Ibubapa Yang Baik

cinta ibu

Kredit Gambar: Google

Ibubapa yang baik bukanlah ibubapa yang sentiasa tepat dalam mendidik anak.
Ibubapa yang baik bukanlah ibubapa yang tidak pernah silap dalam mendidik anak.
Sebaliknya ibubapa yang baik adalah ibubapa yang sedar tentang kesilapannya dan sentiasa berikhtiar untuk memperbetulkan kesilapan itu kerana dalam mendidik anak, kita juga mendidik dan memperbaiki diri sendiri sebagai seorang insan.

Anak-anak adalah pengajaran dan ujian bagi kita. 
La tahzan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Tegas & Mesra: Dua Ciri Yang Perlu Ada Pada Ibubapa

keluarga

Kredit Imej: Google

1) TEGAS: Tentang akhlak dan adab

Anak-anak dilahirkan seumpama kain putih, ibubapalah yang mencorakkannya. Akhlak dan adab perlu dibimbing, ia tidak ada dengan sendirinya pada diri anak-anak. 
Ia bukan ‘common sense’ bagi anak-anak.
Ibubapa perlu tegas dengan diri sendiri supaya menjadi suri teladan terbaik dari segi akhlak dan adab.
Ibubapa perlu tegas dengan anak supaya anak mempunyai akhlak dan adab yang terpuji.
Tiada kompromi tentang akhlak dan adab kerana ia bermula dari kecil dan akan dibawa sehingga mati.

Pelbagai kaedah sudah dicuba tetapi anak tetap begitu juga?
Berbuih sudah mulut berkata-kata tetapi anak tetap tidak endah?
Pelbagai ganjaran diberi tetapi anak sama saja?
Bermacam-macam hukuman dikenakan tetapi anak tidak juga berubah?

Bersabarlah, usah berputus asa.
Tidak ada manusia lain di dunia ini yang inginkan kebaikan buat anak-anak kita selain kita sebagai ibubapa.
Jika kita berputus asa, jika kita tidak sabar, tidak ada sesiapa lagi yang akan mengendahkan anak-anak kita.
Kita akan dipersoalkan nanti tentang sejauh mana USAHA kita selama ini dalam membimbing anak-anak kita dengan akhlak dan adab.

Dari Sa’id bin ‘Ash, Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya melainkan adab yang terpuji.” (Riwayat Tarmizi)

2) MESRA: Pada sifat individu anak

Kain putih itu ada pelbagai jenis. Teksturnya tidak sama.
Yang lembut perlu lebih berhati-hati supaya tidak koyak.
Yang kasar perlu disesuaikan supaya ia tetap berguna.

Supaya akhlak dan adab dapat dibimbing dengan baik, kita perlu kenal setiap seorang daripada anak-anak kita kerana setiap seorang daripada mereka adalah berbeza.

Pembawaan semulajadi (temperament) setiap anak adalah berbeza-beza.
Cara pembelajaran adalah berbeza-beza.
Keupayaan individu adalah berbeza-beza.
Kelemahan dan kekurangan adalah berbeza-beza.
Minat dan kecenderungan adalah berbeza-beza.
Sensitiviti adalah berbeza-beza.
Kecerdasan adalah berbeza-beza.

Ini memerlukan kemesraan, pemahaman dan kompromi supaya ketegasan kita tidak mematahkan.
Anak kedua mungkin memerlukan kaedah yang berbeza daripada anak yang sulung kerana pembawaannya berbeza.
Anak keempat mungkin lebih mudah menerima nasihat berbanding anak kelima kerana sensitivitinya berbeza.

Layanlah semuanya dengan adil.
Adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan tidak semestinya sama rata.

TEGAS DAN MESRA

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apakah Mesej Kita Kepada Anak-anak Tentang Kepentingan Peduli dan Empati Terhadap Orang Lain?

winning

Kredit Imej: TheAtlantic

Sebagai ibubapa dan guru, apakah mesej yang kita sampaikan kepada anak-anak dari peringkat pra sekolah lagi tentang kepentingan peduli dan empati terhadap orang lain?

Keupayaan seorang anak untuk merasai perasaan orang lain akan mempengaruhi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif anak. Ia bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Saya merupakan salah seorang pelajar kumpulan perintis program International Baccalaureate (IB) di Malaysia 26 tahun lalu. Melalui program ini salah satu syarat lulus adalah keterlibatan pelajar dalam aktiviti khidmat masyarakat yang akan dinilai berdasarkan usaha dan masa yang diperuntukkan untuk membantu orang lain. Pelajar mungkin mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan tetapi jika syarat ini tidak dipenuhi, pelajar masih dianggap tidak cemerlang.

