Anak Saya Seorang ‘Perfectionist’?

perfectionist

Anak-anak yang perfectionist dan berkecenderungan menjadi perfectionist selalunya terdiri dari kalangan anak-anak yang berpotensi tinggi.

  • Mereka sudah biasa mencapai kejayaan yang cemerlang, oleh itu mereka merasakan bahawa mereka mesti sentiasa cemerlang dan ‘perfect’.
  • Mereka meletakkan nilai diri mereka pada HASIL yang 100% perfect semata-mata sehinggakan mereka terlupa pada usaha gigih yang telah dilakukan.

Semua ini meletihkan emosi mereka. Jika emosi mereka tidak dibimbing, mereka cepat marah, kecewa, menangis, tertekan, dan merasakan diri gagal walaupun hakikatnya apa yang dicapai sudah terlalu baik bagi orang lain.

Mungkin agak melegakan bagi ibubapa kerana kajian yang dibuat di Michigan State University Twin Registry mendapati bahawa ‘perfectionism’ bukanlah terhasil dari salah didikan ibubapa, sebaliknya ada juga unsur keturunan dan pengaruh luar rumah yang boleh menyebabkan terjadinya ‘perfectionism’.

PERBEZAAN ANTARA ANAK YANG PERFECTIONIST DAN ANAK YANG TINGGI USAHA (STRIVER)

1) Anak yang perfectionist : meletakkan sasaran yang terlampau tinggi dan tidak realistik. Sasaran ditentukan sendiri (self evaluation).

Anak yang tinggi usaha : meletakkan sasaran yang dikenalpasti boleh dicapai. Sasaran adalah hasil perbincangan dengan pihak yang memahami perkembangan individu anak tersebut terutamanya ibubapa dan guru.

2) Anak perfectionist : setiap usaha dilakukan dengan ‘tekanan’ dan terpaksa kerana bimbang akan kegagalan dan kekecewaan.

Anak yang tinggi usaha: setiap usaha dilakukan dengan optimistik, ceria dan ‘engaging’.

3) Anak perfectionist: melihat kesilapan sebagai satu kegagalan yang merendahkan nilai diri. Merasa kecewa yang berpanjangan.

Anak yang tinggi usaha : melihat kesilapan sebagai peluang untuk memperbaiki diri. Merasa kecewa tidak lama.

4) Anak perfectionist: Fokus pada satu kesilapan dan lupa akan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai.

Anak yang tinggi usaha: Fokus pada kejayaan. Kejayaan menjadi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha.

5) Anak perfectionist: Cepat merasa kecewa dan marah apabila sukar menguasai sesuatu skil.

Anak yang tinggi usaha: Lebih tenang dan terus berusaha.

Kajian yang dibuat oleh G. Flett dari University of York, Toronto dan P. Hewitt dari University of British Columbia mendapati bahawa ‘penawar’ kepada perfectionism adalah:

  1. memberi keyakinan kepada anak yang perfectionist bahawa mereka diterima seadanya tanpa perlu menjadi perfect
  2. membimbing dan melengkapkan anak dengan strategi menhadapi kekecewaan dan membina ketahanan diri menghadapi kegagalan.

 

STRATEGI UNTUK MEMBANTU:

1) DIDIK ANAK TENTANG ‘PERFECTIONISM’.
Jangan takut untuk menyebut kepada anak sifat-sifat perfectionism yang dilihat dalam diri anak. Ada kalanya anak tidak sedar apa yang sedang mereka lalui. ‘Perfectionism’ sangat mengganggu emosi anak dan memudaratkan anak. Oleh yang demikian, ibubapa perlu mendidik anak supaya anak faham dan sedar apa yang sedang berlaku. Dengan kefahaman ini, sifat ini akan lebih mudah dikawal dan dibendung. Penerangan yang diberikan dan bahasa yang digunakan perlulah sesuai dengan umur. Menggunakan perkataan ‘perfectionist’ kepada anak kecil mungkin akan membingungkan mereka.

Sentiasa ingatkan anak bahawa kesempurnaan itu hanyalah milik Allah dan tiada makhluk yang sempurna. Kita perlu berusaha dengan sebaik-baiknya mengikut kemampuan dan potensi diri tetapi amatlah mustahil untuk mencapai 100% ‘perfect’.

2) KENALPASTI SETIAP USAHA DAN KEJAYAAN.

