Anak Selesa vs Anak Selamat

Apabila menaiki kenderaan, perkara pertama dan utama yang seharusnya dititikberatkan oleh ibubapa adalah KESELAMATAN anak-anak.

Sebagai ibubapa, kita perlu membuat pilihan sama ada kita mahukan:
1) Anak selesa tetapi tidak selamat.
2) Anak selesa dan juga selamat.

Saya rasa pilihannya cukup jelas.

Selesa itu subjektif.
Ramai kanak-kanak yang selesa di ruangnya sendiri apabila dipakaikan tali pinggang keledar ataupun diletakkan di atas ‘car/booster seat.’
Apakah kayu ukur yang kita gunakan untuk mengukur keselesaan?

kereta berhias

Jika dilihat ‘brochure’ di website Perodua, apabila tempat duduk belakang Alza dilipat sepenuhnya sebegitu, ia menjadi kenderaan ‘2 passenger’, iaitu untuk 2 ORANG SAHAJA di tempat duduk hadapan bersama barang-barang di belakang bukannya menjadi bilik tidur untuk anak-anak ketika pemanduan.
Anak-anak bukan barangan atau bagasi. Mereka insan bernyawa.

Dengan berbuat begini, apabila berlaku kemalangan ataupun kenderaan dibrek secara mengejut, tubuh anak akan terhumban tanpa kawalan dan ia sangat membahayakan.

Jangan jadikan kenderaan kita sebagai kereta berhias yang boleh meragut nyawa anak-anak.
Sebagai anak, mereka percayakan kita untuk melindungi mereka dari sebarang bahaya. Janganlah dikhianati kepercayaan anak-anak kepada kita yang mempunyai akal untuk berfikir dan menilai.

Sayangilah anak-anak.

Bacalah perkongsian pengalaman rakan-rakan kita yang pernah kemalangan di ruangan komen termasuk oleh ibu ini yang kisahnya dikongsi di link ini:.

https://sg.theasianparent.com/car-accident-involving-child/?utm_source=article-bottom

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

(Terima kasih kerana menggunakan bahasa yang murni di ruang komen.)

Melindungi Anak-anak Ketika Kemalangan

Kerajaan sudah berubah, adakah mentaliti kita akan berubah?

Ramai yang tahu kepentingan tali pinggang keledar dan car seat tetapi masih sombong tidak menggunakannya.
Ramai yang mampu tetapi duit tidak dibelanjakan untuk car seat.

“Ajal maut di tangan Allah” kata mereka. 
“Kalau nak jadi, bila-bila pun boleh jadi.” Kata mereka sombong.


Kalau begitulah mentaliti kita, tidak perlulah kita makan kerana kalau ditakdirkan mati, makan atau tidak tetap akan mati.

car seats

TAHUKAH ANDA?

  1. Impak bayi yang menghentam ‘windscreen’ ketika kemalangan adalah sama seperti bayi terjatuh dari tingkat tiga bangunan
  2. Impaknya juga sama seperti bayi dihentam oleh gajah seberat 3.5 tan (3,500 KG)

Jika berat anda 45 kg, impak bayi diriba yang dikepit oleh badan anda ketika kemalangan sama seperti dikepit oleh berat 1360kg. Berapakah berat anda wahai ibu atau ayah yang meriba?

Ini berlaku apabila anda memandu 50km sejam. Ya cuma 50 km sejam. Belum lagi lebih laju dari itu.

TAHUKAH ANDA?*
73% daripada kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan maut di jalan raya adalah disebabkan IBUBAPA yang mengABAIkan ciri-ciri keselamatan.

  • Bayi diriba
  • Kanak-kanak berdiri dalam kereta
  • Kanak-kanak duduk/berdiri di tengah penumpang hadapan
  • Tidak pakai tali pinggang
  • Tidak letakkan bayi dan kanak-kanak di atas car seat/booster seat
  • Tidak memilih car seat yang sesuai usia
  • Tidak meletakkan di atas car seat dengan cara yang betul

 

Daripada jumlah kanak-kanak yang meninggal kemalangan:

  • 42.8% berusia 0-4 tahun
  • 30.2% berusia 5-9 tahun

 

Jika ciri-ciri keselamatan diambil:

  • Kadar kematian bayi dapat dikurangkan 70%
  • Kadar kematian kanak-kanak 1-4 tahun dapat dikurangkan 54%

Ajal maut di tangan Tuhan tapi berusahalah agar anak-anak kita tidak menjadi sebahagian dari statistik ini.
Sayangilah anak kita.
Berilah mereka peluang untuk melihat dunia lebih lama.
Kenderaan semakin banyak, pengguna jalan raya yang cuai juga semakin ramai, kenderaan yang berkuasa dan laju semakin banyak di pasaran, tidak seperti zaman kita kecil dulu.

Ayah ingatkan ibu. Ibu ingatkan ayah. Bekerjasama.

Saya mengharapkan agar penguatkuasaan ke atas penggunaan tali pinggang, topi keledar dan ‘car seat’ dipercepatkan dan dijalankan dengan serius demi keselamatan kanak-kanak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Sumber statistik: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (Miros) 2016