Dari artikel:
The science reveals the irony of the situation: happier and more successful kids care about others, they are able to relate, be concerned, and respect differences, and a lack of empathy makes kids less successful, and less happy.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Pendidikan Kewangan Untuk Anak-anak

saving

Kredit Imej: Google

Apakah perancangan anak-anak dengan duit Raya mereka?
Apakah nasihat anda kepada anak-anak?

Apakah benda yang sudah lama anak idamkan dan menunggu saat menerima duit Raya untuk memilikinya?

Inilah masa terbaik untuk mendidik tentang nilai wang, perancangan kewangan, menabung, makna memberi kepada yang memerlukan dan juga kepuasan mendapatkan apa yang diidamkan setelah sekian lama menunggu (delayed gratification).

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apabila Anak Orang Lain Mengamuk

Secara umumnya terdapat dua jenis amukan kanak-kanak yang biasa kita lihat di  tempat awam atau pun apabila berkunjung ke majlis-majlis atau rumah rakan dan saudara-mara.

1. Amukan kerana tidak mendapat apa yang diingini. Ini adalah ‘tantrum’ yang sering kita alami dan lihat berlaku kepada anak orang lain juga.

2. Amukan kerana anak terlalu terbeban dengan pelbagai stimulasi di persekitaran seperti terlalu ramai orang, terlalu bising, terlalu berwarna-warni ataupun suhu tempat yang tidak sesuai. Ini dikenali sebagai ‘sensory meltdown’ yang berlaku apabila sensori atau deria anak terlalu terbeban dengan stimulasi berlebihan.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi di mana anda melihat anak orang lain mengamuk di depan mata anda. Apa yang anda lakukan? Adakah anda hanya berlalu seolah-olah tidak nampak? Adakah anda memberi nasihat? Adakah anda membantu? Adakah anda senyum? Atau adakah anda bersyukur itu bukannya anak anda yang mengamuk?

 

anakorang

 

APABILA ANAK ORANG LAIN MENGAMUK.

1) Tidak perlulah memberi nasihat kepada ayah atau ibu anak tersebut jika anda tidak tahupun sebab anak itu mengamuk.

Jangan membuat andaian.

Jika anak kita sering mengamuk kerana inginkan sesuatu, anak orang lain mungkin mengamuk kerana stimulasi yang berlebihan. Memberi nasihat seperti “Jangan beri muka sangat pada anak tu!” mungkin tidak berkaitan langsung dengan asbab amukan anak tersebut.
Nasihat seperti “Anak ini mengantuk ni. Tidurkanlah dia.” adalah sama sekali tidak releven kiranya anak tersebut cukup tidurnya tetapi amukannya disebabkan oleh lapar.
Andaian anda mungkin tidak betul.

BAGAIMANA ANDA BOLEH MEMBANTU?

Berilah nasihat hanya apabila diperlukan.

Jangan menambahkan tekanan yang sedia ada dengan nasihat berbau kritikan, sindiran atau ‘holier-than-thou’.
Amukan anak bukanlah disebabkan kegagalan ‘parenting’ semata-mata, ia berlaku kerana anak belum atau tidak pendai meluahkan kekecewaan dengan cara yang betul.

2) Tidak perlulah merenung (stare) anak beranak tersebut sehingga mewujudkan perasaan tidak selesa mereka. Cukuplah sekadar memandang sekali lalu. Jika bertentang mata secara tidak sengaja, senyumlah kepada ayah atau ibu yang sedang berhempas pulas itu dengan senyuman memahami bukannya dengan senyuman sinis atau senyuman lega “Alhamdulillah itu bukan anak saya!”

Tidak perlu juga memandang dengan pandangan “Oh comelnya anak itu mengamuk” kerana Tuhan saja yang tahu comel atau tidak situasi sebegini kepada kedua ayah dan ibu anak tersebut.

BAGAIMANA ANDA BOLEH MEMBANTU?