Apabila anak perlu siapkan sesuatu kerja/projek, senaraikan bersama anak langkah-langkah dan usaha yang perlu diambil untuk mencapai hasil tersebut. Usaha yang berperingkat akan lebih mudah dilihat dan dicapai oleh anak. Ini akan memberikan keyakinan kepada diri anak bahawa usaha kecil juga memberi nilai yang besar. Anak tidak perlu tunggu hasil yang 100% perfect untuk merasa diri berjaya dan bernilai.

PUJI dan SEBUT setiap usaha anak dan kejayaan yang dicapai pada setiap peringkat.

3) BERI RUANG UNTUK ANAK MEMBUAT KESILAPAN.
Rujuk posting : ANAK TAKUT BUAT SILAP? WAJARKAH

4) BERI RUANG UNTUK ANAK MERASA KEKECEWAAN.
Ibubapa sentiasa inginkan yang terbaik buat anak. Apabila anak kecewa, ibubapa secara otomatik akan cepat ingin menyelamatkan keadaan. Apabila diberi ruang untuk merasa kekecewaan yang menjadi lumrah, contohnya tidak mendapat markah 100%, kehilangan barang, tidak memenangi pertandingan, atau masalah dengan rakan, anak akan lebih kuat ketahanan dirinya untuk melalui kegagalan yang lebih besar (kiranya ada) suatu hari nanti.

Kekecewaan ini membuatkan anak sedar yang dunia dan kehidupan ini tidak ‘perfect’ dan sentiasa ada pasang dan surutnya. Akui emosi yang dialami anak akibat kekecewaan ini dan didiklah anak untuk mencari jalan penyelesaian apabila berhadapan dengan kekecewaan.

5) LAKUKAN AKTIVITI YANG ‘FOOLISH’ BERSAMA ANAK.
Keupayaan untuk mentertawakan diri sendiri akan dapat melunakkan sifat perfectionist. Perfectionist selalunya seorang yang serius dan rigid. Fikirkan aktiviti santai yang kelakar dan tidak memerlukan perfection dan persaingan. Contohnya mencomotkan muka masing-masing dengan face paint atau juggling. Pastikan ibubapa tidak mahir dalam aktiviti tersebut untuk tidak mewujudkan persaingan dan ketegangan.

6) GALAKKAN ANAK TERLIBAT DENGAN AKTIVITI KEMASYARAKATAN (walaupun anak kecil).
Ini akan mendedahkan anak terhadap pelbagai ‘ketidaksempurnaan’ di persekitaran mereka. Anak akan lebih menghargai dan menerima diri sendiri seadanya kerana anak dapat melihat dan membantu orang yang berada ‘di bawah’.

Cara ibubapa (dan guru) memberi maklumbalas, cara ibubapa memuji anak/tidak memuji anak dan bagaimana tindakbalas ibubapa terhadap kesedihan, kekecewaan dan kegagalan yang anak alami boleh mencetuskan perfectionism di dalam diri seorang anak jika tidak dilakukan dengan berhati-hati.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Under Pressure: Putting The Child Back In Childhood

“When it comes to what children should be doing in the early years, play is more important than chasing milestones. Play is a loaded word these days. In a workaholic, get-ahead culture, it sounds almost heretical – a guilty pleasure, an excuse for indolence or wasting time.” (page 52).
“Play is just a natural version of the more structured learning that occurs in the classroom – and it may even lay the foundations for reading, writing and numeracy. In one study, Herbert Ginsberg, a professor of psychology and education at Columbia University, observed 80 children. He found that they devoted 46% of their free play to countng, exploring shapes and patterns and sorting objects into sets – basic mathematics, in other words.” (page 56)

pcUnderPressure

Nottingham, UK – 31 Mei 2015: Apabila Anak Menguji Kesabaran Anda

Apabila Anak Menguji Kesabaran Anda

Tamat bengkel keibubapaan hari ini

Intipatinya:

  • Kenapa kita rasa kecewa dengan tingkah laku anak?
  • Apakah faktor yang mempengaruhi tindak balas kita?
  • Kenapa kita tidak patut melabel anak sebagai ‘nakal’ dan ‘degil’?
  • Apakah sebab dan punca tingkah laku anak?
  • Bagaimana menangani tingkah laku yang kurang menyenangkan kita?
  • Bagaimana memahami dan membimbing emosi anak?
  • Apakah ‘tools’ yang perlu dipraktikkan?

Apabila anak mempamerkan tingkah laku yang kurang menyenangkan kita, kita perlu faham bahawa anak kita bukannya satu masalah tetapi anak kita mempunyai masalah yang perlukan perhatian, bimbingan dan sokongan kita.

 

pcEventNotts 31 May

Anak anda buat hal?

Anda rasa anak anda ‘nakal’?

Tapi kesian nak marah?

Emosi keliru apabila berhadapan situasi sebegini?

Tapi rasa bertanggungjawab untuk didik anak dan selesaikan situasi tersebut?

Jom sertai bengkel anjuran bersama Nottingham Malaysia Community (NMC) dan Platform Siswa Islam Malaysia (PRISM) Nottingham bertajuk “Apabila Anak Menguji Kesabaran Anda”.

Sebuah bengkel pendidikan keibubapaan menyentuh tentang kelakuan anak-anak anda dan bagaimana anda sebagai ibubapa mengurus emosi kepada anak-anak anda.

Like us on facebook @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apakah Yang Menjadi Fokus Kita? (RAS)

pcRAS

Kredit Imej: buzzle.com

Otak manusia mempunyai bahagian yang dikenali sebagai Reticular Activation System (RAS) yang berfungsi menyaring semua maklumat yang masuk ke dalam otak dan memfokuskan pada maklumat yang penting bagi setiap individu. Fungsi ini adalah sangat penting dalam membantu kita memberi perhatian kepada objektif yang ingin dicapai.

Contohnya jika Hari Raya ini kita sekeluarga bercadang untuk memakai pakaian sedondon warna biru, ketika membeli belah mata kita akan cepat menangkap baju-baju yang berwarna biru kerana otak kita telah di‘set’ untuk fokus pada warna biru.

Sebagai ibubapa (dan juga guru) jika objektif kita hanyalah untuk memfokuskan pada salahlaku, membetulkan kesilapan, mencari kekurangan, ‘highlight’ kelemahan, maka banyaklah yang akan kita jumpa.

Jika objektif kita untuk memfokuskan pada tingkahlaku positif, mencari kelebihan, ‘highlight’ kekuatan, dan memuji usaha (effort), maka banyak juga yang akan kita jumpa.

Anak-anak yang positif dan berjaya adalah anak yang mempunyai jati diri (self esteem) dan keyakinan diri (self confidence) yang tinggi. Ini boleh terhasil apabila usaha, kekuatan, dan kelebihan mereka dihargai.

Apakah yang menjadi fokus kita?
Apakah yang disaring oleh RAS kita sebagai ibubapa dan guru?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LISTEN! LISTEN! LISTEN! – Kenapa Anak Tidak Mendengar Kata…

pclogo

Kiranya kita sering tertanya-tanya kenapa anak tidak mahu mendengar kata, tanyalah diri sendiri sejauh mana kita mendengar apabila anak berkata-kata.

“Action speaks louder than words.”
Anak-anak meniru kita.

Sekiranya anak ingin bercerita sesuatu tetapi kita terus sibuk dengan urusan kita, anak akan meniru kita.

Sekiranya anak ingin berbicara sesuatu tetapi mata kita terus memandang smart phone, tablet, komputer, buku atau suratkhabar, anak akan meniru kita.

Sekiranya kita tidak memberi perhatian, anak akan meniru kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ethan’s Story: My Life with Autism

When Ethan Rice was four years old, he was diagnosed with high-functioning autism. He decided that he wanted to tell his first grade class that he had autism on his seventh birthday. His parents asked him many questions about what having autism felt like for him and wrote his answers down as a reference for when he told his class. The answers are now published so more people can understand what it is like to have autism.

“Sometimes I lose track of where my body is and I run into people. I don’t mean to and I really don’t like fighting.”

pcAutismEthan

TIADA Istilah Anak Nakal

pclogo

Adalah salah untuk melabelkan anak kecil sebagai ‘anak nakal’.
Kita perlu lebih spesifik dalam memahami kerenah anak kecil jika kita ingin mencari penyelesaian.

Tiada ‘anak nakal’.  Yang ada hanyalah:

Anak yang meragam bila tidak dibelikan mainan.
Anak yang cerewet makan – ‘picky eater’
Anak yang melompat di atas sofa rumah saudara-mara
Anak yang asyik bermain sehingga tidak mahu pulang
Anak yang tidak boleh lekang dengan gajet
Anak yang tidak minat membaca
Anak yang sukar tidur
Anak yang suka conteng dinding
Anak yang sepahkan mainan
Anak yang sering menggigit dan memukul
Anak yang menangis bila bangun pagi
Anak yang bercakap bohong
Anak yang menggunakan bahasa kasar
Anak yang suka menjerit
Anak yang tidak siapkan homework
Anak yang tidak mahu mandi
dan bermacam-macam lagi kerenah anak yang lebih spesifik.

Apabila ibubapa dan orang dewasa ‘generalise’ dan melabelkan anak kecil sebagai ‘anak nakal’, kita tidak akan dapat mencari punca kenapa anak kecil berkelakuan sedemikian.
Apabila ibubapa tiada empati dan tidak cuba untuk memahami, kelakuan itu akhirnya tidak akan dibendung dan masalah akan lebih merebak.

Apakah kesan terhadap anak itu jika ibubapa tidak memahami tetapi sering menyebut anak itu sebagai ‘anak nakal’?

Fikirkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Lagi Lagi Buli

Belum reda kejijikan isu pedofilia yang menjadikan kanak-kanak yang tidak berdosa sebagai mangsa, timbul pula isu buli yang sangat kejam sehingga melibatkan kehilangan nyawa seorang pelajar sekolah di Kelantan.

 

bully

Kredit Imej: Google

1) Kita sering mendengar pendapat yang mengatakan bahawa solusi kepada masalah buli adalah untuk menanamkan pemahaman yang kukuh tentang Islam dan Iman di dalam diri anak-anak sejak kecil. Tidak dapat dinafikan bahawa agama memainkan peranan yang penting untuk pembentukan akhlak dan karakter seseorang individu.

2) Kita juga sering mendengar pendapat yang mengatakan semuanya bermula dari pendidikan dan asuhan di rumah. Tanpa ‘role modelling’, empati dan bimbingan daripada ibubapa, anak-anak mudah menjadi seorang pembuli. Ya, ini juga tidak dapat dinafikan.

Buli adalah isu yang tidak pernah sudah di dalam masyarakat kita. Lebih menyedihkan apabila buli berlaku di sekolah-sekolah yang merupakan institusi bagi menyediakan pemimpin-pemimpin masa hadapan.

FAKTOR-FAKTOR PENCETUS BULI :

1) Faktor budaya

“Siapa kuat dialah kudrat.”

Dalam masyarakat yang mengamalkan budaya dan sikap agresif untuk berkuasa dan untuk menang, keganasan dan buli sesama manusia menjadi satu kebiasaan.
Adalah tidak mustahil untuk kanak-kanak dan remaja yang sentiasa terdedah kepada amalan-amalan ini menjadi sebahagian dari budaya agresif tersebut. Contohnya wrestling, gangsterism, dan lumba haram yang menjadi hiburan di kaca televisyen telah mencairkan elemen ganas menjadi trendy dan ‘cool’. Berleluasanya permainan video yang berunsur keganasan seperti Grand Theft Auto dan seumpamanya menjadikan kanak-kanak dan remaja desensitise (lali/mangli) kepada keganasan yang ekstrim.

2) Faktor institusi.

Dalam institusi keluarga dan institusi pendidikan yang tidak memberi penekanan yang sewajarnya tentang sikap hormat-menghormati sesama manusia tidak kira pangkat dan umur, maka tidak mustahillah buli dan keganasan adalah lumrah.

Contohnya anak-anak yang membesar di dalam suasana keganasan rumahtangga, berkemungkinan akan mengambil keganasan sebagai cara untuk menghadapi konflik dan menunjukkan kekuasaan dan kekuatan.

Di sekolah pula, apabila ‘senior’ tidak diberi penekanan tentang tanggungjawab sebagai seorang yang lebih tua, mereka melihat senioriti mereka sebagai sumber kuasa dan bukannya tanggungjawab.

3) Faktor sosial.

Apabila kanak-kanak dan remaja lebih mendapat perhatian apabila berkelakuan negatif, maka mereka akan lebih cenderung untuk berkelakuan negatif demi mendapat perhatian.

Contohnya apabila peserta realiti televisyen atau selebriti yang berkelakuan negatif mendapt perhatian penonton dan menjadi popular, secara tidak langsung ia akan mendorong kanak-kanak dan remaja untuk meniru perlakuan tersebut.

Lemahnya skil di kalangan kanak-kanak dan remaja untuk mengawal emosi yang negatif seperti marah, cemburu, kecewa dan sebagainya, juga menyebabkan berlakunya buli. Kanak-kanak dan remaja yang sebegini mempunyai kecerdasan emosi yang rendah. Emosi mereka perlu dibimbing supaya mereka tahu bagaimana cara yang positif untuk menghalakan emosi itu.

Hukuman semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah.

Jika dilihat kepada faktor-faktor di atas, dapatlah disimpulkan bahawa penyelesaian kepada kes buli seharusnya melibatkan keterlibatan dan sokongan oleh seluruh komuniti, agensi dan organisasi di semua peringkat. Kita memerlukan inisiatif nasional untuk melahirkan masyarakat yang penyayang, adil dan bertanggungjawab. Fokusnya bukan di rumah semata-mata.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect