  4. sensitif terhadap perasaan orang lain
  5. berfikiran terbuka dan cuba memahami perspektif orang lain
  6. daya kepimpinan yang terpupuk sejak kecil
  7. kreatif dan inovatif kerana sentiasa memikirkan bagaimana untuk membantu mereka yang kesusahan.

Bagaimanakah caranya melahirkan sifat PEDULI dan EMPATI dalam diri anak-anak dari kecil?

1) PEDULI Melalui Gaya Hidup Sekeluarga

Mulakan dengan peduli tentang alam sekitar seperti menjaga kebersihan, tidak merosakkan kemudahan awam, kitar semula, jimat elektrik dan air. Galakkan mesra haiwan dan tidak menganiaya sebarang hidupan (selagi tidak membahayakan kita). Galakkan mesra tumbuh-tumbuhan, contohnya tidak mencabut pokok, kelopak-kelopak bunga atau daun-daunan tanpa sebab.

Jadikan sifat PEDULI sebagai salah satu kayu ukur (milestone) perkembangan sosial anak-anak yang penting. Sebagaimana berkongsi atau ‘sharing’ dijadikan kayu ukur sosial, begitu juga peduli dan empati.

2. PEDULI Melalui Pembacaan Dan Penceritaan

Bahan bacaan adalah sumber yang paling berkesan dalam membentuk perkembangan karakter. Penggunaan buku cerita yang sesuai dapat merangsang emosi dan mewujudkan sifat peduli dalam diri kanak-kanak. Lebih baik sekiranya ibubapa bercerita kepada anak-anak (yang kecil terutamanya) kerana impaknya lebih besar berbanding anak-anak membaca sendiri buku tersebut. Tingkah laku positif watak-watak tertentu di dalam cerita, terutamanya yang menjadi hero/heroin anak-anak, boleh dijadikan idola mereka. Pilihlah cerita yang bertemakan kasih sayang, kemanusiaan dan kemasyarakatan yang jelas dan mudah difahami oleh anak-anak. Plot yang menarik juga perlu diambil kira supaya anak-anak boleh ‘relate’. Bincang dan tanyakan pendapat anak-anak tentang tema kemasyarakatan tersebut dan galakkan anak-anak berkongsi pendapat dan perasaan mereka.

Tonton dokumentari televisyen yang memaparkan kesusahan dan pahit getir yang dilalui oleh orang lain supaya lebih terkesan.

(Tidak perlulah menunjukkan kepada anak-anak gambar kanak-kanak yang berlumuran darah akibat kekejaman atau peperangan seperti yang selalu terpampang di media sosial. Ini hanya akan mewujudkan sindrom ‘Schadenfreude’ iaitu ketagihan melihat gambar-gambar sedemikian tanpa mewujudkan sebarang rasa peduli dan simpati).

Jika anak kecil merasa sedih dan menangis kerana membaca atau menonton cerita tentang kesusahan orang lain, janganlah diejek atau diketawakan. Cakaplah “Sedihkan?” “Kesiankan?”. Tanyalah “Bagaimana kita boleh membantu mereka yang dalam situasi demikian?”.

3. PEDULI Melalui Teladan Ibubapa.

Ibu bapa adalah teladan terbaik untuk anak-anak. Kita adalah guru pertama dan utama mereka. Mulakan sifat peduli dalam diri kita untuk dicontohi oleh anak-anak. Apa saja yang menjadi prioriti hidup kita akan menjadi acuan bagi anak-anak. Bila kita menunjukkan sifat peduli contohnya terhadap mereka yang ditimpa bencana, ditindas, fakir miskin dan anak yatim lebih-lebih lagi tanpa mengira bangsa dan agama, itu akan mewujudkan peduli dan empati dalam diri anak-anak.

Bila kita menunjukkan sifat peduli, anak-anak juga akan turut sama peduli tentang mereka dan ingin membantu.

4. PEDULI Melalui Nilai Material.

Didiklah anak-anak akan nilai wang walaupun kewangan bukanlah masalah dalam keluarga kita. Ajari anak-anak tentang perbezaan barang-barang keperluan (needs) dan kemahuan (wants) supaya mereka tahu prioriti material. Galakkan anak-anak untuk menabung kiranya ada barang kemahuan (wants) yang ingin mereka miliki. Contohnya dengan menggunakan duit poket atau duit Raya walaupun kita mampu menyediakan barang tersebut untuk mereka. Ajari anak-anak menabung dan berjimat-cermat supaya mereka faham bagaimana rasanya menahan diri dari berbelanja dan boros. Ajari anak-anak supaya tidak membazir makanan supaya mereka faham keadaan mereka yang kebuluran. Galakkan anak-anak menabung, bersedekah dan menyumbang kepada aktiviti kebajikan.

5. PEDULI Melalui Pengalaman.

Kajian menunjukkan bahawa sifat peduli itu lahir secara berperingkat. Ia terbentuk melalui pengalaman yang dilalui seorang individu bersama individu lain yang berada di dalam kesusahan. Pengalaman adalah guru yang terbaik untuk sesiapa sahaja, terutamanya kanak-kanak. Pembacaan, penceritaan dan pendedahan akan lebih bermakna jika mereka berpeluang turun padang menyaksikan sendiri kesusahan orang lain.

Sekali sekala bawalah anak-anak keluar dari kelompok kita dan merasai realiti di luar kelompok. Bawa anak-anak bersama meredah kampung dan pedalaman bagi tujuan memberi bantuan dan sumbangan, walaupun anak itu masih kecil. Jadikan ia aktiviti keluarga. Sentiasa galakkan anak-anak terlibat dengan aktiviti kebajikan melalui sekolah, pertubuhan, persatuan ataupun inisiatif sendiri bersama kawan-kawan.
Untuk kanak-kanak menjadi individu yang PEDULI, mereka memerlukan perhatian, galakan dan penglibatan orang-orang dewasa yang penting dalam hidup mereka terutamanya ibu bapa dan juga guru. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakat perlu bermula dari peringkat pra sekolah lagi. Sifat PEDULI tidak wujud dengan sendirinya. Apabila anak-anak menunjukkan sifat peduli dan empati, nyatakan (point out), pujilah dan hargailah supaya mereka tahu mereka sebenarnya berupaya untuk PEDULI.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/