Jika ayah atau ibu tersebut memerlukan bantuan bersifat fizikal contohnya kerana air tertumpah, atau barang terlalu banyak untuk dibawa atau perlu bantuan menolak stroller atau perlu bantuan membuka pintu dan sebagainya, hulurkanlah bantuan tersebut. Atau mungkin ketika di rumah rakan atau saudara-mara ayah atau ibu tersebut memerlukan seseorang untuk tengok-tengokkan anak yang tidak mengamuk sementara menguruskan anak yang mengamuk, anda mungkin boleh membantu.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Garang

Ramai bangga mengaku seorang ayah dan ibu yang garang sebab itu yang diharapkan oleh masyarakat.

garang

Kredit Gambar: Google

Asas membentuk karakter anak bukanlah sama ada kita garang atau pun tidak.
Ada ibubapa yang garang, ada peraturan tetapi dia juga mendengar.
Ada ibubapa yang garang, ada peraturan tetapi tidak peduli.
Asas pembentukan karakter bukanlah garang atau tidak.
Asasnya adalah sekukuh mana ‘bond’ kita dengan anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ibubapa Yang Berjanji

Hari ini adalah 18 Ramadhan.

Ayat Surah Al Mu’minun dalam Juzuk 18 mengingatkan saya kepada satu amalan ibubapa yang boleh mengelirukan anak-anak.

Salah satu ciri seorang Mukmin adalah mereka yang berpegang kepada janji.
وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
(Al-Mu’minun 23: 8)

Dalam amalan dan perbualan seharian kita dengan anak -anak
terdapat dua jenis janji yang sering kita buat dengan anak-anak:

  1. Janji hendak memberi ganjaran kepada anak apabila dia melakukan sesuatu yang baik
  2. Janji hendak menghukum anak apabila anak melakukan kesalahan

Janji yang tidak ditepati oleh ibubapa bukan sahaja boleh mengelirukan anak-anak malah akan juga membentuk karakter anak itu sendiri.

JANJI GANJARAN
Apabila berjanji hendak memberikan ganjaran kepada anak, pastikan ganjaran yang dijanjikan itu diberikan dan bukan hanya janji kosong. Sebelum memberi ganjaran pastikan ganjaran itu dalam kemampuan kita. Jangan hanya berjanji tetapi kita sendiri tidak mampu dari segi material, tenaga dan masa untuk tunaikan.

Jika kita hendak menjanjikan ganjaran yang mahal, fikirkan dulu adakah kita mampu? Jangan berjanji sesuatu di luar kemampuan kita ataupun terlampau mahal sehingga terpaksa korbankan benda lain yang lebih penting.

Jika kita menjanjikan masa untuk diluangkan dengan anak, fikir dahulu adakah kita mampu peruntukkan masa dan korbankan masa kerja dan rehat kita? Jika kita sibuk sepanjang masa, ‘meeting’ tidak putus, ‘outstation’ ke sana ke mari, jangan berjanji dengan anak.

Jika kita berjanji hendak menolong anak dengan sesuatu tugasan, fikirkan dahulu adakah tenaga yang kita ada mampu untuk mengerjakannya?

Janji yang tidak dikotakan akan mempengaruhi karakter dan personaliti anak juga. Bukankah kita role model terbaik anak? Jika kita tidak kotakan janji, berkemungkinan besar anak akan meniru kita. Jangan mengeluh bila tiba hari tua kita nanti anak tidak mengotakan janji-janjinya kepada kita.

JANJI HUKUMAN
Selalu sangat saya mendengar gertak si ayah atau ibu yang hendak merotan anak.
Contohnya “ Kalau bising lagi ayah rotan”

“Kalau sebut perkataan macam itu lagi mama cili mulut”. Contoh lain “Kalau mengamuk mama balik dan tinggal kamu di sini.”

Walau bagaimanapun selalunya ayah dan ibu tidak tergamak pun hendak merotan atau menyili mulut si anak. Saya bukanlah hendak menggalakkan hukuman rotan atau pun cili. Gertak yang sebegini juga termasuk dalam kategori ‘janji’.

Jika tidak tergamak, jangan janji hukuman yang sedemikian kepada anak kerana lama-kelamaan anak tidak makan saman. Anak tahu ‘Eleh! Selalu cakap nak rotan tapi tak rotan pun. Ayah tak marah pun. Jom buat lagi.” Itulah sebenarnya mesej yang secara kita tidak sedar sampai kepada anak.

Walaupun mungkin hukuman itu adalah sesuatu yang rasional, jangan berjanji jika kita tidak tunaikan. Fikirkan dahulu.

Kedua-dua jenis janji ini jika tidak ditepati akan juga menghilangkan hormat anak kepada ibubapa. Mereka tidak akan peduli dengan kata-kata kita lagi.

janji

Berhati-hatilah

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect